Wednesday, 7 March 2012

JIWA & RAGA


DAN janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk.”  Surah al-Israa’: ayat 32

DARI mata jatuh ke hati, ke kalbu, ke sukma... kemudian jatuh terjunam ke dalam gaung gelap...
Ini sebuah lagi versi pengembaraan cinta selepas episod Cinta @ Marijuana. Sebuah riwayat cinta yang asyik-maksyuk, dialami spesies manusia yang bodoh sejak zaman-berzaman. Ini disorot dari sudut falsafah dan psikologi, dan penulis merayu pihak bertanggungjawab berusaha mewartakan bahawa bercinta itu suatu kesalahan moral yang patut dilarang sekeras-kerasnya. Gazetkan saja pemabuk cinta itu kesalahannya seberat pelamun marijuana. Lebih psikologikal, kirimlah notis kepada masyarakat, bahawa cinta itu candu yang lebih merosakkan daripada marijuana.

(1). EPISODNYA dinaratifkan begini... kali pertama pasangan sensasi itu terserempak di sebuah kaki lima bangunan kedai runcit sebuah pecan harian rakyat kemacar.
Mereka berpapasan, lalu saling berpaling ke belakang, dan entah bagaimana mereka boleh bertatapan mata... satu saat, dua saat..., lalu melarat sepuluh saat lamanya. Kemudian, perlahan-lahan, si lelaki mengisyaratkan cintanya lewat satu lirikan mata yang romantik dan menggoda. Ia satu lirikan yang sungguh mendebarkan jantung.
Bukankah sinar mata adalah suatu kuasa sihir yang ampuh dan berbisa?
Eh, dibalas pula si gadis lewat senyuman kecil. Ia senyuman unik, yang peri manisnya tidak dapat ditafsirkan mana-mana kamus pun.
Dan mereka berkenalan... bertukar-tukar nombor telefon, mengharap semoga ini bukan pertemuan terakhir.
‘Kita pasti akan jumpa lagi, manisku.’
‘Ya?’
Oh, semalaman itu si gadis tidak dapat tidur lena. Seekor hantu cinta telah sesat dalam otaknya.
Mereka bertemu lagi. Kini mereka berpimpinan tangan. Mereka berdua kelihatan romantik. Agaknya seperti sepasang kelinci putih di tepi kolam, kata penyair sasau kita itu. Akan tetapi, ia tidak terjadi semudah itu. Pada mulanya si lelaki gementar kala mahu menyentuhi tangan si gadis. Si gadis menepis tangan si lelaki, kononnya untuk menzahirkan dirinya masih bermaruah. Lagi pula dia malu untuk membiarkan tangannya disentuh sebegitu mudah; itu hanya menunjukkan dirinya murahan, meskipun dia sangat mendambakannya. Akhirnya dia memegang tangan si gadis dan menciumnya. Gerakannya sekelip mata. Oh, suatu tindakan bijak yang disedari si lelaki sendiri!
Si lelaki hampir setiap hari melafazkan kata-kata cumbuan. Kata-kata yang manisnya bak madu. Lantaran jiwa si gadis kesepian, dan dia mulai tumbuh sebagai anak gadis yang normal nalurinya, ingin dibelai, disayangi dan menyayangi seseorang yang berbeza jantina, dia mempercayai kata-kata si lelaki. Hari-hari si gadis menerima pujian, yang... oh, penuh campuran penipuan, atau pujian yang melampau-lampau bombastiknya.
Kan perempuan macam kucing, gemar dibelai-belai?
Puja si lelaki, ‘pipimu macam pauh dilayang, matamu bak bintang kejora, hidungmu seperti seludang mayang, keningmu persis taji ayam laga, bibirmu ibarat delima merekah, lehermu tamsil...’
Entah dari kamus klasik mana si lelaki itu menciplaknya. Kini si gadis sedang leka bermain angan-angan. Dia kini sedang asyik dilambung ombak cinta yang tinggi menggunung.
Apa yang sudah terjadi kepada dirinya?
Oh, dia sudah berpindah ke dunia lain bersama si lelaki. Dia kini hidup dalam dunia khayali (untuk perhatian: dunia khayali ini cuma boleh dilawati spesies yang menagih cinta, melamun marijuana, atau yang mengalami sejenis gangguan mental). Jiwanya tidak lagi di sini. Ini macam sesetengah sasterawan di negara kita, bergentayangan di angkasaraya. Dia kini seorang insan perindu. Setiap saat dia asyik teringatkan si lelaki sahaja. Semua tingkahlakunya serba tidak kena.
Sebetulnya si lelaki seseorang yang tidak begitu tampan. Akan tetapi, peduli apa dengan ketampanan, katanya! Berapa ramai wanita yang berkahwin kerana ketampanan? Dia amat mempercayai begitu, dan itulah kekuatan atau inspirasinya. Tak perlu ubat guna-guna, ajunya lagi. Kelebihannya pula, dia pandai menggubah kata-kata pujian yang bombastik, macamlah juga sesetengah sasterawan. Lebih istimewa, kenal Sigmund Freud? Dia meniru Freud, menjadi pembicara yang baik dengan kurang bercakap, hanya melatih dirinya banyak mendengar, melayani dan menghargai apa jua luahan kata-kata si gadis.
Ironinya, si gadis seorang perempuan yang cantik-jelita-anggun. Bangun tubuhnya sederhana, berkulit cerah, bersuara manja-lunak, dan matanya, oh, cantik sungguh, sukar diperikan sekali, agaknya macam Bintang Timur. Bolehlah diimaginasikan peri dirinya secantik puteri kayangan dalam otak orang-orang Melayu yang penuh unsur-unsur feudal dan tahyul itu. Nyatanya, menurut persepsi rata-riti lelaki lain, dia memiliki suatu tarikan magis yang tersendiri.
Sebenarnya dia selalu diusik pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya. Bukannya dia tidak mahu menerima lamaran salah seorang pelajar lelaki, yang memang kacak dan popular di sekolahnya itu, yang sudah lama tergila-gilakannya. Akan tetapi, dia tidak begitu meyakini cinta pelajar itu. Sebaliknya, pelajar itu juga masih bodoh, pengalaman cintanya sifar, dan dia nampaknya tidak begitu ikhlas, atau bersungguh-sungguh mahu memiliki dirinya. Ini biasa, seperti wanita lain, si gadis perlu diyakinkan bahawa dirinya memang dicintai sepenuh hati!
Apabila si lelaki dan si gadis bertemu, mereka tidak mahu berbicara tentang hal-hal yang selain daripada kata-kata sinonim ini... cinta, kasih, saying, rindu dan entah apa-apa lagilah, seolah-olah hanya benda itulah yang ada di atas mukabumi yang terbentang saujana luas ini.
Malam-malam si gadis dilanda kegelisahan... dia serba salah, dan tidak menentu, tidak ketahuan rasa jadinya. Sesekali dia berasa khuatir dan cemburu. Sesekali dia merindui si lelaki..., apalah agaknya yang sedang dilakukannya! Pusat pemikirannya satu... si lelaki. Sekiranya dia terpandang sesuatu, misalnya warna biru, dia akan segera mengaitkannya dengan si lelaki, bahawa si lelaki pernah memakai baju yang berwarna seperti itu. Dia menjadi mudah tersentuh dan sensitif orangnya. Dia akan merengus apabila lamunan asyiknya diganggu.
Dan dia kerap merajuk, lalu mohon dipujuk dalam banyak hal, terutamanya dalam soal yang sangat remeh-temeh. Misalnya, jika si lelaki datang lewat apabila mereka berjanji. Sebenarnya semua ini hanya untuk memastikan sama ada si lelaki menyayanginya atau tidak, dan demi memuaskan hatinya. Segala-galanya ini demi perhatian dan kasih-sayang, yang kononnya hampir pupus dalam dunia yang tandus dan kejam ini. Dan si lelaki memang seorang yang bijak dalam lengkok-lurus psyche wanita yang lemah dan bertulang rusuk bengkok itu. Dia selalu mengelak berdusta, kerana dia sedar perempuan memang sensitif jika diketahui dirinya dibohongi.
Tentu sedikit tidak logik pada fikiran orang dewasa, jika dijelaskan bahawa si gadis mengharapkan si lelaki itu bakal suaminya. Kalau boleh, dia mahu dikahwini segera, dan pedulikan saja apa akan jadi kemudian. Apa-apapun, semua ini rasional dan masih lagi masuk akal. Anda harus diperingatkan, ini cinta pertama si gadis.
Bukankah seseorang itu amat mempercayai kekasihnya saat-saat pertama kenal cinta?
Anda sudah lupa, anda juga demikian suatu masa dahulu...
Setiap hari si lelaki akan menghubungi si gadis. Dia akan mengucapkan kata-kata yang manis, tapi ini bukan bermakna dia tidak ikhlas apabila memuji. Ini ikhlas, dan tercetus dari kesedarannya bahawa si gadis memang cantik di matanya yang rambang itu, dan keseksian si gadis menyeksa batinnya selalu. Cuma kata-kata itu terlalu bombastik. Argh pujian, ramai orang alergik dengannya! Kita tahu sesuatu pujian itu dusta, tetapi kita tetap cenderung mahu mempercayainya, kerana pujian apabila dilayani, ia memang mengasyikkan.
