SASTERAWAN BUKAN PENUNJUK PERASAAN


“MAKA keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: “Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu”. – al-Kahfi: 77
Apabila ditanya kawan-kawan penulis, berkenaan pegangan politik saya, mengapa saya kelihatan berlainan nada dalam menghadapi establishment berikutan tulisan-tulisan saya, sedangkan suatu masa dahulu saya seorang yang sebaliknya, setidak-tidaknya dulu saya agak sinis kepada establishment, saya sebenarnya terfikir kisah Nabi Musa as dan hamba Allah bernama Khidir. Sama ada Khidir itu nabi Allah atau manusia biasa yang bijaksana, itu bukanlah yang saya mahu tegakkan.
            Seseorang penulis biasanya suka sinonim dengan imej pejuang rakyat yang romantis seperti Che Guevara misalnya, maka menentang establishment seperti kerajaan menjadi medium kepada mereka menampilkan imej idaman itu. Saya percaya ramai penulis menentang pemerintah di mana mereka tinggal, dan ramai dikenali kerana hal itu. Biarlah saya tidak popular kerana itu, biarlah saya menyeleweng dari masa-masa lalu saya sebagai penulis yang rebel.
            Saya bawakan kisah nan indah nabi Musa as dan Khidir dalam surah al-Kahfi ayat 60-82 di sini. Ini bukanlah tafsir kepada maksud tersirat kisah tersebut, tetapi kisah ini hanya sebagai tamsil. Kisah ini diharap boleh menyampaikan maksud pandangan saya sebagai penulis dalam menghadapi kekacauan dunia politik hari ini. Saya bukanlah ulama yang layak menjelaskan maksud sebenar kisah ini.
            Dikisahkan nabi Musa as telah berguru dengan Khidir. Semasa berguru ini, ada tiga perbuatan Khidir yang dipersoalkan nabi Musa as. Pertama, Khidir merosakkan perahu. Kedua, Khidir membunuh seorang kanak-kanak.
Apa yang merangsang imaginasi saya adalah kisah ketiga, iaitu episod di suatu negeri yang penduduk-penduduknya zalim. Sebagai tetamu, mereka tidak diberi makanan. Tetapi pada malamnya Khidir telah meneguhkan dinding yang hampir runtuh di negeri tersebut, malahan tanpa meminta upah. Tindakan Khidir ini telah dikritik oleh Musa as kerana menolong negeri yang zalim.
            Apakah hujah Khidir? Kita semua telah maklum kemudiannya, tujuan Khidir ”mempertahankan” dinding yang hampir roboh tersebut adalah demi melindungi harta milik dua orang anak yatim peninggalan bapa mereka yang soleh, yang tersembunyi di sebalik dinding tersebut. Kepada masyarakat awam, perbuatan Khidir itu pastilah tidak wajar. Tetapi Khidir dikurniakan mata hati dan akal yang tajam.
Saya fikir kita sebagai penulis juga harus berakal bulus dan jauh pandangan, dan tidak hanya melihat dari pandangan mata kasar sesuatu permasalahan.
Saya meletakkan makna ikon dinding dalam kisah ini kepada pemerintah zalim yang mengawal penduduknya (penduduk-penduduk yang zalim pastilah dipimpin oleh orang yang juga zalim, kerana akhlak pemerintah adalah bayangan akhlak rakyat). Saya teringat kata-kata seorang ahli hikmah, “di bawah seribu tahun pemerintahan yang zalim adalah lebih baik dari sehari anarki”. Ini ada benarnya secara praktik, jika kita melihat apa yang telah berlaku di negara-negara yang bergolak seluruh dunia. Pemerintah yang menguatkuasakan undang-undang adalah benteng/dinding yang kukuh kepada rakyat. Sama ada pemerintah tersebut zalim atau tidak, undang-undang adalah benteng yang mengikat masyarakat dari terpecah-belah menjadi anarki. Jika undang-undang dilanggar, hancurlah masyarakat. Semua orang akan menjadi musuh kepada yang lain. Maksudnya jika pemerintah dijatuhkan, ia akan menghasilkan keadaan  tidak stabil dan mendedahkan negara kepada musuh dan bahaya yang pelbagai, lebih-lebih lagi jika pemerintah itu memang sedia ada zalim.
            Kita ketahui, sezalim-zalim pemerintah, ia tetap menahan daripada anarki, yang mudaratnya lebih besar kepada rakyat terbanyak dan generasi akan datang. Jika sesebuah pemerintahan itu tumbang, akan berlaku huru-hara seperti terjadi di Timur Tengah sekarang. Keadaan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh-musuh seperti Yahudi dan sekutunya. Situasi ini sedang dan telah terjadi kepada negara-negara seperti Mesir, Libya, Syria, Yaman atau Tunisia. Berapa banyak emas hitam telah disedut keluar dari negara-negara tersebut oleh pakatan Kuffar disebabkan fitnah politik? Bahkan, di sebalik pergolakan dunia hari ini, tersembunyi tangan-tangan mereka.
Sebagaimana dinding dalam negeri yang zalim itu “menahan” harta pusaka milik anak yatim, begitu jugalah sesebuah kerajaan menahan negara dari fitnah huru-hara. Malah, keamanan adalah harta awam yang wajib dipertahankan, untuk diwarisi generasi akan datang. Fikirkan juga simbol sepasang anak yatim dalam kisah ini.
Kita bukanlah ingin hidup terhina dalam keadaan dizalimi, tetapi untuk membaiki keadaan yang rosak bukanlah dengan melawan dan memberontak yang dimulai dengan seruan-seruan menentang establishment. Ini hanya akan mengulangi pepatah Melayu lama, marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
            Kita pasti engkarkan kezaliman, tetapi keadilan itu pula, kata Syaidina Ali ra, adalah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Kita sensitif pada kezaliman. Tetapi kezaliman itu tidak boleh membutakan mata hati kita dari melihat natijah di sebalik runtuhnya apa yang kita lawan itu.
            Di alam nyata, bagi saya, sasterawan tidak seharusnya buta hati. Mereka tidak seharusnya beradu tenaga dengan fizikalnya, tetapi dengan akalnya. Bukan terikut-ikut dengan kehendak masyarakat yang akan menjulang mereka sebagai pejuang. Apabila melihat kemungkaran, kita terus menentangnya tanpa melihat di sebaliknya, iaitu punca-punca kepada kemungkaran itu, bagaimana untuk membaikinya dan sebagainya. Seperti si bodoh yang dizalimi, tetapi automatik melawan tanpa memikirkan kekuatan lawan dan pelbagai kemungkinan, sehingga lebih dizalimi lagi.
            Seniman bukanlah penunjuk perasaan. Seniman seharusnya seorang pemikir. Seniman itu halus dan perasa, tetapi masalah tidak boleh diselesaikan oleh perasaan. Seniman bukanlah orang awam, yang melihat hanya pada luaran dan tersurat. Sasterawan sepatutnya bijaksana, bukan apabila dizalimi, menjerit dan memberontak seperti rakyat terbanyak yang jahil dan buta.
Dan seperti Khidir, pertolongan itu dilakukan bukan kerana diberi ganjaran atau meminta upah, iaitu dengan tidak bersubahat dan bersekongkol dengan kezaliman.
Fikir-fikirkanlah tentang ikon tersirat, iaitu negeri yang penduduknya zalim, dinding yang hampir roboh, upah, anak-anak yatim, dan harta pusaka daripada ayah yang soleh untuk memahami pegangan saya dalam hal ini.
Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” – al-Kahfi: 82

Comments