NAJIB & SOCRATES




RAMAI orang menyalahkan Datuk Seri Najib atas kekalahan UMNO-Barisan Nasional pada PRU14 lalu.
            Bagi UMNO, bersalah atau tidak Najib, beliau sepatutnya berundur kerana imej dan persepsi ke atas beliau adalah terlalu buruk dan tidak dapat dibersihkan lagi.
            Itu pun diperkatakan setelah tumbangnya Barisan Nasional dalam PRU14.
            Seperti yang diketahui, Barisan Nasional telah tumbang seminggu lepas.
            Adakah jika Najib berundur, Barisan Nasional akan menang?
            Mungkin Barisan Nasional akan menang.
            Tetapi, ia hanya seperti menangguhkan kekalahan.
            Mengimbas kembali sejarah, Tun Mahathir juga pernah mengalami detik-detik seperti ini. Anda boleh menyemaknya sendiri bagaimana teruknya Tun Mahathir diserang dengan pelbagai isu. Malah isu-isu itu lebih besar lagi berbanding hari ini.
Barisan Nasional diselamatkan dengan pengunduran beliau pada tahun 2003 yang menyebabkan Barisan Nasional menang besar dalam sejarahnya.
            Akhirnya Pak Lah yang menggantikan Tun Mahathir juga mengalami kemerosotan undi yang teruk pada 2008. Imej yang dipalitkan kepada beliau juga teruk. Perkara yang sama terjadi kepada beliau. Beliau digambarkan sebagai sangat buruk dan sedang merosakkan negara dengan pentadbirannya.
            Begitu juga Najib seperti yang kita ketahui hari ini.
            Adakah dengan berundur ia akan menyelesaikan masalah?
            Tidak. Ini telah dibuktikan dengan pengunduran Tun Mahathir dan Paklah. Ia hanya menangguhkan kekalahan. Akhirnya Barisan Nasional kalah juga seperti hari ini.
            Najib berundur bukanlah penyelesaian masalah. Masalah sebenar adalah budaya dan pemikiran dalam masyarakat. Mereka menjadi begitu kritikal dan menentang apa sahaja yang bernama kerajaan setelah terbukanya kebebasan bersuara dengan wujudnya media-media sosial.
            Kisah Socrates sepatutnya dijadikan renungan.
Apabila beliau dihukum mati dengan meminum racun hemlock, rakan-rakannya menyarankan agar beliau melarikan diri. Beliau didakwa oleh golongan sophis telah merosakkan pemikiran muda-mudi pada zaman itu.
            Tetapi beliau adalah manusia berprinsip. Katanya, jika beliau lari ke belahan dunia mana pun, kejahatan akan menghampirinya juga di sana. Beliau tidak dapat melarikan diri dan perlu menghadapi kenyataan.
            Dalam konteks hari ini, begitulah yang dialami oleh Najib. Jika beliau berundur, pengganti beliau juga akan menerima nasib yang sama, iaitu ditentang, diberi imej buruk dan dianggap penjahat.
            Dalam masyarakat hari ini, sama seperti ketika zaman Socrates di Athen, keadaan masyarakat adalah dalam keadaan makmur dan mewah.
            Masyarakat menjadi sebuah masyarakat yang hedonisme, materialistic dan individulistik. Banyak masa lapang mereka digunakan untuk berhibur, berdebat dan bersukan.
            Jika kita lihat pada zaman ini, kehidupan majoriti masyarakat adalah lebih baik. Kemiskinan memang wujud kerana ia tidak dapat dihapuskan oleh mana-mana negara maju pun.
            Apa yang berlaku dalam masyarakat sebegini adalah perasaan tidak puas hati, lebih-lebih lagi apabila masyarakat dihasut oleh puak-puak yang berkepentingan
            Masyarakat menjadi memberontak. Dalam bahasa yang mudah, masyarakat menjadi anti-establishment. Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan akan ditentang.
            Segala isu hanyalah alat untuk menghalalkan tindakan mereka.
            Kita telah melihat tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atas Tun Mahathir dan Pak Lah hilang begitu sahaja selepas mereka berundur. Maknanya, tuduhan-tuduhan itu hanyalah alat untuk menjatuhkan mereka, dan ia bukan sebab-sebab  sebenar mereka perlu dijatuhkan.
            Letaklah sesiapa sahaja sebagai pemerintah, ia akan ditentang oleh masyarakat.
            Penentangan bukanlah wujud kerana isu-isu, tetapi isu-isu telah diwujudkan untuk dijadikan sebagai alasan penentangan.
            Sebagai contoh, benarkah GST membebankan rakyat?
            Malah jika GST dinaikkan menjadi 10% pun rakyat sanggup terima asalkan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan.
            Perkara ini disumbangkan pula oleh kebebasan bersuara melalui media-media sosial. Kebencian dan kemarahan mudah diapi-apikan melalui media-media sosial.
            Apabila Najib terus mempertahankan kerajaan dan sanggup tumbang kerananya, ia adalah tindakan yang sepatutnya.
            Masyarakat perlu berterima kasih kepadanya. Kekalahan tidak perlu ditangguhkan dan kita tidak perlu lari darinya sebagaimana yang diujarkan Socrates.
            Jika Najib berundur, lambat-laun kekalahan akan menimpa kepada penggantinya.
            Biarlah ia berlaku, kerana selagi ia tidak berlaku, masyarakat tidak akan tahu apa yang sebenarnya mereka perjuangkan sejak daripada dahulu. Masyarakat akan terus menentang tanpa hujah-hujah yang kuat, melainkan kerana hilangnya adab dan moral dalam diri mereka kerana telah terjebak ke dalam budaya hedonisme, materialistik dan individualistik.
            Najib adalah korban untuk masyarakat mendapat pelajaran.
            Jika beliau benar-benar berjuang untuk rakyat ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, kemenangan dan kebenaran adalah milik beliau walaupun beliau tumbang di tangan rakyatnya sendiri.
            Rakyat pasti akan mengenang beliau.


Oleh: AZMAN HUSSIN

Comments

  1. Menegur kerajaan bagaikan menjolok sarang tebuan. Nahas. Bila sarangnya dibakar, baru terbongkar tembelangnya.

    ReplyDelete

Post a Comment