Saturday, 6 September 2014

KL: 4.0


KL, Kuala Lumpur. Aku tiba lagi di sini.
                Tatkala ini Malaysia baru selesai PRU13. KL masih panas. KL masih bergelora. KL masih bingung. Poster-poster parti politik masih belum ditanggal dan diturunkan. Perhimpunan dan perarakan membantah penyelewengan dalam PRU diadakan di merata sudut KL. Pakatan Rakyat gagal menguasai kerajaan pusat, hanya memenangi tiga buah negeri. Barisan Nasional kekal berkuasa walaupun dengan majoriti yang tipis.
                Berkenalan di facebook, ditugaskan menyasarkan tokoh-tokoh anak muda yang menyebelahi penentang kerajaan, dengan berpura-pura tertarik pada agama Islam, aku menemui profil kamu yang popular di facebook. Aku memperkenalkan diriku sebagai pengkaji budaya bangsa Melayu. Begitu mudah ia terjadi.
                Kepada engkau, lelaki berwajah lonjong yang berlagak hero, selamat bertemu, aku sesungguhnya mahu saja katakan kepadamu tanpa berkias-kias: engkau bodoh, menjadi ulat-ulat perosak kepada agama, bangsa, dan tanahairmu  sendiri.
                Apabila engkau telah duduk dan meminta jus epal kepada pelayan restoran mamak, aku mengikutimu duduk dengan menundukkan sedikit tubuh. Ketika itu terasa angin kipas dinding menghala tepat ke arahku, angin sejuk masuk meraba-raba dadaku di balik baju t-shirt yang tipis. Rambutku terurai ditiup angin. Cuaca bulan Mei di luar panas. Kemudian aku menunduk lagi mencapai kotak rokok di hadapanmu. Kotak rokok itu terkuis jatuh ke lantai. Rantai salib berayun di dadaku. Aku tidak suka tubuhku diikat, ia seperti Jesus disalib, kerana itu aku tidak suka memakai coli.
                Lirik matamu terpegun.
                Asap rokok berpusaran di udara. Tewas bau perfumeku. Apakah yang engkau lihat? Aku lihat engkau menarik nafas, dengan sedikit mencungap, mukamu kemerahan, dahimu berpeluh.
                Aku pura-pura tak perasan lirik matamu memandang ke mana semasa aku mengangkat wajah selepas tunduk mengambil kotak rokok di lantai. Aku pura-pura tidak perasan walaupun aku tahu engkau memandang ke sini.
                Di tanganmu buku Pedagogy of Oppression. Engkau lagi membelek-beleknya seperti kegelisahan. Apakah kembang bunga poppy yang engkau nampak pada halaman-halaman buku tersebut? Adakah lurah gunung? Adakah engkau membacanya? Adakah engkau memahaminya? Adakah engkau memetik sebahagian ayatnya, lalu menulis karangan lain tanpa maksud yang jelas? Kata-kata utopia yang tidak berpijak di alam nyata.
                Dunia ini harus begini katamu, dan manusia itu harus begitu katamu, dan pelbagai lagi utopiamu.
                Aku kembali teringat kata-kata Vladimir Lenin: pemuda-pemudi yang rosak akhlak adalah pemberontak yang terbaik.
                Sambil terus rakus merokok, mulutmu tak berhenti membebel, mencela kezaliman pemerintah negaramu. Korupsi, penyelewengan, kemewahan, maksiat, skandal seks, dan pembaziran. Seperti anak-anak muda lain, yang sebenarnya kekurangan kasih sayang dan perlukan perhatian, engkau berkhayal menjadi pejuang-pemberontak seperti Jose Rizal atau Che Guevara. Aku faham itu.
                Lagakmu seperti seorang yang berjiwa kecamuk. Di dalam facebook engkau agresif berdebat, di sini aku lihat engkau seperti kera sumbang. Suara terketar-ketar berkata seperti gelisah dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan sekeliling. Dengan pakaian yang sengaja digayakan selekeh, The Beatles agaknya idolamu, engkau sebenarnya menghadapi krisis identiti.
                “PRU yang penuh penipuan. Kami bukan saja menentang jentera parti pemerintah, tetapi menentang seluruh jentera kerajaan. Kami akan turun berarak ke jalan raya sesudah pilihanraya gagal dan dimanipulasi,” rungutmu.
                Aku diam, meneguk air. Mencuba menguji rasional pemikiranmu, jua menaikkan emosimu, aku bertanya, “jika kamu seorang pemerintah, adakah kamu akan berdiam diri menghadapi tentangan rakyat, tunggu dijatuhkan? Atau kamu akan menggunakan segala kaedah agar kamu tidak dijatuhkan?”
                Engkau keliru sama ada aku serius bertanya atau menyindir kebodohanmu. Aku tahu kau akan balik memikirkannya dan akan terfikir betapa bodohnya dirimu pada masa itu sekiranya engkau masih ada akal yang waras.
                Kemudian aku mengalih kepada persoalan lain, agar engkau tidak terus memikirkan perkara itu, “di manakah hotel bajet yang murah?”
                Kita berjalan mencari hotel bajet. Aku sengaja berjalan cepat, membiarkan engkau sedikit di belakang. Aku nampak gelandangan-gelandangan tidur di kaki-kaki lima yang tersorok. Engkau mengasihani mereka dengan menyalahkan kerajaan. Tetapi,aku fikir para gelandangan itu adalah penagih dadah, pesakit mental ataupun pemalas. Mana mungkin di negara ini tidak ada pekerjaan sehingga rakyat hidup merempat di jalanan, walhal ramai buruh asing masuk ke sini. Dan di dalam facebook, inilah yang kau bebelkan.
                Di sebuah kedai 7 Eleven, aku mencapai kondom, membelek-beleknya.
                Argh, adakah engkau tahu apa yang aku fikirkan kala aku memegang kondom tersebut lama-lama? Adakah engkau fikir aku akan melakukan seks denganmu?
                Tetapi aku teragak-agak meletakkannya. Mengambilnya lagi, dan meletakkannya semula, dan aku hanya membeli tuala wanita dalam pek kecil walaupun aku tidak datang bulan.
                Sebagai penulis muda yang sedang mencipta nama di negaramu, antara pemimpin dalam kalangan mahasiswa, menulis karya-karya yang berbau anarki, terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan amal, melawan establishment, dan memperjuang kebebasan bersuara, adakah engkau faham apa itu kebebasan? Wujudkah kebebasan?
                Dalam Revolusi Perancis, nenek-moyang kami telah mengangkat ramai aktivis dan pemikir untuk memperjuangkan hak-hak persamaan dan kebebasan manusia. Jean Jacquess Rousseau, Robespierre, Montesquieu, atau Voltaire. Untuk apa? Supaya bangsa kami yang disisihkan ini diakui haknya seperti warganegara lain. Apabila kami bebas seperti orang lain, kami akan menguasai seluruh negara dengan kepintaran kami. Kami eksploitasi kekejaman Raja Loiuis XVI agar rakyat bangkit dan menjatuhkannya tanpa belas kasihan. Itulah yang telah kami lakukan di Mesir, Libya, Iraq, Tunisia dan Syria pada zaman moden ini dengan menggunakan rakyat mereka sendiri. Kami eksploitasi diktator dan kerajaan yang zalim, yang rasuah, yang angkuh, untuk meletuskan pemberontakan rakyat, walhal yang berkuasa kemudian adalah boneka-boneka yang dipegang oleh kami.
                Nama-nama tokoh inilah yang berselerak dalam tulisan-tulisanmu seolah-olah engkau seorang yang inferiority complex, yang menumpang kemasyhuran nama mereka, sedangkan engkau tidak memahami apa sebenarnya idea-idea mereka dan muslihatnya ke atas dunia.
