SESUATU YANG TIDAK PERNAH KITA LIHAT


MENGAPAKAH dalam setiap perselisihan faham dan pertelagahan masing-masing daripada kita tidak mahu mengalah? Kita mati-matian merasakan kita ini benar, dan ironinya orang yang kita katakan salah itu juga menganggap dirinya benar. Mengapa? Apakah yang terselindung dan terhijab? Apakah yang salah jika kedua-duanya benar? Hakikatnya tidak ada orang yang mahu mengakui dirinya bersalah, malah hati nurani mereka sendiri pun tidak pernah menganggap diri mereka bersalah.
            Lihatlah, Crowley seorang penjenayah kejam di New York, yang membunuh sesiapa saja walaupun dengan alasan yang sangat remeh, telah menulis surat terbuka, lebih kurang begini maksudnya: “Di sebalik kemeja saya ini, tersembunyi jiwa yang lesu, tetapi berhati mulia – yang tidak akan melukakan sesiapa pun.”
            Sesuatu yang sangat tidak logik, malahan kontra. Seseorang yang zalim dan berhati kotor tergamak mengakui dirinya berhati suci. Tetapi, percayalah, apa yang dikatakannya itu benar baginya; lahir dari hati nuraninya, bukannya luahan perasaan ego tidak mahu menerima kekotoran jiwanya.
            Atau kisah penjenayah Chicago, Al-Capone, yang menyatakan, “selama bertahun-tahun saya cuba membahagiakan orang, tetapi sebaliknya apa yang saya terima hanyalah sentiasa diburu.”
            Dan kedua-dua tokoh yang “berhati mulia” itu akhirnya menerima ganjarannya, dihukum bunuh.
            Mengapakah semua ini terjadi?
            Kita adalah antara manusia yang tidak pernah melihat diri kita ini silap atau salah. Jika kita benar-benar melakukan kesilapan, hati nurani kita tetap menyatakan kita benar; ini bukan bermakna kita tidak mahu mengakui kesilapan itu, tetapi kita menggunakan hujah-hujah bela diri dengan mengemukakan pelbagai alasan mewajarkan kesilapan kita itu. Maka minda kita tidak pernah berasa bersalah dan kita tetap berasa kita benar walaupun kita sedar kita melakukan kesalahan.
            Jika kita mencuri dan tertangkap, kita akan menyatakan hujah-hujah yang benar bagi menghalalkan tindakan kita. Kita misalnya akan menyatakan kita ini miskin, dibuang kerja, terdesak dan sebagainya, yang secara psikologinya telah meletakkan diri kita tetap berada di pihak yang benar. Dan ini bukanlah suatu helah atau tipu daya, melainkan hati nurani kita memang merasakan kita ini tidak bersalah pada asasnya. Inilah antara sindrom-sindrom yang dihadapi dua contoh penjenayah tersohor tadi.
            Kita hanya melihat dunia dan semua permasalahan hanya dari sudut pandangan kita  sebagai individu. Kita tidak mahu atau cuba melihat realiti dari kacamata orang lain.
            Bukanlah bermakna kebenaran itu tidak wujud, tetapi kebenaran itu tersorok dari pandangan kita.
            Umpamakan konflik antara pekerja dan majikan. Pekerja akan berfikir mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguntungkan syarikat, dan sepatutnya diberi gaji yang lebih tinggi atau bonus. Sebaliknya majikan berfikir pekerja belum melakukan yang terbaik lagi untuk menguntungkan syarikat dan tidak perlu menuntut apa-apa supaya syarikat terus wujud dan mereka terus dapat bekerja.
            Siapakah yang benar dalam hal ini? Tidak ada sesiapa yang benar, melainkan kita terlebih dahulu menjawab siapa kita, sama ada pekerja atau majikan. Jika kita pekerja, kita akan menyatakan pekerja yang benar; dan jika kita majikan, kita akan menyatakan majikan yang benar. Itulah realitinya. Itulah kebenaran. Kita terperangkap dalam jaring individualiti kita: kitalah yang benar.
            Begitu juga dalam perselisihan faham suami-isteri. Bukan suami atau isteri yang salah, tetapi sama ada kita ini suami atau isteri. Itulah hakikatnya tanpa kita sedari, iaitu di pihak mana kita berada, di pihak itulah kita anggap benar.
            Di sini ada sebuah kisah klasik yang boleh direnungkan, untuk kita sama-sama mengambil tauladan dan iktibar hidup. Mari kita selami mesej cerita sinis Abu Nawas yang penuh hikmah ini.
            Dikatakan pada suatu hari dua orang jiran Abu Nawas telah bergaduh berkenaaan sesuatu perkara yang tidak diketahui. Si jiran yang pertama telah datang menemui Abu Nawas, lalu menceritakan dan mengadukan perihal buruk jiran yang kedua. Abu Nawas hanya mendengar dengan penuh perhatian, lalu berkata, “wahai orang yang budiman, engkau memang benar.”
            Tidak lama kemudian muncul pula jiran yang kedua. Dia juga datang mahu mengadukan pergaduhannya dengan si jiran yang pertama tadi. Seperti jiran pertama, jiran kedua juga bercerita dari sudut pandangannya. Dan seperti biasa, Abu Nawas mendengar dengan teliti, kemudian dia berkata, “wahai orang yang bijaksana, engkau memang orang yang benar.”
            Isteri Abu Nawas yang mendengar kedua-dua pengaduan ini berasa hairan, lalu segera mempersoalkan perkataan Abu Nawas yang membenarkan dakwaan kedua-dua orang jiran yang berselisih faham itu.
            “Abu Nawas, engkau menyatakan kepada kedua-duanya orang tersebut bahawa mereka benar. Ini mustahil. Jika salah seorang daripada mereka itu benar, sudah pasti yang seorang lagi itu pembohong. Atau kedua-duanya tidak benar.”
            Abu Nawas tunduk mendengar kata-kata isterinya, dan dengan penuh yakin, dia berkata, “sayang, ketahuilah.. engkau juga termasuk orang-orang benar.”
            Semua daripada kita akan berasa dirinya benar jika kita hanya melihat dari sudut fikiranya sendiri sebagaimana kisah di atas, dan Abu Nawas juga memberi penghakiman berdasarkan sudut pandangan orang yang bercerita kepadanya.
            Sekiranya kita berlapang dada, cuba memahami sudut pandangan lawan komunikasi kita, dan cuba berfikir dan melihat dari sudut yang berbeza, tidaklah dunia ini terus-terusan dalam konflik dan kegelapan pertikaian dan perbalahan. Marilah kita cuba melihat dan memahami dari sudut kacamata orang lain yang kita anggap tidak benar itu, mungkin ada kebenarannya. Inilah sesuatu yang tidak pernah kita lihat. Mungkinkah kita juga di antara orang yang kita dakwa tidak benar itu? Mungkinkah dalam minda kita juga tersembunyi seorang penjenayah yang mati-matian menyatakan dirinya itu adalah benar? Fikir-fikirkan.

Comments