CAHAYA


DI sebuah simpang jalan, kami berdua sedang melepak. Kami di atas sebuah tembok konkrit, dikelilingi bangunan-bangunan bergaya mewah yang angkuh dan bodoh seperti seekor lembu kurus kekenyangan. Kami duduk membelakangi sebuah kedai jam yang bankrap. Di sebelah kami sebuah tong sampah yang sarat memuntahkan sebahagian isinya.
            Kawanku itu mulai berdailektika tentang politik, sosial, ekonomi, falsafah, oh macam-macam lagi. Seperti yang kukatakan, aku ini persis Plato dalam hidup Socrates, kepadanya.
Kini aku dapati fikirannya sesat dalam rayauan ideologinya itu. Kami membatukan diri. Kami separuh khayali, merenung jauh ke sana. Sesungguhnya aku sendiri sedang pening  penangan marijuana.
            Nun di sana..., dalam kepulan asap marijuana, aku nampak sebuah pesta-pora sedang berlangsung. Di sana... di dalam sebuah panggung moden ala zaman Yunani kuno.
            Oh, itu panggung sandiwara atau hotel berjuta bintang?
            “Adakah aku bermimpi? Karya agung Homerkah sedang dipersembahkan itu?”
            “Tidak, itu kelihatan seperti khayalan, tapi ia realiti, tapi macam mimpi. Ya, persis hikayat purbakala negara asyik-masyhuk saja.”
            Aku berseru, “oh Tuhan, aku tak bermimpi rupanya? Kalau begitu, mengapa kita tidak pergi saja ke sana? Makan sekenyang-kenyangnya.”
            “Pergilah engkau menjadi ulat-ulat di dalam mangkuk najis...”
            Lampu-lampu berkerdipan, bersilauan dan cantik cahayanya. Ia terpasang di merata-rata sudut kotaraya ini. Ia menyilaukan pandangan. Kata kawanku, negara ini terlalu makmur dan kami adalah sisa-sisa buangan kemakmuran tersebut. Jeda di situ saja bicaranya. Suasana malam ini bingit dan riuh-redam jadinya. Tatkala ini bunyi gonggongan anjing-anjing kurap menyelongkar sampah-sarap tenggelam timbul.
            Semua ini tidak masuk dalam fikiran kawanku. Dia asyik mengagumi kerdipan cahaya lampu-lampu pada bangunan, jalan dan menara gah sedari tadi. Cahaya itu seolah-olah memukaunya. Sorot matanya memandang tidak berkelip.
            “Cahaya... kau nampakkah cahaya-cahaya itu?”
            “Cahaya? Yalah, cahaya, tapi kenapa? Apa yang tak kena dengan cahaya itu?”
            Dia kembali membisu, lalu berjalan. Aku menyaingi langkahnya yang terhuyung-hayang. Kami berjalan menunduk. Kini kami mengitari kaki-kaki lima bangunan. Berselerakan sampah-sarap sepanjang jalan. Lengang sekali malam ini, tiada orang lain. Mereka, kutu-kutu berahak itu, semuanya berambus ke sana, fikirku. Dari kejauhan kedengaran jerit-pekik manusia yang bercampur bunyi muzik agam di majlis itu.
            Aku kemudian berasa loya terfikir analogi ulat tadi. Aku terbayang mangkuk tandas awam dijelabaki najis!
            Angin malam sangat dingin. Ia terasa menusuk-nusuk hingga ke tulang. Bau busuk air longkang pula berleluasa. Aku memeluk tubuh. Aku menyepak apa-apa saja di hadapan, terikut-ikut perangai kawanku.
            “Jika lampu dinyalakan, nescaya kelkatu-kelkatu itu akan berterbangan muncul menghurungi cahayanya. Mengapakah cahaya memikat kelkatu? Adakah ini boleh dipanggil tarikan graviti?”
            Dia memandangiku. Aku membatukan diri.
            Macam-macam pula repeknya, bisikku, biarkanlah dia masuk alam khayal dan akhirnya sasau sendiri.
            Aku memandang ke arah poster-poster mengundi di mana-mana saja. Ia belum diturunkan. Berapa agaknya harga sekeping poster itu! Aku ingin bertanya pada kawanku, tetapi emosinya tidak stabil. Aku fikir lebih baik aku membisu, meskipun aku fikir semua ini sangat membazir, dan aku sendiri tidak puas hati. Aku teringat pada orang tuaku di sana... dan berasa sedih melihat poster-poster itu. Apakah yang sedang dibuat ibuku di kampung? Adakah mereka sudah tidur?