                Hah! Aku fikir engkau banyak menonton dan dipengaruhi filem-filem Hollywood. Engkau sepatutnya menjadi bintang filem kalau engkau mahukan hidup yang glamour, bukannya berkhayal menjadi pejuang. Tetapi mukamu langsung tidak handsome!
                Aku bayangkan, jika tidak wujud krisis politik di sini, engkau hanyalah seorang anak muda yang kecelaruan jiwa. Seorang anak muda yang berlagak selamba, cool, yang berpura-pura tidak mengetahui apa-apa yang berlaku di sekeliling, yang jika ditanya sesuatu perkara semasa, engkau akan berlakon naïf tidak tahu apa-apa yang mainstream. Seorang anak muda yang mengakui tidak mengenali artis-artis popular di negaramu. Siapa Neelofa atau Nelydia Senrose? Engkau pasti akan membuat muka terpinga-pinga tidak mengenali mereka, walhal artis-artis ini yang barangkali memenuhi khayalan liar masturbasimu setiap malam. Seseorang yang mengakui tidak meminati Najwa Latif atau Yuna, tetapi jika bersendirian, lagu-lagu merekalah yang mungkin spontan bermain di mulutmu. Seorang yang mengutuk lagu-lagu pop untuk menunjukkan dirinya melawan arus.
                Engkau anak muda yang mahu kelihatan berbeza. Engkau rela dirimu ditangkap pemerintah kerana engkau tahu itu adalah suatu cara untuk popular, dan engkau tahu jua engkau pasti dibebaskan oleh barisan peguam yang menyebelahi pembangkang. Engkau sebenarnya si pengecut yang hanya berani menyepak bangkai anjing.
                Menyanjungi tokoh-tokoh Komunis dan Sosialis, engkau bermimpi menjadi Karl Marx Melayu. Atau untuk melunakkan Komunisme, engkau mengutarakan Ali Syariati. Engkau mendakwa mahu memperjuang nasib rakyat terbanyak, yang miskin, yang merempat, lantas engkau mencemuh golongan kaya seolah-olah kaya itu suatu dosa.
                Tidakkah kamu pernah terbaca suatu kisah dongeng Greek berkenaan seekor rubah yang tergiur melihat segugus anggur masak di hujung dahan? Rubah tersebut tidak dapat mencapai buah anggur tersebut. Kerana engkau tidak dapat menikmati kekayaan dan keselesaan hidup seperti orang lain, maka engkau mengecam kekayaan itu sebagai dosa, seperti rubah yang mencemuh anggur itu sebagai masam kerana tidak dapat menikmatinya.
                Kamu bercakap tentang persamaan hak, kebebasan bersuara, adakah kamu fahami apa yang kami anjurkan itu?
                Dalam protokol pertama kami, Cendikiawan-cendikiawan Zionis Sedunia, kami menulis: “Kamilah bangsa yang pertama melaungkan dalam kalangan orang ramai perkataan-perkataan kebebasan, kesamaan dan persaudaraan. Perkataan-perkataan yang acapkali diulang oleh burung-burung kakak tua dalam pilihanraya tanpa menyedari maknanya, yang berterbangan dari segenap penjuru menuju kepada umpan ini, yang mana dengannya, mereka telah memusnahkan kemakmuran dunia dan kebebasan diri yang sebenarnya. Orang yang kononnya pandai lagi bijak dalam kalangan bukan Yahudi tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik ungkapan-ungkapan tersebut; tidak nampak pertentangannya dari segi maknanya; secara semulajadi tidak menyedari bahawa di sana tiada kesamaan.”
                Kami akan membebaskan kamu, tetapi kamu akan masuk ke dalam sistem kamu.
                 “Perpecahan kepada kumpulan-kumpulan kecil telah meletakkan mereka ke dalam tangan-tangan kita, kerana untuk meneruskan suatu perjuangan yang dipertikaikan, seseorang itu haruslah mempunyai wang, dan wang kesemuanya berada dalam tangan-tangan kita.”
                Kau tidak nampak semua itu. Engkau seperti kelkatu yang terpukau pada lampu neon.
                Bagaimanakah kami akan menguasai dunia ini? Tidakkah kamu teringat kepada kisah Gog-Magog dan tembok Iskandar Zulkarnain? Kami anggap tembok itu sudah lama runtuh apabila setiap orang bebas bersuara. Kami telah meruntuhkannya dengan mewujudkan internet, memberikan lidah-lidah kepada semua warga dunia melalui rangkaian-rangkaian sosial seperti facebook atau twitter. Tembok dan sempadan negara telah dirempuh internet.
                Di dalam negara, kami anjurkan idea-idea kebebasan, kami taja aktivitis-aktivis yang bodoh menentang akta-akta seperti ISA. Dan apabila akta seperti itu dibubarkan, makin mudahlah kami menguasai sesebuah negara dengan menggunakan rakyat negara itu sendiri. Tidak ada perkara sensitif lagi untuk didiamkan. Setiap orang akan bebas bersuara. Api akan mulai membakar.
                Kalau engkau mahu tahu, kebebasan itu adalah anjuran kami. Dengannya kami meratakan semua negara, membebaskan kalian semua daripada undang-undang lapuk yang mengongkong. Dunia ini akan kembali kepada lumrah alam seperti kesimpulan Nietzsche, “yang terkuat adalah pemenang.”
                Siapakah si kuat sebenarnya?
                Di atas kehancuran diktator-diktator ini kami akan mendirikan kerajaan diktator baru berdarah Yahudi yang menguasai seluruh dunia ini.
                Seperti Revolusi Perancis yang dirangka oleh kami, engkau hanya digunakan untuk menjatuhkan pemerintahmu sendiri demi menaikkan kami, walhal kami tidak mungkin menyerang dan menjatuhkan pemerintahmu dengan tangan kami, kerana ia akan menyebabkan seluruh bangsamu bersatu berpaling melawan kami.
                Aku datang untuk mengelirukan kamu, membuat kamu terpinga-pinga tidak mengerti. Sebagaimana kami telah lakukan dengan fahaman Anti-Christ, kamu menganggap ia sebagai anti kepada ajaran Kristian. Memang Kristian itu agama yang terpesong bagimu, maka benarlah ungkapan anti-Christ, tetapi mesej tersurat yang kami bawakan adalah anti-agama. Kerana kristian adalah agama majoriti di Barat, maka kami memakai slogan anti-Christ. Dan timur menerimanya sebagai anti kepada agama Kristian.
                Aku akan menjadi lebih Islam daripada orang Islam. Aku akan menimbulkan persoalan-persoalan agama yang akan membingungkanmu sehingga kamu sendiri akan meragui agamamu.     
                Apabila bangunan World Trade Centre dirempuh, kami telah memberikan sedikit katarsis kepada umat Islam yang berasa tertindas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Zionis. Kamu semua bersorak-sorai gembira: padan muka Zionis! Pergi jahanam Amerika! Pergi mampus Zionis! Amerika yang angkuh telah dimalukan di laman sendiri!
                Bergembiralah kamu seketika. Puaslah kamu sebentar.
                Kemudian Iraq diserang, Saddam Hussein dijatuhkan. Afghanistan dan lagi dan lagi.
                Aku teringat peristiwa di kedai 7 Eleven semalam: aku membelek-belek kondom, tetapi aku membayar tuala wanita.
                Kamu semua sebenarnya sedang dipermainkan. Seperti buih-buih pada musim banjir. Apabila George Bush dikhabarkan berita WTC dilanggar, beliau sedang membacakan buku cerita kepada kanak-kanak di sebuah sekolah dalam keadaan buku itu terbalik.
