LETAKLAH SESUATU ITU DI TEMPATNYA


“KEADILAN itu,” seperti kata Syaidina Ali ra, “adalah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya.”
            Bagaimanakah?
            Di merata-rata sudut dunia hari ini manusia mendakwa mereka dizalimi, diperlakukan tidak adil oleh pemerintah sehingga menimbulkan fitnah dan huru-hara dalam masyarakat. Mereka bangun melawan, memberontak ke atas pemerintah dengan niat menjatuhkannya setelah kaedah demokrasi gagal. Jika dahulu manusia tidak berani bersuara menentang, sebaliknya kini dengan bantuan internet, mereka lantang berteriak hingga melimpah ke jalan-jalan raya. Internet telah meruntuhkan halangan dan dinding-dinding kekuasaan pemerintah. Satu demi satu pemerintah tumbang, dan ramai dan banyak yang menjadi korbannya.
            Apakah keadilan telah kembali kepada rakyat sesudah penguasa zalim itu ditumbangkan? Tidak. Lihatlah bagaimana satu demi satu negara yang bergolak telah jatuh kepada zionis dan sekutunya melalui pemerintah boneka dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Adilkah ini?
Di manakah sepatutnya kita meletakkan diri dalam konflik yang sangat kompleks ini?
Marilah kita berfikir dan mencari kedudukan yang kukuh untuk melihat krisis ini. Letaklah sesuatu itu di tempatnya, tempat yang sepatutnya.
Diriwayatkan oleh Muslim: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak menjalankan sunnahku. Di tengah-tengah mereka akan berdiri beberapa orang lelaki yang hati mereka seperti hati syaitan yang berada pada tubuh manusia. Hudzaifah bertanya, wahai rasulullah, apa yang harus aku perbuat jika menjumpai hal itu. Baginda menjawab, tetap patuh dan taat kepada pemimpin sekalipun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas, kamu harus tetap patuh, dan taatlah.”
Seperti yang telah ditunjukkan nabi Muhammad saw bahawa akan datang penguasa-penguasa zalim pada zaman-zaman selepas baginda, telah zahirlah hakikat ini. Pesanan baginda agar manusia tetap mentaati penguasa yang zalim sekalipun, tidak diendahkan. Apakah hikmah di sebalik ketaatan ini? Ramai yang mengemukakan hadith-hadith tentang ketaatan kepada penguasa, tetapi apakah hikmah atau rahsia di sebaliknya untuk difahami orang-orang awam?
Sesiapapun tidak mahu dizalimi, tetapi apabila pemerintah zalim menghadapi kita dengan lebih zalim selepas kita menentangnya, kita mempersoalkannya. Soalannya, adakah ini adil atau berfaedah? Jika kita memarahi orang gila, kemudian apabila orang gila itu memukul kita, maka kita melaungkan kepada dunia bahawa orang gila telah menzalimi kita, adakah kelakuan kita ini adil dan bijaksana? Penguasa zalim akan bertindakbalas sebagai orang zalim; begitu juga orang gila tidak akan bertingkahlaku waras. Tidak ada apa yang dapat diubah dalam situasi ini, kecualilah jika kita menasihati; bukan menentang.
Mereka katakan mereka sudah menasihati penguasa, tetapi tidak dipedulikan; dan apakah dengan menentang melalui ucapan dan tunjuk perasaan itu, penguasa akan mendengar dan keadaan menjadi lebih baik?
Adalah tidak waras jika kita menyenaraikan segala kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa zalim. Itu adalah seperti memperincikan sifat-sifat orang gila seperti, misalnya berambut panjang, tidak mandi, tidur merata-rata, busuk, berkuku panjang, kuat menghisap rokok dan terdapat banyak lagi sifat orang gila yang boleh diperincikan sehingga boleh menjadi berjilid-jilid ensiklopedia. Tetapi apakah gunanya? Ia tidak akan mengubah apa-apa. Apa yang boleh diubah adalah sikap kita dalam menghadapi musibah ini.
Seseorang yang mengajak kepada mentaati pemerintah akan ditunjukkan dengan sejumlah fakta dan bukti-bukti kemungkaran pemerintah seolah-olah orang itu adalah penguasa. Menahan diri dan bersabar ke atas pemerintah zalim, bukan bermaksud menyokong kezaliman. Jika benarlah penguasa itu zalim, tentulah mereka bertindak sebagai orang yang zalim, tetapi mengapakah kita mempersoalkannya? Adakah kita boleh mengubahnya? Adilkah begitu? Duduklah di tempat yang sepatutnya. Asingkanlah, jangan campurkan.
Satu soalan, “Kamu menentang penguasa zalim, maka apakah kamu mengharapkan kerajaan yang zalim akan menuruti kemahuanmu?” Jika ia terjadi semudah itu, tidak akan timbul persoalan-persoalan lain. Kita melawan orang gila, dan kita mengharapkan orang gila itu bertingkahlaku waras, wajarkah?
Kita bukan mahu berdebat dan merumuskan apa yang penguasa harus lakukan kepada rakyatnya. Itu sudah jelas termaktub dalam Quran dan hadith-hadith. Tetapi bagaimana kita harus mengubah keadaan ini?
Seperti dalam contoh klasik khalifah Umar al-Khattab meminta diluruskan pemerintahannya dengan pedang, letaklah akal kita di tempat yang sepatutnya. Umar al-Khattab menyatakan demikian kerana beliau adalah seorang penguasa yang lurus dan adil. Ini tidak boleh dijadikan hujah untuk kita mengangkat senjata melawan pemerintah. Ia perkara berbeza. Renungkanlah analogi ini: bersedekah itu perbuatan mulia, tetapi meminta sedekah itu tidaklah lebih mulia dari pencari kayu api.
Kita bukan berhadapan dengan Umar al-Khattab, yang jika beliau silap dan kita meluruskan kesilapan itu dengan pedang, beliau akan meredhai kita dan meluruskan apa yang bengkok itu. Kita berhadapan dengan penguasa zalim yang jika kita membaling dengan batu, maka mereka akan melibas kita dengan pedang.
Kita bukanlah redha terhadap kemungkaran mereka, tetapi kita tidak keluar melawan mereka untuk menahan bencana dan kezaliman yang lebih memudaratkan. Kita bersabar selagi kita masih bebas mengamalkan agama dan penguasa itu pula masih bersolat (masih menzahirkan ke-Islaman mereka).
Jika kita berada di tepi lopak air, janganlah marah jika terpercik air. Beralihlah ke tempat lain.
Dan tanyalah diri, adakah pemerintah yang kita tentang itu benar-benar zalim, atau mereka menjadi kejam atau bertambah kejam kerana penentangan kita? Renungkanlah.
Tulisan ini bukanlah penyelesaian kepada apa yang kita hadapi, tetapi mahu mengajak kita semua merenung dan mempersoalkan tindakan-tindakan kita dalam menghadapi penguasa yang kita dakwa kononnya zalim itu,  sama ada penentangan kita itu lebih memburukkan keadaan atau memperbaikinya.
Ada sesetengah perkara sukar untuk dijelaskan dengan perkataan, tetapi hanya mampu difahami dengan akal yang mahu berfikir. Semoga kita memahami dan tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang tertimpa fitnah-fitnah akhir zaman.


Comments