DEMOKRASI




SISTEM demokrasi sebenarnya adalah suatu ancaman kepada masyarakat dan negara.
            Demokrasi meletakkan pemerintah terpaksa memenuhi apa yang rakyat mahukan, bukan apa yang sepatutnya rakyat dapatkan sebagai warganegara.
            Perkara-perkara yang popular akan dipertaruhkan oleh parti-parti untuk memenangi hati rakyat, walhal ia mungkin merosakkan rakyat dan negara dalam jangka masa yang panjang.
            Mungkin orang akan berfikir, jika tidak ada demokrasi, pemerintah akan menjadi diktator, kuku besi yang bertindak sesuka hati mereka.
            Ini ada benarnya. Tidak ada kebaikan sepenuhnya dalam sesuatu perkara.
            Tetapi, mari kita lihat realiti demokrasi.
            Bagaimana jika majoriti rakyat mahukan seks bebas, LGBT,arak, hiburan, judi dan sebagainya yang salah dalam agama dan moral?
            Bukankah perkara ini akan merosakkan masyarakat pada akhirnya?
            Tentulah politikus terpaksa memenuhi perkara ini untuk meraih sokongan majoriti rakyat, seterusnya mendapatkan atau mengekalkan kekuasaan.
            Jika politikus bertindak sebaliknya, sudah tentu mereka akan ditolak dan usaha-usaha mereka menyertai politik untuk mendapatkan kuasa adalah sia-sia.
            Apa akan jadi?
            Masyarakat sepatutnya dibentuk, bukan membentuk bagaimana kerajaan itu harus ditadbir.
            Politikus sepatutnya membentuk masyarakat, bukan sebaliknya.
            Ya, bagaimana mahu memenuhi kehendak-kehendak rakyat yang pelbagai?
            Sudah tentu ia mustahil dan akan menimbulkan kritikan demi kritikan rakyat yang tidak dipenuhi kehendaknya.
            Masyarakat jika dipenuhi kehendak-kehendak mereka, sekali pun dalam perkara yang tidak perlu, tidak akan pernah berasa cukup.
            Dalam konteks Malaysia, sebenarnya kerajaan Barisan Nasional telah menjadi begitu pemurah kepada rakyatnya.
Ironinya kerana perkara itu bekas parti pemerintah itu telah ditolak dalam PRU14 lepas.
            Pelbagai bantuan telah diberikan kepada rakyatnya, yang tidak perlu disebut lagi di sini (kerana bagi yang tidak tahu menghargainya, mereka tetap tidak menghargainya walaupun disebut beratus-ratus kali).
            Ambil sahaja contoh di Libya. Apakah yang telah dilakukan oleh Muammar Gadaffi kepada rakyatnya?
            Dan apakah yang telah didapatkannya daripada rakyat? Malah beliau dibunuh oleh tangan rakyatnya sendiri.
            Kebebasan bersuara yang diberikan telah disalahgunakan untuk bercakap dan mempersoalkan apa sahaja, termasuk menyebarkan perkara-perkara tidak berasas dan mengganggu keharmonian negara.
            Kekalahan PRU14 adalah balasan oleh rakyat kepada kebaikan Barisan Nasional sebenarnya.
            Kanak-kanak yang terlampau dimanjakan, ia bukanlah sesuatu yang baik untuk masa hadapan mereka.
            Tetapi, dalam politik demokrasi, perkara itu terpaksa dilakukan untuk meraih sokongan.
            Jadi, bagaimanakah ia akan berakhir?
            Kita patut tahu demokrasi sepenuhnya adalah menghala kepada anarki, kacau-bilau, dan dunia tanpa kawalan.
            Di negara-negara demokrasi lain, ada akta undang-undang seperti ISA untuk mengekang perkara ini.
            Di Malaysia Akta Isa telah dimansuhkan atas desakan orang ramai.
            Apabila tidak ada undang-undang seperti ini, ditambah pula dengan kebebasan bersuara melalui media-media sosial, sukar untuk sesebuah kerajaan memerintah. Walau sebaik mana pun sesebuah kerajaan tersebut, ia pasti mendapat tentangan.
            Kerajaan akan tunduk kepada kehendak-kehendak masyarakat tersebut.
            Malangnya kehendak-kehendak masyarakat ini tidak dapat dipuaskan walaupun sentiasa ditunaikan.
            Jika kita mahu berfikir lebih jauh, sebuah kerajaan yang zalim dan menindas adalah lebih baik daripada sebuah kerajaan yang adil tetapi lemah.
            Kerajaan yang zalim masih dapat berdiri dan melindungi rakyat. Kezalimannya mungkin tidak merata ke atas semua rakyat.
            Sebaliknya, dalam sebuah kerajaan yang lemah, tidak ada lagi peraturan dan undang-undang yang dapat menjamin keselamatan setiap rakyatnya.
            Kerana itu bijak-pandai pernah berkata, “hidup di bawah pemerintah yang zalim (diktator) adalah lebih baik daripada hidup tanpa undang-undang.”
            Demokrasi sepenuhnya adalah seperti hidup tanpa undang-undang, atau pengakhirannya adalah anarki.
            Apabila merenung situasi ini, kita mungkin akan faham kenapa Nabi Muhammad SAW pernah berpesan agar mentaati pemerintah sekali pun pemerintah tersebut menzalimi rakyatnya.
            Hasil penentangan ke atas pemerintah zalim tersebut tidak akan mengubah keadaan menjadi lebih baik, malah ia bakal mengundang keadaan yang lebih buruk.


Oleh: AZMAN HUSSIN

Comments