Wednesday, 23 May 2012

KISAH PENDEK PERIHAL MAUT


SEORANG darwis telah melakukan perjalanan jauh melalui jalan laut. 
Para penumpang kapal laut yang perasan akan dirinya ketika memasuki kapal, seperti biasa telah meminta sebarang nasihat yang bermanfaat daripadanya. Apa yang dilakukan oleh semua darwis adalah sama saja, yakni memberitahu hal yang itu-itu juga. Dan darwis itu telah mengulangi saja salah satu bab yang menjadi perhatian penting para darwis sepanjang zaman.
            Rumusan pelajaran itu adalah: “berusahalah kamu menyedari maut, sehingga kamu faham maut itu apa.”
Hanya segelintir penumpang saja yang tertarik dan memikirkan maksud peringatan tersebut.
            Tiba-tiba di dalam perjalanan, angin taufan telah memukul kapal mereka dengan kencang. Para penumpang dan kelasi kapal bertelut lutut, memohon Tuhan menyelamatkan mereka. Mereka menangis ketakutan, menyerahkan diri kepada nasib, meratap memohon keselamatan nyawa.
            Si darwis ini hanya duduk tenang, bertafakur, sama sekali tidak memberikan sebarang reaksi cemas terhadap apa yang sedang terjadi di sekeliling.
            Ketika laut tenang, angin taufan telah berlalu, para penumpang kembali tersedar. Mereka kehairanan memikirkan keadaan tenang si darwis menghadapi suasana cemas tadi.
            Mereka telah bertanya kepadanya, “apakah tuan tidak mengetahui bahawa pada angin taufan itu sebentar tadi, tidak ada yang lebih kukuh daripada sekeping papan, yang boleh memisahkan kita dari maut?’
            Si darwis hanya menjawab, “oh tentu saja saya mengetahuinya. Saya tahu keadaan di laut sememangnya begitu. Tetapi saya juga menyedari bahawa jika saya berada di darat dan menghayatinya dalam kejadian-kejadian seharian, keadaan yang memisahkan antara kita dan maut itu lebih rapuh lagi.”

CATATAN: karangan ini diolah semula daripada kisah yang disampaikan oleh Bayazid dari Bistami, suatu tempat di sebelah Laut Kaspia. Beliau meninggal dunia pada separuh kedua abad ke-19.

Tuesday, 22 May 2012

APA KHABAR, PAKCIK LUKA DAN MAKCIK BIDHAH?