            Tiba-tiba kawanku mengeluh, “alangkah baiknya jika dihulurkan biaya poster itu kepada para fakir-miskin, seperti dilaung-laungkan di mimbar-mimbar masjid selama ini.”
            Aku berjenaka padanya, “kita sepatutnya berfikir untuk menubuhkan sebuah jemaah kebajikan untuk warga kemacar tidak kira dari parti politik manapun.”
            Dia meludah. Dua tiga kali dia meludah.
            Seluruh pemandangan malam ini macam biasa... kelibat kumpulan anjing kurap kelihatan menyayukan hati, pelacur tua bersuaka di lorong-lorong gelap, penagih marijuana terguling di kaki-kaki lima (aku nampak bayang-bayang mereka pada dinding bangunan seolah-olah mereka sedang berterbangan di angkasaraya), longgokan sampah-sarap, dan tikus-tikus kotor bertubuh tambun, yang keluar-masuk longkang... aku mulai dirasuk perasaan menyampah dan meluat. Pada dinding bangunan, ada tulisan-tulisan grafiti yang unik.
            Kami terus merayau-rayau. Nampaknya kami berkeliling pada satu tempat, akhirnya kami berada di atas tembok batu tadi. Beginilah kehidupan, ujar kawanku, kita kembali di sini juga. Aku duduk melunjurkan kaki.
            Kawanku itu masih menyebut-nyebut tentang cahaya.
            “Kau nampak cahaya-cahaya itu? Ia menerangi seluruh dunia ini. Cuba kau bayangkan... apa akan jadi jika tidak wujud setitik cahaya pun di dunia ini. Apa akan jadi, hah?”
            “Gelaplah, dan kita semua akan berlanggaran sesama sendiri,”
            Anehnya, dia tersenyum, dan berkata, “Ya, hakikatnya begitulah, tapi kita tidak memikirkannya. Dunia ini sebenarnya sudah hampir padam cahayanya. Kita hidup seperti haiwan. Kita berlanggaran sesama sendiri. Kita yang bodoh ini adalah korban perlanggaran itu. Dalam gelap begini, jumlah tuhan adalah seramai bilangan manusia itu sendiri. Macam kitalah, semua orang mendakwa hanya dirinya betul. Tidakkah kau fikir kita semua ini telah disesatkan oleh percaturan para politikus yang berjiwa luhur, tapi jahil lagi opportunis, sebahagiannya pula politikus yang lahap dan munafik. Mereka telah membuka pintu-pintu fitnah dalam masyarakat. Argh,aku sarankan boleh pergi jahanam saja dengan para politikus!”           
            Kawanku itu kembali asyik merenungi cahaya.
            Aku berkhayal-khayal...
            Kemudian dia membebel-bebel semula. Takwilnya, semacam mahu mengajar aku dan seluruh isi dunia ini, “ada golongan yang fikir bahawa kuasa adalah benda ajaib yang boleh membuat apa saja.” Akan tetapi, dia mencemuh puak ini, “mereka semua akan jahanam dan menjahanamkan umat manusia. Mereka bergelumang dengan najis... di sinilah kita perlukan cahaya agar terang seluruh mukabumi ini. Semua parti politik itu akhirnya akan mampus kekenyangan menelan pembohongan masing-masing. Kau tahu?”
            Oh, Tuhan... nampaknya, dalam imaginasinya, dia seperti berfikir dia seorang rausyanfikr agung. Entah idealogi si pemikir sasau mana dikutipnya. Aku tidak faham sangat butir bicaranya yang berterabur, semacam abracadabra.
            “Aku bosan! Apabila kita inginkan kuasa, kita sudah gila! Politik adalah perebutan kuasa, kerana mereka fikir kuasa adalah syarat memulai sesuatu. Mereka semacam golongan yang devian, homoseks, lesbian, menyelewengi tabie. Kuasa adalah akhir perjuangan... ia bersifat automatik. Nyalakan api, nescaya akan wujud cahaya.”
            Akan tetapi, aku masih berfikir kuasa politik adalah prasyarat penting untuk mengubah sistem dunia.
            “Jika kita tak ada kuasa, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kita tidak dapat menyebarkan cahaya. Kita akan dihalang menyebarkan cahaya.”
            Dia membentak padaku, “pergi jahanamlah kuasa. Oh, kamu budak kecil berhingus! Ambillah kayu itu, dan cubalah belasah aku, tapi aku takkan mengubah pendapatku ini walaupun seinci, hanya kerana takutkan pukulanmu. Atau aku menarik balik pendapatku, tapi aku menjadi munafik.”