Tatkala keluar bersama, mereka akan menghabiskan waktu dengan plot yang sama. Satu lagi, apabila keluar bersama, si gadis yang kerapkali menanggung semua kos perbelanjaan, makan-minum, tiket wayang, malah rokok si lelaki, meskipun selama ini dia agak berkira dalam soal wang. Adiknya meminta belikan coklat pun, dia berkira; kawan pinjam duit sepuluh sen pun, dia akan minta tanpa segan. Kan wanita spesies yang cermat dan cenderung kedekut? Akan tetapi, demi si lelaki, demi cinta, dia tidak mengambil peduli semua itu. Yang penting dia dapat membahagiakan si lelaki. Maksudnya, dia ingin berkorban dengan memahami masalah kemelesetan pengangguran, apatah lagi dia anak seorang yang berada, dan negara pula dilanda kegawatan ekonomi. Dan dia bangga berbuat begitu.
Tentunya apabila selalu keluar bersama sesuatu yang tidak mahu disangkakan akan terjadi.
Mereka terserempak dengan orang tua masing-masing?
Tidak!
Ia sesuatu yang lain.
Yang sebenarnya, mereka telahpun mengisytiharkan diri mereka satu. Sehati sejiwa sinonimnya satu. Maksudnya, cinta selalunya takkan sampai ke tingkat yang teratas jika tidak ada hubungan lahiriah, iaitu cinta yang dirasuki setan!
Jiwa tidak lengkap tanpa raganya, dan jiwa yang kesepian akan merayau-rayau mencari raganya.
Mula-mula tangan si gadis, lepas itu rambut, lepas itu pipi, lepas itu leher, lepas itu bibir, lepas itu buah dada, dan akhirnya... (censored, anda jangan cuba bayangkannya; peri kejinya bayangkan saja sekelamin anjing berjimak).
Si gadis benar-benar berhijrah ke dunia khayali kini. Lihatlah! Dia kini terapung-apungan di balik awan-gemawan yang biru lazuardi. Dia fana seluruhnya. Matanya terpejam rapat.
Akhirnya dia kembali jatuh terhempas ke bumi, ke tanah, lalu terbukalah kelopak matanya.
‘Di mana kita, sayang?’
Si gadis menangis teresak-esak kala menyedari dirinya tidak lagi bernama gadis dalam kamus yang satu lagi itu. Sekarang si gadis bernama si perempuan, meskipun si lelaki tetap bernama si lelaki.
Pelik, bukan? (Inilah agaknya yang diperjuangkan kaum penulis feminisme yang cetek akal itu).
Dia menangis tersedu-sedan, dan menyesal sungguh. Tangannya memukul-mukul dada si lelaki, sambil mengingati wajah ibu dan keluarganya. Inilah, fikirnya, kebenaran pesan gurunya, ‘jangan hampiri cinta. Ia umpama api yang akan membakar seluruh jiwa!’
Akan tetapi, kesedarannya hanya sementara belaka. Si lelaki memujuknya usah cemas usah panik. Dia akan bertanggungjawab sepenuhnya.
‘Kita akan berkahwin, sayang.’
‘Bila?’
‘Nantilah, jika ekonomi negara sudah pulih nanti...’
Oh, asyik-asyik ekonomi negara juga yang dipersalahkan.
Si lelaki memeluknya erat. Si perempuan kembali berasa selamat dan aman dalam dakapan si lelaki. Ini pengalaman pertama mereka, malam pertama pasangan pengantin haram. Babak haram ini berulang lagi pada malam itu juga. Dan si perempuan mulai mengerti, inilah yang sebenarnya digelar cinta yang sebenar-benar cinta. Inilah madu kehidupan yang sedap paling tak terkata.
Beberapa hari kemudian mereka bertemu lagi, dan berulang lagi babak-babak itu... si perempuan hanyut dalam belaian dan cumbuan si lelaki.
Ini berterusan pada hari-hari berikutnya. Si perempuan tidak lagi kekok atau canggung diperlakukan sedemikian, meskipun masih ada sisa-sisa perasaan malu dan bersalah dalam dirinya. Argh, apabila luput perasaan malu dalam diri, perempuan adalah separuh setan! Kini dia sendiri pula yang lebih-lebih menagihinya. Dia akan faham dan amat mengerti apabila si lelaki mengajaknya bertemu di sekian tempat pada sekian jam.
Maksudnya satu... hubungan itu.
Jika mereka tidak bertemu agak lama, si perempuan akan resah-gelisah sepanjang malam, dan melarat ke awal pagi. Dia semacam penagih marijuana yang kronik, dan setiap kecanduan adalah memudaratkan diri, kata Carl Jung, tak kira apa-apapun. Kini dia menjadi moody dan mudah marah-marah.
Suatu hari lain si perempuan keluar ke pekan bersama ibunya. Maaf, jangan ketawakan saya, apa yang akan saya ceritakan ini, macam rentetan babak dalam filem Melayu kita. Si perempuan ternampak sesuatu... dia terlihat si lelaki sedang memimpin tangan seorang gadis lain.
Betulkah? Dia seakan-akan tidak percaya!
Tidak, tidak, tidak, jerit batinnya!
Riak wajahnya bertukar pucat-pasi, dan segala-galanya seperti mimpi yang dahsyat, ganas dan sarat tahyul. Dia pulang dan menangis sepanjang malam sepanjang siang. Dia menangis tersedu-sedu di dalam biliknya tanpa sesiapa mempedulikannya. Dia terfikir, adakah segala-galanya ini mimpi? Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga dalam mimpinya, dan kali ini dia menyumpah-seranah si lelaki...
‘Jantan keparat, bangsat!’
Berbalik kepada si lelaki, dia sebenarnya tidak berniat jahat kepada si perempuan pada awalnya. Cintanya sungguh tulus, cuma dia mulai berubah fikiran kala dia telah sampai ke kemuncak itu. Fikirnya, perempuan semurah itu, apakah layak dijadikan isteri?
Jadi, dia menganggap si perempuan tidak lagi istimewa, dan tidak lagi menjadi rahsia. Sesuatu itu bernilai ketika ia masih diselaputi dara... opps, bukan dara..., rahsia. Bukankah andai emas kedapatan seperti batu di jalanan, ia tidak bernilai apa-apa?
Itu biasa, ramai orang begitu, bukan?
Sebetulnya, u-topia kebanyakan lelaki adalah gadis yang pandai menjaga mahkota kehormatan dirinya, meskipun mereka sendiri sentiasa mahu merosakkannya. Cinta... ia sebenarnya macam sejenis permainan... kita ingin mendapatkannya, dan sedia mempertaruhkan apa-apa saja, tetapi apabila kita memperolehinya, ia sudah tidak bererti apa-apa lagi.
Tidakkah cinta itu pelik? Cinta memang gila, bukan?
Bayangkan jika si perempuan tidak membenarkannya berbuat demikian... apakah cintanya tetap utuh dan teguh?
Persetankan saja si lelaki itu! Biarkan dia mengejar kebahagiaannya yang tersasar itu. Biarkan dia mabuk sendiri. Biarkan dia sesat di dalam rimbaraya cinta. Biarkan dia sasau sendiri. Kita lupakan saja dia.
Sekarang kita kembali memperkatakan si perempuan tadi... di sini, saya si pencatat cerita ini, ingin bertanya anda...
‘Apa perasaan anda jika anda si perempuan malang itu?’
Pedulikanlah pandangan anda! Yang pasti, segala-galanya itu telah musnah dalam hidup si perempuan. Tidak ada gunanya lagi dia menangis, meskipun airmatanya selautan darah, tidak ada ertinya lagi semua itu.
Dipendekkan cerita, suatu hari yang lain, si perempuan merasai sesuatu yang tidak selesa pada seleranya. Dia berasa loya dan mual. Lantas termuntah-muntah. Ibunya hairan..., ‘apa kena budak ‘ni?’ apakah dia keracunan arsenik macam difitnahkan terjadi kepada Anwar Ibrahim itu?
Tatkala doktor memaklumkan dengan wajah yang berkerut seribu, ‘awak hamil tiga bulan,’ dia amat cemas dan ketakutan. Segala-galanya seperti serangan taufan yang kuat lagi tajam. Ia menghempas dan mengheret pergi kesemuanya entah ke dunia mana. Dia sasau dan hampir pengsan.
Dia bimbang ke manakah akan disembunyikan perutnya yang makin hari makin membesar itu? Dan semenjak hari itu dia tidak lagi kelihatan. Ceritanya akan dijedakan di sini seketika.
Enam bulan berlalu..., suatu peristiwa yang selalu dipaparkan di skrin televisyen berulang lagi. Seorang bayi dijumpai berhampiran tong sampah, dihurungi lalat-lalat hijau...
Anda tentu tidak teragak-agak lagi untuk meneka siapa bapa dan ibu bayi malang itu dalam hubungan cerita ini.
Oh, alangkah mudahnya semua ini terjadi, dan alangkah pelik dan kerasnya penangan cinta!
Saya memohon maaf, ini imaginasi bebas saya, tetapi saya tidak menulis sesuatu dari kekosongan. Cinta itu memang naluri manusia. Ia akan menjadi kosong apabila kita telah sampai di kemuncaknya. Ya, selepas ke kemuncak ke mana lagi harus didaki?
Terjunlah anda ke gaung!
Dan apakah anda sekarang sedang asyik-maksyuk bercinta?