MISI kami adalah untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saling berkait,” -  Mark Zuckerberg, pengasas Facebook.
Pada pagi 20 mei 2012 saya telah deaktif facebook. Dengan harapan tidak akan mengaktifkannya lagi setelah lebih setahun membuka akaun facebook.
            Kenapa?
            Kepada saya, facebook banyak mencuri masa dan melalaikan saya. Kepada orang lain, saya tidak tahu.
            Berapa banyak kebaikan dan berapa banyak keburukan? Saya tidak tahu. Tetapi ia amat membuang masa, lebih-lebih lagi jika line internet lembab seperti di tempat saya.
            Seperti biasa, kita akan berbahas apa hukumnya tentang sesuatu yang baru seperti televisyen, internet, dan sebagainya. Tidak terkecuali facebook. Seperti biasa juga, kita akan biasa mendengar pendapat ini: sesuatu itu bergantung kepada individu, jika ia digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Begitu sebaliknya.
            Saya teringat kepada pistol. Ada orang menyimpannya untuk mempertahankan diri, dan ada orang menggunakannya untuk merompak dan kerja-kerja jahat lain. Bayangkan jika setiap orang diberi hak memiliki pistol, dan dikatakan kepada mereka, ia bergantung kepada niat individu, jika digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Tidakkah dunia selepas itu akan huru-hara?
            Tetapi adakah facebook boleh membunuh? Terlalu jauh bandingan. Pistol hanya mampu membunuh tidak lebih 8 orang, bergantung kepada jumlah peluru, dalam satu masa, dan facebook pula tidak boleh membunuh secara fizikal. Tetapi si pembunuh secara fizikal adalah terdiri daripada orang-orang yang rosak jiwanya. Kita lebih takutkan penyakit-penyakit fizikal, dan melupakan penyakit-penyakit dalaman berkaitan jiwa, dan kita tidak melihat facebook sebagai satu bentuk ancaman kepada manusia kerana ia tidak merosakkan secara fizikal. Tetapi kesan kerosakan dalaman yang dicetuskan facebook ini adalah lebih bahaya daripada pistol.
            Saya teringat lagi kepada arak. Kebaikan yang sedikit di sebalik kemudaratan yang besar.
            Misalnya lagi hak kebebasan bersuara. Jika ia digunakan oleh golongan yang baik, kebaikanlah yang akan datang. Jika ia digunakan oleh golongan jahat untuk bersuara, kejahatanlah yang akan datang. Persoalannya, adakah kebebasan bersuara itu harus dibenarkan kepada semua? Jika anda menggunakan facebook, dan anda menentang hak asasi manusia, demokrasi atau kebebasan bersuara, sebenarnya anda melakukan sesuatu yang bertentangan, iaitu menentang apa yang sedang anda sendiri lakukan.
            Dan jika kedua golongan berlawanan ini bersuara, suara manakah yang lebih kuat? Saya terbayang nasi bercampur tahi. Yang suci bercampur kotor, mengotorkan kesemuanya.
            Saya teringat lagi kepada anjuran-anjuran barat kepada hak asasi manusia, antaranya, kebebasan bersuara. Mengapakah mereka memperjuangkannya, walhal di dalamnya ada juga suara-suara suci agama? Seperti yang menjadi misi Mark Zuckerberg, menjadikan dunia ini lebih terbuka.
            Sesungguhnya facebook adalah antara alat kuffar untuk menjayakan demokrasi, kebebasan bersuara dan hak-hak asasi manusia. Sesiapa pun berhak menulis apa-apa sahaja pendapatnya.
Kita tidak tahu ketika mana kita akan ketagihan facebook sehinggalah kita ketagihkannya seperti hari-hari yang lepas. Seperti arak yang memabukkan, ada yang mabuk hanya selepas meminumnya segelas. Ada pula yang tidak mabuk-mabuk walaupun sesudah menogok satu jag. Sebelum tidur facebook, bangun tidur facebook, apa lagi ketika aktif. Ia mudah diakses, lebih-lebih lagi jika ada fon yang sedikit canggih di tangan. Dan, kalau boleh diumpamakan, saya sendiri tidak pasti berapa gelas facebook sehari yang saya togok kerana akal saya mamai kerana facebook.
Sekali lagi, ada orang yang tidak lalai kerana facebok, dan sekali lagi ada orang yang tidak mabuk kerana mengambil arak walaupun dalam jumlah yang banyak.
            Bagi saya sendiri, status-status yang saya post dalam facebook banyak menimbulkan perdebatan dan perbalahan yang tidak selesai. Manakala sesetengahnya difahami, sesetengahnya dibantah hanya kerana perbezaan idea politik walaupun apa yang dipost itu tiada kaitan politik. Warga facebook terdiri daripada pelbagai lapisan sosial, umur, pendidikan dan status ekonomi. Adalah terlalu susah untuk menyampaikan sesuatu kepada semua ini. Ada yang membantah tanpa memahami apa yang saya tuliskan.