                Itu semua hanya sandiwara. George Bush sengaja berlakon membaca buku itu secara terbalik agar nanti dunia membicarakan tentang buku terbalik itu, bukan agenda sebenar kami. Seluruh dunia akan dibawa berbicara dari satu isu kepada satu isu lain tanpa penyelesaian, dan dunia akan terus berbalah kerananya.
                Malam ini, tatkala bersendirian di dalam bilik hotel bajet yang  berbau hapak ini, aku ingat lagi semasa aku duduk pada masa kita bertemu tempohari, dan pada saat-saat aku mendedahkan lurah dan sebahagian buah dadaku yang membuat engkau terpukau. Kemudian aku terfikir, sambil melihat cicak-cicak di dinding, apakah yang sedang engkau nikmati saat-saat ini? Sedang minum kopi di kedai mamakkah? Atau duduk di hadapan laptop menulis status-status facebook.
                Aku tertawa sendiri apabila terbayangkan engkau sedang berjuang habis-habisan memuaskan khayalan liarmu, sebagaimana engkau berjuang melawan pemerintah yang engkau dakwa zalim dan kejam itu. Aku terbayangkan simbol genggaman tangan pada poster-poster perhimpunan jalanan. Semuanya syok sendiri. Semuanya sia-sia. Semuanya kosong. Semuanya khayalan. Semuanya fantasi.
                Argh! Esok aku akan menukar gambar profil facebookku. Aku terfikir untuk meletakkan gambar aku memakai kain tudung yang kita beli bersama di Masjid India semalam.



TARIKH MELAYU


TARIKH MELAYU


GOOHA kemudiannya telah digelar sebagai tikus mondok, juga kadang-kadang kucing Parsi, dan salasilah dia diberi nama buruk itu adalah kerana dia hanya berdiam diri dalam senario politik negara yang tegang, tatkala sasterawan dan pemikir-pemikir lain bertungkus-lumus bangkit melawan pemerintah yang kononnya zalim, dengan berlakunya kenaikan harga petrol, barang-barang dapur dan keperluan lain, rasuah yang bermaharajalela, projek-projek mega yang boros dan tidak bermanfaat kepada rakyat, penyelewengan wang rakyat oleh pemerintah dan pelbagai lagi kemungkaran yang berleluasa dalam negara, sedangkan tidak mengangkat pena adalah tindakan yang pengecut dan dayus untuk dirinya yang dianggap antara tokoh sasterawan yang dikagumi buah fikirannya suatu masa dahulu.
                 Ya, tikus mondok kerana kekenyangan, dan kucing Parsi kerana ia tidak lagi menangkap tikus.
                Tetapi dia tidak pedulikan semua gelaran menghina itu, masa akan menyingkap kebenaran itu di sebelah siapa, fikirnya.
                Dia pernah mengarang beratus-ratus buah syair yang tidak dapat difahami maksudnya oleh orang ramai, tetapi telah diangkat sebagai karya-karya besar oleh cendikiawan-cendikiawan negara pada masa itu. Pada hari ini apabila ditanya berkenaan syair-syair tersebut, dia menjawab: “semua syair itu palsu, dusta, pembohongan... seperti kata-kata ahli sihir yang bercampur-aduk dengan kebenaran dan kebathilan. Aku sudah menceraikan diriku darinya dengan talak tiga.”
                Dia sudah remaja pada zaman reformasi akhir 90-an dahulu di Kuala Lumpur.  Pada masa itu dia turut keluar dan berhimpun di jalanraya memprotes pemecatan seorang pembesar negara. Dia lantang membacakan syair-syair mengutuk pemerintah di perhimpunan-perhimpunan protes tersebut. Dia pernah dipukul belantan dan disembur air kimia dalam siri-siri tunjuk perasaan itu, dan dia pada akhirnya berubah fikiran dan menghindari politik kepartian sesudah terjadi suatu peristiwa.
                Suatu malam, tatkala dia berjalan pulang dari merayau-rayau, kerana matanya asyik membaca bintang-bintang di langit gelap, dia telah terjatuh ke dalam lubang najis yang dalam.
                Kemudian dia memilih untuk hidup bergelandangan di kota tanpa tempat tinggal. Merayau-rayau di lorong-lorong kota seperti tikus. Hidup sehelai sepinggang seperti kaum darwis. Orang mendakwa kepalanya telah gegar kerana terhantuk semasa jatuh ke dalam lubang pada malam tersebut.
                Tentu sesuatu yang tidak masuk akal kepada orang ramai apabila dia yang selama ini tokoh yang dihormati tidak menyertai arus gerakan rakyat menentang pemerintah walaupun telah banyak didedahkan kemungkaran dan penyelewengan yang dilakukan pemerintah. Di mana-mana kebencian rakyat terhadap pemerintah wujud. Orang ramai membicarakannya, dari rakyat biasa hinggalah tokoh-tokoh ulama dan pemikir. Tiada siapa yang tidak akan mudah terpedaya untuk memberontak ke atas pemerintah yang korup itu. Tirani ini harus ditumbangkan. Ia telah menjadi suatu trend semasa. Dunia telah mengetahuinya dan sejarah sudah merakamkannya, maka tidak perlulah dituliskan lagi tuduhan-tuduhan itu di sini.
                Apabila orang ramai menceritakan dan mencela kerosakan-kerosakan yang dilakukan pemerintah, dia hanya menunjuk kepada sebatang pokok tua yang hampir mati, pucuk-pucuknya sudah kering dan ranting-rantingnya pula sudah tidak berdaun, sambil berkata: “kamu hanya nampak bahagian atas, kerosakan yang di atas, sedangkan kamu tidak menyedari punca penyakit berasal pada bahagian bawah pokok tersebut, iaitu akar-akarnya.”
                Orang ramai kebingungan mendengar perkataannya itu.
                “Akar! Akar! Akar!” katanya lagi.
                Ketika diminta penjelasan, dia tidak menjawabnya. Dia lalu pergi meninggalkan orang ramai yang terus kebingungan.
                “Gelap ini tidak akan hilang tanpa kehadiran cahaya. Kalian berkhayal mahukan cahaya, mahukan kecerahan, tetapi kalian tidak mahu menghidupkan api. Jika kalian menghidupkan unggun api, nescaya cahaya akan wujud secara automatik. Cahaya tidak akan wujud jika tidak dihidupkan api,” ujarnya mengulas kegelapan negara.
                Tatkala pemikir dan sasterawan-sasterawan lain giat menulis dan mendedahkan skandal-skandal pemerintah di alam maya, dia hanya mengeluh, “orang bodoh pun tahu semua itu. Apa manfaatnya? Najis yang terdedah akan dikerumuni lalat-lalat, yang kemudian akan menyebarkan wabak penyakit ke mana-mana. Aku bukanlah lalat-lalat seperti mereka , yang tidak mungkin dapat menghapuskan penyakit, malah hanya menyebarkan lagi wabak penyakit. Ia akan memudaratkan kepada seluruh negara. ”
                Seseorang telah bertanya padanya, “mengapa kamu mencegah rakyat dari menjatuhkan pemerintah yang korup itu?
                Dia menjawab, “ingatkah kalian kisah Nabi Khidir? Pada suatu malam tanpa diketahui sesiapa dia telah menolong suatu kaum yang zalim di sebuah negeri. Dia telah mengukuhkan dinding sebuah tembok yang hampir runtuh. Di balik tembok itu tersimpan harta pusaka sepasang anak yatim piatu. Kamu tidak nampak apa yang aku nampak sebagai pengajaran daripada kisah ini. Apabila kerajaan hari ini runtuh ketika itu kamu akan menyedari hikmah pendirianku ini. Bahkan semua ini aku lakukan tanpa mendapat sebarang upah untuk menyelamatkan generasi akan datang.”
