PRU14: HARI MARAH SEMALAYSIA


SAYA berasa saya sangat bodoh apabila menerima keputusan PRU14.
            Ketika kempen politik terarah kepada menjawab dan menerangkan dasar-dasar kerajaan, ia sebaliknya tersasar strategi.
            Para pejuang perang saraf dan propagandis tidak memahami masalah sebenar, maka mereka tidak dapat melawan musuh yang sebenar.
            Perang PRU14 sebenarnya adalah perang persepsi yang penuh emosi yang negatif seperti kebencian, dendam, protes dan tidak puas hati.
            Orang ramai tidak lagi mampu berfikir secara sihat dan rasional. Diri mereka dikuasai emosi. Masyarakat bertindak mengikut emosi.
            Tentulah rasa bodoh apabila kita cuba mengingatkan kepada orang-orang Melayu akan bahayanya kedudukan kuasa politik mereka dalam percaturan politik hari ini, tetapi orang-orang Melayu tidak mahu lagi mempedulikan perkara itu.
            Adalah bodoh kita menerangkan kebaikan GST untuk ekonomi negara jika orang ramai sebenarnya tidak kisah jika dikenakan cukai yang lebih tinggi lagi, asalkan kerajaan sedia ada dapat ditumbangkan. Apa guna diterangkan fakta yang majoriti negara maju mengamalkan cukai seperti GST dengan kadar yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
            Kita menerangkan 1MDB secara rasional bagaimana jika wujud skandal atau tidak di dalamnya, sebaliknya masyarakat tidak peduli lagi semua itu. 1MDB telah menjadi hantu yang sangat dibenci. Apabila disebut 1MDB, dalam minda masyarakat ia adalah imej buruk kerajaan pimpinan Datuk Sri Najib.
            Rata-rata menyebut berkenaan harga barang yang makin mahal dan mereka sendiri sebenarnya sedar itu bukan sepenuhnya berkaitan dengan kerajaan. Ia dtentukan oleh pasaran.
            Kita menerangkannya, tetapi ia bukanlah masalah sebenar. Ia hanya dijadikan alat-alat untuk menumbangkan kerajaan.
            Penentang-penentang kerajaan sedia maklum perkara ini.
            Jadi, apa guna semua ini. Tidakkah anda sendiri akan berasa bodoh cuba menerangkannya kepada semua orang, sedangkan masyarakat tidak mempedulikannya. Malah mereka sebenarnya sedar perkara ini, mungkin lebih daripada kefahaman kita.
            Apa yang ada dalam minda mereka adalah satu. Kerajaan mesti ditumbangkan. Walau bagaimanapun diterangkan akibat dan kesannya, ia adalah kerja sia-sia.
            Ramai yang memberikan ancaman bahaya DAP misalnya kepada orang-orang Melayu.
            Apa anda fikir jika orang-orang Melayu  sendiri tahu bahaya itu, tetapi mereka tidak mahu peduli asalkan kerajaan dapat ditumbangkan?
            Sebenarnya, semua ini adalah sia-sia menerangkan kepada yang sudah mengetahuinya.
            Apabila kebencian sudah tertanam, segala tindak-tanduk kerajaan akan dilihat sebagai negatif, prejudis dan buruk. Sekali pun kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat, ia tidak akan dipandang baik. Ia akan dikatakan tindakan meraih sokongan politik.
            Dalam keadaan ini, kerajaan seperti terjatuh ke dalam pasir jerlus. Semakin ia cuba bergerak untuk keluar, gerakan itu akan menyebabkannya makin tenggelam ke dalam.
            Jadi, kenapa kerajaan begitu mahu dijatuhkan?
            Ia sebenarnya adalah politik kebencian yang sudah ditanam bertahun-tahun dalam minda masyarakat.
            Negara ini sebenarnya sedang dilimpahi kemewahan dan kemakmuran. Keadaan ini menjebakkan masyarakat ke dalam suasana hedonistic, materialistic dan individualistic.
            Dengan terbukanya kebebasan bersuara dengan terhapusnya ISA, wujudnya media-media sosial, kebebasan berhimpunan, keadaan ini semakin rumit.
            Keadaan ini telah menyebabkan pemikiran masyarakat menjadi kelam-kabut dengan pelbagai maklumat dan pandangan yang tidak pasti. Masyarakat akan terkeliru dengan semua yang diperkatakan oleh orang lain.
            Kebenaran tidak dapat ditegakkan lagi kerana kepalsuan dan fitnah yang diulang-ulang akan dipercayai sebagai benar.
            Mereka yang marah dan dihasut akan terus bersuara dan berteriak. Jika ada yang cuba menerangkannya, ia seperti air di daun keladi. Ia tidak akan melekat.
            Persepsi telah dianggap benar.
            Misalnya, isteri Perdana Menteri dikatakan telah mengawal Perdana Menteri, hidup mewah dan mengambil kekayaan negara.
            Tidak ada sesiapa pun sebenarnya dapat mengesahkan perkara ini. Ia hanya cakap-cakap yang dipercayai benar. Jika ditanya, tidak ada sesiapa yang boleh membenarkannya.
            Sekali pun isteri Perdana Menteri kelihatan mewah dan bergaya, menukar kerajaan tidak dapat mengubah perkara ini. Maksudnya, isteri Perdana Menteri baru pun tidak dapat dihalang berkelakuan seperti itu. Mungkin minat mereka sahaja yang berbeza.
            Pertukaran kerajaan tidak akan meletakkan undang-undang baru yang mengawal keadaan ini. Bahkan, kerajaan baru mungkin akan menaikkan gaji ahli-ahli parlimen dan adun-adun.
            Jadi, pembangkang dalam keadaan begini tidak memerlukan kerja-kerja keras untuk menumbangkan kerajaan.
            Mereka hanya perlu mengadu-domba, menghasut dan menyebarkan hal-hal buruk kerajaan supaya emosi rakyat terus dalam keadaan marah dan tidak dapat berfikir dengan waras.
            Katakanlah Tun Dr Mahathir yang mengetuai PH melawan Barisan Nasional menggantikan Datuk Sri Najib, beliau juga tidak dapat menahan gejolak marah rakyat Malaysia ini.
            Ia adalah soal siapa yang mengetuai kerajaan. Sesiapa pun juga, ia akan ditentang dan diberikan imej yang sangat buruk.
            Dalam keadaan begini, ia tidak boleh disekat dan dilawan lagi. Biarkan ia mengalir dan mengubah Malaysia sebagaimana ia telah terjadi pada 9 Mei yang lalu.
            Selepas itu rakyat Malaysia akan kembali berfikir, kenapa mereka melakukan semua itu.
           
Oleh: AZMAN HUSSIN
           
           



Comments

  1. Jatuh bangunnya kerajaan dan kepimpinan adalah dari mandat dan kuasa rakyat.

    ReplyDelete

Post a Comment