Selagi anda tidak dikenalpasti sebagai pengikut aliran agama atau politik tertetu, anda akan disukai jika apa yang anda post itu menarik. Dan jika anda sudah dicop berada dalam kelompok tertentu, anda tidak akan disukai lagi oleh kelompok berbeza walaupun post-post anda menarik. Itulah assabiyyah dalam facebook, sumber perpecahan umat manusia dalam dunia maya yang akan meleret ke dunia realiti.
            Tidak ada yang berubah dengan facebook, selain pengikut-pengikut buta parti makin mengcengkam kukuh pegangannya pada parti mereka setelah merah padam muka berbahas.
            Facebook akan menjauhkan yang dekat, mendekatkan yang jauh. Kawan semeja terasa jauh, dan kawan di Singapura terasa dekat melalui facebook. Dekat atau jauh ditentukan oleh capaian di dunia maya.
            Rumah-rumah telah menjadi terlalu privacy untuk tetamu dan saudara mara, tetapi hal-hal dalam kain telah dilondehkan dalam facebook.
            Facebook yang mendedahkan warna seluar dalam seorang anak dara pingitan kepada lelaki yang tidak dikenalinya.
            Hal-hal agama telah diperdebatkan secara terbuka di hadapan masyarakat awam yang jahil hingga menimbulkan fitnah.
            Ulama-ulama telah dimaki hanya kerana perbezaan pendapat, dalam keadaan kita diseru mempertahankan penguasa yang zalim dari ditentang.
            Saya teringat kepada Luka Bin Luka, Rhuwaibhidah, anak-anak muda yang membacakan ayat-ayat quran tetapi tidak sampai ke hati, hanya di kerongkong. Jika dalam facebook, post-post ayat suci dan hadith-hadith. Mereka menyebutkan ayat-ayat suci al-Quran atau hadith-hadith yang boleh dikutip dari mana-mana buku, tetapi mereka juga amat menyukai (like) status gurau senda, kutuk-mengutuk, gossip-gosip, kereta-kereta sport, makanan-makanan enak yang tidak sepadan dengan kezuhudan mulut mereka menuturkan ayat-ayat suci.
            Bagaimanakah orang-orang kecil ini boleh bersuara dan dikenali jika tidak kerana facebook, misalnya?
            Seperti kepingan-kepingan fitnah, di atasnya gambar perempuan seksi, di bawahnya petikan ayat-ayat suci. Bercampur-baur. Seperti roti yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas penuh tahi, bukan lagi seperti tahi cicak jatuh ke atas roti.
            Mungkinkah facebook ini telah melahirkan orang-orang kecil yang tidak diketahui entah dari bukit atau lembah mana datang, dan sibuk mencampuri urusan orang ramai? Orang-orang muda awal 20-an, yang jika tidak diketahuinya umurnya, akan disangka sekelompok ulama yang sedang bermuzakarah, kemudian selesai muzakarah mereka mentekedarah seekor kambing panggang ala-ala Arab, yang kemudian diupload fotonya dalam status facebook, lalu meriahlah komen teman-teman sealiran.
            Dengan ulama-ulama tua facebook yang berfatwa dapat pahala jika like status-status yang bersifat keagamaan, sehingga saya tertanya-tanya, mendapat dosakah jika kita tidak like status-status yang bersifat keagamaan itu.
            Pistol itu neutral sifatnya. Jika diguna untuk mempertahankan diri, itu sebaiknya. Tetapi jika diguna untuk merompak, itu satu kesalahan. Tetapi, adakah kita akan membenarkan pistol kepada semua orang dengan menyerahkan pertimbangannya kepada niat individu seperti tadi?
            Ada kebaikannya facebook ini, seperti juga arak ada kebaikannya. Saya tidak nafikan, tetapi kemudaratannya lebih besar jika kebaikan dan keburukan itu bercampur.
            Saya terfikir jika setitis arak itu haram walaupun ada orang minum arak berjag-jag tetapi tidak mabuk...
            Oh, mungkin facebook inilah yang bersesuaian dengan kiasan kepada sedikit kebaikan arak, untuk menerangkan kemudaratannya yang besar.
            Maka benarlah, orang-orang yang berjalan di atas jalan agama itu benar-benar terasing dalam dunia akhir zaman ini.
            Anda cantumlah sendiri tulisan yang berterabur susunan ayat dan perenggannya ini. Saya tulis ini hanyalah sepintas lalu untuk menghilangkan ketagihan facebook sambil minum kopi.