            “Apa maksudmu?”
            “Hei bodoh, kau tidak nampakkah logik pendapatku? Kekuasaan tidak boleh membuat apa-apa, kecuali ke atas jasad kita. Yang utama, keyakinan hati kita. Jika kau menerima cahaya sebenar-benar cahaya, adakah aku masih perlukan kuasa fizikal untuk memaksamu? Cahaya yang membuat kita tidak mahu menipu diri sendiri. Untuk menzahirkan cahaya, maksudku kebenaran, bukan dengan kuasa. Kuasa hanya akan menjahanamkan kebenaran. Kuasa, dengan cara parti politik, membuat mereka hanya akan mengejar kemenangan, bukan lagi kebenaran... mereka akan menghalalkan segala cara untuk mencapai kekuasaan. Mereka fikir kuasa boleh menegakkan kebenaran. Mereka mahukan cahaya untuk menghidupkan api, tetapi cahaya tidak akan wujud jika tidak dinyalakan api. Argh, meskipun niat mereka luhur! Mereka taksub terhadap seorang dua tokoh mereka yang zahirnya suci.”
            Aku menimbang-nimbang pendapatnya.
            “Ini tamsilannya. Kau penagih marijuana... kemudian suatu kuasa menghalang kamu mencanduinya, bukankah kamu akan memberontak! Sebaliknya jika kamu dihadapkan segunung marijuana, tapi cahaya dalam hatimu yang tidak membuatmu butakan kebenaran, pasti kamu tidak akan mencanduinya. Aku tidak maksudkan marijuana tidak perlu dihapuskan, atau alam ini tidak perlu diubah. Nyalakan api, nescaya dunia ini akan terang-benderang. Itu janji Tuhan. Gigitlah janji-janji-Nya dengan gigi geraham.”
            “Kalau begitu, siapa akan memerintah? Kau mahu dunia ini menjadi alam anarki?”
            “Hei, jangan sempitkan fikiranmu, pemimpin adalah pemimpin, politikus adalah politikus. Kita sudah lama berfikir secara kuno, terikut-ikut dengan demokrasi di Barat. Jika kita berfikir politikus itu mesti menjadi pemimpin, ia akan menjadi begitu. Jangan masuk dalam tong najis, jika kamu mahu mencucinya. Hah, hah, hah, lucu kalimat ini, bukan? Kalimat ini pernah disebut-sebut oleh seorang politikus, tapi dia sendiri sudah lama terperangkap dalam tong najis!”
            Suasana meriah di majlis itu masih berlangsung. Ia semakin rancak. Bunyi-bunyian bergemuruh. Oh, persis cerita dongeng!
            “Cahaya... untuk menerangi hati yang gelap, yang jahil, yang durjana, kita perlukan cahaya, kalau tidak kita semua akan terus berlanggaran. Kita harus mengikuti jejak  tokoh agung itu tatkala beliau menyeru kepada kebenaran di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Apakah tokoh agung itu mengutamakan kekuasaan? Tidakkah kuasa akan datang secara automatik jika agama dihidupkan, seperti wujudnya cahaya jika unggun api dihidupkan? Agama adalah penyatu, bukan pemecah-belah. Beliau menguasai hati masyarakatnya dengan hikmah, bukan dengan kuasa politik. Beliau menghidupkan sumber cahaya, menghidupkan agama dalam hati masyarakat. Kuasa politik adalah kuasa palsu. Mengapakah tokoh itu tidak memohon kepada Tuhannya agar beliau diberi kuasa untuk memerintah masyarakatnya? Kenapa? Kerana masyarakat yang dipaksa menerima sesuatu ajaran semestiya tidak redha, lambat-laun mereka pasti akan bangun memberontak kerana butakan cahaya. Ia terjadi seperti kini. Berjuanglah dengan kaedah yang suci, bukan hanya dengan matlamat yang suci, kemudian serahkanlah kepada Tuhan. Jalankanlah... meskipun hasilnya hanya boleh dinikmati generasi mendatang. Kaedah, juga matlamat, bukan hasil, yang harus mendasari perjuangan. Berapa ramai tokoh agung yang gagal mencapai misinya? Mereka dimusuhi kaumnya sendiri dan gagal. Apa jadi dengan Yahya, Isa, Nuh, Musa? Apakah Tuhan telah menghumbankan mereka ke dalam jurang neraka? Mereka telah melalui jalan yang benar, itu yang penting. Nyalakanlah api, nescaya kelkatu-kelkatu akan datang mengelilingi cahayanya, tidak kira dari busut manapun.”