#petikan cerpen dari buku Dongeng Pascamerdeka, Azman Hussin, 2001

SESUATU YANG TIDAK PERNAH KITA LIHAT


MENGAPAKAH dalam setiap perselisihan faham dan pertelagahan masing-masing daripada kita tidak mahu mengalah? Kita mati-matian merasakan kita ini benar, dan ironinya orang yang kita katakan salah itu juga menganggap dirinya benar. Mengapa? Apakah yang terselindung dan terhijab? Apakah yang salah jika kedua-duanya benar? Hakikatnya tidak ada orang yang mahu mengakui dirinya bersalah, malah hati nurani mereka sendiri pun tidak pernah menganggap diri mereka bersalah.
            Lihatlah, Crowley seorang penjenayah kejam di New York, yang membunuh sesiapa saja walaupun dengan alasan yang sangat remeh, telah menulis surat terbuka, lebih kurang begini maksudnya: “Di sebalik kemeja saya ini, tersembunyi jiwa yang lesu, tetapi berhati mulia – yang tidak akan melukakan sesiapa pun.”
            Sesuatu yang sangat tidak logik, malahan kontra. Seseorang yang zalim dan berhati kotor tergamak mengakui dirinya berhati suci. Tetapi, percayalah, apa yang dikatakannya itu benar baginya; lahir dari hati nuraninya, bukannya luahan perasaan ego tidak mahu menerima kekotoran jiwanya.
            Atau kisah penjenayah Chicago, Al-Capone, yang menyatakan, “selama bertahun-tahun saya cuba membahagiakan orang, tetapi sebaliknya apa yang saya terima hanyalah sentiasa diburu.”
            Dan kedua-dua tokoh yang “berhati mulia” itu akhirnya menerima ganjarannya, dihukum bunuh.
            Mengapakah semua ini terjadi?
            Kita adalah antara manusia yang tidak pernah melihat diri kita ini silap atau salah. Jika kita benar-benar melakukan kesilapan, hati nurani kita tetap menyatakan kita benar; ini bukan bermakna kita tidak mahu mengakui kesilapan itu, tetapi kita menggunakan hujah-hujah bela diri dengan mengemukakan pelbagai alasan mewajarkan kesilapan kita itu. Maka minda kita tidak pernah berasa bersalah dan kita tetap berasa kita benar walaupun kita sedar kita melakukan kesalahan.
            Jika kita mencuri dan tertangkap, kita akan menyatakan hujah-hujah yang benar bagi menghalalkan tindakan kita. Kita misalnya akan menyatakan kita ini miskin, dibuang kerja, terdesak dan sebagainya, yang secara psikologinya telah meletakkan diri kita tetap berada di pihak yang benar. Dan ini bukanlah suatu helah atau tipu daya, melainkan hati nurani kita memang merasakan kita ini tidak bersalah pada asasnya. Inilah antara sindrom-sindrom yang dihadapi dua contoh penjenayah tersohor tadi.
            Kita hanya melihat dunia dan semua permasalahan hanya dari sudut pandangan kita  sebagai individu. Kita tidak mahu atau cuba melihat realiti dari kacamata orang lain.
            Bukanlah bermakna kebenaran itu tidak wujud, tetapi kebenaran itu tersorok dari pandangan kita.
            Umpamakan konflik antara pekerja dan majikan. Pekerja akan berfikir mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguntungkan syarikat, dan sepatutnya diberi gaji yang lebih tinggi atau bonus. Sebaliknya majikan berfikir pekerja belum melakukan yang terbaik lagi untuk menguntungkan syarikat dan tidak perlu menuntut apa-apa supaya syarikat terus wujud dan mereka terus dapat bekerja.
            Siapakah yang benar dalam hal ini? Tidak ada sesiapa yang benar, melainkan kita terlebih dahulu menjawab siapa kita, sama ada pekerja atau majikan. Jika kita pekerja, kita akan menyatakan pekerja yang benar; dan jika kita majikan, kita akan menyatakan majikan yang benar. Itulah realitinya. Itulah kebenaran. Kita terperangkap dalam jaring individualiti kita: kitalah yang benar.
            Begitu juga dalam perselisihan faham suami-isteri. Bukan suami atau isteri yang salah, tetapi sama ada kita ini suami atau isteri. Itulah hakikatnya tanpa kita sedari, iaitu di pihak mana kita berada, di pihak itulah kita anggap benar.
            Di sini ada sebuah kisah klasik yang boleh direnungkan, untuk kita sama-sama mengambil tauladan dan iktibar hidup. Mari kita selami mesej cerita sinis Abu Nawas yang penuh hikmah ini.
            Dikatakan pada suatu hari dua orang jiran Abu Nawas telah bergaduh berkenaaan sesuatu perkara yang tidak diketahui. Si jiran yang pertama telah datang menemui Abu Nawas, lalu menceritakan dan mengadukan perihal buruk jiran yang kedua. Abu Nawas hanya mendengar dengan penuh perhatian, lalu berkata, “wahai orang yang budiman, engkau memang benar.”
            Tidak lama kemudian muncul pula jiran yang kedua. Dia juga datang mahu mengadukan pergaduhannya dengan si jiran yang pertama tadi. Seperti jiran pertama, jiran kedua juga bercerita dari sudut pandangannya. Dan seperti biasa, Abu Nawas mendengar dengan teliti, kemudian dia berkata, “wahai orang yang bijaksana, engkau memang orang yang benar.”
            Isteri Abu Nawas yang mendengar kedua-dua pengaduan ini berasa hairan, lalu segera mempersoalkan perkataan Abu Nawas yang membenarkan dakwaan kedua-dua orang jiran yang berselisih faham itu.
            “Abu Nawas, engkau menyatakan kepada kedua-duanya orang tersebut bahawa mereka benar. Ini mustahil. Jika salah seorang daripada mereka itu benar, sudah pasti yang seorang lagi itu pembohong. Atau kedua-duanya tidak benar.”
            Abu Nawas tunduk mendengar kata-kata isterinya, dan dengan penuh yakin, dia berkata, “sayang, ketahuilah.. engkau juga termasuk orang-orang benar.”
            Semua daripada kita akan berasa dirinya benar jika kita hanya melihat dari sudut fikiranya sendiri sebagaimana kisah di atas, dan Abu Nawas juga memberi penghakiman berdasarkan sudut pandangan orang yang bercerita kepadanya.
            Sekiranya kita berlapang dada, cuba memahami sudut pandangan lawan komunikasi kita, dan cuba berfikir dan melihat dari sudut yang berbeza, tidaklah dunia ini terus-terusan dalam konflik dan kegelapan pertikaian dan perbalahan. Marilah kita cuba melihat dan memahami dari sudut kacamata orang lain yang kita anggap tidak benar itu, mungkin ada kebenarannya. Inilah sesuatu yang tidak pernah kita lihat. Mungkinkah kita juga di antara orang yang kita dakwa tidak benar itu? Mungkinkah dalam minda kita juga tersembunyi seorang penjenayah yang mati-matian menyatakan dirinya itu adalah benar? Fikir-fikirkan.