Wednesday, 16 May 2012

SEPUCUK SURAT CINTA


SESUNGGUHNYA syair yang paling indah, inilah: “ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah bathil,” iaitu ungkapan Lubaid.
            Apakah kesusasteraan, (atau persuratan) atau apa saja yang dikategorikan sebagai sajak, puisi, cerpen, novel atau sebagainya, kepada saya?
            Hakikatnya penulisan (termasuk sastera) adalah suatu bentuk komunikasi – daripada penulis kepada pembaca, mediumnya adalah kata-kata yang bisu pada lembaran kertas atau pada skrin komputer pada zaman moden ini. Ia bermaksud menyampaikan.
            Setiap penulis, bagi pandangan saya, tujuan mereka menulis sesebuah karya adalah untuk menyampaikan sesuatu, sama ada buah fikiran atau pengalaman hidup atau sebagainya untuk dimanfaatkan semua. Itu sebenarnya terjadi juga kepada semua manusia di luar sana. Apabila mereka bercakap, mereka mahu menyampaikan sesuatu maksud yang ada dalam fikiran mereka. Cuma kita semua dalam bidang berlainan. Politikus memilih pentas ceramah, agamawan memilih mimbar masjid, guru di kelas, jurujual di kaki-kaki lima, dan penulis memilih medium tulisan. Semuanya mahu memenuhi apa yang mereka hajati.
            Saya sendiri kadang-kadang pelik dan berasa agak musykil apabila membaca karya-karya sastera seperti sajak, cerpen dan novel. Berkali-kali membacanya masih juga tidak menemui maksud yang ingin disampaikan penulisnya. Adakah saya ini jahil dan buta sastera? Adakah saya perlu belajar teori-teori sastera untuk memahami sesebuah karya itu? Saya rasa itu membuang masa. Lebih baik saya membaca karya-karya ilmiah yang sifatnya membosankan. Sepatutnya sastera itu versi mudah kepada karya ilmiah. Sastera sepatutnya sebuah tulisan ilmiah yang menghibur dan menyeronokkan apabila dibaca, dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea yang kita sampaikan.
            Lebih membingungkan, apabila persoalan maksud sesebuah karya itu ditujukan kepada penulisnya, mereka menjawab, terpulanglah kepada pembaca untuk mentafsirkan maksud karyanya sebagai apa. “Penulis harus ‘mati’ apabila karyanya terbit,” mereka memetik lagi kata-kata Roland Barthes. Apakah semua ini?
            Bagi saya mudah sahaja. Saya kiaskan saja menulis sesebuah karya itu seperti menulis sepucuk surat cinta untuk bidadari hati kita, seorang perempuan yang kita cintai, tetapi telah menolak cinta kita. Untuk lebih kompleks dan mencabar, perempuan itu malah sesungguhnya membenci kita.
            Bagaimanakah surat cinta itu seharusnya ditulis, itu tidaklah penting. Itu atas daya kreativiti kita. Sama ada ingin menggambarkan cinta kita itu sehingga ke bulan atau ke lautan api pun kita sanggup, itu terpulanglah. Apa yang penting, surat itu seharusnya ditulis dengan maksud utama menggugat hati perempuan tersebut, kemudian mempengaruhinya agar menerima cinta kita. Begitulah kaitan penulis dan pembaca. Penulis harus berusaha memikat dan mempengaruhi pemikiran dan perasaan pembaca, sebagaimana seorang lelaki berusaha memikat perempuan melalui surat. Surat itu harus boleh difahami oleh perempuan. Jika surat itu penuh dengan simbol atau bunga-bunga bahasa yang kononnya bernilai seni sehingga tidak mampu difahami perempuan, tujuan surat itu sudah tidak mencapai maksudnya. Begitu juga dalam hubungan penulis dan pembaca.
            Apabila dalam surat tersebut si lelaki memuji dengan ikhlas perempuan itu berhidung mancung, tetapi menimbulkan kemarahan perempuan kerana disalahfahami sebagai menyindir, itu adalah kegagalan si lelaki.
            Janganlah pula dimaksudkan saya menyarankan agar menulis karya lucah untuk mudah diterima pembaca. Sebaliknya karya lucah juga tidak ada kelucahannya jika ia tidak dapat difahami.
Apabila saya menulis perihal tahi, saya mahu pembaca boleh nampak di matanya objek tahi tersebut, dan kalau boleh terhidu sekali baunya yang ‘harum’ dalam minda mereka. Maksudnya, pembaca boleh memahami sehingga boleh membayangkannya. Ini adalah utopia, tetapi usaha-usaha untuk mencapainya mestilah ada dalam diri seseorang penulis.
Kata-kata memang abstrak, tetapi ia tetap tertakluk kepada logik sama seperti matematik.
            Penulis boleh menyerahkan kepada pembaca apa maksud karyanya seperti disarankan oleh Roland Barthes itu; tetapi bagi saya, saya malu jika pembaca tidak faham cerpen atau puisi yang saya karang. Sayalah yang jahil dan tidak berhikmah kerana tidak berjaya menyampaikan maksud saya.
            Ia sama juga dengan mencampurkan pelbagai warna, kemudian melakarkannya tanpa sebarang erti di atas kertas, lalu membingkaikannya sebagai sebuah lukisan. Dan apabila tetamu datang bertanyakan apa di sebalik lukisan yang terpaku di dinding ini, kita katakan terpulanglah kepada kamu untuk mentafsirkannya sebagai apa. Jika ini dimaksudkan sebagai seni, orang buta pun boleh melukis.
            Bubuhlah bedak yang wangi sebanyak manapun dalam surat yang berkajang-kajang itu, jika ia tidak difahami oleh si perempuan, tidak ada ertinya. Malah si perempuan mungkin mengganggap kita ini majnun, merepek-repek dengan kata-kata purba dari tamadun yang sudah pupus.
                Dalam situasi penulis dan pembaca, kita akan mendengar luahan-luahan penulis kecewa apabila karya mereka tidak dibaca, tidak laku jualan bukunya dan tidak dipedulikan, lalu mendakwa khalayak pembaca sebagai bodoh, sukakan bacaan ringan, dan tidak mahu berfikir. Itu sebenarnya sama seperti menyatakan bahawa si perempuan itu bodoh dan jahil kerana tidak mahu menerima cinta daripada kita yang budiman, kacak bergaya dan kaya berkereta sport ini, walhal sebenarnya kitalah yang tidak pandai memikat perempuan. Lalu sepatutnya kita berasa malu pada mat-mat rempit yang boleh membawa perempuan-perempuan cantik membonceng motorsikal mereka.
            Jika penulis menulis sekadar untuk menceritakan sesuatu, lebih elok dia menulis buku sejarah yang objektif. Atau jadi seorang jurugambar yang tepat rakamannya, dan terpulanglah kepada orang yang melihatnya untuk mentafsirkannya.
            Tetapi dunia tetap menyatakan seseorang penulis yang hebat itu adalah penulis yang boleh merobah pemikiran masyarakat, dan untuk merobah pemikiran masyarakat, syarat pertama adalah sesebuah karya itu haruslah boleh difahami minda orang-orang awam terbanyak yang jahil. Dan keindahan dan kesenian sesebuah karya itu pula bukan hanya pada bahasa dan kata-kata, tetapi juga pada maksudnya, sebagaimana maksud ungkapan penyair Lubaid yang diakui oleh Nabi Muhammad Saw sebagai syair yang paling indah.

