TIGA EKOR KELDAI DAN KITAB



JIKA kita mengetahui dan memiliki ilmu tentang sesuatu perkara, ia tidak akan membawa erti apa-apa. Kecuali jika kita meletakkannya di tempat yang sepatutnya.
            Seseorang itu dengan mudah boleh menjadi ilmuan agama, dengan belajar secara formal. Atau mempelajarinya sendiri melalui buku-buku yang mudah diperolehi. Atau juga membacanya di internet. Kerana itulah telah muncul ramai "ulama-ulama" yang tidak dikenali, tetapi terkenal di dalam laman-laman rangkaian sosial.
Orang-orang yang tekun menelaah kitab-kitab agama pun boleh dipanggil cendikiawan agama. Seperti yang telah dikatakan, pada akhir zaman, tulisan-tulisan pena akan bertebaran, maka untuk membacanya terlalu mudah, dan kerana itu kita dapati hujah orang-orang kecil seperti hujah seorang ulama dalam membicarakan urusan penting orang ramai. Mereka mengetahui segala hukum, mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara yang baru. Misalnya persoalan bercinta muda-mudi zaman sekarang, industri hiburan, riba dalam sistem bank, demokrasi dan sebagainya.
            Tetapi apakah semua itu sudah di situ? Cukupkah dengan mengetahui dan menyampaikannya? Bagaimanakah untuk mengzahirkan yang benar dan menghapuskan yang bathil itu?
            Misalnya, adakah seseorang itu mencuri kerana jahil dan tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu berdosa? Adakah ilmu akan menahan dirinya dari melakukannya? Jika sekadar inilah yang dimaksudkan ilmu, ia hanyalah pengetahuan semata-mata yang boleh dimiliki oleh semua orang awam yang berakal. Tidakkah ilmu sepatutnya adalah juga bagaimana untuk mengusahakan agar pencuri tidak lagi mencuri?
            Kita tidak mungkin pergi kepada sekelompok peminum arak yang sedang mabuk, lalu memberitahu apa yang kita tahu perihal arak, dan berkhutbah bahawa meminum arak itu hukumnya haram, neraka tempatnya, kerana ia mungkin akan memudaratkan diri kita; tetapi itulah yang kita sedang lakukan dalam dunia hari ini sehingga dunia ini menjadi kucar-kacir dan penuh fitnah.
            Apa yang kita katakan itu adalah benar, tetapi kita menyatakannya di tempat yang salah. Kita hanya memiliki pengetahuan, tetapi tidak memiliki hikmah dan kebijaksanaan, yang tidak terdapat secara tersurat dalam buku-buku, untuk membetulkan keadaan. Kita tidak ingin memahami mengapa mereka meminum arak, tetapi kita ingin terus melaksanakan hukum.
            Seperti sebahagian ulama atau cendikiawan agama yang berada di tengah-tengah kekacauan fitnah politik demokrasi. Sebahagian mereka ulama pembangkang, sebahagian lagi ulama pemerintah, dan sebahagian lagi ulama bebas/neutral, tetapi mereka juga bersuara dalam dunia politik demokrasi.
Kepada ulama neutral, masyarakat melihat mereka itu golongan yang benar dan adil kepada ilmu yang dimiliki mereka. Mereka menghentam segala yang salah, memuji segala yang benar, sama ada ke atas pembangkang atau kerajaan. Tetapi jika kita fikirkan, tidakkah mereka ini ulama batu api, walaupun apa yang mereka katakan itu benar? Tidakkah sesiapa juga yang berakal waras akan mengetahui sesuatu itu benar atau salah, mengapa perlu mereka menyatakannya? Dengan tindakan mereka itu, mereka memecah-belahkan lagi umat, mengapi-ngapikan perbalahan. Walaupun apa yang mereka katakan itu benar, tidak bermakna perbuatan mereka berkata benar itu benar. Adakah berilmu jika kebenaran yang kita tuturkan itu hanya menjadikan dua pihak saling terus bertelagah, bukannya mendamaikan?
Dan kepada golongan ulama yang membangkang, mereka mengetahui kemungkaran pemerintah, dan apa yang mereka dakwa ke atas pemerintah itu banyak kebenarannya. Tetapi bagaimanakah caranya untuk memperbaiki keadaan ini? Mereka seolah-olah golongan suci yang turun dari langit yang mahukan sebuah kerajaan adil tanpa mahu berusaha membersihkan dunia ini. Mereka hanya mahu menyingkirkan golongan pemerintah yang mungkar, tetapi adakah kemungkaran dalam kalangan rakyat kebanyakan akan terhapus bersama tumbangnya golongan pemerintah tersebut? Mereka akan sentiasa kelihatan benar kepada pengikut-pengikut mereka kerana mereka menyatakan perkara yang benar.