            Dia terbatuk-batuk, mengeluarkan kahak pekat.
            Dia terus membebel-bebel... macam-macam, “mereka mahukan kekuasaan untuk menegakkan kebenaran, sedangkan kebenaran itu seperti cahaya... jika tidak dihidupkan api, tidak akan wujud cahaya... api itu yang harus dinyalakan terlebih dahulu agar cahayanya dapat menghalau kegelapan...”
            Sambungnya lagi, “kau fikir di zaman mana kita terdampar ini? Zaman edan, zaman fitnah. Kita kembali terjerumus ke dalam lubang gelap jahiliyah. Mereka bercita-cita ingin menegakkan pemerintahan yang diredhai kerajaan langit di mukabumi ini, tapi jalannya menyesatkan. Mereka akan menimpakan kerosakan dan kezaliman yang lebih besar kepada semua. Pada akhir zaman, akan wujud puak-puak yang mendakwa hanya mereka betul. Cahayalah yang menyatukan seluruh kelkatu. Agamalah yang menyatukan ummah, bukan politik. Politik hanya sekitar negara, bukan meliputi seluruh dunia.”
            Dia berhenti membebel seketika.
            Tiba-tiba seluruh kota ini bergelap, blackout. Oh, macam magik! Suasana hening sejenak, sesaat...
            Kemudian, mulalah kedengaran bunyi jerit-pikau yang menyeluruh menguasai kota ini. Pesta-pora itu benar-benar gegak-gempita kini. Mereka kini seolah-olah mabuk semuanya.
            Mereka menjerit, mereka menangis, mereka memekik, mereka melaung, mereka merintih... perempuan-perempuannya pula persis dirasuk histeria...
            “Kau raba punggung isteri aku... kau bantai kepala aku... aku tak pukul kepala kamu, kenapa kau tumbuk muka aku...? hoi, siapa pijak kaki aku...? mana anak aku...? Hoi, siapa seluk saku seluar aku ‘ni...? Hei, lari ke tepilah, aku mahu keluar... mana lampu, siapa ada lilin, siapa ada lighter?”
            Keriuhannya merebak ke jalan-jalan raya. Batu, kayu, pisau pemotong daging, dan entah apa-apa lagi berterbangan di udara. Mereka bergaduh sesama sendiri dalam gelap. Mereka saling berjuang. Mereka kini keluar berbondong-bondong dalam keadaan teraba-raba, merawak-rawak, ke jalan-jalan raya dan saling berlanggaran, berjatuhan, lalu dipijak, lalu meraung kesakitan.
            Kami mendengar kekalutan itu... mereka merempuh apa saja... mereka kini hanya memikirkan nyawa. Bunyi cermin kereta pecah berderai. Macam-macam lagi, macamlah akan kiamat dunia ini. Seluruh isi kota ini sedang dijangkiti wabak panik yang dahsyat.
            Kaca bangunan di belakang sudut kami berdiri pecah berderai tiba-tiba. Kini seluruh kota seolah-olah dihempap bongkah-bongkah batu dari langit. Dalam kebingungan itu, seketul batu keras singgah di dahiku, mujurlah batu yang kecil. Dahiku bereceran darah. Aku mengaduh kesakitan. Aku menyumpah-nyumpah. Aku mencapai apa saja, terpegang seketul batu padu... aku membalingnya, terdengarlah jeritan kesakitan. Aku ketawa berdekah-dekah.
            Sebaliknya, kawanku ini masih lagi membebelkan ideologi-ideologi utopianya. Dia seolah-olah tidak mahu mempedulikan apa yang sedang terjadi.
            Aku pun menggoncang-goncangkan bahunya, “bolehkah jampi-jampi falsafahmu itu menahan balingan batu-batu ini? Jika boleh, selamatkanlah dunia ini.”
            Oh, Tuhan... balingan objek-objek keras berterbangan di udara. Apa lagi, kami pun terpaksa lari bersembunyi, memerosokkan tubuh ke dalam longkang busuk yang becak dan berair hanyir, lalu bertempiaranlah tikus-tikus mondok keluar. Busuknya bukan main-main.

 Mingguan Malaysia, 25 mac 2012


Comments

  1. cerpen yang bagus...bermimpi untuk menghasilkan cerpen sebagus ini.

    ReplyDelete

Post a Comment