Friday, 20 April 2012

REFORMASI KUTU

“REVOLUSI, Revolusi, Revolusi.”
Suara yang riuh-redam itu tiba-tiba sahaja. Ia bising-kalut-kecoh-bosan-nanar. Macam bunyi para setan bergaduh! Alangkah besarnya bunyi kata-kata itu! Dunia pun boleh bergoncang mendengar talunnya! Oh, bombastik lagi aku ini berfikir. Aku merepek-repek! Apakah aku sekarang berada pada zaman gejolak Revolusi Perancis, tahun 1789? Apakah ini satu lagi khayalan gilaku?
            Aku terjaga! Aku tidak melamun? Aku masih di sini. Pandangan mataku berbinar-binar. Oh Tuhan... aku berada di sini, pada tahun-tahun terakhir abad ke-20! Dan kawanku, pemikir sasau yang selalu merungut kelaparan itu, masih wujud di sisiku. Dia tertidur pulas beralaskan hamparan-hamparan surat akhbar berbahasa Cina edisi entah bila.
            Dia tidur berdengkur-dengkur. Bunyinya macam lembu melenguh. Aku mengejutkannya. Dia menggeliat malas, lalu membalikkan lambung tubuhnya. Dia menyambung semula tidurnya. Dia tidak mendengar apa-apa yang sedang membising itu. Aku mengejutkannya lagi. Dia membuka kelopak matanya, perlahan-lahan. Sekarang dia memandang ke arahku dengan perasaan terganggu dan mual. Riak wajahnya tampak masih kebingungan, tidak tahu apa-apa, terpinga-pinga, macamlah budak bodoh. Dia kelihatan sangat bodoh... macamlah seekor lembu tua yang sudah kekenyangan, tetapi masih juga mahu meragut jerami kering.
            Akan tetapi, dia mulai bersuara, mengeluh kelaparan, “kebulurnya aku! Ada apa-apa makanankah untuk aku?”
            “Makan, makan, makan. Itu saja kau mahu dan tahu. Hei, kau sudah tulikah? Apa yang sudah terjadi sekarang? Bisingnya, macamlah satu dunia ini dilanggar kawanan burung garuda.” Dia masih bingung! Dia menggenyeh-genyeh kelopak matanya dengan belakang telapak tangannya. Kemudian dia menggulung sehelai daun rokok, mengisi tembakau jenis hem, menyalakan api, lalu menghisapnya penuh nikmat.
“Apa? Apa sudah jadi? Pagi-pagi buta begini kau sudah mulai memenuhi lubang telingaku dengan bebelan berbisamu, merosakkan semangat dan jiwaku dengan kata-kata yang negatif. Macam manalah kita semua hendak maju ke hadapan. Tunggulah malam nanti, kawan! Aku tidak mahu peduli apa yang akan terjadi kepada dunia yang sakit otak ini. Aku mahu tidurlah, bodoh, sedari semalam aku berjaga macam jerangkung.”
“Kau dengarkah apa di sana? Apa yang sedang mereka rayakan itu?”
 Kawanku mulai terkesima dan mulai sedar di mana dirinya berada sekarang... di bawah jambatan yang melintasi sebatang sungai, sungai yang mengalir malas membawa isi muatan yang kotor. Sungai sampah, panggil kawanku.
Kini kami bangun. Kami berjalan terhegeh-hegeh keluar dari bawah kolong jambatan di tepi sungai itu. Oh, aku ternampak pusuan manusia yang berhimpun di jalanan sana, di seberang jambatan, di dataran bebas itu, semacam ulat-ulat di dalam mangkuk najis tandas awam.
Oh Tuhan... apa sudah jadi! Apa semua ini? Suatu keajaiban siang buta begini! Puluhan ribu manusia sedang berarak di jalanan. Hah, apa yang mereka semua mahu? Mereka mahu apa, hah? Aku bingung. Kawanku nanar.
Manusia yang membentuk lautan besar itu berteriak-teriak, revolusi, revolusi, revolusi, di atas jalanraya. Mereka membawa sepanduk dan poster-poster protes yang tertulis kata-kata yang bombastik. Mereka melaung-laung!
Kami berdua segera bergegas menuju ke sana. Ini bakal suatu sejarah besar! Tentu ramai manusia yang penyibuk mahu dirinya juga tercatat dalam sejarah sebegini, fikirku.
Oh Tuhan... seumur hidup aku, aku tidak pernah menyaksikan perarakan yang sebegini besar dan kecoh! Aku ingin bertanya kepada kawanku, apakah kami ini sedang melalui suatu babak mimpi, atau kami dilamun khayali, atau juga sesat di dalam rimba marijuana yang saujana seperti malam tadi.
Itu orang atau rimbunan pohon-pohon renek marijuana atau daun-daun qat? Sebaliknya kawanku pula yang menyoalku perkara yang sama. Lihatlah! Di atas podium pentas sana, seorang lelaki yang bertampang tokoh besar sedang menyampaikan pidatonya. Aku pernah nampak tokoh itu di mana-mana. Oh, barangkali dialah tokoh yang melancarkan revolusi satu negara, satu nusantara itu! Satu siri revolusi untuk membersihkan negara daripada penjahat-penjahat besar yang mengamalkan “korupsi-nepotisme-kronism” dan entah apa-apa lagi. Sekarang beliau sedang berpidato dengan penuh bersemangat nun di atas sana.
Kata-katanya  yang penuh retorik memukau emosi khalayak. Ucapannya diselingi laungan revolusi yang bergemuruh.
“Kita sekalian harus berjuang, tumbangkan kerajaan diktator yang maha zalim itu.” Mereka kini mulai berarak-arak di jalanan. Bilangan manusia kian bertambah ramai. Ini semacam satu perayaan dalam hikayat-hikayat Melayu lama! Kami pun turut menyertainya.
Aku lihat ramai juga kawan-kawan kutuku berada di sini. Oh, adakah mereka sudah berhenti kerja di ladang anggur itu? Adakah mereka kini menjadi tokoh pejuang revolusi yang aktif, bekerja keras dan praktikal. Pembangun dan pengimpi negara utopia atau masyarakat madani sepenuhnya?
Aku mulai berasa ingin ketawa, dan mual sendiri... apalah yang nak jadi dengan dunia ‘ni! Kawanku mulai mengomel, “apa ini semua? Aku ini terlalu kebuluran! Kau tak laparkah? Dari semalam lagi kita tidak makan, bukan? Kalaulah... aku harap sesuatu akan terjadi. Eh, kau lihatlah, mereka semua ini akan ke mana. Ayuh, kita ikut mereka, laungkan sama perkataan keramat itu, revolusi, tak peduli apa maksudnya! Argh, sudah lama aku tidak berteriak begini!”
Dan kawanku yang bingung itu mulai membuat bising, menjerit-jerit, melaung-laung, “revolusi, revolusi, revolusi!”, macam orang gila. Sungguh dia macam orang sasau. Sekarang kami ditolak arus lautan manusia yang deras. Aku lihat kawanku asyik melirik penuh bernafsu ke arah kedai-kedai makanan segera di pinggiran jalan. Kedai-kedai itu sebahagiannya sedang ditutup dengan tergesa-gesa. Aku tahu apa yang bermain dalam fikiran para pemilik kedai itu. Aku faham apa yang sedang difikirkan kawanku itu.
Aku tidak berminat kepada semua itu. Aku juga lapar seperti dirinya. Tetapi, aku telah terlihat tubuh seorang gadis genit seperti makanan. Tubuhnya menggiurkan nafsuku. Ia persis ketulan-ketulan ayam goreng KFC di mataku. Ia membangkitkan rangsangan-rangsangan dalam diriku. Aku menarik tangan kawanku, dan berkata, “jika kita berpecah, jumpa aku di tempat biasa.”
Kini kawanku mulai menyingkir ke tepi jalan, dan aku berkata kepadanya bahawa aku sudah tidak larat lagi mengikuti perarakan gila, yang entah akan sampai ke mana ini, lebih baik kita sekadar menontonnya dari jauh.
Kawanku mendengar nasihatku kali ini. “Politik, oh politik, aku tak faham. Apakah yang mereka mahukan? Mereka semua kini macam orang yang kesasauan, terlebih candu, overdose.”
“Ya, ya, apa yang mereka boleh buat dengan berarak begini! Mereka hanya menyalak bukit.”
“Ini bakal menjahanamkan kita seluruhnya. Ini akan membentuk suasana huru-hara, anarki. Anarki hanya memulangkan keuntungan lumayan kepada para gelandangan. Nanti kita akan lihat semuanya. Oh, pedulikanlah apa mahu jadi!”
Kami menyisih ke pinggir jalan. Nafasku mengah dan badanku berpeluh lencun. “Mereka semua fahamkah apa yang mereka laungkan itu? Apakah sekarang ini kita hidup di zaman Karl Marx di Jerman? Ini Tanah Melayu ke? Adakah kita hidup di zaman menuntut keadilan ke atas para penindas yang membunuh rakyat?”
“Aku fikir, sebilangan besar mereka hanya manusia-manusia yang sakit mental. Mereka yang tertekan oleh konflik-konflik seharian di tempat kerja, baru bergaduh dengan isteri, risaukan hutang bertimbun-timbun, frust bercinta atau didustai kekasih yang mata duitan. Mungkin juga mereka baru saja kalah judi. Atau macam-macam lagi sebab yang psikik! Lihatlah riak wajah mereka! Dalam dunia yang penuh konflik jiwa ini, manusia memerlukan suatu peristiwa yang boleh dimasukinya secara langsung, untuk mengecapi katarsis. Inilah pil ubat untuk mereka menghapuskan segala tension mereka. Mereka sendiri tidak faham apa itu revolusi, aku fikir. Macam kaulah, kau sendiri suka melihat suatu kejadian accident, tapi kau tidak mahu pedulikan kesakitan yang dialami mereka. Begitulah manusia, kaki penyibuk, jahil, munafik, hipokrit dan kemabukan rasa. Dan para penulis politik prorevolusi itu akan menulis bahawa gerakan ini disokong oleh seluruh rakyat jelata. Hah, hah, hah...ya, benar, tetapi disokong manusia yang sakit mental kerana tekanan zaman yang makin kompleks.”
“Ya, kau betul!”
“Kau ingat lagi antara saripati pemikiran Sigmund Freud, si Yahudi itu... menjerit memang seronok, dan melegakan urat-saraf yang tegang. Baguslah juga sekali-sekala ada peristiwa begini. Aku harap masyarakat kota yang sakit tenat ini akan beroleh ubat segera dan tidak akan sakit jiwa seketika. Tak payah berjumpa pakar jiwa atau mengambil candu lagi. Doktor jiwa akan pupus akhirnya nanti.”
Kawanku ini seorang Nostradamus yang baik juga...  perarakan ini semakin menjadi kalut dan bertambah tidak terkawal. Mereka kini berhadapan dengan pasukan polis pengaman rusuhan...mulailah batu, botol dan objek-objek keras berterbangan...
Aku bertanya kawanku, “siapa yang memulakan pertempuran ini?”
“Aku tak mahu memfitnah sesiapa... cuba kita berhenti jadi hakim, siapa benar atau siapa salah. Cuba kita fikir sendiri, apabila manusia berkumpul terlalu ramai, apakah yang akan terjadi. Bukankah ia akan memudaratkan keadaan, tak kira mereka benar atau salah? Dan, jika aku di pihak penzalim yang dilawan, kau tahu apakah yang akan aku lakukan? Aku akan bantai secukup-cukupnya, kedua-dua pihak rasional kan? Kerana kedua-duanya fikir mereka betul lagi benar.”
Kini di hadapan kami terjadilah pertempuran... ramai perusuh ini lari bertempiaran... sebahagiannya telah merosakkan premis-premis perniagaan, dan membakar tong-tong sampah, menghuru-harakan lalulintas... suasana tidak terkawal lagi... semburan air pemedih mata terburai...
Keadaan kacau-bilau. Dalam suasana anarki itu, aku berbuat sesuka hatiku... aku teraba buah dada seorang gadis, kemudian merabanya...  memeluk tubuh mereka... mereka menjerit, dan aku tidak mahu peduli apa-apa... sehinggalah suatu objek yang keras mengenai kepalaku... terasa berbinar-binar seluruh pandanganku... terasa bintang-gemintang sedang berlaga di langit...
Ketika itulah aku sedar bahawa aku sudah terpisah dengan kawanku. Dia berambus entah ke mana.
Seorang polis antirusuhan melihatku.
Aku gementar... aku menyelusupkan diri... terjumpa sebatang lorong kecil... memasuki sebuah bangunan tinggalan yang gelap dan berbau tahi lipas... menyorok di situ untuk beberapa ketika... seorang gadis yang kelihatan sesat, panik dan kecemasan berlegar-legar di situ... aku menyambar pergelangan tangannya, menekup mulutnya, dan mendorong tubuhnya masuk ke dalam bangunan... kejadian ini berlaku secara mendadak dan spontan. Ia di luar kawalan fikiran warasku.
Inilah habuan revolusi untuk tubuhnya yang cantik dan menggiurkan itu, yang telah bertukar menjadi ayam goreng apabila dilihat oleh mataku!
Dia kini tergeletak macam bangkai haiwan buas di atas simen yang berhawa dingin. Separuh pengsan aku merevolusikan tubuhnya. Dia memandangku, memeluk tubuhku, ketakutan, trauma.
Di atas tar lorong kecil sebuah bangunan yang tersembunyi, aku ternampak seorang wanita muda sedang serakah diperkosa... aku hanya ketawa besar, terpingkel-pingkel, macamlah aku dirasuk hantu jembalang. Si perogol itu betul-betul gasar. Tidak romantik langsung, bebelku, lalu aku ketawa lagi! Pandangan mata perogol itu, yang terus menghala ke arahku, menunjukkan dirinya sedang menikmati keamatan kesedapan kelazatan yang sungguh enak, lalu fana... sehingga aku fikir dia rela ditembak mampus dalam keadaan begitu!
Bola matanya terpersil memandangku kosong, sehingga aku berhenti ketawa dan berasa takut pula! Seolah-olah aku ini tidak wujud di hadapannya.
Di tempat biasa, aku lihat kawanku itu sedang rakus melahap seketul peha ayam goreng. Dia memandang ke arahku, tersenyum sinis, dan bertanya mengapa pula dahiku bengkak. Ini membuat aku sakit hati, sangat sakit hati. Kemudian dia menogok air mineral di dalam botol dengan gelojohnya.
“Celaka,” aku menyumpah, “mereka fikir kepala aku ini dibuat dari besi kersani barangkali.”
Kawanku tersengih sumbing, “inilah hasil revolusi, inilah revolusi sejati yang aku mahu perjuangkan untuk para kutu seperti kita, tapi ayam ini sedap juga. Oh, kalaulah setiap hari ada perarakan gila begini, tentu kita tidak payah bekerja. Berilah tepukan gemuruh kepada para politikus yang bergasak itu!”
Kami pun ketawa terbelahak!
Belum habis ketawa, seorang wartawan media asing tercegat di hadapan kami.  Wartawan itu memfokuskan kamera ke arah kami, sambil menghalakan muncung mikrofon. Kawanku yang sedang kekenyangan itu selamba menjawab soalan-soalannya. Aku terlongo mendengarnya. Entah bila dia belajar bahasa penjajah itu.
“Revolusi ini perlu diteruskan, tuan (dia sendawa, eerk). Sebarkan berita ini ke seluruh dunia. Kerajaan yang teramat zalim ini harus diganti dengan kerajaan yang baru. Mahu tidak mahu hanya dengan cara revolusi jalanan yang menyeluruh. Hancurkan negara ini, bina negara baru! Revolusi ini perjuangan rakyat jelata, satu suara rakyat yang tertindas untuk membina suatu masyarakat yang utopia. Atau syurga di dunia realiti. Revolusi ini wajib diadakan setiap hari.”
Dan, entah apa-apa lagi kawanku itu membebel-bebel, membuat diriku terlalu mual dan ingin muntah.
Oh, inilah sudut pandangan sejarah yang akan dilupai dan tidak difikir atau dikaji kesahihannya oleh para sejarawan beribu-ribu tahun akan datang, jika dunia ini masih berputar.
Kalian semua jangan lupa, aku masih ada, persis Plato kepada Socrates, yang akan mencatat idea-idea kawanku yang tidak diiktiraf oleh masyarakat, malah direject dari laman buku sejarah itu.

