KISAH API


ADA sebuah kisah perumpamaan yang menarik untuk kita fikirkan. Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang suka merenung alam ini bekerja. Kerana tabiat ini, dia telah menemui cara-cara menyalakan api sesudah banyak melakukan eksperimen.
Lelaki itu bernama Nur. Dia telah bermusafir ke negeri-negeri lain untuk menyampaikan pengetahuannya itu, menunjukkan cara menyalakan api kepada seluruh umat manusia yang ditemuinya.
Puak-puak manusia yang berlainan fahaman itu menerima ajarannya dengan pelbagai cara. Ada yang memanfaatkan pengetahuan itu. Sesetengah puak menghalaunya sebelum mereka mengetahui manfaat api tersebut kerana menyangka pengetahuannya itu berbahaya. Kerana disangka syaitan, satu puak telah membunuhnya selepas melihat pertunjukkannya membuat api.
Kisah api ini semakin komplek setelah abad demi abad berlalu. Bangsa pertama yang belajar menghidupkan api telah merahsiakan hal ini. Hanya golongan pendita dan bangsawan yang mengetahuinya, sementara rakyat biasa dibiarkan kedinginan.
Bangsa kedua telah melupakan cara membuat api, tetapi memuja alat-alat untuk membuat api.
Bangsa ketiga mengukir patung batu menyerupai Nur dan memujanya.
Kelompok bangsa yang keempat menganggap kisah api ini sebagai suatu kisah dongeng; sebahagian mempercayainya benar, sebahagiannya lagi menganggapnya sebagai mitos.
Dan bangsa yang kelima benar-benar memanfaatkan sifat api, menghangatkan kedinginan malam, mencerahkan kegelapan malam, memasak makanan dan menempa besi untuk pelbagai kegunaan yang lain.
Abad demi abad, seorang guru yang bijaksana dan beberapa pengikutnya telah melakukan perjalanan ke negeri-negeri yang pernah ditempuhi si pembuat api tadi. Mereka kehairanan melihat budaya kelompok-kelompok bangsa dalam setiap negeri tersebut. Mereka ingin mengubahnya.
Guru yang bijaksana itu pun mengajak pengikutnya memulakan sekali lagi perjalanan, sambil berpesan kepada pengikutnya: “pada akhir nanti, mereka yang masih bertahan bersamaku akan mengetahui masalah kebenaran dan bagaimana mendekatinya.”
Ketika sampai pada satu kelompok bangsa yang sedang melakukan ritual keagamaan, iaitu pembuatan api, para pendita di negeri tersebut telah meminta mereka berkata sesuatu berkenaan upacara itu.
Salah seorang pengikut guru yang bijaksana itu berkata, “saya akan menyatakan kepada mereka.” Tetapi si guru membalas, “baiklah, kalau kamu sanggup menanggung risikonya.”
Pengikut itu lalu berkata kepada penguasa dan sekalian pendita negeri tersebut, “aku juga boleh membuat keajaiban yang kamu katakan sebagai kekuasaan dewa itu. Kalau aku lakukan hal itu, mahukah kamu semua meninggalkan kesesatan kamu yang berabad-abad ini?”
Para pendita telah mengarahkan orang-orangnya menangkap pengikut tersebut. Dan orang itu tidak lagi ditemui selepas itu.
Si guru dan pengikutnya berjalan lagi ke negeri yang orang-orangnya memuja alat-alat membuat api. Seorang pengikut yang berani cuba menyampaikan kebenaran. Dia menyeru kepada rakyat negeri tersebut, “kamu memuja alat-alat untuk membuat sesuatu, dan bukan menikmati hasilnya. Kamu telah melupakan kegunaannya. Saya tahu kenyataan dan asal-usul yang menjadi sebab-sebab upacara ini.”
Orang-orang besar di negeri tersebut menjawab, “kamu semua diterima sebagai musafir di negeri ini. Tetapi sebagai orang asing yang tidak mengetahui sejarah dan adat kami, kamu tidak berhak mempersoalkan agama kami. Barangkali kamu ingin menukar agama kami, kerana itu kami tidak mahu mendengarkan kamu.”
Ketika mereka sampai di sebuah negeri yang memuja patung Nur. Pengikut si guru berkata kepada penguasa negeri tersebut, “patung itu melambangkan orang, yang melambangkan kebolehan yang  boleh dimanfaatkan.”
“Mungkin begitu,” jawab para pemuja patung Nur, “tetapi yang boleh mengetahui rahsia sejati hanya beberapa orang sahaja.”
“Hanya bagi orang yang mahu mengerti, bukan kepada orang yang menolak daripada menghadapi kenyataan,” balas si pengikut.
“Itu bidaah kepangkatan, dan berasal dari orang yang tidak boleh mengunakan bahasa kami secara benar dan bukan pendita yang yang ditahbiskan mengikut adat kami.”
Maka si guru itu pun menyambung perjalanan ke negeri keempat di mana perihal api itu telah menjadi suatu kisah dongengan.
Seorang pengikut guru tersebut telah berkata kepada rakyat yang sedang berhimpun, “kisah pembuatan api itu adalah benar, dan saya tahu cara membuatnya.”
Kekacauan berlaku dalam kelompok itu. Mereka berpecah kepada beberapa kelompok. Sekelompok orang berkata, “itu mungkin benar, dan kalau memang demikian, kami ingin mengetahui cara membuat api.”
Tatkala orang-orang ini diajar, ternyata sebahagian besar mereka mahu membuat api untuk kegunaan sendiri sahaja, dan tidak menyedari kegunaannya untuk kemajuan manusia seluruhnya. Begitu dalamnya dongeng-dongeng keliru meresap masuk ke dalam fikiran orang-orang itu sehingga mereka yang menyangka diri mereka mewakili kebenaran adalah merupakan orang-orang yang tidak berpendirian, yang tidak akan membuat api walaupun setelah mengetahui caranya.
Ada kelompok lain berkata, “jelas dongeng itu tidak benar. Orang-orang ini hanya mahu membodohkan kita semua supaya mereka mendapat kedudukan di sini.”
Dan kelompok yang lain berkata, “kami lebih suka dongeng itu tetap saja begitu. Ia adalah keteguhan bangsa kami sejak nenek-moyang. Kalau kami tinggalkan dongeng ini, dan kemudian ternyata tafsiran baru itu tidak ada gunanya, apa akan jadi dengan bangsa kami?”
Malahan pelbagai lagi pendapat dalam kalangan kelompok rakyat negeri ini.
Rombongan itu akhirnya sampai di sebuah negeri yang kelima. Di sini pembuatan api adalah perkara biasa, dilakukan sehari-hari, dan orang-orangnya juga sibuk melakukan perkara-perkara yang lain.

#ditulis semula daripada Ahmad al-Badawi (meninggal tahun 1276 Masehi).

Comments

Post a Comment