                Dalam suatu peristiwa lain, kerana sikapnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik itu, seseorang telah berdialog dengannya. Orang itu berkata, “jika kamu tidak mahu menyebelahi pakatan pembangkang dan juga tidak menyokong pemerintah, mengapa kamu tidak berlaku adil dengan bersuara menyatakan kebenaran atau kebathilan di kedua-dua belah pihak? “
                Dia berhujah, “jika aku mendedahkan keburukan atau kebaikan pembangkang dan pemerintah, adalah lebih baik aku memilih menyertai satu pihak, tidak kira di pihak pemerintah ataupun pembangkang. Bersuara di tengah-tengah adalah lebih merosakkan. Apabila aku mendedahkan kebaikan pemerintah, aku akan dipuji penyokong pemerintah dan dikutuk penyokong pembangkang. Dan apabila aku menyatakan kebaikan pembangkang, aku akan dipuji oleh penyokong pembangkang dan dikutuk oleh penyokong kerajaan. Begitu juga terjadi jika aku membicarakan keburukan pembangkang dan kerajaan. Aku hanya akan menjadi batu api, perkataan aku memuji dan mengkritik kerajaan dan pembangkang itu hanya  akan menjadi modal perbalahan dan perpecahan dalam kalangan orang ramai. Itu seperti kerja syaitan, mengadu-domba. Sekalipun kritikan atau pujian aku katakan itu benar, tetapi aku telah menyatakannya di tempat yang salah.”
                “Tetapi pemerintah hari ini adalah diktator yang sangat kejam, yang memekup mulut rakyat, kau harus bersuara mendedahkannya.”
                “Tiada siapa yang dapat mengatur pemerintahan negara dengan lebih baik jika tidak dengan tangan diktator yang berkuasa penuh. Kebebasan bersuara adalah jalan ke arah anarki. Ingatlah, kalian adalah seperti kambing-kambing gembalaan yang harus menyedari bahawa sekalipun punggung kalian dicambuk, itu adalah lebih baik daripada terlepas ke dalam kawanan serigala.”
                Orang itu hanya mentertawakan kata-katanya itu kerana tidak dapat mencerna apa yang mahu dimaksudkannya.
                Suatu peristiwa, ketika mendapat tahu facebook, twitter dan rangkaian-rangkaian sosial lain mulai popular dalam masyarakat, dia telah berlari ketakutan ke sana-sini sehingga pakaiannya terlucut, dan dalam keadaan bertelanjang bogel, dia melaung-laung, “tembok Iskandar Zulkarnain telah runtuh! Tembok Iskandar Zulkarnain telah runtuh! Tembok Iskandar Zulkarnain telah runtuh!”
                Keesokan pagi setelah pada malamnya pihak pemerintah telah mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan, dia kelihatan mundar-mandir di pasar. Wajahnya tampak pucat lesi, seperti sesuatu yang berat telah menimpa dirinya.
                “Rhuwaibidhah juga telah keluar,” bisiknya.
                Di tangannya ada sekarung pisau. Dia kemudian duduk mahu membahagikan pisau-pisau itu kepada orang ramai yang lalu-lalang, termasuk kanak-kanak dan remaja. Pihak penguasa telah menangkap dan kemudian mendakwa dirinya di mahkamah atas tuduhan berniat jahat membahagikan pisau kepada orang ramai setelah salah seorang yang mengambil pisau tersebut telah bergaduh dan menikam seseorang di pasar.
                Di mahkamah dia telah membela dirinya sendiri dengan menyatakan: “pisau itu boleh diguna untuk memotong sayur dan juga boleh diguna untuk mencederakan seseorang, sebaliknya terpulanglah kepada individu tersebut untuk menggunakannya bagaimana. Jadi kenapa aku yang harus dihukum?”
                Pendakwa berhujah bahawa kanak-kanak dan remaja tidak mempunyai akal yang sempurna untuk menggunakannya ke arah tujuan yang betul.
                Dia menjawab, “internet juga seperti pisau, ada orang menggunakannya untuk kebaikan dan ada orang menggunakannya untuk kejahatan. Jika tindakan aku membahagikan pisau itu salah, membenarkan internet kepada semua orang juga adalah suatu kesalahan di bawah logik yang sama.”
                Sebaliknya pendakwa berhujah lagi, “internet tidak boleh membunuh sesiapa, tetapi pisau boleh membunuh.”
                Dengan penuh yakin dan tanpa rasa bersalah, dia menjawab, “internet tidak boleh membunuh sesiapa secara fizikal, tetapi ia boleh menghasilkan kerosakan besar pada minda masyarakat, yang kesannya lebih memudaratkan daripada pembunuhan.”
                Setelah melalui hari-hari perbicaraan yang panjang dan pelik dalam sejarah moden itu, dia akhirnya telah dibebaskan kerana doktor mengesahkan dirinya menghidap sejenis kekacauan mental. Sewaktu berjalan keluar daripada mahkamah dia berkata, “internet ini akan merosak dan menghancurkan kamu semua akhirnya, sebagaimana pisau yang kubahagi-bahagikan itu. Dengan wujudnya internet yang membebaskan suara kalian, kalian sebenarnya sudah mendapat sebilah pisau setiap orang. Dan nanti kalian akan berbunuhan sesama sendiri.”
                Kerana ucapannya itu tidak difahami maksud tersiratnya, dia akhirnya dianggap gila oleh orang ramai.
                Ada sebahagian orang terus setia mengikutinya, mendengar ucapan-ucapan peliknya yang tidak dapat difahami mereka. Dia kembali ke jalanan, berkaki ayam, sambil mengulang bait-bait syair sufi lama ini: “tidak akan tahu manisnya madu jika tidak merasakannya.”
                 “Belahan Iraq, Tunisia, Mesir, Libya, Syria... sudah merasainya...”
                Di negara Tanah Melayu ketika itu, perpecahan politik dalam kalangan bangsa Melayu seperti retak menunggu belah. Sekumpulan tokoh politik orang Melayu telah bersatu dengan tokoh politik bangsa pendatang yang disokong sembilan puluh peratus bangsa mereka untuk menjatuhkan pemerintahan asal yang diterajui peribumi Melayu.
                Seperti yang diceritakan secara lisan, Gooha telah tidak kelihatan di mana-mana tempat yang biasa dia hadiri beberapa lama sebelum Pilihanraya Umum diadakan. Pelbagai versi tentang kehilangannya itu. Ada yang menyatakan dia telah meninggal dunia, dan ada yang menyatakan dia telah lari ke gunung, malah pelbagai lagi teori-teori lain yang tidak masuk akal; tetapi apa yang mahu diceritakan lagi di sini adalah peristiwa selepas Pilihanraya Umum tersebut.
                Sampai hari ini tidak diketahui parti pemerintah atau parti pembangkang yang sebenarnya telah memenangi pilihanraya,kerana pelbagai khabar angin tersebar di dalam internet berkenaan keputusan pilihanraya tersebut, tetapi hakikatnya negara telah dihancurkan oleh revolusi. Suasana panik berlaku. Berita-berita dalam internet telah mengawal tindakan mereka. Berlaku kekecohan besar, huru-hara dan anarki. Tokoh pembangkang menuduh semua itu makar jahat pemerintah yang kalah kerana tidak mahu menyerahkan kuasa secara aman, sebaliknya pihak kerajaan mendakwa kekacauan itu helah pembangkang yang tewas untuk merampas kuasa secara revolusi. Bangunan-bangunan telah dibakar. Ada letupan bom. Masjid, kuil dan gereja telah diserang. Negara lalu diisytiharkan darurat. Orang Melayu telah berbunuhan sesama sendiri. Tempoh darurat ini panjang sehinggalah diadakan pilihanraya baru dengan campurtangan kuasa-kuasa luar. Perlembagaan negara telah banyak diubah. Bangsa-bangsa pendatang yang bersatu telah diiktiraf haknya sama seperti peribumi Melayu.