Ditulis semula daripada cerpen asal saya dalam buku antologi cerpen bersama Faisal Tehrani, bertajuk Cerpen-2 Underground, 2000.

Tuesday, 17 April 2012

SASTERAWAN BUKAN PENUNJUK PERASAAN


“MAKA keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: “Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu”. – al-Kahfi: 77
Apabila ditanya kawan-kawan penulis, berkenaan pegangan politik saya, mengapa saya kelihatan berlainan nada dalam menghadapi establishment berikutan tulisan-tulisan saya, sedangkan suatu masa dahulu saya seorang yang sebaliknya, setidak-tidaknya dulu saya agak sinis kepada establishment, saya sebenarnya terfikir kisah Nabi Musa as dan hamba Allah bernama Khidir. Sama ada Khidir itu nabi Allah atau manusia biasa yang bijaksana, itu bukanlah yang saya mahu tegakkan.
            Seseorang penulis biasanya suka sinonim dengan imej pejuang rakyat yang romantis seperti Che Guevara misalnya, maka menentang establishment seperti kerajaan menjadi medium kepada mereka menampilkan imej idaman itu. Saya percaya ramai penulis menentang pemerintah di mana mereka tinggal, dan ramai dikenali kerana hal itu. Biarlah saya tidak popular kerana itu, biarlah saya menyeleweng dari masa-masa lalu saya sebagai penulis yang rebel.
            Saya bawakan kisah nan indah nabi Musa as dan Khidir dalam surah al-Kahfi ayat 60-82 di sini. Ini bukanlah tafsir kepada maksud tersirat kisah tersebut, tetapi kisah ini hanya sebagai tamsil. Kisah ini diharap boleh menyampaikan maksud pandangan saya sebagai penulis dalam menghadapi kekacauan dunia politik hari ini. Saya bukanlah ulama yang layak menjelaskan maksud sebenar kisah ini.
            Dikisahkan nabi Musa as telah berguru dengan Khidir. Semasa berguru ini, ada tiga perbuatan Khidir yang dipersoalkan nabi Musa as. Pertama, Khidir merosakkan perahu. Kedua, Khidir membunuh seorang kanak-kanak.
Apa yang merangsang imaginasi saya adalah kisah ketiga, iaitu episod di suatu negeri yang penduduk-penduduknya zalim. Sebagai tetamu, mereka tidak diberi makanan. Tetapi pada malamnya Khidir telah meneguhkan dinding yang hampir runtuh di negeri tersebut, malahan tanpa meminta upah. Tindakan Khidir ini telah dikritik oleh Musa as kerana menolong negeri yang zalim.
            Apakah hujah Khidir? Kita semua telah maklum kemudiannya, tujuan Khidir ”mempertahankan” dinding yang hampir roboh tersebut adalah demi melindungi harta milik dua orang anak yatim peninggalan bapa mereka yang soleh, yang tersembunyi di sebalik dinding tersebut. Kepada masyarakat awam, perbuatan Khidir itu pastilah tidak wajar. Tetapi Khidir dikurniakan mata hati dan akal yang tajam.
Saya fikir kita sebagai penulis juga harus berakal bulus dan jauh pandangan, dan tidak hanya melihat dari pandangan mata kasar sesuatu permasalahan.
Saya meletakkan makna ikon dinding dalam kisah ini kepada pemerintah zalim yang mengawal penduduknya (penduduk-penduduk yang zalim pastilah dipimpin oleh orang yang juga zalim, kerana akhlak pemerintah adalah bayangan akhlak rakyat). Saya teringat kata-kata seorang ahli hikmah, “di bawah seribu tahun pemerintahan yang zalim adalah lebih baik dari sehari anarki”. Ini ada benarnya secara praktik, jika kita melihat apa yang telah berlaku di negara-negara yang bergolak seluruh dunia. Pemerintah yang menguatkuasakan undang-undang adalah benteng/dinding yang kukuh kepada rakyat. Sama ada pemerintah tersebut zalim atau tidak, undang-undang adalah benteng yang mengikat masyarakat dari terpecah-belah menjadi anarki. Jika undang-undang dilanggar, hancurlah masyarakat. Semua orang akan menjadi musuh kepada yang lain. Maksudnya jika pemerintah dijatuhkan, ia akan menghasilkan keadaan  tidak stabil dan mendedahkan negara kepada musuh dan bahaya yang pelbagai, lebih-lebih lagi jika pemerintah itu memang sedia ada zalim.
            Kita ketahui, sezalim-zalim pemerintah, ia tetap menahan daripada anarki, yang mudaratnya lebih besar kepada rakyat terbanyak dan generasi akan datang. Jika sesebuah pemerintahan itu tumbang, akan berlaku huru-hara seperti terjadi di Timur Tengah sekarang. Keadaan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh seperti Yahudi dan sekutunya. Situasi ini sedang dan telah terjadi kepada negara-negara seperti Mesir, Libya, Syria, Yaman atau Tunisia. Berapa banyak emas hitam telah disedut keluar dari negara-negara tersebut oleh pakatan Kuffar disebabkan fitnah politik? Bahkan, di sebalik pergolakan dunia hari ini, tersembunyi tangan-tangan mereka.
Sebagaimana dinding dalam negeri yang zalim itu “menahan” harta pusaka milik anak yatim, begitu jugalah sesebuah kerajaan menahan negara dari fitnah huru-hara. Malah, keamanan adalah harta awam yang wajib dipertahankan, untuk diwarisi generasi akan datang. Fikirkan juga simbol sepasang anak yatim dalam kisah ini.
Kita bukanlah ingin hidup terhina dalam keadaan dizalimi, tetapi untuk membaiki keadaan yang rosak bukanlah dengan melawan dan memberontak yang dimulai dengan seruan-seruan menentang establishment. Ini hanya akan mengulangi pepatah Melayu lama, marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
            Kita pasti engkarkan kezaliman, tetapi keadilan itu pula, kata Syaidina Ali ra, adalah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Kita sensitif pada kezaliman. Tetapi kezaliman itu tidak boleh membutakan mata hati kita dari melihat natijah di sebalik runtuhnya apa yang kita lawan itu.
            Di alam nyata, bagi saya, sasterawan tidak seharusnya buta hati. Mereka tidak seharusnya beradu tenaga dengan fizikalnya, tetapi dengan akalnya. Bukan terikut-ikut dengan kehendak masyarakat yang akan menjulang mereka sebagai pejuang. Apabila melihat kemungkaran, kita terus menentangnya tanpa melihat di sebaliknya, iaitu punca-punca kepada kemungkaran itu, bagaimana untuk membaikinya dan sebagainya. Seperti si bodoh yang dizalimi, tetapi automatik melawan tanpa memikirkan kekuatan lawan dan pelbagai kemungkinan, sehingga lebih dizalimi lagi.
            Seniman bukanlah penunjuk perasaan. Seniman seharusnya seorang pemikir. Seniman itu halus dan perasa, tetapi masalah tidak boleh diselesaikan oleh perasaan. Seniman bukanlah orang awam, yang melihat hanya pada luaran dan tersurat. Sasterawan sepatutnya bijaksana, bukan apabila dizalimi, menjerit dan memberontak seperti rakyat terbanyak yang jahil dan buta.
Dan seperti Khidir, pertolongan itu dilakukan bukan kerana diberi ganjaran atau meminta upah, iaitu dengan tidak bersubahat dan bersekongkol dengan kezaliman.
Fikir-fikirkanlah tentang ikon tersirat, iaitu negeri yang penduduknya zalim, dinding yang hampir roboh, upah, anak-anak yatim, dan harta pusaka daripada ayah yang soleh untuk memahami pegangan saya dalam hal ini.
Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” – al-Kahfi: 82

