CATATAN KUNING


PADA hari Sabtu 28 April lepas, saya di Kelantan. Biasanya saya di Kuala Lumpur. Apabila online internet, di sebuah kopitiam, terlihat macam-macam post  dan video perihal Perhimpunan Bersih 3.0. Ramai yang memberi komen-komen, sesuai dengan fahaman politik masing-masing.
Yang menyokong perhimpunan Bersih 3.0, menyatakan pihak penguasa menzalimi para peserta. Dan begitu juga sebaliknya di pihak penguasa. Apakah yang benar hari itu? Semuanya telah menjadi fitnah, kebenaran dan kebathilan telah bercampur-gaul. Rojak.
            Apakah yang benar hari itu? Satu lagi fitnah dan kekacauan telah tercipta dan tidak dapat dihentikan.
            Kita semua tahu, bukan? Ada yang berkata polis menyamar jadi peserta. Ada yang berkata peserta memprovokasi polis. Kereta peronda polis dirosakkan. Kanak-kanak terkena semburan air kimia. Polis cedera. Peserta cedera. Maki-hamun. Sampah-sarap. Macam-macam.
            Saya tidak mahu pergi jauh. Saya tidak mahu pun pergi ke sana untuk mengetahui apakah sebenarnya telah terjadi. Bahkan, tidak perlu pun. Ia juga tidak akan menyelesaikan persoalan. Kadang-kadang kita pergi terlalu jauh, hingga melupakan pokok persoalan dan realiti di mana kita berada.
            Perhimpunan Bersih 3.0 adalah suatu bentuk penentangan halus dan tersirat kepada pemerintah. Pemerintah kononnya tidak adil, zalim dan menipu dalam pilihanraya. Maksudnya kerajaan zalim. Jadi?
            Maka hari itu telah berlalu. Telah tercatat dalam sejarah.
            Saya tidak mahu pergi jauh. Jika saya ke sana pun, saya tidak dapat melihat keseluruhan apa yang terjadi. Saya tidak boleh berada di setiap sudut dan menyelami nawaitu semua orang yang terlibat.
Saya tidak mahu pergi jauh. Jika kita telah mendakwa dan menganggap pemerintah itu zalim, mengapakah kita masih mempersoalkan kezaliman-kezaliman mereka ketika menghadapi penentangan kita? Kezaliman adalah ciri-ciri pemerintah jahat. Bahkan jika pemerintah adalah golongan yang adil sekalipun, mereka juga akan mempertahankan kekuasaan yang dimiliki mereka dengan semua cara.
Hiduplah dalam realiti. Kita telah memilih untuk berkumpul dan menyuarakan kehendak kita, yang bermaksud memprotes kerajaan, menentang kerajaan secara halus.
Tidak perlu teori atau spekulasi yang bukan-bukan. Ia hanya memeningkan dan menambah fitnah. Apa perlunya pelbagai andaian dan agakan jika ia akhirnya tidak dapat disahihkan kebenarannya. Tidak perlu andaian polis menyamar menjadi peserta. Jika benar pun, itu memang normal. Sesiapapun akan berusaha mempertahankan kedudukannya, sama ada dia seorang yang baik atau jahat.
Tidak perlu cadangan-cadangan bagaimana sepatutnya pihak penguasa melayani penunjuk-penunjuk perasaan secara aman ini. Itu tidak logik. Jika mereka mendengar nasihat kita, tentulah tidak timbul penentangan kita. Kita melawan orang jahat secara fizikal, tetapi kita meminta orang jahat tersebut melayani tentangan kita dengan baik. Lucu, bukan?
Kita membawa anak-anak kecil bukan ke funfair, tetapi ke perhimpunan tunjuk perasaan menentang kerajaan zalim. Mestilah tidak ada belon atau buaian roller coaster, sebaliknya semburan air kimia. Kitalah yang bodoh dan kejam ke atas anak-anak kecil itu.
Tamsilkan kita membawa sebuah kereta melalui jalan sehala. Tiba-tiba sebuah lori pasir tersasar ke arah jalan yang menjadi hak laluan kita, apakah pilihan kita? Benar, lori pasir itu ternyata salah. Tetapi mengapa secara automatik, kita akan mengelak ke tepi untuk mengelak perlanggaran?
Kini kita telah memilih perlanggaran. Tidak relevan lagi kita mempersoalkan kezaliman-kezaliman yang dilakukan kerajaan untuk menyekat perlanggaran kita itu.
Penentangan-penentangan ini tidak lebih seperti kayu-kayu yang akan memarakkan lagi api kezaliman pemerintah.
Seperti yang selalu saya katakan dan akan saya ulangi lagi di sini sehingga saya sendiri pun sudah jadi bosan: kita ingin membetulkan penguasa yang zalim dengan cara melawan, dan dalam penentangan itu kita mempersoalkan tindak-tanduk zalim mereka menghadapi kita, wajarkah?
Kita telah memilih pedang untuk melawan kezaliman pemerintah, maka urusan kita telah diserahkan kepada pedang.
Fikirlah perkataan-perkataan di bawah ini.
Dari ‘Amr bin Yazid, dia berkata: “Ketika al-Hassan didatangi oleh sekelompok orang pada masa pemerintahan Yazid bin al-Muhallab, aku mendengar dia memerintahkan mereka tetap berada di dalam rumah masing-masing, dan mengunci semua pintu. Setelah itu dia berkata, ‘demi Allah swt seandainya manusia diberi cubaan dari penguasa, lalu mereka bersabar, nescaya dalam waktu singkat Allah swt akan mengangkat cubaan tersebut. Namun kerana berlindung kepada pedang, maka mereka pun diserahkan kepadanya. Demi Allah, mereka tak sedikitpun menghasilkan hari yang lebih baik’. Kemudian dia membaca ayat:
            “...dan telah sempurnalah perkataan rabbmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka.” (Al-A’raaf:137)

*Catatan yang tak diedit. Berterabur seperti sampah-sampah Perhimpunan Bersih.


Comments