                Tokoh bangsa-bangsa pendatang itu, dibantu oleh tokoh-tokoh peribumi sendiri yang gila kuasa, telah berjaya mengeksploitasi kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh pemerintah supaya rakyat peribumi berpecah-belah dan memberontak ke atas pemerintah, sehingga mereka yang dibakar emosinya ini terlupa akan agenda bangsa pendatang untuk menguasai negara mereka. Rakyat peribumi telah silau pada kezaliman pemerintah, seperti kelkatu-kelkatu yang tertarik pada cahaya neon, sedangkan tindakan mereka menentang pemerintah itu akan menarik mereka ke arah kebinasaan.
                Orang ramai mulai kembali teringat kepada  Gooha, pengajaran daripada perumpamaan tembok yang diambilnya dalam kisah Nabi Khidir, dan sebagainya tentang dirinya.
                Mereka mulai memahami bahawa kerajaan, dinding atau tembok seperti yang dibayangkan Gooha, jika telah ditumbangkan, akan terbukalah jalan kepada kuasa-kuasa luar untuk menguasai negara ini. Rakyat, seperti sepasang anak yatim piatu dan harta pusaka dalam kisah itu, akan dijarah negara yang mereka warisi dari generasi ke satu generasi, apabila pemerintah yang asal dijatuhkan. Mereka mulai memikirkan bahawa mereka sebenarnya seperti anak yatim piatu kerana tidak mempunyai pemimpin yang hak, dan bagaimana tembok itu seharusnya runtuh selepas sepasang anak yatim itu dewasa, sebagaimana rakyat negara ini harus membetulkan dan menguatkan diri mereka sebelum pemerintahan yang didakwa zalim itu akan lenyap sendiri; kerana dari rakyat yang adil, automatik akan bangkitlah satu pemerintahan yang adil seperti perumpamaan pada sebatang pokok.
                Mereka termangu memikirkan semua ini, bagaimana mereka dengan begitu bodoh telah terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk menjatuhkan pemerintah, sedangkan mereka sebenarnya telah dieksploitasi dan diperdaya sehingga tercampak ke dalam situasi yang lebih buruk. Keadaan mereka dan negara tidaklah lebih baik selepas itu. Bagaimana ramai tokoh yang dianggap sebagai hero penyelamat, pejuang, dan wira rakyat, walhal kumpulan inilah yang telah merosakkan lagi negara dengan tindakan bodoh mereka, bagaimana internet telah menolong meruntuhkan lagi negara ini, dan bagaimana kebebasan bersuara adalah suatu ilusi yang telah memusnahkan negara ini, telah dapat mereka fahami.
                Huru-hara dan anarki dalam negara terus berlarutan tanpa ada tanda-tanda ia akan segera berakhir walaupun pemerintahan baru telah didirikan.


Friday, 24 January 2014

SURAT KEPADA IBU MERTUAKU



SALAM SEJAHTERA...
                Makcik, apa khabar? Masihkah makcik ingat lagi pada diri saya ini?
               Saya belum mati seperti yang makcik anggap dan mahukan. “Roh” saya masih bebas merayau-rayau. Ia sedang dan akan terus merasuk-rasuk fikiran makcik yang berpenyakit aneh itu. Saya juga masih hidup dalam jiwa anak makcik itu, anak gadis yang makcik sayangi, tetapi jiwanya telah makcik derai selalu itu. Saya ini adalah penawar jiwanya.
           Masakan makcik dapat melupai saya! Bukankah dahulu makcik pernah menolak utusan peminangan saya, malah memfitnah saya?
                Sekarang tibalah masanya saya memuntahkan seluruh perasaan saya, dan apa yang sedang berlaku kini, sesudah “tragedi besar” itu.
                Ia sebesar, atau persis sekecil, kegawatan sarkastik bahasanya. Paras hikmah saya dengan makcik sudah sampai maksimum. Jika fikiran saya di dalam surat ini sudah tidak begitu siuman, saya akui. Dan saat-saat ini, dengan akal yang masih waras, saya memohon maaf. Surat ini sengaja ditulis dengan gambaran yang imaginatif seperti fikiran seorang insan yang dilamun marijuana. Sesungguhnya jiwa saya ini amat sakit selepas peristiwa itu. Separuh jiwa saya hampir lumpuh, makcik. Tahukah makcik?
                Pedulikanlah itu semua, makcik! Makcik takkan memahami jiwa anak-anak muda seperti kami.
                Saya akan segera langsungkan surat ini... saya sudah dapat memahami mengapa makcik menolak peminangan saya itu! Pastinya kerana saya ini golongan miskin macam si Kassim Selamat. Makcik pula golongan yang kaya-raya. Saya papa-kedana. Makcik sekeluarga dengan saya tidak setaraf. Seperti kata para pujangga, ibarat langit dengan bumi. Di pekan kita, makcik di antara saga keluarga yang kaya-raya. Makcik khuatir saya akan membawa masuk kaum keluarga saya yang kemacar mencerobohi perbendaharaan makcik. Dan tambahan lagi makcik telah dihasut oleh penasihat-penasihat makcik.
                Itu saja sebab sebenarnya! Makcik takut saya tidak dapat menjagai kepentingan anak-anak dan saudara kroni makcik di kemudian hari.
                Adakah makcik mengikuti perkembangan politik di seluruh dunia akhir-akhir ini? Begitu jijik dan kotor dunia politik, bukan? Yang sebenarnya, saya fikir makcikpun satu spesies dengan politikus juga, penuh muslihat dan kepentingan. Fikiran makcik diselubungi ketakutan yang gila dan tidak masuk akal seperti mereka juga. Mangakulah, makcik.
                Atau marilah kita memikirkan semua ini. Marilah kita merenungi segala-galanya ini dari satu posisi yang lain, makcik.
                Makcik menuduh bahwa saya ini manusia yang gila! Saya fikir dalam situasi ini, nasib saya macam Anwar Ibrahim yang dituduh sebagai pengamal homoseksual itu. Belum sempat saya menjawabnya, makcik terus menambah tuduhan lain... ini satu siri pemusnahan peribadi saya... kononnya saya ini menagih dadah, macamlah tuduhan rasuah ke atas mantan TPM kita itu kemudiannya. Dan makcik terus menambahkan lagi tuduhan-tuduhan lain. Semuanya makcik lakukan untuk menjatuhkan imej dan sahsiah diri saya, sekaligus menghalalkan penolakan peminangan saya di mata masyarakat.
                Kenapa tidak saja makcik katakan bahawa makcik tidak boleh menerima saya kerana saya ini miskin, maka tidak perlulah makcik menyebarkan fitnah-fitnah yang terkutuk itu?
                Makcik terus ulangi tuduhan-tuduhan makcik itu sehingga saya sendiri mulai bertanya apakah tuduhan itu benar, sedangkan sebelum ini saya yakin bahawa saya tidak bersalah, dan saya tahu saya tidak melakukan perkara terkutuk itu. Oh, begitu liciknya serangan mental makcik. Alangkah besarnya kesannya sesuatu yang diulang-ulang selalu! Saya menanggung malu kepada masyarakat, makcik. Bayangkan jika ia tersebar seluruh negara!