Wednesday, 11 April 2012

CAHAYA


DI sebuah simpang jalan, kami berdua sedang melepak. Kami di atas sebuah tembok konkrit, dikelilingi bangunan-bangunan bergaya mewah yang angkuh dan bodoh seperti seekor lembu kurus kekenyangan. Kami duduk membelakangi sebuah kedai jam yang bankrap. Di sebelah kami sebuah tong sampah yang sarat memuntahkan sebahagian isinya.
            Kawanku itu mulai berdailektika tentang politik, sosial, ekonomi, falsafah, oh macam-macam lagi. Seperti yang kukatakan, aku ini persis Plato dalam hidup Socrates, kepadanya.
Kini aku dapati fikirannya sesat dalam rayauan ideologinya itu. Kami membatukan diri. Kami separuh khayali, merenung jauh ke sana. Sesungguhnya aku sendiri sedang pening  penangan marijuana.
            Nun di sana..., dalam kepulan asap marijuana, aku nampak sebuah pesta-pora sedang berlangsung. Di sana... di dalam sebuah panggung moden ala zaman Yunani kuno.
            Oh, itu panggung sandiwara atau hotel berjuta bintang?
            “Adakah aku bermimpi? Karya agung Homerkah sedang dipersembahkan itu?”
            “Tidak, itu kelihatan seperti khayalan, tapi ia realiti, tapi macam mimpi. Ya, persis hikayat purbakala negara asyik-masyhuk saja.”
            Aku berseru, “oh Tuhan, aku tak bermimpi rupanya? Kalau begitu, mengapa kita tidak pergi saja ke sana? Makan sekenyang-kenyangnya.”
            “Pergilah engkau menjadi ulat-ulat di dalam mangkuk najis...”
            Lampu-lampu berkerdipan, bersilauan dan cantik cahayanya. Ia terpasang di merata-rata sudut kotaraya ini. Ia menyilaukan pandangan. Kata kawanku, negara ini terlalu makmur dan kami adalah sisa-sisa buangan kemakmuran tersebut. Jeda di situ saja bicaranya. Suasana malam ini bingit dan riuh-redam jadinya. Tatkala ini bunyi gonggongan anjing-anjing kurap menyelongkar sampah-sarap tenggelam timbul.
            Semua ini tidak masuk dalam fikiran kawanku. Dia asyik mengagumi kerdipan cahaya lampu-lampu pada bangunan, jalan dan menara gah sedari tadi. Cahaya itu seolah-olah memukaunya. Sorot matanya memandang tidak berkelip.
            “Cahaya... kau nampakkah cahaya-cahaya itu?”
            “Cahaya? Yalah, cahaya, tapi kenapa? Apa yang tak kena dengan cahaya itu?”
            Dia kembali membisu, lalu berjalan. Aku menyaingi langkahnya yang terhuyung-hayang. Kami berjalan menunduk. Kini kami mengitari kaki-kaki lima bangunan. Berselerakan sampah-sarap sepanjang jalan. Lengang sekali malam ini, tiada orang lain. Mereka, kutu-kutu berahak itu, semuanya berambus ke sana, fikirku. Dari kejauhan kedengaran jerit-pekik manusia yang bercampur bunyi muzik agam di majlis itu.
            Aku kemudian berasa loya terfikir analogi ulat tadi. Aku terbayang mangkuk tandas awam dijelabaki najis!
            Angin malam sangat dingin. Ia terasa menusuk-nusuk hingga ke tulang. Bau busuk air longkang pula berleluasa. Aku memeluk tubuh. Aku menyepak apa-apa saja di hadapan, terikut-ikut perangai kawanku.
            “Jika lampu dinyalakan, nescaya kelkatu-kelkatu itu akan berterbangan muncul menghurungi cahayanya. Mengapakah cahaya memikat kelkatu? Adakah ini boleh dipanggil tarikan graviti?”
            Dia memandangiku. Aku membatukan diri.
            Macam-macam pula repeknya, bisikku, biarkanlah dia masuk alam khayal dan akhirnya sasau sendiri.
            Aku memandang ke arah poster-poster mengundi di mana-mana saja. Ia belum diturunkan. Berapa agaknya harga sekeping poster itu! Aku ingin bertanya pada kawanku, tetapi emosinya tidak stabil. Aku fikir lebih baik aku membisu, meskipun aku fikir semua ini sangat membazir, dan aku sendiri tidak puas hati. Aku teringat pada orang tuaku di sana... dan berasa sedih melihat poster-poster itu. Apakah yang sedang dibuat ibuku di kampung? Adakah mereka sudah tidur?
            Tiba-tiba kawanku mengeluh, “alangkah baiknya jika dihulurkan biaya poster itu kepada para fakir-miskin, seperti dilaung-laungkan di mimbar-mimbar masjid selama ini.”
            Aku berjenaka padanya, “kita sepatutnya berfikir untuk menubuhkan sebuah jemaah kebajikan untuk warga kemacar tidak kira dari parti politik manapun.”
            Dia meludah. Dua tiga kali dia meludah.
            Seluruh pemandangan malam ini macam biasa... kelibat kumpulan anjing kurap kelihatan menyayukan hati, pelacur tua bersuaka di lorong-lorong gelap, penagih marijuana terguling di kaki-kaki lima (aku nampak bayang-bayang mereka pada dinding bangunan seolah-olah mereka sedang berterbangan di angkasaraya), longgokan sampah-sarap, dan tikus-tikus kotor bertubuh tambun, yang keluar-masuk longkang... aku mulai dirasuk perasaan menyampah dan meluat. Pada dinding bangunan, ada tulisan-tulisan grafiti yang unik.
            Kami terus merayau-rayau. Nampaknya kami berkeliling pada satu tempat, akhirnya kami berada di atas tembok batu tadi. Beginilah kehidupan, ujar kawanku, kita kembali di sini juga. Aku duduk melunjurkan kaki.
            Kawanku itu masih menyebut-nyebut tentang cahaya.
            “Kau nampak cahaya-cahaya itu? Ia menerangi seluruh dunia ini. Cuba kau bayangkan... apa akan jadi jika tidak wujud setitik cahaya pun di dunia ini. Apa akan jadi, hah?”
            “Gelaplah, dan kita semua akan berlanggaran sesama sendiri,”
            Anehnya, dia tersenyum, dan berkata, “Ya, hakikatnya begitulah, tapi kita tidak memikirkannya. Dunia ini sebenarnya sudah hampir padam cahayanya. Kita hidup seperti haiwan. Kita berlanggaran sesama sendiri. Kita yang bodoh ini adalah korban perlanggaran itu. Dalam gelap begini, jumlah tuhan adalah seramai bilangan manusia itu sendiri. Macam kitalah, semua orang mendakwa hanya dirinya betul. Tidakkah kau fikir kita semua ini telah disesatkan oleh percaturan para politikus yang berjiwa luhur, tapi jahil lagi opportunis, sebahagiannya pula politikus yang lahap dan munafik. Mereka telah membuka pintu-pintu fitnah dalam masyarakat. Argh,aku sarankan boleh pergi jahanam saja dengan para politikus!”           
            Kawanku itu kembali asyik merenungi cahaya.
            Aku berkhayal-khayal...
            Kemudian dia membebel-bebel semula. Takwilnya, semacam mahu mengajar aku dan seluruh isi dunia ini, “ada golongan yang fikir bahawa kuasa adalah benda ajaib yang boleh membuat apa saja.” Akan tetapi, dia mencemuh puak ini, “mereka semua akan jahanam dan menjahanamkan umat manusia. Mereka bergelumang dengan najis... di sinilah kita perlukan cahaya agar terang seluruh mukabumi ini. Semua parti politik itu akhirnya akan mampus kekenyangan menelan pembohongan masing-masing. Kau tahu?”
            Oh, Tuhan... nampaknya, dalam imaginasinya, dia seperti berfikir dia seorang rausyanfikr agung. Entah idealogi si pemikir sasau mana dikutipnya. Aku tidak faham sangat butir bicaranya yang berterabur, semacam abracadabra.
            “Aku bosan! Apabila kita inginkan kuasa, kita sudah gila! Politik adalah perebutan kuasa, kerana mereka fikir kuasa adalah syarat memulai sesuatu. Mereka semacam golongan yang devian, homoseks, lesbian, menyelewengi tabie. Kuasa adalah akhir perjuangan... ia bersifat automatik. Nyalakan api, nescaya akan wujud cahaya.”
            Akan tetapi, aku masih berfikir kuasa politik adalah prasyarat penting untuk mengubah sistem dunia.
            “Jika kita tak ada kuasa, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kita tidak dapat menyebarkan cahaya. Kita akan dihalang menyebarkan cahaya.”
            Dia membentak padaku, “pergi jahanamlah kuasa. Oh, kamu budak kecil berhingus! Ambillah kayu itu, dan cubalah belasah aku, tapi aku takkan mengubah pendapatku ini walaupun seinci, hanya kerana takutkan pukulanmu. Atau aku menarik balik pendapatku, tapi aku menjadi munafik.”
            “Apa maksudmu?”
            “Hei bodoh, kau tidak nampakkah logik pendapatku? Kekuasaan tidak boleh membuat apa-apa, kecuali ke atas jasad kita. Yang utama, keyakinan hati kita. Jika kau menerima cahaya sebenar-benar cahaya, adakah aku masih perlukan kuasa fizikal untuk memaksamu? Cahaya yang membuat kita tidak mahu menipu diri sendiri. Untuk menzahirkan cahaya, maksudku kebenaran, bukan dengan kuasa. Kuasa hanya akan menjahanamkan kebenaran. Kuasa, dengan cara parti politik, membuat mereka hanya akan mengejar kemenangan, bukan lagi kebenaran... mereka akan menghalalkan segala cara untuk mencapai kekuasaan. Mereka fikir kuasa boleh menegakkan kebenaran. Mereka mahukan cahaya untuk menghidupkan api, tetapi cahaya tidak akan wujud jika tidak dinyalakan api. Argh, meskipun niat mereka luhur! Mereka taksub terhadap seorang dua tokoh mereka yang zahirnya suci.”
            Aku menimbang-nimbang pendapatnya.
            “Ini tamsilannya. Kau penagih marijuana... kemudian suatu kuasa menghalang kamu mencanduinya, bukankah kamu akan memberontak! Sebaliknya jika kamu dihadapkan segunung marijuana, tapi cahaya dalam hatimu yang tidak membuatmu butakan kebenaran, pasti kamu tidak akan mencanduinya. Aku tidak maksudkan marijuana tidak perlu dihapuskan, atau alam ini tidak perlu diubah. Nyalakan api, nescaya dunia ini akan terang-benderang. Itu janji Tuhan. Gigitlah janji-janji-Nya dengan gigi geraham.”
            “Kalau begitu, siapa akan memerintah? Kau mahu dunia ini menjadi alam anarki?”
            “Hei, jangan sempitkan fikiranmu, pemimpin adalah pemimpin, politikus adalah politikus. Kita sudah lama berfikir secara kuno, terikut-ikut dengan demokrasi di Barat. Jika kita berfikir politikus itu mesti menjadi pemimpin, ia akan menjadi begitu. Jangan masuk dalam tong najis, jika kamu mahu mencucinya. Hah, hah, hah, lucu kalimat ini, bukan? Kalimat ini pernah disebut-sebut oleh seorang politikus, tapi dia sendiri sudah lama terperangkap dalam tong najis!”
            Suasana meriah di majlis itu masih berlangsung. Ia semakin rancak. Bunyi-bunyian bergemuruh. Oh, persis cerita dongeng!
            “Cahaya... untuk menerangi hati yang gelap, yang jahil, yang durjana, kita perlukan cahaya, kalau tidak kita semua akan terus berlanggaran. Kita harus mengikuti jejak  tokoh agung itu tatkala beliau menyeru kepada kebenaran di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Apakah tokoh agung itu mengutamakan kekuasaan? Tidakkah kuasa akan datang secara automatik jika agama dihidupkan, seperti wujudnya cahaya jika unggun api dihidupkan? Agama adalah penyatu, bukan pemecah-belah. Beliau menguasai hati masyarakatnya dengan hikmah, bukan dengan kuasa politik. Beliau menghidupkan sumber cahaya, menghidupkan agama dalam hati masyarakat. Kuasa politik adalah kuasa palsu. Mengapakah tokoh itu tidak memohon kepada Tuhannya agar beliau diberi kuasa untuk memerintah masyarakatnya? Kenapa? Kerana masyarakat yang dipaksa menerima sesuatu ajaran semestiya tidak redha, lambat-laun mereka pasti akan bangun memberontak kerana butakan cahaya. Ia terjadi seperti kini. Berjuanglah dengan kaedah yang suci, bukan hanya dengan matlamat yang suci, kemudian serahkanlah kepada Tuhan. Jalankanlah... meskipun hasilnya hanya boleh dinikmati generasi mendatang. Kaedah, juga matlamat, bukan hasil, yang harus mendasari perjuangan. Berapa ramai tokoh agung yang gagal mencapai misinya? Mereka dimusuhi kaumnya sendiri dan gagal. Apa jadi dengan Yahya, Isa, Nuh, Musa? Apakah Tuhan telah menghumbankan mereka ke dalam jurang neraka? Mereka telah melalui jalan yang benar, itu yang penting. Nyalakanlah api, nescaya kelkatu-kelkatu akan datang mengelilingi cahayanya, tidak kira dari busut manapun.”
            Dia terbatuk-batuk, mengeluarkan kahak pekat.
            Dia terus membebel-bebel... macam-macam, “mereka mahukan kekuasaan untuk menegakkan kebenaran, sedangkan kebenaran itu seperti cahaya... jika tidak dihidupkan api, tidak akan wujud cahaya... api itu yang harus dinyalakan terlebih dahulu agar cahayanya dapat menghalau kegelapan...”
            Sambungnya lagi, “kau fikir di zaman mana kita terdampar ini? Zaman edan, zaman fitnah. Kita kembali terjerumus ke dalam lubang gelap jahiliyah. Mereka bercita-cita ingin menegakkan pemerintahan yang diredhai kerajaan langit di mukabumi ini, tapi jalannya menyesatkan. Mereka akan menimpakan kerosakan dan kezaliman yang lebih besar kepada semua. Pada akhir zaman, akan wujud puak-puak yang mendakwa hanya mereka betul. Cahayalah yang menyatukan seluruh kelkatu. Agamalah yang menyatukan ummah, bukan politik. Politik hanya sekitar negara, bukan meliputi seluruh dunia.”
            Dia berhenti membebel seketika.
            Tiba-tiba seluruh kota ini bergelap, blackout. Oh, macam magik! Suasana hening sejenak, sesaat...
            Kemudian, mulalah kedengaran bunyi jerit-pikau yang menyeluruh menguasai kota ini. Pesta-pora itu benar-benar gegak-gempita kini. Mereka kini seolah-olah mabuk semuanya.
            Mereka menjerit, mereka menangis, mereka memekik, mereka melaung, mereka merintih... perempuan-perempuannya pula persis dirasuk histeria...
            “Kau raba punggung isteri aku... kau bantai kepala aku... aku tak pukul kepala kamu, kenapa kau tumbuk muka aku...? hoi, siapa pijak kaki aku...? mana anak aku...? Hoi, siapa seluk saku seluar aku ‘ni...? Hei, lari ke tepilah, aku mahu keluar... mana lampu, siapa ada lilin, siapa ada lighter?”
            Keriuhannya merebak ke jalan-jalan raya. Batu, kayu, pisau pemotong daging, dan entah apa-apa lagi berterbangan di udara. Mereka bergaduh sesama sendiri dalam gelap. Mereka saling berjuang. Mereka kini keluar berbondong-bondong dalam keadaan teraba-raba, merawak-rawak, ke jalan-jalan raya dan saling berlanggaran, berjatuhan, lalu dipijak, lalu meraung kesakitan.
            Kami mendengar kekalutan itu... mereka merempuh apa saja... mereka kini hanya memikirkan nyawa. Bunyi cermin kereta pecah berderai. Macam-macam lagi, macamlah akan kiamat dunia ini. Seluruh isi kota ini sedang dijangkiti wabak panik yang dahsyat.
            Kaca bangunan di belakang sudut kami berdiri pecah berderai tiba-tiba. Kini seluruh kota seolah-olah dihempap bongkah-bongkah batu dari langit. Dalam kebingungan itu, seketul batu keras singgah di dahiku, mujurlah batu yang kecil. Dahiku bereceran darah. Aku mengaduh kesakitan. Aku menyumpah-nyumpah. Aku mencapai apa saja, terpegang seketul batu padu... aku membalingnya, terdengarlah jeritan kesakitan. Aku ketawa berdekah-dekah.
            Sebaliknya, kawanku ini masih lagi membebelkan ideologi-ideologi utopianya. Dia seolah-olah tidak mahu mempedulikan apa yang sedang terjadi.
            Aku pun menggoncang-goncangkan bahunya, “bolehkah jampi-jampi falsafahmu itu menahan balingan batu-batu ini? Jika boleh, selamatkanlah dunia ini.”
            Oh, Tuhan... balingan objek-objek keras berterbangan di udara. Apa lagi, kami pun terpaksa lari bersembunyi, memerosokkan tubuh ke dalam longkang busuk yang becak dan berair hanyir, lalu bertempiaranlah tikus-tikus mondok keluar. Busuknya bukan main-main.