#ditulis kerana keliru dan tidak memahami sajak, cerpen dan novel-novel yang dibaca walaupun berkali-kali.

Saturday, 12 May 2012

NOVUSORDOSECLORUMUROLCESODROSUVON


SAYA  berkhayal-khayal.
Ini hanyalah cerita imaginasi.
 Saya ingin menceritakan sesuatu yang susah untuk saya sampaikan dalam bentuk fakta, dan susah juga untuk difahami jika ia ditulis secara ilmiah. Saya bermula dengan mengapakah kuasa-kuasa besar dunia mempromosi dan meneguhkan sistem demokrasi ke seluruh dunia suatu masa dulu dan sampai ke kemuncaknya kini?
            Pelbagai badan, yayasan dan pertubuhan bebas dan kaya-raya yang ditadbir sekelompok manusia didakwa begitu aktif menyalurkan dana yang besar untuk merealisasikan sistem demokrasi total di seluruh dunia. Suatu masyarakat terbuka yang mengagungkan hak asasi manusia. Contohnya The Open Society Foundations kelolaan George Soros yang bergerak di lebih 70 negara. Mengapakah?
            Mereka adalah suatu golongan yang licik.
            Mereka telah menguasai ekonomi, sosial, militari, teknologi, budaya, ilmu dan sebagainya. Mereka adalah bangsa yang pernah menikmati manna dan salwa, yang terselamat daripada kekejaman Firaun. Tanpa saya perlu huraikan contohnya lagi, mereka adalah bangsa genius yang ada di mana-mana lapangan.
            Seluruh rahsia dan perkembangan dunia ini di tangan mereka.
            Jika dikaji, merekalah tangan-tangan ghaib di sebalik peristiwa dan kejadian-kejadian besar dunia. Seolah-olah mereka adalah perancang semua peristiwa dunia. Mereka telah mengkaji dan merancang apa akhirnya yang bakal terjadi kepada dunia ini.
            Kuasa pemerintahan yang berasal dari sistem beraja telah dikembalikan kepada rakyat melalui sistem demokrasi atas alasan raja adalah zalim. Dan sistem demokrasi ini juga tidak akan kekal lama, akan beralih kembali kepada sistem beraja, iaitu raja satu dunia berdarah Zionis yang memerintah dari Jerusalem.
            Kita menilai sejarah dan perkembangan dunia melalui perspektif yang ditulis dan ditentukan oleh mereka. Bagaimana kita memandang reinansance itu sebagai zaman pencerahan selepas zaman raja-raja zalim. Apakah sebenarnya? Semua perlakuan ini hanyalah untuk mengaburi kepentingan kuasa-kuasa belakang tabir yang merancang untuk menguasai dunia sehingga sampai masanya nanti. Bahkan dua blok bertentangan, komunis dan kapitalis, suatu masa dulu adalah gagasan yang diciptakan mereka.
            Saya melihat penjajahan fizikal ke atas Malaysia suatu masa dulu hanyalah untuk menanam benih demokrasi, mengambil alih kuasa daripada sultan dan raja-raja Melayu, dan meninggalkannya kepada pemimpin boneka yang telah direkrut untuk menjaga kepentingan mereka di sini. Mereka sudah mengkaji dan mengetahui bagaimana suatu masa nanti hal ini akan memberi keuntungan kepada mereka.
            Dan dalam masa menunggu demokrasi tumbuh dan masak buahnya, mereka telah mengeluarkan pelbagai produk nyata atau tidak nyata seperti budaya hidup seperti hiburan, makanan, pakaian, komunikasi, sistem ekonomi, kenderaan atau peralatan hidup yang berlandaskan nafsu supaya umat manusia leka dan melupakan ajaran-ajaran agama dan terbuai dalam dunia hedonisme.
            Dalam hal agama, melalui ulama-ulama yang disesatkan mereka, mereka telah mewujudkan ruang-ruang perdebatan yang membuat umat Islam saling berselisih dan menghabiskan masa untuk perdebatan yang tak mungkin selesai.
            Seperti sudah mengetahui, boneka-boneka yang diletakkan itu mudah menjadi lupa diri dan terlibat dengan korupsi, bermewah-mewahan dan tidak mengamalkan agama sepenuhnya. Dan di pihak lain, muncul sekelompok manusia yang menentang penguasa yang korup ini atas nama keadilan ataupun agama. Mereka bertempur dalam demokrasi. Penentang akan menghasut rakyat dengan sejumlah cerita kemewahan dan salahguna kuasa golongan pemerintah.
            Dalam keadaan penentangan yang kuat dengan dibantu dana dan sokongan lain mereka, penguasa akan tergugat dan terpaksa menagih sokongan luar. Penguasa akan berbuat apa saja untuk mengelak dari dikalahkan. Sama ada kerajaan tunduk kepada permintaan mereka ataupun pembangkang menjatuhkan mereka secara revolusi setelah demokrasi tidak berjaya. Kerajaan akan tunduk kepada mereka dan mungkin akan menggadai negara ini untuk mengelak dari dijatuhkan, manakala pembangkang mungkin ditaja dan apabila berkuasa nanti, mereka akan terpaksa membayar balik segala pertolongan. Dalam kedua-dua situasi ini, keuntungan adalah berpihak kepada tangan-tangan belakang tabir ini.
Hal ini saya fikir telah berlaku di Timur Tengah. Rakyat telah menjadi buta hati kerana telah lama leka dengan budaya yang dibawa mereka. Rakyat telah rosak akhlaknya sebagaimana yang dikatakan oleh Lenin, “pemberontak yang terbaik adalah anak-anak muda yang rosak akhlaknya.” Rakyat telah bangkit apabila melihat kezaliman, kemewahan dan keangkuhan penguasa, sehingga mereka lupa bahawa mereka telah dijadikan alat atau bala tentera untuk menjatuhkan pemerintahan orang mereka sendiri, dan menyediakan haluan ke arah satu pemerintahan kuku besi sedunia (Dajjal?).
            Buku dan filem-filem juga telah mewujudkan imej pemberontak sebagai wira rakyat untuk menawan minda golongan muda yang jahil dan tidak berakhlak agar melawan kerajaan atas laungan menentang kezaliman pemerintah.
            Dalam zaman elektronik ini rahsia sesebuah kerajaan di tangan mereka. Mereka akan mendedahkan kepada penentang kerajaan untuk disebarkan kepada umum demi meningkatkan kemarahan rakyat sehingga kebencian rakyat melampaui paras normal dan tidak dapat berfikir rasional lagi.
            Demokrasi adalah satu bom jangka yang akan meletup bila sampai masanya. Ia bertindakbalas secara automatik.
            Bagaimanakah saya ingin terangkan hakikat ini kepada anda?
            Demokrasi adalah satu sistem yang dianjurkan Yahudi untuk memusnahkan secara automatik pihak goyim (bukan Yahudi). Di satu pihak, ada penguasa yang zalim; dan di satu pihak lagi, terdapat satu golongan penentang yang mendakwa puak mereka adalah benar, tetapi apa yang sebenarnya terhasil dari pertembungan ini adalah kehancuran mereka semua, dan hanya menyediakan laluan dunia ke arah satu pemerintahan baru yang diterajui Yahudi. Mereka yang menentang penguasa yang zalim ini sebenarnya terperangkap dalam fitnah bahawa mereka ini adalah golongan yang benar. Ya, bagi masyarakat awam memang sukar untuk menyatakan golongan pemberontak ini salah kerana mereka ini menentang golongan yang zalim. Bahkan, mereka telah dianggap golongan yang benar. Tetapi hakikatnya apa yang dilakukan golongan penentang ini melalui sistem demokrasi ataupun revolusi hanya akan mempercepatkan lagi agenda Zionis untuk memerintah semua goyim.
            Itulah fitnah atau kekeliruan yang susah untuk umat manusia selamat darinya.
            Fikirkan juga kata-kata bekas perdana menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohammad yang lebih kurang maksudnya begini, “kita sebenarnya dipaksa menerima pakai sistem demokrasi.” Kepada yang mahu berfikir, tentu mereka akan memahaminya.
            Tetapi, sekalipun anda telah menganggap imaginasi ini cerita benar, anda tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi. Anda akan melupainya dan akan kembali bertelagah sesama sendiri, dan semua ini akan mempercepatkan lagi proses naiknya satu raja satu dunia tersebut. Saya bukan bersetuju dengan pemerintahan yang zalim, tetapi inilah hakikatnya yang sedang kita alami. Sesuatu yang susah untuk diterang dan diselesaikan. Wallahualam.