Saturday, 6 August 2011

KEBENARAN DAN KEMENANGAN


APAKAH kebenaran? Apakah kebenaran tidak boleh dicapai?
            Manusia adalah bebas berfikir dalam mencari dan menemui kebenaran yang mahu diyakini dan diikutinya.
            Dalam pencarian ini akan berlaku debat dan pertikaian.    
Dalam perdebatan, akan berlaku pertembungan pendapat. Bagaimanakah kita akan mempertemukan dua (atau lebih) aliran pendapat tersebut?
Jika setiap manusia menganggap kebenaran itu adalah seperti citarasa individu, dunia ini akan berkecamuk dan akan penuh dengan pertentangan demi pertentangan yang merosakkan.
            Misalnya, manusia biasanya akan berkata itu pendapat masing-masing jika seseorang mengeluarkan suatu pendapat. Apakah natijahnya?
            Kebenaran telah disamakan dengan citarasa individu seperti selera makan, warna kesukaan atau kereta impian. Walhal kebenaran adalah hakiki dan mutlak.
            Setiap kali saya selesai bercakap atau menulis sesuatu idea, saya akan tanyakan pandangan kawan-kawan berkenaan idea tersebut. Maksudnya, betulkah idea saya itu dan jika salah, apakah yang betul.
            Malangnya saya akan diberi komen sebegini: apa yang ditulis itu adalah betul bagi kamu, kerana itu pandangan kamu. Orang lain ada pandangan yang lain.
            Orang akan menganggap idea saya itu hanyalah pendapat saya, dan tidak penting sama ada ia betul atau tidak.
            Maka idea saya itu hanyalah jadi seumpama sejenis kek. Sama ada ia sedap atau tidak, bergantung pada selera orang yang menikmatinya. Kita tidak boleh memaksa seseorang itu suka atau tidak dengan sepotong kek itu. Kerana ia adalah pilihan peribadi. Apakah kebenaran itu semurah itu?
            Tiada orang berminat lagi mencari kebenaran di dalam satu-satu perkara. Manusia telah membiarkan kebenaran itu jadi tidak penting. Akal manusia tiba-tiba menafikan pentingnya kebenaran untuk diketahui.
            Maka apakah kebenaran?
Kebenaran bukanlah dari akal fikiran manusia. Akal hanyalah alat atau kuda tunggangan untuk menuju kebenaran. Akal tidak dapat mencipta kebenaran.
            Secara logik akalpun, sesuatu yang lahir dari akal bukanlah kebenaran. Jika kebenaran itu dari akal, setiap manusia berakal akan mencipta kebenaran masing-masing. Jika semua kebenaran ciptaan manusia ini adalah kebenaran, mengapakah kebenaran-kebenaran ini saling bertentangan dan mencetuskan pertelagahan dan mengorbankan nyawa?
Jika ia adalah kebenaran, tentulah tiada lagi pertentangan. Malah jika kebenaran itu dalam jumlah yang banyak, kebenaran itu adalah palsu. Kebenaran adalah satu. Bukan dua atau tiga. Jika begitu, bagaimanakah mencari kebenaran dalam jutaan kebenaran ini?  Tak mungkin.
            Kebenaran itu ternyata bukan dari akal manusia. Kebenaran itu ada pada  sesuatu yang bukan bersifat manusia. Manusia dipengaruhi nafsu. Manusia adalah lemah. Manusia adalah jahil. Kebenaran akal manusia akan berlaku tidak adil kepada manusia yang lain. Kebenaran yang tidak adil kepada manusia yang lain adalah bukan kebenaran. Kebenaran adalah adil kepada semua manusia, walaupun manusia berlaku tidak adil kepada kebenaran.
            Tuhanlah kebenaran. Kebenaran yang diwahyukan Tuhan dan terkumpul dalam kitab suci serta disampaikan pesuruh-Nya. Kebenaran ini adalah benar. Kerana manusia adalah lemah dan saling bertelagah untuk mencari kebenaran.
            Malangnya dalam mencapai kebenaran manusia telah mempergunakan kebenaran untuk mencapai kebenaran yang dihasilkan akal fikiran yang tidak benar.
            Mengapakah manusia tidak terus pergi kepada kebenaran? Kerana kebenaran itu berdiri sendiri tanpa perlu dinyatakan kebenarannya. Mengapa manusia mencipta pelbagai sistem untuk menegakkan kebenaran sedangkan kebenaran itu sudah memiliki sistemnya sendiri.
            Kebenaran itu satu walaupun ia milik semua orang. Jika tiada satu orang pun mempercayai kebenaran, kebenaran adalah tetap kebenaran, kerana kebenaran itu bukan pada kuantiti atau individu.
            Kebenaran itu kekal. Ia tidak berubah seperti kebenaran akal manusia. Jika kebenaran itu berubah-ubah sifatnya, ia tidak stabil. Alangkah hinanya kebenaran jika ia bergoncang  oleh perubahan masa dan tempat.
Mengapakah manusia yang menemui kebenaran ini masih tidak menyakini kebenaran? Mereka masih menggunakan akal fikiran  yang tidak benar itu tadi untuk melawan ketidakbenaran dan keengkaran pada kebenaran. Mereka ingin menegakkan kebenaran tetapi mereka memilih jalan yang tidak benar dari akal fikiran manusia yang tidak benar. Seolah-olah mereka tidak yakin kebenaran akan memenangkan mereka sama ada mereka kalah atau menang di mata dunia.
            Apakah kebenaran itu perlu menang? Kebenaran itu sebenarnya adalah kemenangan. Jika kebenaran itu diukur pada menang atau kalah, ia adalah hina dan lemah. Kelemahan bukanlah kebenaran yang sebenar. Kebenaran adalah kemenangan.
            Marilah menuju kebenaran. Marilah menuju kemenangan. Hayya ‘alash solah hayya ‘alal falah.