 Mingguan Malaysia, 25 mac 2012


Tuesday, 10 April 2012

JAWAPAN KEPADA NIK MOHAMAD ABDUH

Renungan buat mereka yang berkata, "Saya benci politik. Politik kotor, memecah belahkan, saling memfitnah dan terlalu sukar dipercayai janji orang-orang politik. Saya mahu menjaga ugama saya," mari berfikir sejenak;

1) Adakah dengan menjauhi politik, anda terjamin jadi bersih? Tidakkah dunia ini seluruh penjurunya bercampur-baur antara baik dan buruk dan kita sendirilah yang menentukan untuk kita?
JAWAB: Tidakkah politik nabi itu dakwah, tabligh, tarbiah ke atas hati, usaha-usaha meningkatkan keimanan? Jangan sempitkan politik dengan demokrasi anjuran Yahudi yang berkehendak kepada perpecahan sesama Islam untuk memudahkan mereka menguasai kita. Adakah politik parti hari ini membersihkan kita dan meningkatkan keimanan kita semua?

2) Adakah orang-orang mulia seperti para ulama dan mujahidin sepanjang zaman yang terlibat dalam politik peringkat tertinggi telah menjadi kotor kerananya?
JAWAB: Ya, lihat tuan guru Nik Abdul Aziz. Berapa banyak fitnah telah terpalit kerana politik? Beliau telah mencampakkan diri ke dalam fitnah dan kemusnahan, telah menyebabkan hukum hudud, Islam dan pelbagai lagi dihina di tangan kafir, munafik, dan fasik.

3) Bagaimana anda menakrifkan politik baginda al Rasul صلى الله عليه وسلم yang memuncak sehingga terpaksa berperang dengan senjata?
JAWAB: Nabi berperang selepas dihalang menyebar dakwah dan musuhnya kafir, bukannya berperang dan berselisih sesama Islam. Bahkan orang-orang munafik pun nabi saw biarkan, takut timbul fitnah dan kekacauan yang membawa mudarat pada masyarakat. Nabi saw menakluk negara kuffar pun kerana mengelak ditakluk golongan kuffar yang selalu melakukan onar di perbatasan.

4) Jika orang yang 'bersih' seperti anda menjauhi politik, apa hukum membiarkan dunia politik untuk dikuasai orang-orang yang kotor?
JAWAB: Orang-orang yang ‘bersih’ seperti saudara katakan itu, bukanlah menjauhi politik. Mereka menjauhi parti dalam demokrasi. Mereka mengamalkan politik nabi, iaitu tabligh, dakwah, tarbiah. Kerana apa yang rosak adalah hati manusia, dan di situlah punca kepada segala kemungkaran. Apabila kebaikan telah merata, jatuhlah kebathilan. Itulah politik yang dibawakan Nabi saw. Ironinya, kaedah politik nabi ini ditiru dan digunapakai oleh Nasrani dan Yahudi melalui dakwah halus mereka seperti filem, hiburan, gaya hidup, makanan, pakaian dan sebagainya hingga kita semua masuk ke lubang biawak. Mereka tidak pula merebut secara langsung kekuasaan negara-negara Islam (kecuali Palestine).

5) Jika hak anda dicabuli oleh orang politik, seperti dibekukan kenaikan pangkat semata-mata kerana enggan menyokong orang politik, adakah satu kemuliaan dan 'kebersihan' jika anda hanya diam membisu atau menolak orang yang datang membantu mempertahankan hak anda itu?
JAWAB: Islam mengajar kita sabar, lebih-lebih lagi jika kita melawan kita akan lebih dianiayai dan menjadikan penzalim lebih zalim. Dan apakah pertolongan itu menjadikan keadaan yang lebih baik? Allah swt adalah sebaik-baik penolong.

6) Adakah untuk anda mencampuri politik, ia memerlukan sehingga tubuh anda dan keluarga sendiri dianiayai dulu oleh orang politik, atau cukup dengan melihat saudara seagama yang lain dianiaya. Adakah anda mahu terhantuk dulu baru tengadah?
JAWAB: Adakah politik parti hari ini menjadikan keadaan lebih baik? Adakah kerajaan menjadi lebih baik, atau adakah anda sendiri menjadi lebih baik?

7) Adakah anda melihat agama Islam mengajar agar dijauhi politik dan orang politik?
JAWAB: Kita diajar ikut sunnah nabi, bukan ikut sunnah Yahudi dan Nasrani. Nabi sudah mengajar bagaimana kaedah untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini, dengan tabligh, dakwah, tarbiah, kemudian senjata jika dihalang.Tetapi tidak berperang sesama Islam. Apa yang parti politik lakukan hari ini akhirnya akan membenarkan apa yang pernah dikatakan baginda Nabi saw bahawa akan terjadi peristiwa umat Islam yang akan berbunuhan sesama sendiri kerana mendakwa puak mereka lebih benar daripada puak yang lain, dan mereka semua mati dalam keadaan tidak beriman. Seruan-seruan parti yang berbau assabiyah inilah yang akan membawa kepada perang saudara.