Akhirnya, golongan ulama yang mempertahankan pemerintah dengan hujah yang benar secara tersuratnya, iaitu mentaati pemerintah; sebaliknya tindakan mereka tanpa sedar, telah menjadi perisai kepada berkekalannya kemungkaran pemerintah dengan mungkin mereka mendapat sedikit upah. Tidakkah mereka mahu berfikir bahawa mentaati pemerintah itu bermaksud tidak keluar menentang pemerintah, dan bukannya bersekongkol dengan pemerintah?
            Kita menerima agama yang sudah sempurna. Dan agama yang sempurna itu tidak turun sekaligus, maka adakah kita mampu menegakkannya sekaligus? Ketahuilah, Nabi Muhammad saw menegakkan agama ini secara berfasa-fasa, era Mekkah era Madinah. Benar, agama ini telah sempurna, tetapi lihatlah realiti dunia hari ini. Keadaan pada hari ini tidak ubah seperti zaman jahiliyyah di Semenanjung Tanah Arab. Benar juga, tidak ada lagi penyembahan ke atas patung-patung berhala, tetapi hala pemujaan zaman ini telah beralih kepada materialisme, hiburan, nafsu hedonisme, teknologi dan sebagainya.
            Cuba kita renungkan berkenaan hukum meminum arak. Walaupun arak itu hukumnya haram, nabi Muhammad saw pada mulanya tidak secara terus menyatakan ia haram, kecuali melarang dan mengharamkannya diambil ketika mahu bersolat, dengan hujah agar kita tidak mabuk dalam solat, sesuai dengan keadaan masyarakat Arab jahiliyyah pada masa itu yang gemarkan arak, dan ia sebenarnya adalah sebahagian agama (budaya hidup) mereka. Dan apabila telah sampai masanya nabi Muhammad saw menyatakan hukum haramnya arak, tiada yang membantah. Kenapa? Apakah yang telah baginda usahakan sebelum itu? Fikirlah. Dan Nabi Saw tidaklah bertindak semata-mata mengikut nafsu dan akalnya sendiri dalam hal ini.
Bukanlah bermaksud ingin mendiamkan haramnya arak pada dunia hari ini. Tetapi sebagai pedoman dalam menyampaikan kebenaran, bahawa utamakanlah yang utama.
            Yang kita dengar kini hanyalah ilmu-ilmu hukum yang dikeluarkan ulama-ulama. Dan sinisnya, jika ini benar, kita tidak perlukan lagi ulama-ulama baru yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan untuk mengetahuinya pada masa ini. Taiplah dalam google, akan keluar senarai hukum-hukum daripada pelbagai ulama dunia berkaitan sesuatu isu itu.
            Satu golongan apabila menyedari kemungkaran pemerintah, terus menentangnya tanpa memikirkan kemudaratan lain; satu golongan mempertahankan pemerintah dengan hujah kewajiban mentaati pemerintah sehingga kemungkaran berkekalan; dan satu golongan lagi yang berada di tengah-tengah, berlagak sebagai Encik Kebenaran yang cuba memenuhi kehendak-kehendak masyarakat yang kebingungan, lalu menjadikan api perbalahan semakin bernyala-nyala.
            Hujah-hujah mereka adalah benar. Semuanya berdalil kepada al-Quran dan Hadith. Satu golongan menentang kemungkaran pemerintah dengan hujah al-Quran, satu golongan mentaati pemerintah juga dengan hujah al-Quran dalam ayat yang lain, dan satu golongan menyatakan kebenaran dengan hujah al-Quran dalam ayat yang juga lain, dan adalah mustahil ayat-ayat al-Quran itu bertentangan; tetapi adakah dari tindakan mereka di dalam menghadapi realiti dunia akhir zaman, menunjukkan mereka benar-benar memahami ilmu yang mereka miliki?
            Atau adakah kita semua ini seperti seekor keldai yang membawa kitab, tetapi isi-isi kitab itu tidak membawa manfaat sedikit pun kepada kita, malah hanya membebankan pundak kita.

CATATAN: tulisan ini hanya draf sepintas lalu, akan dikemaskini kemudian.

Comments

  1. Suasana memainkan peranan bagi mempengaruhi identiti individu tersebut yang maklum terkait dengan '5hal sebelum 5hal'. Disyorkan membaca;
    ●Talbis Iblis (Ibn Jauzi)
    ●Bingkisan Istimewa Buat Para Pencari Kebenaran (Arif Fathul Ulum b.Ahmad Saifullah)
    ●Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu (Syaikh Muhammad b.Shalih al-'Utsaimin
    ألله العالم

    ReplyDelete
  2. apa yg boleh saya katakan..azman husin berkwan tdk jujur hanya untuk tajasasus..

    ReplyDelete

Post a Comment