Friday, 22 July 2011

PERIHAL KEBAHAGIAAN DALAM TAMADUN MODEN




BAHAGIAKAH kita hidup dalam peradaban zaman teknologi dan moden ini?
Bolehkah kita mendakwa kita lebih maju, maka kehidupan kita lebih berbahagia berbanding orang-orang asli di hulu pedalaman dan pergunungan sana? Sebaliknya, apakah manusia tidak bertamadun di dalam hutan-hutan itu tidak berbahagia kerana mereka hidup secara primitif dan tidak bertamadun?
            Inilah juga persoalan yang pernah diungkapkan oleh Albert Einstein, saintis tersohor berbangsa Yahudi.
 Apakah ukuran kebahagiaan?
            Mari kita renung dan bandingkan. Tamadun moden yang kita jalani dan hidupkan hari ini jelas berpaksikan kepada pencapaian lahiriah, fizikal atau jasadiah. Tamadun yang sentiasa berusaha dan bermotivasikan pemuasan nafsu dan kehendak duniawi manusia. Jika dahulu kita berbangga kelajuan maksima sesebuah kereta adalah sekitar 300km sejam, sekarang teknologi pembuatan enjin dan casis kereta telah mencipta Buggati veyron, Mercedes McLarren atau Lamborghini, misalnya, dengan kelajuan melebihi 400km sejam. Tetapi ini tidak berakhir di situ. Usaha-usaha untuk meningkatkan kelajuan ini terus berjalan tanpa henti. Malangnya, nafsu dan keinginan manusia ini tiada hadnya.
            Tamadun yang dibanjiri pelbagai produk moden untuk kemudahan dan keselesaan manusia seperti telefon, televisyen, komputer, kenderaan, makanan, pakaian, peralatan rumah dan sebagainya. Sesuatu yang tidak kedapatan dalam masyarakat primitif. Dan dalam masyarakat moden hari ini, setiap masa produk-produk itu dikemaskini menjadi lebih baik, maka manusia terpaksa mengejarnya untuk tidak dilihat ketinggalan.
            Benar, manusia moden kini tidak lagi mengalami kebuluran. Tiada lagi kedengaran kes-kes kematian kerana kelaparan atau tidak mendapat gizi makanan seimbang. Tetapi malangnya, manusia mati menderita berpunca dari terlebih makan kerana menurut nafsu. Darah tinggi, obesiti, diabetis dan serangan jantung kerana kegelojohan nafsu makan dan sumber bahan makanan itu sendiri. Sepatutnya semakin tinggi kemajuan peradaban manusia, maka semakin manusia lebih sejahtera dari segi fizikal dan mental.
            Jika tamadun kita hari ini semata-mata mengejar material, kehidupan orang asli di dalam hutan adalah lebih baik dari segi fizikal dan mental. Musuh orang asli di dalam hutan adalah harimau, gajah, kala jengking dan binatang buas lain. Dalam masyarakat moden, ramai manusia mati dalam kemalangan jalanraya dan penyakit aneh-aneh hasil akibat gaya hidup moden. 
            Suasana kerja manusia zaman moden dalam pejabat berhawa dingin dan tidak mengeluarkan peluh. Malangnya, untuk mengeluarkan peluh, mereka terpaksa ke gim melakukan aktiviti  dan senaman. Dan, sinisnya, caj atau yuran dikenakan untuk aktiviti mengeluarkan peluh itu. Sedangkan orang asli bekerja secara semulajadi dengan tulang empat keras dan dalam masa yang sama mengeluarkan peluh.
            Teknologi moden hari ini ternyata tidak lagi membuat manusia gembira. Tamadun yang meletakkan kepercayaan agama ke dalam tong sampah sejarah. Agama hanya menjadi suatu upacara tradisi yang semata-mata dihormati, tidak lagi dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Apa yang ada hanyalah siapa kuat dan siapa lemah. Tidak wujud lagi tali persaudaraan dan tolong-menolong, melainkan syak-wasangka, persaingan yang tidak sihat dan saling dengki. Tamadun moden juga melahirkan pelbagai jenis penyakit fizikal dan mental. Serangan virus selesema burung, misalnya. Sementara jiwa manusia pula diserang pelbagai jiwa tekanan yang kronik seperti kemurungan, skizofrenia dan sebagainya.
            Manusia kini tidak lagi memikirkan pencapaian kerohanian, tetapi pencapaian material. Televisyen, telefon, kenderaan atau kediaman yang selesa tidak akan dapat membantu pencapaian kerohanian. Tamadun yang membuat manusia semakin takut menghadapi hari-hari esok dan lebih percayakan wang daripada Tuhan. Kerana ketakutan itu mereka mengumpul wang untuk masa depan mereka. Secara psikologi, tiada lagi pergantungan kepada tuhan. Manusia tanpa sedar telah meletakkan wang adalah segala-galanya. Apabila manusia mempercayai wang, akan makin teguh sistem tamadun moden ini berputar membentuk lingkaran yang lebih luas dari semasa ke semasa, sehingga nilai duit semakin kecil walaupun pendapatan makin bertambah.
            Katakanlah bagi golongan miskin, mereka hidup kesempitan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan lain yang sebenarnya berasal dari kehendak-kehendak untuk menyelesakan kehidupan, adakah golongan kaya dalam masyarakat moden hari ini berbahagia, jika dikatakan wang itu sumber kebahagiaan? Mereka yang kaya juga terus bekerja keras seperti golongan miskin dan sentiasa mengejar kekayaan seperti mereka ini tiada wang sebagaimana golongan miskin. Seolah-olah tiada bezanya miskin dan kaya dalam dunia hari ini.
            Apakah manusia moden ini menikmati kehidupan? Bangun pagi, pergi kerja, balik dan tidur. Suatu ulangan seperti Sisyphus dalam dongeng Greek yang dihukum oleh Dewa Zeus menolak sebongkah batu ke atas bukit, kemudian digolekkannya kembali ke bawah, dan ia berulang-ulang. Kerja tidak lagi menggembirakan, sebagaimana orang asli dalam hutan bergembira sewaktu keluar berburu babi hutan diiringi nyanyian dan bunyi-bunyian. Lalu manusia moden memerlukan pakej percutian untuk menikmati kehidupan. Jika kemajuan teknologi itu membuat manusia lebih baik, tentulah semakin turun indeks-indeks kes jenayah atau masalah kejiwaan manusia. Kita bukan ingin mengajak kembali ke zaman primitif. Tetapi, apakah kos kemajuan yang terpaksa kita bayar ini berbaloi untuk ketenteraman kerohanian dan fizikal kita?
            Sama ada teknologi itu lebih baik atau tidak berbanding budaya primitif, yang nyata teknologi yang kita agungkan ini perlahan-lahan telah merosakkan bumi ini. Bukit-bukit diratakan, sungai dan lautan tercemar, udara dikotori karbon dioksida, telinga dengan bingit jentera dan sampah-sarap industri yang bertoksik. Itulah korbannya.
            Seperti kata hukama, dunia ini umpama bayang-bayang; kita tak mungkin dapat mengejarnya. Atau, dalam pengetahuan sains, seperti fatamorgana (ilusi atau maya) wadi air di tengah padang pasir yang luas. Setiap kali kita cuba hampiri, ia hilang.  Atau juga seperti kata-kata ilustrasi moden seseorang yang saya sudah lupa siapa, bahawa kemajuan hari ini adalah seperti sebuah signboard baikpulih jalanraya yang tertulis: kerja-kerja sedang dijalankan untuk kemudahan anda di masa hadapan.
            Apa atau bilakah masa depan itu?