8) Adakah anda melihat seorang nabi bukan ahli politik? Dengan maksud, nabi diutuskan untuk menjauhkan umat daripada politik?
JAWAB: Nabi saw adalah ahli politik, tetapi bukanlah politikus sekular yang berebut-rebut mencalonkan diri menjadi pemimpin. Kenapa mesti disempitkan politik Islam itu dengan parti-parti dalam demokrasi? Celakalah sesiapa yang mencalonkan dirinya menjadi pemimpin, malah hingga sanggup mencela lawan sesama Islam.

9) Apakah pendapat anda untuk menjatuhkan ahli politik yang jahat tanpa menyentuh politik?
JAWAB: Hidupkanlah usaha-usaha agama dalam kalangan rakyat bawahan, maka insyaAllah orang-orang di atas atau pemerintah, Allah swt akan ubah atau tukarkan. Ingatlah janji-janji Allah, “’wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu (agama) Allah, maka Allah akan membantu kamu, dan mengukuhkan kaki-kaki kamu”; Muhammad 47: 7). Seperti juga untuk mendapatkan cahaya (agama), hidupkanlah api (usaha-usaha agama). Agama itu syumul.  Jika kita mengusahakannya, akan datang kepada kita pemerintahan, sosial, ekonomi dan sebagainya daripada bantuan Allah swt. Bukannya beriman kepada demokrasi sekular

10) Adakah anda menemui dalil atau nas yang membenarkan anda lari dari tanggungjawab menentang kemungkaran politik?
JAWAB: Untuk menentang kemungkaran, adalah mengajak orang ke arah kebaikan, ke arah agama. Itulah politik nabi. Kita boleh menahan dan mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran, tetapi selagi dia tidak dibersihkan hatinya, tidak didakwah iman, dia akan tetap melakukan kemungkaran jika ada peluang. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Kita boleh menadah baldi untuk menampung air yang tumpah dari paip bocor, tetapi selagi paip tidak dibaiki, selagi itulah kita akan terus menadah baldi. Jika kita inginkan cahaya, maka usahakanlah menghidupkan unggun api, iaitu usaha-usaha agama untuk mendapatkan negara yang mendaulatkan agama.
Adakah kita mahu duduk dalam api untuk memadamkan api?    
Dan saya katakan, taatlah pada pemerintah (sekalipun pemerintah yang zalim), kerana apa-apapun alasan perpecahan umat, ia akan memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam sebenar, dan dalam masa ketaatan itu, lakukan usaha-usaha agama agar pertolongan Tuhan yang tidak jauh itu sampai.


# soalan ini diambil dari page Nik Mohamad Abduh, timbalan dewan pemuda Pas, bertarikh 8 April 2012

Wednesday, 7 March 2012

JIWA & RAGA


DAN janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk.”  Surah al-Israa’: ayat 32

DARI mata jatuh ke hati, ke kalbu, ke sukma... kemudian jatuh terjunam ke dalam gaung gelap...
Ini sebuah lagi versi pengembaraan cinta selepas episod Cinta @ Marijuana. Sebuah riwayat cinta yang asyik-maksyuk, dialami spesies manusia yang bodoh sejak zaman-berzaman. Ini disorot dari sudut falsafah dan psikologi, dan penulis merayu pihak bertanggungjawab berusaha mewartakan bahawa bercinta itu suatu kesalahan moral yang patut dilarang sekeras-kerasnya. Gazetkan saja pemabuk cinta itu kesalahannya seberat pelamun marijuana. Lebih psikologikal, kirimlah notis kepada masyarakat, bahawa cinta itu candu yang lebih merosakkan daripada marijuana.