                Saya tidak akan mengalah, makcik. Cinta suci saya terhadap anak makcik itu mengatasi segala-galanya. Ia telah membius jiwa saya agar terus melawan kezaliman dan kediktatoran makcik. Macam kata kawan saya, Zack PI, kalau dibius oleh daun qat, jual kura-kura pun tak malu. Inikan pula cinta yang luhur? Semuanya hanya kerana keagungan cinta, makcik. Saya percaya, cinta, sebagaiman keadilan di dalam sesebuah negara, akan mengubah dan membersihkan kekotoran isi dunia ini. Cinta suci kami akan terus tumbuh subur. Cinta suci bakal menyembuhkan segala-galanya. Semakin makcik menindas kami, semakin kuat jiwa dan tekad kami.
                Makcik, saya tidak tahu sama ada Anwar Ibrahim bersih atau tidak, saya tidak mahu peduli, ia urusan mahkamah. Yang pasti, tuduhan makcik terhadap saya sebenarnya satu fitnah jahat. Ia satu “konspirasi peringkat tertinggi”, saya ciplak ulasan Anwar, untuk menolak saya daripada memasuki saga keluarga makcik yang kaya-kaya itu. Saya kononnya akan mencerobohi perbendaharaan makcik melalui anak makcik itu.
                Tidakkah saya ini secara teknikalnya sama dengan Anwar Ibrahim yang didakwa akan meng-Abim-kan Umno?
                Makcik, saya masih dan tetap akan hidup di dalam jiwa anak makcik, meskipun seribu tuduhan lain makcik halakan kepada saya. Saya macam Anwar Ibrahim...lebih tepat saya adalah Anwar Ibrahim yang tetap hidup di jiwa rakyat, meskipun beliau telah dibuktikan bersalah di mahkamah, apatah lagi dengan diri saya yang tidak bersalah ini. Secara teknikalnya saya adalah Anwar Ibrahim. Saya ulangi lagi, saya adalah Anwar Ibrahim.
                Kemudian makcik terus menuduh saya bomohkan anak makcik. Makcik mendakwa saya telah meracuni fikiran anak makcik. Makcik tuduh saya mengajari anak makcik dengan unsur-unsur yang subversif. Macamlah Anwar Ibrahim yang dituduh seorang demagog yang menghasut rakyat memberontak di atas jalan-jalanraya.
                Sebaliknya saya, tidak seperti Anwar, tidak diberi peluang membela diri secara adil.
                Yang sebenarnya lagi, makcik dikelilingi penasihat-penasihat yang jahat, sakit mental, dan berhati dengki.
                Siapakah para penasihat makcik yang bijak-pandai itu?
                Anak saudara perempuan makcik yang menuntut di universiti itu. Makcik, saya fikir, dia mengalami suatu masalah kecacatan mental yang kronik. Adakah patut dia membenci diri saya tanpa sebab, makcik? Inilah agaknya yang dikatakan oleh Sigmund Freud, bahawa kadang-kadang kita boleh membenci seseorang.sewaktu kali pertama kita melihat wajahnya. Barangkali wajah saya ini seperti wajah orang yang selalu mengusiknya waktu kecil. Macam momoklah, makcik.
                Oh, sebenarnya fikirannya sendiri macam komputer yang penuh virus, saya fikir.
                Anak perempuan makcik sendiri, yang bersuamikan seorang tokoh korporat yang sudah duda dan tua pula. Saya tahulah dia seorang yang kaya-raya, dan makcik sendiri lemas dalam kelimpahan kekayaannya itu. Dia juga saya fikir mengalami krisis jiwa. Cuba makcik fikirkan, dia kahwin dahulu tatkala dia masih remaja, baru keluar IPT, fikiran pun belum matang tatkala disodorkan timbunan kemewahan.
                Saya mendapat maklumat daripada sumber perisikan saya, yang boleh dipercayai, bahawa dia kini sedang menderita kecewa.
                Oh, buat apa dengan duit yang banyak?
                Dulu suaminya mungkin 44, dia 24, sekarang dia baru 34, suaminya 54...tidakkah ini sakit jiwa makcik?
                “Inilah padahnya jika tidak mahu mendengar cakap orang tua,” inilah yang sedang difikirnya.
                Bukankah makcik telah menghalang keinginannya itu dahulu? Saya fikir, dia tidak mahu nasib adiknya seperti dirinya itu. Biarlah dia seorang menanggung akibat tidak mahu mendengar nasihat orang tua.
                Oh, apa pula kaitan saya dengan nasibnya yang malang itu?
                Menantu perempuan makcik...dia juga penasihat makcik. Dia ini kaki adu-domba. Dia gembira apabila melihat orang lain ditimpa kesusahan. Di dalam ilmu psikologi, entah apa gejala penyakit ini dipanggil, saya akan rujuk buku psikologi, dan beritahu makcik kemudian. Dia berkahwin dahulu atas pilihan orang tua. Barangkali dia ingin menunjukkan gejala superioritinya, makcik.
                Menantu lelaki makcik pula. Dia pun, saya fikir mengalami satu gejala mental juga. Yang sebenarnya dia sendiri ghairah pada anak makcik itu, dan anak makcik sendiri mengakuinya pada saya. Ini menimbulkan konflik dalam dirinya. Dia khuatir saya akan membocorkan rahsia ini jika kami bersama. Jika di Barat tidak mustahil dia akan meracuni isterinya dan dia kemudian akan merancang mengambil adik isterinya sebagai ganti.
                Nampaknya makcik sedang dikelilingi satu team penasihat yang sakit mental dan berkepentingan peribadi. Macam juga di dalam kerajaan Qarun, penasihatnya si Haman yang jahat itu. Macam juga Si Kitul di dalam cabinet Raja Mandeliar. Sebagaimana juga anggota-anggota kabinet yang wujud dalam mana-mana kerajaan di seluruh dunia. Jika para penasihat makcik seperti ini menganggotai kabinet sesebuah negara, tunggulah masa kehancurannya. Ia akan terjadi sebagaimana yang terjadi kepada kerajaan-kerajaan agung terdahulu.
                Kasihan anak makcik...dia sedang menderita sakit kini. Saya mengetahui semua ini, makcik. Seperti gunung berapi, ia hanya menunggu masa untuk meletup. Jiwa anak makcik itu hanya menunggu masa untuk meledak. Ia akan meledak untuk kali yang kedua. Ia akan lebih kuat letupannya.
                Makcik sembunyikan anak makcik. Makcik sembunyikannya di kota. Makcik pujuk anak makcik itu dengan segala kemewahan dunia. Malah, dengan segala apa yang mungkin diimpikannya selama ini.
                Ini persis sesebuah kerajaan yang memujuk, selain dengan method mengugut, rakyatnya dengan pelbagai tawaran dan habuan yang khayal. Inilah candu sebenar.
                Tidak makcik, semua itu tidak akan mempengaruhi fikiran anak makcik. Semua kemewahan dunia ini tidak akan mempengaruhi fikiran anak makcik. Macam juga rakyat yang tertindas di sesebuah negara,mereka tidak akan terpedaya.
                Makcik mainkan fikiran anak makcik dengan sentimen kekeluargaan. Kononnya anak makcik itu hanya kenal saya mungkin satu atau dua tahun, sedangkan selama ini dia tinggal dengan makcik lebih 20 tahun. Dan saya ini pula berniat jahat memusnahkan hidupnya itu. Tidakkah ini menakutkan?
                Oh, macam juga sesebuah kerajaan yang menyeru rakyatnya bersatu atas asas patriotism demi membentengi serangan penjajahan atau pemikiran jahat negara luar kononnya. Ia sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan dan melupakan masalah sebenar. Perpaduan memang dianjurkan, tetapi untuk mereka terus bermaharaja sesuka hati. Apa gunanya, makcik?