MANUSIA, TEKNOLOGI & U-TOPIA



KETIKA ditanya Mohd Dahri Zakaria, seorang penuntut IPT, untuk bahan kajian tesisnya, ke atas antologi cerpen saya, Dongeng pascamerdeka (Pustaka Pemikir , 1999), perihal pemikiran, falsafah, tema, u-topia dan segalanya dalam dunia penulisan saya, langsung saya teringatkan ucapan seorang ahli fizik.
            Saintis tersohor itu, Albert Einstein (1879-1955) pemenang Hadiah Nobel 1921, dalam satu ucapan meraikan mahasiswa-mahasiswa California Institute of Technology, sinis mempersoalkan hakikat dan nilai ilmu dikuasai oleh manusia.
            Nada ucapannya separa pesimisitik. Ucapan pendek beliau pada tahun 1938 itu terkumpul dalam buku A treasure of Science, 1946.
            Penting diketahui, ucapan itu dilafaz sekitar usianya menjelang 60 tahun, sesudah banyak penemuan sains, terutamanya fizik dan teknologi dirintisnya.
            Keluhnya, “mengapa ilmu yang indah itu, yang menghemat tenaga dan membuat hidup kelihatan lebih selesa, hanya menyumbang sedikit kebahagiaan dalam tamadun kehidupan manusia?”
            Soalnya lagi, “ketika manusia diancam peperangan, ilmu dan teknologi membuat manusia saling membunuh lebih cepat, lebih ramai, dan lebih kejam; sebaliknya di bawah bendera perdamaian, ilmu dan teknologi juga membuat jiwa manusia dikongkong dan merana gelisah.” Ini barangkali keluh kekesalan Einstein mengenang apa dihabiskannya ketika zaman emasnya, mencipta dan mencari kebenaran material, dan menyelesaikan masalah bagaimana untuk hidup sehingga terlupa tujuan hakiki hidup.
            Apa dirungutkannya itu wajar difikirkan. Sebenarnya lagi, secara kebetulan, persoalan ini kerap dibahas dalam hampir majoriti tulisan saya. Mencari, menyoal, dan menyelidik persoalan falsafah dan manusia. Apa kebahagiaan? Apa kebenaran? Apa makna hidup?
            Mengulangi kemusykilan Einstein, “apa mukjizat ilmu bagi kita semua?”
            Dan anologi dikemukakan Einstein seterusnya: perbandingan manusia India tidak bertamadun dengan umat manusia beradab lain.  “Adakah warga India tidak bahagia, atau kurang kayakah pengalaman mereka?”
            Yang nyata, terdapat suatu ironi – warga dunia bertamadun tinggi juga diketahui meniru permainan bangsa India yang ditakwil tidak beradab itu.
            Natijahnya juga, teknologi dalam bentuk terkini memufliskan moral manusia. Suatu cerita menarik perihal kecelakaan teknologi ini, terkandung dalam mitos Greek: seorang penguasa tamak, Raja Midas memohon pada Dewa Dionysus, agar setiap yang disentuhnya menjadi emas. Impiannya ditunaikan, segala benda yang disentuhnya menjadi emas, emas dan emas, sehingga permaisuri dan makanannya turut menjadi emas.
            Itulah kecelakaan teknologi, kata Ziauddin Sardar.
            Dan apapun mahu dicapai manusia,, tujuan asas pencarian hidup manusia adalah untuk menikmati kebahagiaan. Seorang penyanyi yang lincah menghibur masyarakat di atas pentas, sebenarnya belum tentu dapat menghibur hatinya sendiri. Seorang seniman, tidak dapat tidak, memburu kebahagiaannya sendiri. Apatah lagi seorang penagih candu yang juga mahukan kebahagiaan.
            Oleh kerana itu, saintis unggul tokoh abad ke 20 ini, ketika mengenang kemajuan ilmu yang gagal mengubah tamadun kehidupan lebih u-topia atau lebih baik, berkata, “ilmu sepatutnya membuat kehidupan manusia lebih selamat, lebih bahagia, lebih selesa.” Apa yang terjadi adalah sebaliknya.
            “Teknologi dalam peperangan memungkinkan kerosakan,” diulangi lagi katanya, “sekiranya negara aman, manusia diperhambakan teknologi.”
            Einstein langsung mengemukakan lagi contoh: “umat manusia menjalani hari panjang dan monoton, pulang dan mengecapi buah kerja tidak semanis mana dengan rasa gemuruh, kemudian mati.” Ini saya kemukakan dalam cerpen Bukan, Bukan, Bukan, Soliloquy dan Mencari Godot.
            Jadi sekali lagi, “apa mukjizat ilmu?”
            Yang jelas, moral dan akhlak manusia semakin bobrok ditelan kemajuan material dan teknologi.
            Ini juga dapat disaksikan dalam kehidupan seharian sesiapa dan di mana-mana pojok dunia manapun. Manusia gelisah, gila kuasa, sakit jiwa, gila pujian, fobia, paranoid, eskapisme, devian, dan gila segalanya.
            Kerana itu terdapat ragam watak dan personality manusia merana, ragu, pesimis, tamak, inferiority/superioty complex, fobia, devian, tidak tentu hala dan sebagainya seperti tadi, dalam karya kreatif saya. Sememangnya realiti dunia yang dihadapi mutakhir ini, imejnya langsung terpancar dalam kerja kreatif seseorang seniman. Seniman, selaku pemikir masyarakat, akan ditanya batinnya: mengapa hidup manusia tidak berbahagia? Apa penawar segala kompleks kejiwaan ini? Apakah jalan mencapai kebenaran dan kebahagiaan hakiki?
            “Adakah benar kita belum lagi belajar bagaimana mempratikkan ilmu secara wajar,” lanjut Einstein lagi.
            Fasal kebahagiaan, beliau mengungkap lagi satu anologi yang bijaksana: “seorang anak muda mengahwini seorang wanita yang agak buruk watak zahirnya, dan dia ditanya sama ada dirinya berbahagia atau tidak.”
            Anak muda itu menjawab, jika saya mahu mengakui perasaan sebenar, saya harus berbohong.
            Semua ini membuat fikiran seseorang penulis seperti saya kritikal terhadap dogma politik, sosial atau ekonomi. Dalam ekonomi, suatu masa dahulu Karl Marx menjadi idola – sama rasa sama rata. Ternyata kemudian mana mungkin seorang lelaki yang berpoligami membahagikan kain sama elanya kepada dua orang isterinya yang berlainan saiz badan. Syurgapun bertingkat. Bahkan, dalam komunisme, sekalipun dibuang unsur atheisme, manusia akan sesinonim haiwan merebut bangkai (atau dunia, kias Syaidina Ali). Rujuk cerpen Surat kepada Rausyanfikr, Khayali, Korban dan Dunia oh Dunia.
            Dalam politik, untuk menang, manusia menghalalkan segala kaedah kerana politik adalah dunia tipu muslihat. Demi menjaga survival parti, para ulama parti menghalalkan cara kotor untuk menang, dan secara tidak langsung, menolak kaedah luhur agama, iaitu dakwah. Untuk menang, segala kebajikan dan jasa parti didedahkan kepada umum. Tidak ada keikhlasan lagi. Untuk menang, segala keburukan lawan didedahkan (rujuk cerpen Pergi Jahanam dengan Politikus).
            Sinisnya, Einstein pernah menolak jawatan penguasa tertinggi negara haram Israel yang ditawarkan kepadanya.
            Akhirnya, semakin banyak menulis, semakin kita sedari betapa bodohnya kita, dan sekiranya langsung tidak menulis, saya kira saya tidak tahu apa kebodohan saya. Apa yang ditulis kelmarin, hari ini kelihatan begitu bodoh. Apa yang difikirkan betul hari ini, esoknya diketahui palsu. Banyak juga tulisan langsung menelanjangi kecetekan akal. Menulis karya kreatif seperti membogelkan diri untuk diteliti khalayak cacat-celanya, kerana dalam pencarian hidup, manusia melakukan pelbagai kebodohan.
            Inilah juga jawapan saya kepada penuntut tersebut, menjawab sekitar sikap, idea dan pegangan saya sebagai penulis.
            Dan Albert Einstein akhirnya menyimpulkan: “ilmu tanpa agama itu buta, dan agama tanpa ilmu akan lumpuh”.
                                   