(1). EPISODNYA dinaratifkan begini... kali pertama pasangan sensasi itu terserempak di sebuah kaki lima bangunan kedai runcit sebuah pecan harian rakyat kemacar.
Mereka berpapasan, lalu saling berpaling ke belakang, dan entah bagaimana mereka boleh bertatapan mata... satu saat, dua saat..., lalu melarat sepuluh saat lamanya. Kemudian, perlahan-lahan, si lelaki mengisyaratkan cintanya lewat satu lirikan mata yang romantik dan menggoda. Ia satu lirikan yang sungguh mendebarkan jantung.
Bukankah sinar mata adalah suatu kuasa sihir yang ampuh dan berbisa?
Eh, dibalas pula si gadis lewat senyuman kecil. Ia senyuman unik, yang peri manisnya tidak dapat ditafsirkan mana-mana kamus pun.
Dan mereka berkenalan... bertukar-tukar nombor telefon, mengharap semoga ini bukan pertemuan terakhir.
‘Kita pasti akan jumpa lagi, manisku.’
‘Ya?’
Oh, semalaman itu si gadis tidak dapat tidur lena. Seekor hantu cinta telah sesat dalam otaknya.
Mereka bertemu lagi. Kini mereka berpimpinan tangan. Mereka berdua kelihatan romantik. Agaknya seperti sepasang kelinci putih di tepi kolam, kata penyair sasau kita itu. Akan tetapi, ia tidak terjadi semudah itu. Pada mulanya si lelaki gementar kala mahu menyentuhi tangan si gadis. Si gadis menepis tangan si lelaki, kononnya untuk menzahirkan dirinya masih bermaruah. Lagi pula dia malu untuk membiarkan tangannya disentuh sebegitu mudah; itu hanya menunjukkan dirinya murahan, meskipun dia sangat mendambakannya. Akhirnya dia memegang tangan si gadis dan menciumnya. Gerakannya sekelip mata. Oh, suatu tindakan bijak yang disedari si lelaki sendiri!
Si lelaki hampir setiap hari melafazkan kata-kata cumbuan. Kata-kata yang manisnya bak madu. Lantaran jiwa si gadis kesepian, dan dia mulai tumbuh sebagai anak gadis yang normal nalurinya, ingin dibelai, disayangi dan menyayangi seseorang yang berbeza jantina, dia mempercayai kata-kata si lelaki. Hari-hari si gadis menerima pujian, yang... oh, penuh campuran penipuan, atau pujian yang melampau-lampau bombastiknya.
Kan perempuan macam kucing, gemar dibelai-belai?
Puja si lelaki, ‘pipimu macam pauh dilayang, matamu bak bintang kejora, hidungmu seperti seludang mayang, keningmu persis taji ayam laga, bibirmu ibarat delima merekah, lehermu tamsil...’
Entah dari kamus klasik mana si lelaki itu menciplaknya. Kini si gadis sedang leka bermain angan-angan. Dia kini sedang asyik dilambung ombak cinta yang tinggi menggunung.
Apa yang sudah terjadi kepada dirinya?
Oh, dia sudah berpindah ke dunia lain bersama si lelaki. Dia kini hidup dalam dunia khayali (untuk perhatian: dunia khayali ini cuma boleh dilawati spesies yang menagih cinta, melamun marijuana, atau yang mengalami sejenis gangguan mental). Jiwanya tidak lagi di sini. Ini macam sesetengah sasterawan di negara kita, bergentayangan di angkasaraya. Dia kini seorang insan perindu. Setiap saat dia asyik teringatkan si lelaki sahaja. Semua tingkahlakunya serba tidak kena.
Sebetulnya si lelaki seseorang yang tidak begitu tampan. Akan tetapi, peduli apa dengan ketampanan, katanya! Berapa ramai wanita yang berkahwin kerana ketampanan? Dia amat mempercayai begitu, dan itulah kekuatan atau inspirasinya. Tak perlu ubat guna-guna, ajunya lagi. Kelebihannya pula, dia pandai menggubah kata-kata pujian yang bombastik, macamlah juga sesetengah sasterawan. Lebih istimewa, kenal Sigmund Freud? Dia meniru Freud, menjadi pembicara yang baik dengan kurang bercakap, hanya melatih dirinya banyak mendengar, melayani dan menghargai apa jua luahan kata-kata si gadis.
Ironinya, si gadis seorang perempuan yang cantik-jelita-anggun. Bangun tubuhnya sederhana, berkulit cerah, bersuara manja-lunak, dan matanya, oh, cantik sungguh, sukar diperikan sekali, agaknya macam Bintang Timur. Bolehlah diimaginasikan peri dirinya secantik puteri kayangan dalam otak orang-orang Melayu yang penuh unsur-unsur feudal dan tahyul itu. Nyatanya, menurut persepsi rata-riti lelaki lain, dia memiliki suatu tarikan magis yang tersendiri.
Sebenarnya dia selalu diusik pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Bukannya dia tidak mahu menerima lamaran salah seorang pelajar lelaki, yang memang kacak dan popular di sekolahnya itu, yang sudah lama tergila-gilakannya. Akan tetapi, dia tidak begitu meyakini cinta pelajar itu. Sebaliknya, pelajar itu juga masih bodoh, pengalaman cintanya sifar, dan dia nampaknya tidak begitu ikhlas, atau bersungguh-sungguh mahu memiliki dirinya. Ini biasa, seperti wanita lain, si gadis perlu diyakinkan bahawa dirinya memang dicintai sepenuh hati!
Apabila si lelaki dan si gadis bertemu, mereka tidak mahu berbicara tentang hal-hal yang selain daripada kata-kata sinonim ini... cinta, kasih, saying, rindu dan entah apa-apa lagilah, seolah-olah hanya benda itulah yang ada di atas mukabumi yang terbentang saujana luas ini.
Malam-malam si gadis dilanda kegelisahan... dia serba salah, dan tidak menentu, tidak ketahuan rasa jadinya. Sesekali dia berasa khuatir dan cemburu. Sesekali dia merindui si lelaki..., apalah agaknya yang sedang dilakukannya! Pusat pemikirannya satu... si lelaki. Sekiranya dia terpandang sesuatu, misalnya warna biru, dia akan segera mengaitkannya dengan si lelaki, bahawa si lelaki pernah memakai baju yang berwarna seperti itu. Dia menjadi mudah tersentuh dan sensitif orangnya. Dia akan merengus apabila lamunan asyiknya diganggu.
Dan dia kerap merajuk, lalu mohon dipujuk dalam banyak hal, terutamanya dalam soal yang sangat remeh-temeh. Misalnya, jika si lelaki datang lewat apabila mereka berjanji. Sebenarnya semua ini hanya untuk memastikan sama ada si lelaki menyayanginya atau tidak, dan demi memuaskan hatinya. Segala-galanya ini demi perhatian dan kasih-sayang, yang kononnya hampir pupus dalam dunia yang tandus dan kejam ini. Dan si lelaki memang seorang yang bijak dalam lengkok-lurus psyche wanita yang lemah dan bertulang rusuk bengkok itu. Dia selalu mengelak berdusta, kerana dia sedar perempuan memang sensitif jika diketahui dirinya dibohongi.
Tentu sedikit tidak logik pada fikiran orang dewasa, jika dijelaskan bahawa si gadis mengharapkan si lelaki itu bakal suaminya. Kalau boleh, dia mahu dikahwini segera, dan pedulikan saja apa akan jadi kemudian. Apa-apapun, semua ini rasional dan masih lagi masuk akal. Anda harus diperingatkan, ini cinta pertama si gadis.
Bukankah seseorang itu amat mempercayai kekasihnya saat-saat pertama kenal cinta?
Anda sudah lupa, anda juga demikian suatu masa dahulu...
Setiap hari si lelaki akan menghubungi si gadis. Dia akan mengucapkan kata-kata yang manis, tapi ini bukan bermakna dia tidak ikhlas apabila memuji. Ini ikhlas, dan tercetus dari kesedarannya bahawa si gadis memang cantik di matanya yang rambang itu, dan keseksian si gadis menyeksa batinnya selalu. Cuma kata-kata itu terlalu bombastik. Argh pujian, ramai orang alergik dengannya! Kita tahu sesuatu pujian itu dusta, tetapi kita tetap cenderung mahu mempercayainya, kerana pujian apabila dilayani, ia memang mengasyikkan.