Thursday, 10 May 2012

KEPADA ULAMA-ULAMA DEMOKRASI


DEMOKRASI telah melahirkan parti-parti politik yang haluannya ke arah mencapai kekuasaan dalam menegakkan sesuatu. Matlamatnya adalah kuasa. Dan, kata ulama-ulama politik, kuasa itu adalah untuk menegakkan agama. Maka, seolah-olah agama itu hanya tegak dengan kekuasaan, seolah-olah agama itu lemah tanpa kuasa.
            Saya terfikir alangkah sucinya jiwa rakyat Malaysia tatkala media massa, misalnya, menyiarkan gambar-gambar perlakuan lucah yang kononnya melibatkan seorang tokoh politik, mereka sepakat mencemuh dan menyindir di laman-laman sosial.
            Benar, sama seperti pelakunya, menyiarkan perlakuan itu juga adalah tidak bermoral.
            Kemudian saya terfikir lagi, bagaimana dengan gambar-gambar perempuan seksi dalam media tersebut, yang tersembul buah dadanya, yang membeliakkan mata-mata lelaki? Bagaimana dengan siaran sistem televisyen berbayar yang juga menyiarkan kemungkaran-kemungkaran? Bagaimana dengan internet yang mudah dicapai bahan lucahnya? Adakah ini halal? Kenapa ini tidak dibantah? Ya, ini akan mengurangkan undi. Inilah politik mereka.
            Maaf, saya bukan ingin mengelak dari bercakap tentang kesalahan saya dengan menyatakan orang lain juga melakukan kesalahan yang sama. Tidak. Yang salah, tetaplah salah. Tahi adalah tahi walau disembur perfume paling mahal dari Paris sekalipun.
            Maka, kerana ia adalah isu politik, bergemuruhlah suara ulama-ulama politik menentangnya. Dan dalam keadaan lain, kemungkaran-kemungkaran yang lain didiamkan.
Politik. Saya rasa kita lebih mentaati rukun-rukun politik daripada mentaati suruhan-suruhan agama. Jika sesuatu itu memberi laba politik, itulah haluan kita. Kerana, bagi kita, kekuasaan adalah segala-galanya.
            Kita sudah hilang pangkal dan hujungnya.
            Bahkan politik, tanpa kita sedari, telah menjadi seperti suatu agama baru. Lihatlah bagaimana orang yang seagama boleh bergaduh kerana politik, dan orang yang berbeza agama dan saling memusuhi boleh berpakat kerana politik. Politik mengatasi segalanya. Mereka berkumpul di bawah bendera assabiyyah parti. Mereka saling tolong-menolong dalam perkara baik dan jahat asalkan di bawah bendera yang sama.
            Lihatlah bagaimana isu-isu yang melibatkan moral didiamkan hanya kerana ia boleh mengurangkan undi. Bagaimana kita melihat ulama-ulama politik mendekati golongan tak bermoral untuk meraih undi, bukannya menasihati atau memperbetulkan mereka. Bagaimana ulama-ulama politik yang dahulunya tegas menjadi liberal hanya kerana undi golongan sekular. Bagaimana ulama-ulama politik boleh bersekongkol dengan musuh-musuh nyata Islam hanya kerana undi, bukannya untuk menyampaikan agama. Dan mereka mengelabui pemikiran masyarakat awam yang jahil dengan hujah-hujah yang bathil untuk menghalalkan tindakan mereka.
            Tugas mereka berdakwah, tetapi mereka tidak sedar mereka telah didakwah secara halus oleh musuh-musuh Islam untuk memusnahkan umat Islam.
            Adalah tidak masuk akal kita boleh berpakat dengan golongan kuffar yang jelas menentang Islam untuk menentang sesama Islam yang mungkin hanya fasik dan zalim.
            Walau apa tujuannya, mereka lebih mempercayai kekuasaan untuk menegakkan agama, walhal agama itu sudah bersifat kekuasaan. Jika nilai-nilai agama diamalkan dalam diri setiap manusia, akan tegaklah hukum-hukum Allah dengan izin-Nya. Agama itu sudah syumul, kata mereka, tetapi mereka memilih demokrasi untuk menegakkan agama. Sebaliknya demokrasi ini telah memecah-belahkan umat, dan menjadikan kita semua telah diambil kesempatan oleh golongan kuffar.
                Tinggalkanlah politik demokrasi, berusahalah mengajak dan menyeru manusia kepada agama, itulah politik dalam Islam.  Sibuklah dalam urusan agama, bukan sibuk dalam politik untuk menegakkan agama. Bahkan mereka menganggap ulama-ulama yang tidak memasuki politik itu meninggalkan dunia, sedangkan agama itu adalah panduan dunia akhirat. Bukankah Islam itu syumul?
            Mereka menyatakan dalil mengambil demokrasi sebagai tuntutan zaman. Kita harus mengikut agama, bukannya agama harus mengikut kesesuaian zaman, kerana agama itu sesuai untuk semua zaman.
            Jika demokrasi itu dibenarkan dalam agama, maka kita semua akan jadi pemuas kehendak-kehendak masyarakat. Jika rakyat mahukan hiburan, maka kita akan menghidangkannya untuk meraih undi. Kita tidak akan dapat mengubah masyarakat, sebaliknya akan diubah oleh masyarakat sedikit demi sedikit.
            Demokrasi sebenarnya adalah hukum alam. Yang majoriti akan menang. Jika kita benar-benar memahami hakikat demokrasi, kita tidak perlu memasuki demokrasi untuk melaksanakan agama. Tetapi kita harus meramaikan orang-orang yang kuat pegangan agama, kerana apabila kita ramai kita akan menang. Sekarang umat Islam sudah ramai, tetapi seperti buih. Kenapa? Kerana pegangan dan keimanan kita lemah, kita hanya menjadi buah catur kuffar. Di situlah kita sepatutnya berusaha.
            Ulama-ulama politik lebih nampak untuk menolong orang yang dizalimi tetapi tidak menolong orang yang menzalimi. Menolong seorang perompak bukanlah sekadar bermaksud menahan mereka dari melakukan rompakan. Kerana jika itu yang dimaksudkan, mereka akan terus merompak jika kita tidak melihat mereka. Untuk menahan mereka dari melakukan kezaliman adalah mengajak mereka ke arah kebaikan. Itulah dakwah, itulah politik Islam.
            Saya umpamakan sifat agama itu seperti cahaya, dan kegelapan itu sebagai kemungkaran. Untuk menghapuskan kegelapan, hidupkanlah api, nescaya cahayanya yang terang-benderang, akan muncul automatik.
            Politik dalam Islam bagi saya adalah dakwah atau tabligh, sebagaimana dakwah yang dilakukan gerakan-gerakan Kristian ataupun Yahudi ke atas umat manusia. Tanpa memerintah sesebuah negara pun, mereka telah berjaya mengubah budaya hidup kita menjadi seperti yang mereka mahukan sehingga akhirnya mereka akan menguasai dunia ini seluruhnya. Dan berdakwah itulah kerja nabi Muhammad saw.
            Kita yakini Islam itu syumul, dan politik itu ada di dalam Islam. Itu benar. Yang bathilnya kita memaksudkan politik Islam itu antaranya adalah sistem demokrasi berparti yang dianjurkan oleh Barat untuk memecah-belahkan kita, bukannya memperbaiki kita.
            Mereka menentang sistem sekular, mereka menyatakan politik tidak boleh dipisahkan daripada agama, sebaliknya merekalah yang memisahkan agama dari kehidupan yang syumul, termasuk politik yang sudah ada dalam agama, iaitu dakwah.
            Mungkinkah demokrasi ini adalah salah satu sistem Dajjal yang menipu semua, termasuk menipu ulama-ulama kerana fitnah-fitnah dajjal itu sangat dahsyat dan mengelirukan? Iaitu satu neraka yang diperlihatkan Dajjal sebagai syurga. Kita menyakini perjuangan kita ini benar, walhal kita tertipu oleh Dajjal.