                Dahulu makcik juga menuduh saya gunakan bomoh untuk menyihir anak makcik itu. Oh, macam juga sesebuah kerajaan yang menuduh si spekulator matawang yang menghancurkan ekonomi negaranya! Nampaknya saya seperti penyangak matawang itu pula. Kami telah dijadikan “kambing hitam”. Saya hanyalah hantu yang wujud di dalam fikiran makcik sekeluarga sahaja.
           Makcik seolah-olah tidak pernah mengalami zaman muda. Cinta...ia biasa, ia perkara normal...anak-anak muda zaman ini...jatuh cinta, hendak kahwin. Makcik juga begitu dulu, melawan dan mendakwa orang tua makcik bersifat diktator. Tetapi, inilah yang makcik lakukan pada kami kini. Ingatkah makcik? Makcik juga pernah disingkiri keluarga makcik. Sejarah tidak dapat dipadamkan, makcik.
                Kami yang masih berjiwa muda ini tidak bersalah, makcik, lebih-lebih lagi jika orang-orang tua tidak begitu memahami aspirasi dan tuntutan generasi baru. Kami akan memberontak dengan mencari alternatif di luar rumah. Lebih-lebih lagi makcik telah bertindak seperti seorang diktator.
                Ia juga seperti rakyat sesebuah negara yang ditindas, mereka akan bangun melawan, dan memuntahkan segala perasaan protes di atas jalan-jalanraya sebagaimana di Indonesia.
               Ia, kata orang, kononnya juga menyebabkan Barisan Alternatif ditubuhkan di Malaysia.
               Semuanya tidak perlukan kuasa ghaib. Saya tidak perlukan bomoh untuk memenangi hati anak makcik. Macam sistem tubuh yang sihat, ia tidak mudah dijangkiti kuman penyakit. Tapi, tidak ada gunanya juga jika kita berada di zon/kawasan yang kotor, ia akan membuat kita cenderung menghidap penyakit. Macam fundamental ekonomi sesebuah negara yang teguh, seribu macam manusia penyangak, misalnya George Soros, pun tidak akan dapat meruntuhkannya. Mesti ada yang tidak kena dengan sistem itu.
            Sedarlah makcik, makcik sudah terlalu tua, sehingga saya sendiri tidak tergamak untuk menyatakan makcik sudah nyanyuk. Makcik tidak dapat lagi memahami aspirasi anak-anak muda zaman ini. Zaman Pembaharuan @ Reformation ini tidak lagi mengkehendaki idea-idea makcik itu! Sekarang bukan zaman feudal yang makcik sendiri musuhi secara teorinya itu.
         Idea makcik hebat, seluruh pelosok kampung mengetahuinya, tetapi zaman glory makcik sudahpun lama berlalu. Malangnya, mereka semua sudah muak dengan makcik, kecuali puak-puak berkepentingan sahaja. Sedarlah makcik, makcik hanya diampu sanak-saudara yang terdekat sahaja. Tidak ada gunanya lagi makcik, jika semua orang sudah tidak suka, meskipun sentuhan tangan makcik macam belaian tangan Raja Midas.
                Sedarkah makcik, bahawa makcik menuduh saya menggunakan ilmu hitam, tetapi makcik sendiri yang mempercayai khurafat? Makcik sendiri yang menggunakan bomoh untuk menghapuskan saya dari ingatan anak makcik. Pada hakikatnya, makcik mencari sesuatu untuk dijadikan alasan, untuk memuaskan khayalan makcik itu, dan akhirnya makcik sendiri telah mempercayainya? Oh, oh, bagaimana dengan manusia-manusia lain?
                Sebagaimana juga dengan sesebuah kerajaan yang menuduh para penentangnya menyebarkan fitnah sedangkan mereka sendiri yang melakukannya.
                Saya tidak akan menjadi bodoh seperti rakyat sesebuah negara itu,makcik.
                Makcik sebenarnya sedang dikelilingi fobia, hantu-hantu. Ia malangnya telah makcik cipta sendiri. Saya memahami psyche makcik, makcik khuatir saya ini penagih dadah. Lagi pula makcik sendiri sudah serik dengan najis dadah...anak lelaki kesayangan makcik sendiri kini penagih dadah.
                Persis juga ketakutan seorang Julius Caeser baru yang bimbangkan pembelotan si Brutus, anak muridnya. Ia juga ketakutan yang tidak berasas. Di dalam otak makcik penuh dengan hantu-hantu yang makcik khayalkan sendiri.
                Dan makcik memang memiliki para penasihat yang mahir psyche manusia. Makcik telah membuang anak lelaki makcik itu, makcik mengirimnya ke penjara seolah-olah untuk menunjukkan bahawa saga keluarga makcik masih bernilai dan relevan.
                Oh, macam juga sesebuah parti pemerintah yang memecat keanggotaan ahli-ahlinya yang didakwa menentang parti untuk menzahirkan bahawa organisasinya masih kuat dan mempunyai ahli yang ramai!
                Hebat, kan?
                Makcik telah menekan seluruh fikiran anak makcik. Makcik tidak memberi peluang untuk dirinya membela kebenaran dan keluhuran cinta kami. Makcik menekan fikirannya sehinggadia bertekad lari daripada rumah. Makcik menuduh pula saya yang menghasutnya agar lari. Sebenarnya, seperti yang makcik ketahui kemudian, dia lari seorang diri. Dia sudah bosan berada di rumah macam tunggul kayu mati, di bawah pentadbiran seorang diktator tua. Dan makcik tidak pula mahu mengakui kesilapan dan kelemahan makcik.
                Anak makcik itu senasib dengan rakyat sesebuah kerajaan yang bobrok, yang menekan fikiran rakyatnya, sehingga jiwa rakyatnya menjadi sakit, dan keluar memberontak di jalanan. Memberontak di jalanan bukan cara yang halal, tetapi kerajaan perlu bertanggungjawab. Keadaannya sama dengan makcik. Makcik juga perlu bertanggungjawab. Saya tidak pernah menghalalkan pelariannya itu, makcik, malah untuk merancangnya!
                Makcik merungut anak makcik itu dengan hadith nabi, “syurga di bawah tapak kaki ibu,” atau, “menderhaka kepada ibubapa tidak akan berbau syurga.” Makcik gunakan menantu makcik yang ustazah itu. (Oh, pandai pula makcik mengungkit soal agama, soal syurga-neraka!)
                Dan macam-macam lagi siri perang saraf yang makcik lancarkan k eats jiwa anak makcik. Saya tidak tahu apa lagi selepas ini. Makcik meracuni fikirannya. Makcik brainwash jiwanya. Ini telah membuat jiwanya sangat tertekan dan tidak dapat berfikir secara rasional. Apa semua ini, makcik?
                Ia hanya sementara, percayalah.
                Tidakkah ini juga macam helah sesebuah kerajaan yang zalim, yang mengugut rakyatnya secara psikologi bahawa rakyat telah tidak mengenang budi, dan sepatutnya rakyat tidak menderhaka kepada kerajaan dengan propaganda...”menderhaka kepada negara, seperti menderhaka kepada ibu.”
                Betullah kata makcik, syurga ibaratnya berada di bawah telapak kaki ibu. Soalannya, adakah berdosa seseorang anak yang mahu membuat pilihannya sendiri? Bukankah anak-anak diberi pilihan bebas untuk menentukan siapa bakal suaminya? Anak makcik tidak silap memilih diri saya, kerana semua tuduhan makcik itu semuanya satu siri fitnah. Dan makcik sendiri tidak begitu pasti, apakah semua tuduhan itu benar atau tidak.
                Saya ulangi di sini, saya bukan penagih dadah. Saya bukan pelamun marijuana. Saya tidak pernah tidak waras. Saya ulangi lagi, wallahi, semua tuduhan-tuduhan itu hanya fitnah jahat semata-mata.