Artikel ini tersiar dalam Berita Harian 27 Mac 2001, lebih 10 tahun dahulu.*

Thursday, 14 July 2011

PERIHAL KERETA, DUNIA & MANUSIA


Dan janganlah engkau berjalan di mukabumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman 31-18).
Kereta, seperti kenderaan lain, adalah mesin jentera untuk manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencapai tujuannya. Seperti juga kehidupan ini, dunia adalah tempat untuk menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Kereta dan dunia adalah cuma alat, bukannya tujuan manusia yang hakiki.
Henry Ford adalah pencipta atau pereka asas kereta zaman moden ini dengan model T. (Sekadar catatan, Henry Ford juga penentang Yahudi setelah menyedari ancaman bahaya bangsa Yahudi dan fahaman Zionis bangsa tersebut ke atas dunia. Beliau pernah menerbit dan mendedahkan perancangan jahat Yahudi ini melalui buku 24 Protokol Zionis sedunia).
Untuk makluman lagi, kota yang padat seperti Kuala Lumpur setiap hari sesak dengan kenderaan dan menimbulkan tekanan dan stress kepada warganya, sementara sistem pengangkutan awam pula tidak sempurna dan menyeluruh capaiannya.
            Mari kita renungkan di sebalik ikon jentera bernama kereta ini. Dengan kereta, kita boleh mengagak siapa dan apa kecenderungan pemiliknya. Kereta boleh menjelaskan psikologi pemiliknya bagaimana.
            Golongan yang kaya-raya dan duit melimpah-ruah adalah sinonim dengan jenama supercars seperti Ferrari, Bentley, Roll Royce, Porsche, Lamborghini, BMW, Mercedes benz, Audi  lain-lain. Jenama-jenama ini menjadi suatu simbol status mereka yang super elit dan mega.
            Malaysia juga mengeluarkan jenama kereta sendiri, Proton dan Perodua, dengan kerjasama teknologi Jepun, walaupun dipersoalkan peratusan kerja-kerja tempatannya. Bermula pada tahun 1984, pada era Dr Mahathir, Proton mula beredar di pasaran tempatan. Pernah diejek diperbuat daripada tin milo, jenama ini terus menjalar di jalanraya sebagai pilihan utama rakyat Malaysia. Dari kereta rasmi kerajaan hingga kepada kegunaan politikus pembangkang, ia terus popular. Sama ada ia murah atau mahal, harganya rendah dan mampu dimiliki kebanyakan rakyat biasa.
Bagi golongan muda dan tidak mampu memiliki jenama import yang mahal, mereka memilih kereta buatan tempatan dan mengubahsuainya (modified) menjadi kereta sport impian mereka. Proton Wira diubahsuai menjadi Mitsubishi Evolution, misalnya, dengan kemasukan enjin halfcut berkuasakuda tinggi. Tentunya dengan bunyi ekzos suara baghal yang hodoh didengar golongan tua, tetapi sedap di telinga mereka.  
Modified, suatu manifestasi cita-cita dan angan-angan manusia yang tidak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Seperti seorang perempuan mengubahsuai kejadian wajahnya dengan melakukan pembedahan plastik atau pengubahsuaian dengan mekap melampau. Kelihatan jelita dan anggun, tetapi tidak selesa dan praktikal (nak kerutkan dahi pun, takut tertanggal mekap, nak makan pun takut hilang dan tertelan calitan lipstik).
            Malah jika direnungkan, ada suatu falsafah yang menarik boleh diperhatikan perihal kereta ini. Kereta yang diubahsuai ini tidak praktikal lagi untuk memenuhi tujuan dan kegunaan asalnya. Dengan skirting (kadangkala boleh diejek sebagai gaun), ia tidak selesa lagi dipandu di jalan yang berlubang-lubang di Malaysia ini. Mudah rosak atau pecah jika masuk lubang dan terlanggar bumper jalan. Tujuan asas kereta dicipta sudah dilanggar.
            Misalnya, dengan rims bersaiz besar lebih 18 inci dan tayar yang nipis, ia nampak cantik dan sporty. Tetapi tidak lagi selesa dan sesuai dipandu serta mudah rosak bahagian bawahnya seperti penyerap hentakan (arsober). Kereta sepatutnya memudahkan manusia. Sebaliknya ia telah menyulitkan manusia kerana telah diubahsuai untuk tampak cantik. Seperti juga kehidupan di dunia ini, kita telah menyusahkan perjalanan kita ke akhirat, dengan melupakan tujuan kita berada di dunia ini.
            Kereta, dicipta untuk bergerak dengan selesa, tidak basah jika hujan. Sebaliknya, ada pemiliknya yang sanggup basah menaiki motorsikal kerana sayangkan kereta. Dunia oh dunia. Ternyata kereta tidak lagi kekal sebagai alat pengangkutan, fungsinya telah dipelbagaikan. Ia seolah-olah telah menjadi tujuan sebenar bagi masyarakat moden. Sesuatu yang mungkin tidak terfikir oleh Henry Ford sendiri. Ia kini telah menjadi simbol status dan prestij pemiliknya, malah tujuan.
Seperti juga kehidupan hari ini, dunia ini tidak lagi dianggap sebagai tempat persinggahan sementara. Tetapi manusia telah menghiasi dunia ini seolah-olah dunia adalah tempat tinggal yang abadi. Misalnya, seperti membina kediaman seperti istana seolah-olah mereka tidak akan mati. Manusia sudah terlupa bahawa dunia ini hanyalah alat untuk ke negeri akhirat yang abadi, sebagaimana kita terlupa bahawa kereta hanyalah alat untuk membawa kita dari satu ke satu tempat lain. Kita ingin kereta yang cantik. Tetapi jika ciri kecantikan itu yang lebih diutamakan, ia akan menyusahkan kita.       
Kadang-kadang, dari satu sudut pandangan, orang asli di pedalaman atau kaum Badwi yang hidup berpindah-randah adalah lebih baik dan bertamadun daripada manusia zaman moden ini yang jiwanya sakit dan stress dalam memuaskan kehendak-kehendak duniawi yang pelbagai, yang telah berubah menjadi keperluan hidup. Kaum nomad hanya membawa keperluan asas sahaja setiap kali berpindah, sedangkan manusia moden berhempas-pulas mengejar duniawi sehingga lupa tujuan ia berada di atas mukabumi ini, dan malangnya dunia ini hanyalah fana dan sementara sahaja. Mereka telah menyusahkan diri mereka untuk memenuhi keinginan duniawi mereka, padahal dunia ini hanyalah alat atau tempat tinggal sementara.