Tatkala keluar bersama, mereka akan menghabiskan waktu dengan plot yang sama. Satu lagi, apabila keluar bersama, si gadis yang kerapkali menanggung semua kos perbelanjaan, makan-minum, tiket wayang, malah rokok si lelaki, meskipun selama ini dia agak berkira dalam soal wang. Adiknya meminta belikan coklat pun, dia berkira; kawan pinjam duit sepuluh sen pun, dia akan minta tanpa segan. Kan wanita spesies yang cermat dan cenderung kedekut? Akan tetapi, demi si lelaki, demi cinta, dia tidak mengambil peduli semua itu. Yang penting dia dapat membahagiakan si lelaki. Maksudnya, dia ingin berkorban dengan memahami masalah kemelesetan pengangguran, apatah lagi dia anak seorang yang berada, dan negara pula dilanda kegawatan ekonomi. Dan dia bangga berbuat begitu.
Tentunya apabila selalu keluar bersama sesuatu yang tidak mahu disangkakan akan terjadi.
Mereka terserempak dengan orang tua masing-masing?
Tidak!
Ia sesuatu yang lain.
Yang sebenarnya, mereka telahpun mengisytiharkan diri mereka satu. Sehati sejiwa sinonimnya satu. Maksudnya, cinta selalunya takkan sampai ke tingkat yang teratas jika tidak ada hubungan lahiriah, iaitu cinta yang dirasuki setan!
Jiwa tidak lengkap tanpa raganya, dan jiwa yang kesepian akan merayau-rayau mencari raganya.
Mula-mula tangan si gadis, lepas itu rambut, lepas itu pipi, lepas itu leher, lepas itu bibir, lepas itu buah dada, dan akhirnya... (censored, anda jangan cuba bayangkannya; peri kejinya bayangkan saja sekelamin anjing berjimak).
Si gadis benar-benar berhijrah ke dunia khayali kini. Lihatlah! Dia kini terapung-apungan di balik awan-gemawan yang biru lazuardi. Dia fana seluruhnya. Matanya terpejam rapat.
Akhirnya dia kembali jatuh terhempas ke bumi, ke tanah, lalu terbukalah kelopak matanya.
‘Di mana kita, sayang?’
Si gadis menangis teresak-esak kala menyedari dirinya tidak lagi bernama gadis dalam kamus yang satu lagi itu. Sekarang si gadis bernama si perempuan, meskipun si lelaki tetap bernama si lelaki.
Pelik, bukan? (Inilah agaknya yang diperjuangkan kaum penulis feminisme yang cetek akal itu).
Dia menangis tersedu-sedan, dan menyesal sungguh. Tangannya memukul-mukul dada si lelaki, sambil mengingati wajah ibu dan keluarganya. Inilah, fikirnya, kebenaran pesan gurunya, ‘jangan hampiri cinta. Ia umpama api yang akan membakar seluruh jiwa!’
Akan tetapi, kesedarannya hanya sementara belaka. Si lelaki memujuknya usah cemas usah panik. Dia akan bertanggungjawab sepenuhnya.
‘Kita akan berkahwin, sayang.’
‘Bila?’
‘Nantilah, jika ekonomi negara sudah pulih nanti...’
Oh, asyik-asyik ekonomi negara juga yang dipersalahkan.
Si lelaki memeluknya erat. Si perempuan kembali berasa selamat dan aman dalam dakapan si lelaki. Ini pengalaman pertama mereka, malam pertama pasangan pengantin haram. Babak haram ini berulang lagi pada malam itu juga. Dan si perempuan mulai mengerti, inilah yang sebenarnya digelar cinta yang sebenar-benar cinta. Inilah madu kehidupan yang sedap paling tak terkata.
Beberapa hari kemudian mereka bertemu lagi, dan berulang lagi babak-babak itu... si perempuan hanyut dalam belaian dan cumbuan si lelaki.
Ini berterusan pada hari-hari berikutnya. Si perempuan tidak lagi kekok atau canggung diperlakukan sedemikian, meskipun masih ada sisa-sisa perasaan malu dan bersalah dalam dirinya. Argh, apabila luput perasaan malu dalam diri, perempuan adalah separuh setan! Kini dia sendiri pula yang lebih-lebih menagihinya. Dia akan faham dan amat mengerti apabila si lelaki mengajaknya bertemu di sekian tempat pada sekian jam.
Maksudnya satu... hubungan itu.
Jika mereka tidak bertemu agak lama, si perempuan akan resah-gelisah sepanjang malam, dan melarat ke awal pagi. Dia semacam penagih marijuana yang kronik, dan setiap kecanduan adalah memudaratkan diri, kata Carl Jung, tak kira apa-apapun. Kini dia menjadi moody dan mudah marah-marah.
Suatu hari lain si perempuan keluar ke pekan bersama ibunya. Maaf, jangan ketawakan saya, apa yang akan saya ceritakan ini, macam rentetan babak dalam filem Melayu kita. Si perempuan ternampak sesuatu... dia terlihat si lelaki sedang memimpin tangan seorang gadis lain.
Betulkah? Dia seakan-akan tidak percaya!
Tidak, tidak, tidak, jerit batinnya!
Riak wajahnya bertukar pucat-pasi, dan segala-galanya seperti mimpi yang dahsyat, ganas dan sarat tahyul. Dia pulang dan menangis sepanjang malam sepanjang siang. Dia menangis tersedu-sedu di dalam biliknya tanpa sesiapa mempedulikannya. Dia terfikir, adakah segala-galanya ini mimpi? Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga dalam mimpinya, dan kali ini dia menyumpah-seranah si lelaki...
‘Jantan keparat, bangsat!’
Berbalik kepada si lelaki, dia sebenarnya tidak berniat jahat kepada si perempuan pada awalnya. Cintanya sungguh tulus, cuma dia mulai berubah fikiran kala dia telah sampai ke kemuncak itu. Fikirnya, perempuan semurah itu, apakah layak dijadikan isteri?
Jadi, dia menganggap si perempuan tidak lagi istimewa, dan tidak lagi menjadi rahsia. Sesuatu itu bernilai ketika ia masih diselaputi dara... opps, bukan dara..., rahsia. Bukankah andai emas kedapatan seperti batu di jalanan, ia tidak bernilai apa-apa?
Itu biasa, ramai orang begitu, bukan?
Sebetulnya, u-topia kebanyakan lelaki adalah gadis yang pandai menjaga mahkota kehormatan dirinya, meskipun mereka sendiri sentiasa mahu merosakkannya. Cinta... ia sebenarnya macam sejenis permainan... kita ingin mendapatkannya, dan sedia mempertaruhkan apa-apa saja, tetapi apabila kita memperolehinya, ia sudah tidak bererti apa-apa lagi.
Tidakkah cinta itu pelik? Cinta memang gila, bukan?
Bayangkan jika si perempuan tidak membenarkannya berbuat demikian... apakah cintanya tetap utuh dan teguh?
Persetankan saja si lelaki itu! Biarkan dia mengejar kebahagiaannya yang tersasar itu. Biarkan dia mabuk sendiri. Biarkan dia sesat di dalam rimbaraya cinta. Biarkan dia sasau sendiri. Kita lupakan saja dia.
Sekarang kita kembali memperkatakan si perempuan tadi... di sini, saya si pencatat cerita ini, ingin bertanya anda...
‘Apa perasaan anda jika anda si perempuan malang itu?’
Pedulikanlah pandangan anda! Yang pasti, segala-galanya itu telah musnah dalam hidup si perempuan. Tidak ada gunanya lagi dia menangis, meskipun airmatanya selautan darah, tidak ada ertinya lagi semua itu.
Dipendekkan cerita, suatu hari yang lain, si perempuan merasai sesuatu yang tidak selesa pada seleranya. Dia berasa loya dan mual. Lantas termuntah-muntah. Ibunya hairan..., ‘apa kena budak ‘ni?’ apakah dia keracunan arsenik macam difitnahkan terjadi kepada Anwar Ibrahim itu?
Tatkala doktor memaklumkan dengan wajah yang berkerut seribu, ‘awak hamil tiga bulan,’ dia amat cemas dan ketakutan. Segala-galanya seperti serangan taufan yang kuat lagi tajam. Ia menghempas dan mengheret pergi kesemuanya entah ke dunia mana. Dia sasau dan hampir pengsan.
Dia bimbang ke manakah akan disembunyikan perutnya yang makin hari makin membesar itu? Dan semenjak hari itu dia tidak lagi kelihatan. Ceritanya akan dijedakan di sini seketika.
Enam bulan berlalu..., suatu peristiwa yang selalu dipaparkan di skrin televisyen berulang lagi. Seorang bayi dijumpai berhampiran tong sampah, dihurungi lalat-lalat hijau...
Anda tentu tidak teragak-agak lagi untuk meneka siapa bapa dan ibu bayi malang itu dalam hubungan cerita ini.
Oh, alangkah mudahnya semua ini terjadi, dan alangkah pelik dan kerasnya penangan cinta!
Saya memohon maaf, ini imaginasi bebas saya, tetapi saya tidak menulis sesuatu dari kekosongan. Cinta itu memang naluri manusia. Ia akan menjadi kosong apabila kita telah sampai di kemuncaknya. Ya, selepas ke kemuncak ke mana lagi harus didaki?
Terjunlah anda ke gaung!
Dan apakah anda sekarang sedang asyik-maksyuk bercinta?