                Macam juga sesebuah negara , kerajaan yang adil disembah, kerajaan yang zalim perlu disanggah. Setiap rakyat perlu diberi hak bebas untuk menentukan siapa yang bakal menjadi khalifahnya. Ini negara demokrasi makcik, apatah lagi jika dalam hukum-hakam agama. Setiap anak harus diberi hak memilih sendiri. Kerajaan sesebuah negara yang didakwa zalim itu juga mengadakan pilihanraya.
                Saya fikir, jika terdesak, makcik juga akan tergamak humbankan diri saya ke dalam lubang gelap penjara. Saya akan dapat merasai peri bagaimana kehidupan Anwar Ibrahim yang terperosok di dalam penjara Sungai Buloh setelah dibuktikan bersalah.
                Sekali lagi, saya tidak tahu sama ada Anwar Ibrahim bersalah atau tidak. Yang pasti, saya ini tidak bersalah. Saya ulang-ulangkan ini untuk makcik dan saya sendiri.
                Makcik pasti akan bertindak seperti seorang politikus despot yang desperado, kata orang.
                Makcik akan sanggup lakukan apa-apa saja. Semua cara akan digunakan untuk mencapai matlamat makcik, iaitu menghalang saya daripada bersama anak makcik itu. Makcik telah gunakan adik ipar makcik yang berkuasa itu untuk mengintip pergerakan kami dulu.
                Tidak pernahkah makcik renungi semula apa yang telah makcik lakukan? Makcik berlagak seolah-olah makcik Tuhan. Kenapa saya katakan begitu? Yalah, makcik fikir duit adalah segala-galanya. Macamlah sesebuah kerajaan juga, mereka fikir ekonomi adalah simbol keagungan sesebuah tamadun. Tidakkah mereka lupa kepada kaum Aad, Tasamud, Qarun, Firaun atau Abu Lahab? Mereka fikir hanya golongan mereka yang boleh membangun dan memulihkan ekonomi negara. Tidakkah ini membuktikan mereka juga bertindak ingin menjadi Tuhan macam makcik?
                Sekarang kami berdua sedang aktif melancarkan gerakan underground, gerakan bawah tanah, untuk kami bersama di dunia ini. Sekarang kami menunggu masa yang sesuai. Mungkin juga gerakan kami jika dilihat dalam skop yang besar, ia semacam gerakan massa rakyat Iran pimpinan Ayatollah Khomeini untuk menggulingkan kerajaan tirani Shah Iran. Mungkin juga seperti di negara kita, yang rakyatnya terus berusaha menumbangkan pemerintahan kerajaannya yang kononnya dikatakan zalim. Dan saya tidak mahu peduli,ia benar atau tidak. Yang benar, makcik telah menganiayai saya dan anak makcik sendiri.
                Di sini, kami juga akan berjuang habis-habisan melawan, melawan dan terus melawan. Melawan kediktatoran makcik sehingga kami dapat hidup bersama, atau kami akan mati bersama.
                Jika kelak kami terpaksa berkahwin di Sempadan Siam, janganlah pula makcik menjadi seperti politikus sasau yang mendakwa negara luar masuk campur, atau cuba mengganggu peri ehwal negara jiran.
                Kami kini saling berutus khabar dan maklumat lewat e-mel, sebagaimana juga rakyat yang disekat kebebasan bersuara, akan menggunakan segala medium termasuk internet untuk menyebar maklumat perjuangan. Makcik pernah membakar surat-surat perutusan yang saya kirimkan kepadanya. Oh, makcik juga macam Napoleon Bonaparte yang lebih takutkan penulis daripada satu bala tentera yang kuat itu!
                Kerana makcik telah mengharamkan perhubungan kami, kami telah terpaksa menyeleweng. Kerana cara yang halal telah diharamkan, kami mungkin terdesak memilih keadaan yang salah.
                Seperti sebuah ketidakadilan, ia tidak pernah kekal, makcik. Qarun hancur ditelan bumi. Firaun lemas di dasar lautan. Raja Namrud mampus kerana seekor nyamuk. Semua kebatilan tidak akan pernah kekal, makcik! Makcik, maaf, saya gunakan bahasa kasar di sini, kejatuhan makcik akan sehina itu tanpa diduga-duga.
                Dunia ini adalah sebuah roda yang berpusing-pusing. Kami akan terus-terusan melakukan gerakan yang akan dilabelkan oleh makcik sebagai bawah tanah, juga perang saraf untuk menjayakan impian suci kami membangunkan sebuah saga keluarga.
                Untuk berlaku adil kepada makcik dan seluruh masyarakat kampung kita, saya mengakui yang saya juga berdosa. Saya ingin mengakui dosa saya terhadap makcik dalam satu ayat yang pendek dan padat sahaja, lalu saya minta makcik tafsirnya sendiri, dan mohon maafkanlah diri saya ini...makcik, seluruh tubuh anak makcik itu telah saya sentuhi inci demi inci.
                Makcik, sekali lagi saya memohon maaf. Setiap manusia ada alasan tersendiri terhadap kelakuan dosanya.
                Berada sejak bayi di bawah jagaan kediktatoran makcik, yang sememangnya keras dan biadap itu, anak makcik mahu juga dibelai–belai mesra, dan saya telah memenuhi naluri normalnya. Jika bukan saya, pasti lelaki lain, yang mungkin lebih buas, akan memuasi nalurinya. Tidak ada bezanya di sini.
                Dan, bagi saya sendri, berada dalam kancah dunia yang kotor ini, serta berdarah muda pula, terpalit juga debu serta noda-noda.
                Tetapi, ini bukanlah alasan sebenar makcik menolak peminangan saya. Alasan makcik lain. Makcik sendiri tidak mempedulikan soal moral dalam memilih menantu. Inilah yang saya berontakkan selama ini.
                Maka untuk menebus segala dosa dan kesalahan kami itu, kalaulah dapat ditebus kembali, sepatutnya makcik berikan kami peluang hidup bersama secara sah. Sebagai orang tua dan terlalu berpengalaman, meskipun selama ini hal ini menjadi rahsia, makcik seharusnya dapat menduga apa yang telah kami lakukan tatkala kami bercinta. Ini jika makcik jujur menolak saya atas dasar kerendahan moral saya.
            Cukuplah di sini saja, makcik! Tidak elok jika kita saling membuka pekung di tubuh masing-masing. Kata ahli psikologi, apabila perkara-perkara buruk didedah-dedahkan, ia akan diterima sebagai budaya secara tidak langusng. Ia akan menyerap ke dasar pemikiran manusia, tambah-tambah lagi jika masyarakat sudah sedia bobrok seperti kini. Kesannya manusia tidak akan malu-malu melakukan kejahatan yang sudah popular itu.
               Lihatlah, dengan tuduhan makcik bahawa saya ini penagih dadah, percayalah makcik, ramai anak-anak muda kampung kita yang sudah mencuba menghisap dadah. Berhentilah, makcik. Jangan tambahkan lagi dosa-dosa kita yang sudah terlalu banyak itu.
                Akhirul-kalam, seperti yang saya katakan tadi, saya positif bahawa makcik akan tetap menjadi ibu mentua saya juga akhirnya. Kerajaan demi kerajaan telah bertukar penguasanya. Satu tamadun telah digantikan dengan satu tamadun baru. Yunani, Rom, China, Athen, Sparta... Di Negara seribu pulau, si diktatornya telah pun tumbang. Ini di dalam sebuah saga keluarga yang kecil, terpencil dan lokasinya tidak tercatat dalam peta negara pula.
                Masa untuk makcik sudah agak terlambat.
                Akan tiba masanya untuk kami pula.
                Saya sangat optimis!
                Tunggulah perisytiharan kami!