Friday, 4 May 2012

KISAH API


ADA sebuah kisah perumpamaan yang menarik untuk kita fikirkan. Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang suka merenung alam ini bekerja. Kerana tabiat ini, dia telah menemui cara-cara menyalakan api sesudah banyak melakukan eksperimen.
Lelaki itu bernama Nur. Dia telah bermusafir ke negeri-negeri lain untuk menyampaikan pengetahuannya itu, menunjukkan cara menyalakan api kepada seluruh umat manusia yang ditemuinya.
Puak-puak manusia yang berlainan fahaman itu menerima ajarannya dengan pelbagai cara. Ada yang memanfaatkan pengetahuan itu. Sesetengah puak menghalaunya sebelum mereka mengetahui manfaat api tersebut kerana menyangka pengetahuannya itu berbahaya. Kerana disangka syaitan, satu puak telah membunuhnya selepas melihat pertunjukkannya membuat api.
Kisah api ini semakin komplek setelah abad demi abad berlalu. Bangsa pertama yang belajar menghidupkan api telah merahsiakan hal ini. Hanya golongan pendita dan bangsawan yang mengetahuinya, sementara rakyat biasa dibiarkan kedinginan.
Bangsa kedua telah melupakan cara membuat api, tetapi memuja alat-alat untuk membuat api.
Bangsa ketiga mengukir patung batu menyerupai Nur dan memujanya.
Kelompok bangsa yang keempat menganggap kisah api ini sebagai suatu kisah dongeng; sebahagian mempercayainya benar, sebahagiannya lagi menganggapnya sebagai mitos.
Dan bangsa yang kelima benar-benar memanfaatkan sifat api, menghangatkan kedinginan malam, mencerahkan kegelapan malam, memasak makanan dan menempa besi untuk pelbagai kegunaan yang lain.
Abad demi abad, seorang guru yang bijaksana dan beberapa pengikutnya telah melakukan perjalanan ke negeri-negeri yang pernah ditempuhi si pembuat api tadi. Mereka kehairanan melihat budaya kelompok-kelompok bangsa dalam setiap negeri tersebut. Mereka ingin mengubahnya.
Guru yang bijaksana itu pun mengajak pengikutnya memulakan sekali lagi perjalanan, sambil berpesan kepada pengikutnya: “pada akhir nanti, mereka yang masih bertahan bersamaku akan mengetahui masalah kebenaran dan bagaimana mendekatinya.”
Ketika sampai pada satu kelompok bangsa yang sedang melakukan ritual keagamaan, iaitu pembuatan api, para pendita di negeri tersebut telah meminta mereka berkata sesuatu berkenaan upacara itu.
Salah seorang pengikut guru yang bijaksana itu berkata, “saya akan menyatakan kepada mereka.” Tetapi si guru membalas, “baiklah, kalau kamu sanggup menanggung risikonya.”
Pengikut itu lalu berkata kepada penguasa dan sekalian pendita negeri tersebut, “aku juga boleh membuat keajaiban yang kamu katakan sebagai kekuasaan dewa itu. Kalau aku lakukan hal itu, mahukah kamu semua meninggalkan kesesatan kamu yang berabad-abad ini?”
Para pendita telah mengarahkan orang-orangnya menangkap pengikut tersebut. Dan orang itu tidak lagi ditemui selepas itu.
Si guru dan pengikutnya berjalan lagi ke negeri yang orang-orangnya memuja alat-alat membuat api. Seorang pengikut yang berani cuba menyampaikan kebenaran. Dia menyeru kepada rakyat negeri tersebut, “kamu memuja alat-alat untuk membuat sesuatu, dan bukan menikmati hasilnya. Kamu telah melupakan kegunaannya. Saya tahu kenyataan dan asal-usul yang menjadi sebab-sebab upacara ini.”
Orang-orang besar di negeri tersebut menjawab, “kamu semua diterima sebagai musafir di negeri ini. Tetapi sebagai orang asing yang tidak mengetahui sejarah dan adat kami, kamu tidak berhak mempersoalkan agama kami. Barangkali kamu ingin menukar agama kami, kerana itu kami tidak mahu mendengarkan kamu.”
Ketika mereka sampai di sebuah negeri yang memuja patung Nur. Pengikut si guru berkata kepada penguasa negeri tersebut, “patung itu melambangkan orang, yang melambangkan kebolehan yang  boleh dimanfaatkan.”
“Mungkin begitu,” jawab para pemuja patung Nur, “tetapi yang boleh mengetahui rahsia sejati hanya beberapa orang sahaja.”
“Hanya bagi orang yang mahu mengerti, bukan kepada orang yang menolak daripada menghadapi kenyataan,” balas si pengikut.
“Itu bidaah kepangkatan, dan berasal dari orang yang tidak boleh mengunakan bahasa kami secara benar dan bukan pendita yang yang ditahbiskan mengikut adat kami.”
Maka si guru itu pun menyambung perjalanan ke negeri keempat di mana perihal api itu telah menjadi suatu kisah dongengan.
Seorang pengikut guru tersebut telah berkata kepada rakyat yang sedang berhimpun, “kisah pembuatan api itu adalah benar, dan saya tahu cara membuatnya.”
Kekacauan berlaku dalam kelompok itu. Mereka berpecah kepada beberapa kelompok. Sekelompok orang berkata, “itu mungkin benar, dan kalau memang demikian, kami ingin mengetahui cara membuat api.”
Tatkala orang-orang ini diajar, ternyata sebahagian besar mereka mahu membuat api untuk kegunaan sendiri sahaja, dan tidak menyedari kegunaannya untuk kemajuan manusia seluruhnya. Begitu dalamnya dongeng-dongeng keliru meresap masuk ke dalam fikiran orang-orang itu sehingga mereka yang menyangka diri mereka mewakili kebenaran adalah merupakan orang-orang yang tidak berpendirian, yang tidak akan membuat api walaupun setelah mengetahui caranya.
Ada kelompok lain berkata, “jelas dongeng itu tidak benar. Orang-orang ini hanya mahu membodohkan kita semua supaya mereka mendapat kedudukan di sini.”
Dan kelompok yang lain berkata, “kami lebih suka dongeng itu tetap saja begitu. Ia adalah keteguhan bangsa kami sejak nenek-moyang. Kalau kami tinggalkan dongeng ini, dan kemudian ternyata tafsiran baru itu tidak ada gunanya, apa akan jadi dengan bangsa kami?”
Malahan pelbagai lagi pendapat dalam kalangan kelompok rakyat negeri ini.
Rombongan itu akhirnya sampai di sebuah negeri yang kelima. Di sini pembuatan api adalah perkara biasa, dilakukan sehari-hari, dan orang-orangnya juga sibuk melakukan perkara-perkara yang lain.