Thursday, 7 July 2011

MENGALIH KEZALIMAN DENGAN KEZALIMAN LEBIH BESAR



“ALLAH telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh-sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa tetap kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik,” (an-Nur 55).
Pemimpin sebenarnya adalah cerminan masyarakat yang diperintahnya. Jika masyarakat berakhlak buruk, maka manusia berakhlak buruklah menjadi pemimpin. Begitulah ekosistem masyarakat. Masyarakat melahirkan pemimpin seperti adanya.
            Pemerintah ibarat penggembala. Apabila arahan pemerintah, sekalipun pemerintah yang zalim, tidak dipatuhi, maka tiada lagi undang-undang didaulatkan. Bermulalah bibit-bibit pemberontakan. Akan terlucutlah kambing-kambing gembalaan yang akhirnya akan memudahkan serigala pemangsa memakannya. Itulah perumpamaannya.
Kerosakan dan keburukan dalam masyarakat hari ini adalah menyeluruh. Masyarakat menzalimi diri sendiri, bukan setakat dizalimi pemerintah. Pandanglah sekeliling untuk melihat kehancuran dalam masyarakat jahiliyah moden ini. Nafsu dan cinta dunia menjadi budaya. Masyarakat sedang diglobalisasikan dengan budaya hidup baru. Tamadun Barat yang muflis moral menjadi sumber rujukan. Manusia semakin jauh dari agama. Apabila agama sudah luput dalam masyarakat, jadilah masyarakat itu tanpa panduan, seperti kumpulan haiwan liar yang menurut nafsu. Rasuah, penipuan, judi, arak, syirik, zina, khianat dan pelbagai kemungkaran berleluasa dalam masyarakat.
Dunia ini, seperti yang diumpamakan nabi SAW, adalah bangkai yang tidak cukup sifat di tepi jalan.
Pemerintah zalim telah jelaslah kezalimannya dan harus ditentang. Masyarakat, yang melupakan agama pula, akan memperjuangkan kepentingan diri mereka. Maka yang terjadi hanyalah perebutan bangkai. Mereka mudah terhasut dengan cerita rasuah, salahguna kuasa, kekayaan melampau pemimpin dan bermacam perkara lagi yang dibawa pemberontak. Akhirnya perjuangan ini tidak lagi kerana agama, tetapi kerana iri hati, dendam, benci dan percaturan ekonomi. Dalam demokrasi, ternyata perjuangan hari ini adalah untuk memuaskan kehendak pengundi, bukan perjuangan menyempurnakan akhlak masyarakat seperti yang dilakukan nabi SAW.
Cuba perhatikan. Perjuangan hari ini bukan lagi meminta masjid, misalnya. Masjid telah sedia ada seperti cendawan selepas hujan, malah cantik, moden lagi selesa. Malah, masjid yang hanya meriah pada hari Jumaat dan pagi hari-hari perayaan. Manusia telah lalai memakmurkan masjid tersebut pada waktu-waktunya.
Parti-parti politik tidak lagi menjaga agama, tetapi menjaga pengundi. Tiada lagi kebenaran agama dilaungkan mereka, melainkan suara kehendak-kehendak masyarakat yang ingin mereka pancing undi dalam pilihanraya. Parti-parti ini telah diubah bentuknya oleh pengundi, bukan sebaliknya. Mereka telah menjadi pejuang-pejuang duniawi untuk memuaskan kehendak masyarakat demi mendapatkan negara. Mereka mengkompromikan agama untuk undi.
Parti politik ini pasti akan dikalahkan pemerintah. Demokrasi ada pelbagai kelemahan dan mudah disalahgunakan. Demokrasi pasti lebih memenangkan pemerintah. Kepada yang tewas, akhirnya mereka akan memilih cara demonstrasi yang lambat-laun akan membawa kepada revolusi seperti yang terjadi di seluruh dunia.
Masyarakat menolak kezaliman, tetapi masyarakat juga menzalimi diri sendiri sebagai hamba-Nya. Bagaimana mungkin kita dapat mengalih kezaliman itu, melainkan mengangkat kezaliman lebih besar ke dalam masyarakat. Jika suasana menjadi anarki, akan terbukalah pintu-pintu fitnah yang tidak akan dapat ditutup lagi, dan kita semua akan tenggelam punca dan saling menyalahkan. Kita akhirnya akan bercakaran dalam gelap, dan tidak tahu siapa kawan dan lawan.
Masalah dunia hari ini adalah masalah ketaatan kepada agama, yang tidak boleh didapatkan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan membentuk kerajaan baru. Jika kerajaan baru ditubuhkan, masyarakat tetap masyarakat yang sama, yang tidak dapat dipuaskan kehendaknya. Kita bukan bersetuju dengan pemerintah zalim, cuma bagaimana untuk membetulkan masyarakat selaras dengan fitrah agama. Islam tidak akan bangkit dengan politik demokrasi, apatah lagi dengan revolusi. Islam hanya akan berkembang dengan politik dakwah, tarbiah, tabligh dan pendidikan hati. Membaiki akhlak masyarakat bermula dari individu, kerana masyarakat yang baik secara automatik akan menolak pemimpin dan sistem yang zalim. Tiada usaha-usaha menyeru dan membawa kepada kebenaran agama. Apa yang ada hari ini adalah  perebutan bangkai di kalangan manusia bernaluri binatang yang mengeksploitasi agama dan isu-isu yang dekat dengan rakyat.
Sekiranya kerajaan yang ada dijatuhkan secara ganas oleh rakyat, maka rakyat yang sama juga akan menjatuhkan kerajaan yang baru ditubuhkan itu nanti. Satu siri ulangan tidak berkesudahan.
Malaysia tidak hidup sendirian. Apa yang berlaku di sini adalah penting kepada dunia. Kita kini dalam dunia globalisasi. Kuasa-kuasa besar dunia juga memainkan peranan mereka ke atas seluruh negara di dunia, termasuk Malaysia. Tangan-tangan asing dari luar ini turut mencatur Malaysia. Ini tidak dapat dinafikan. Kuasa-kuasa asing ini diketahui mahu meruntuhkan struktur-struktur masyarakat lama untuk memudahkan kemasukan budaya dan pengaruh dagang mereka yang selama ini dihalang dinding-dinding sekatan ekonomi atau dasar-dasar negara. Ini bukanlah paranoid, tetapi realiti. Kuasa-kuasa asing inilah serigala pemangsa yang menunggu peluang untuk mengambil semuanya.
Apabila pemerintah yang zalim ditentang masyarakat yang juga tidak berakhlak, inilah akhir sebuah masyarakat dan negara.