#petikan cerpen dari buku Dongeng Pascamerdeka, Azman Hussin, 2001

SESUATU YANG TIDAK PERNAH KITA LIHAT


MENGAPAKAH dalam setiap perselisihan faham dan pertelagahan masing-masing daripada kita tidak mahu mengalah? Kita mati-matian merasakan kita ini benar, dan ironinya orang yang kita katakan salah itu juga menganggap dirinya benar. Mengapa? Apakah yang terselindung dan terhijab? Apakah yang salah jika kedua-duanya benar? Hakikatnya tidak ada orang yang mahu mengakui dirinya bersalah, malah hati nurani mereka sendiri pun tidak pernah menganggap diri mereka bersalah.
            Lihatlah, Crowley seorang penjenayah kejam di New York, yang membunuh sesiapa saja walaupun dengan alasan yang sangat remeh, telah menulis surat terbuka, lebih kurang begini maksudnya: “Di sebalik kemeja saya ini, tersembunyi jiwa yang lesu, tetapi berhati mulia – yang tidak akan melukakan sesiapa pun.”
            Sesuatu yang sangat tidak logik, malahan kontra. Seseorang yang zalim dan berhati kotor tergamak mengakui dirinya berhati suci. Tetapi, percayalah, apa yang dikatakannya itu benar baginya; lahir dari hati nuraninya, bukannya luahan perasaan ego tidak mahu menerima kekotoran jiwanya.
            Atau kisah penjenayah Chicago, Al-Capone, yang menyatakan, “selama bertahun-tahun saya cuba membahagiakan orang, tetapi sebaliknya apa yang saya terima hanyalah sentiasa diburu.”
            Dan kedua-dua tokoh yang “berhati mulia” itu akhirnya menerima ganjarannya, dihukum bunuh.
            Mengapakah semua ini terjadi?
            Kita adalah antara manusia yang tidak pernah melihat diri kita ini silap atau salah. Jika kita benar-benar melakukan kesilapan, hati nurani kita tetap menyatakan kita benar; ini bukan bermakna kita tidak mahu mengakui kesilapan itu, tetapi kita menggunakan hujah-hujah bela diri dengan mengemukakan pelbagai alasan mewajarkan kesilapan kita itu. Maka minda kita tidak pernah berasa bersalah dan kita tetap berasa kita benar walaupun kita sedar kita melakukan kesalahan.
            Jika kita mencuri dan tertangkap, kita akan menyatakan hujah-hujah yang benar bagi menghalalkan tindakan kita. Kita misalnya akan menyatakan kita ini miskin, dibuang kerja, terdesak dan sebagainya, yang secara psikologinya telah meletakkan diri kita tetap berada di pihak yang benar. Dan ini bukanlah suatu helah atau tipu daya, melainkan hati nurani kita memang merasakan kita ini tidak bersalah pada asasnya. Inilah antara sindrom-sindrom yang dihadapi dua contoh penjenayah tersohor tadi.
            Kita hanya melihat dunia dan semua permasalahan hanya dari sudut pandangan kita  sebagai individu. Kita tidak mahu atau cuba melihat realiti dari kacamata orang lain.
            Bukanlah bermakna kebenaran itu tidak wujud, tetapi kebenaran itu tersorok dari pandangan kita.
            Umpamakan konflik antara pekerja dan majikan. Pekerja akan berfikir mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguntungkan syarikat, dan sepatutnya diberi gaji yang lebih tinggi atau bonus. Sebaliknya majikan berfikir pekerja belum melakukan yang terbaik lagi untuk menguntungkan syarikat dan tidak perlu menuntut apa-apa supaya syarikat terus wujud dan mereka terus dapat bekerja.
            Siapakah yang benar dalam hal ini? Tidak ada sesiapa yang benar, melainkan kita terlebih dahulu menjawab siapa kita, sama ada pekerja atau majikan. Jika kita pekerja, kita akan menyatakan pekerja yang benar; dan jika kita majikan, kita akan menyatakan majikan yang benar. Itulah realitinya. Itulah kebenaran. Kita terperangkap dalam jaring individualiti kita: kitalah yang benar.
            Begitu juga dalam perselisihan faham suami-isteri. Bukan suami atau isteri yang salah, tetapi sama ada kita ini suami atau isteri. Itulah hakikatnya tanpa kita sedari, iaitu di pihak mana kita berada, di pihak itulah kita anggap benar.
            Di sini ada sebuah kisah klasik yang boleh direnungkan, untuk kita sama-sama mengambil tauladan dan iktibar hidup. Mari kita selami mesej cerita sinis Abu Nawas yang penuh hikmah ini.
            Dikatakan pada suatu hari dua orang jiran Abu Nawas telah bergaduh berkenaaan sesuatu perkara yang tidak diketahui. Si jiran yang pertama telah datang menemui Abu Nawas, lalu menceritakan dan mengadukan perihal buruk jiran yang kedua. Abu Nawas hanya mendengar dengan penuh perhatian, lalu berkata, “wahai orang yang budiman, engkau memang benar.”
            Tidak lama kemudian muncul pula jiran yang kedua. Dia juga datang mahu mengadukan pergaduhannya dengan si jiran yang pertama tadi. Seperti jiran pertama, jiran kedua juga bercerita dari sudut pandangannya. Dan seperti biasa, Abu Nawas mendengar dengan teliti, kemudian dia berkata, “wahai orang yang bijaksana, engkau memang orang yang benar.”
            Isteri Abu Nawas yang mendengar kedua-dua pengaduan ini berasa hairan, lalu segera mempersoalkan perkataan Abu Nawas yang membenarkan dakwaan kedua-dua orang jiran yang berselisih faham itu.
            “Abu Nawas, engkau menyatakan kepada kedua-duanya orang tersebut bahawa mereka benar. Ini mustahil. Jika salah seorang daripada mereka itu benar, sudah pasti yang seorang lagi itu pembohong. Atau kedua-duanya tidak benar.”
            Abu Nawas tunduk mendengar kata-kata isterinya, dan dengan penuh yakin, dia berkata, “sayang, ketahuilah.. engkau juga termasuk orang-orang benar.”
            Semua daripada kita akan berasa dirinya benar jika kita hanya melihat dari sudut fikiranya sendiri sebagaimana kisah di atas, dan Abu Nawas juga memberi penghakiman berdasarkan sudut pandangan orang yang bercerita kepadanya.
            Sekiranya kita berlapang dada, cuba memahami sudut pandangan lawan komunikasi kita, dan cuba berfikir dan melihat dari sudut yang berbeza, tidaklah dunia ini terus-terusan dalam konflik dan kegelapan pertikaian dan perbalahan. Marilah kita cuba melihat dan memahami dari sudut kacamata orang lain yang kita anggap tidak benar itu, mungkin ada kebenarannya. Inilah sesuatu yang tidak pernah kita lihat. Mungkinkah kita juga di antara orang yang kita dakwa tidak benar itu? Mungkinkah dalam minda kita juga tersembunyi seorang penjenayah yang mati-matian menyatakan dirinya itu adalah benar? Fikir-fikirkan.