#ditulis semula daripada Ahmad al-Badawi (meninggal tahun 1276 Masehi).

Monday, 30 April 2012

CATATAN KUNING


PADA hari Sabtu 28 April lepas, saya di Kelantan. Biasanya saya di Kuala Lumpur. Apabila online internet, di sebuah kopitiam, terlihat macam-macam post  dan video perihal Perhimpunan Bersih 3.0. Ramai yang memberi komen-komen, sesuai dengan fahaman politik masing-masing.
Yang menyokong perhimpunan Bersih 3.0, menyatakan pihak penguasa menzalimi para peserta. Dan begitu juga sebaliknya di pihak penguasa. Apakah yang benar hari itu? Semuanya telah menjadi fitnah, kebenaran dan kebathilan telah bercampur-gaul. Rojak.
            Apakah yang benar hari itu? Satu lagi fitnah dan kekacauan telah tercipta dan tidak dapat dihentikan.
            Kita semua tahu, bukan? Ada yang berkata polis menyamar jadi peserta. Ada yang berkata peserta memprovokasi polis. Kereta peronda polis dirosakkan. Kanak-kanak terkena semburan air kimia. Polis cedera. Peserta cedera. Maki-hamun. Sampah-sarap. Macam-macam.
            Saya tidak mahu pergi jauh. Saya tidak mahu pun pergi ke sana untuk mengetahui apakah sebenarnya telah terjadi. Bahkan, tidak perlu pun. Ia juga tidak akan menyelesaikan persoalan. Kadang-kadang kita pergi terlalu jauh, hingga melupakan pokok persoalan dan realiti di mana kita berada.
            Perhimpunan Bersih 3.0 adalah suatu bentuk penentangan halus dan tersirat kepada pemerintah. Pemerintah kononnya tidak adil, zalim dan menipu dalam pilihanraya. Maksudnya kerajaan zalim. Jadi?
            Maka hari itu telah berlalu. Telah tercatat dalam sejarah.
            Saya tidak mahu pergi jauh. Jika saya ke sana pun, saya tidak dapat melihat keseluruhan apa yang terjadi. Saya tidak boleh berada di setiap sudut dan menyelami nawaitu semua orang yang terlibat.
Saya tidak mahu pergi jauh. Jika kita telah mendakwa dan menganggap pemerintah itu zalim, mengapakah kita masih mempersoalkan kezaliman-kezaliman mereka ketika menghadapi penentangan kita? Kezaliman adalah ciri-ciri pemerintah jahat. Bahkan jika pemerintah adalah golongan yang adil sekalipun, mereka juga akan mempertahankan kekuasaan yang dimiliki mereka dengan semua cara.
Hiduplah dalam realiti. Kita telah memilih untuk berkumpul dan menyuarakan kehendak kita, yang bermaksud memprotes kerajaan, menentang kerajaan secara halus.
Tidak perlu teori atau spekulasi yang bukan-bukan. Ia hanya memeningkan dan menambah fitnah. Apa perlunya pelbagai andaian dan agakan jika ia akhirnya tidak dapat disahihkan kebenarannya. Tidak perlu andaian polis menyamar menjadi peserta. Jika benar pun, itu memang normal. Sesiapapun akan berusaha mempertahankan kedudukannya, sama ada dia seorang yang baik atau jahat.
Tidak perlu cadangan-cadangan bagaimana sepatutnya pihak penguasa melayani penunjuk-penunjuk perasaan secara aman ini. Itu tidak logik. Jika mereka mendengar nasihat kita, tentulah tidak timbul penentangan kita. Kita melawan orang jahat secara fizikal, tetapi kita meminta orang jahat tersebut melayani kita dengan baik. Lucu, bukan?
Kita membawa anak-anak kecil bukan ke funfair, tetapi ke perhimpunan tunjuk perasaan menentang kerajaan zalim. Mestilah tidak ada belon atau buaian roller coaster, sebaliknya semburan air kimia. Kitalah yang bodoh dan kejam ke atas anak-anak kecil itu.
Tamsilkan kita membawa sebuah kereta melalui jalan sehala. Tiba-tiba sebuah lori pasir tersasar ke arah jalan yang menjadi hak laluan kita, apakah pilihan kita? Benar, lori pasir itu ternyata salah. Tetapi mengapa secara automatik, kita akan mengelak ke tepi untuk mengelak perlanggaran?
Kini kita telah memilih perlanggaran. Tidak relevan lagi kita mempersoalkan kezaliman-kezaliman yang dilakukan kerajaan untuk menyekat perlanggaran kita itu.
Penentangan-penentangan ini tidak lebih seperti kayu-kayu yang akan memarakkan lagi api kezaliman pemerintah.
Seperti yang selalu saya katakan dan akan saya ulangi lagi di sini sehingga saya sendiri pun sudah jadi bosan: kita ingin membetulkan penguasa yang zalim dengan cara melawan, dan dalam penentangan itu kita mempersoalkan tindak-tanduk zalim mereka menghadapi kita, wajarkah?
Kita telah memilih pedang untuk melawan kezaliman pemerintah, maka urusan kita telah diserahkan kepada pedang.
Fikirlah perkataan-perkataan di bawah ini.
Dari ‘Amr bin Yazid, dia berkata: “Ketika al-Hassan didatangi oleh sekelompok orang pada masa pemerintahan Yazid bin al-Muhallab, aku mendengar dia memerintahkan mereka tetap berada di dalam rumah masing-masing, dan mengunci semua pintu. Setelah itu dia berkata, ‘demi Allah swt seandainya manusia diberi cubaan dari penguasa, lalu mereka bersabar, nescaya dalam waktu singkat Allah swt akan mengangkat cubaan tersebut. Namun kerana berlindung kepada pedang, maka mereka pun diserahkan kepadanya. Demi Allah, mereka tak sedikitpun menghasilkan hari yang lebih baik’. Kemudian dia membaca ayat:
            “...dan telah sempurnalah perkataan rabbmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka.” (Al-A’raaf:137)

*Catatan yang tak diedit. Berterabur seperti sampah-sampah Perhimpunan Bersih.