KHAMR @ ARAK SEBAGAI PERUMPAMAAN


KHAMR atau arak, iaitu minuman atau bahan-bahan yang memabukkan/mengkhayalkan, seperti dadah atau minuman beralkohol, diharamkan walaupun hanya diambil setitik. Dikatakan pada benda-benda yang memabukkan ini terdapat  faedah yang sedikit, tetapi mudaratnya lebih besar. Betapa besar mudaratnya sehinggakan, bukan sahaja meminumnya berdosa, menanam pokok-pokok anggur yang diketahui untuk dijadikan arak misalnya, juga satu dosa.
            Lupakan mudaratnya yang besar, tetapi mari fikirkan apa faedahnya yang sedikit itu. Arak adalah sesuai untuk memanaskan badan ketika cuaca sejuk melampau, ubat untuk menenangkan fikiran, dan mengatasi imsonia jika diambil dalam sukatan tertentu. Tetapi ia tetap haram walaupun sukatannya sesudu. Pasti ada orang yang meminum segelas arak, tetapi tidak memberi kesan apa-apa kepada kewarasan akalnya; sebaliknya hukum dalam agama adalah untuk semua manusia, tidak kira sama ada segelas atau setong arak yang memabukkannya. Jika tidak, hukum akan tunggang-langgang dan akan ada orang yang memohon keizinan meminum segelas arak kerana mendakwa masih tidak gila akalnya walaupun menogok sebaldi arak.
            Jika mahu direnung lebih mendalam, mungkinkah arak boleh dikiaskan kepada pelbagai penyelesaian masalah berkaitan hukum tentang perkara-perkara baru yang tidak pernah wujud sebelumnya?
            Cinta sebelum kahwin, facebook, demokrasi, dan nyanyian, dan sebagainya lagi, yang menjadi pertikaian dan perdebatan halal dan haramnya oleh ulama-ulama kontemporari, mungkin boleh ditamsil hukumnya kepada arak.
            Terdapat faedah pada cinta sebelum kahwin, nyanyian, demokrasi, facebook, akan tetapi mudaratnya juga ada.
            Mari kita lihat perbahasan tentang halal-haram cinta (percintaan). Cinta adalah fitrah manusia, seperti perasaan lapar (dahaga dan sebagainya). Sebagaimana lapar, ia bukanlah satu dosa, kecuali jika kita memuaskan nafsu lapar itu dengan sumber makanan yang haram dari segi zahir (misalnya daging babi) dan batinnya (umpamanya daging haiwan tidak disembelih).
            Jangan berbelit-belit dalam membahas isu cinta ini. Cinta yang dibahaskan di sini bukanlah cinta yang hak seperti kepada ibubapa, Allah swt dan sebagainya. Sebaliknya cinta yang berlaku di antara dua makhluk berlainan jantina tanpa hubungan mahram.
            Benar, jika kita hanya melihat zina itu hanya sebagai zina kemaluan, ada pasangan bercinta yang mampu menahan diri dari bersetubuh walaupun tidur sekatil. Cuba renungkan, benar juga ada manusia yang tidak mabuk walaupun minum arak satu jag besar. Tetapi, mengapa arak itu tetap haram?
            Dalam al-Quran juga diperingatkan perihal jangan mendekati zina (“dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji. Dan suatu jalan yang buruk.”  Surah al-Israa’: ayat 32), dan sudah pastilah zina itu sendiri amatlah besar dosa dan kerosakannya kepada umat manusia. Adakah kita hanya memahami “mendekati” zina itu dengan maksud berdua-duaan dengan bukan mahram? Akan tetapi, berdua-duaan itu sudah tentu berdosa. Itu sudah jelas.
            Persoalannya, mengapa kita mahu meminum arak jika tidak mahu menikmati rasa mabuk, dan mengapa perlunya kita bercinta jika kita tidak mahu menikmati zina? Zina itu luas maksudnya, zina hati, zina mata, zina telinga atau zina kemaluan, iaitu puncak kepada segala zina.
            Saya katakan perihal bercinta itu salah kerana ia boleh membawa kepada zina walaupun tidak berjumpa. Mengapa kita mahu menilai percintaan itu kepada kes-kes yang jarang berlaku, di mana ada pasangan itu yang tidak berjumpa atau berhubung? Tetapi, fikirkan juga, adakah situasi ini boleh dinamakan percintaan? Lihatlah realiti dunia akhir zaman ini. Tidak dinamakan percintaan jika tidak ada perhubungan sama ada melalui media lain atau empat mata. Sama ada perhubungan melalui surat, fon, e-mail, facebook atau sebagainya, bergantung pada keadaan zaman, ia mungkin akan membawa kepada perjumpaan secara lahir. Memang ada perhubungan yang tidak membawa kepada perjumpaan secara lahir, tetapi setiap perjumpaan secara lahir itu bermula dengan perhubungan seperti di atas tadi.
            Ada ahli hukum menyatakan cinta itu fitrah, dan bercinta itu tidak salah asalkan tahu menjaga diri. Mereka berfikir secara logik akal, mereka katakan bercinta itu tidak salah asalkan tahu menjaga had-hadnya. Di manakah had-had itu? Ia adalah subjektif. Ia tidak seperti bahagian tubuh manusia yang ada had-hadnya (buku lali, pergelangan tangan, muka, pusat, lutut dan lain-lain). Mengapakah arak itu haram walaupun ada orang yang tahu menjaga hadnya ketika minum arak? Misalnya dengan mengawal sukatannya. Allah swt itu maha mengetahui, Allah swt itu maha mengetahui segala kelemahan makhluk. Hakikatnya kita akan menyedari had atau batasan itu hanya setelah kita melampaui atau melanggarnya.
            Pandangan ini mungkin pelik dan menyeleweng jika ia dinilai dari pandangan semasa masyarakat umum, tetapi kebenaran itu tidak mengira sama ada ia diterima umum ataupun tidak. Kebenaran itu tidak berubah mengikut zaman, tetapi zaman seharusnya tunduk kepada kebenaran.
            Dan, ambillah secara berhikmah, bahawa faedah yang sedikit terdapat pada arak itu mungkin juga adalah digunakan sebagai perumpamaan untuk menyelesaikan permasalah-permasalahan baru yang disebutkan di atas bagi mereka yang mahu berlaku adil.  
Tulisan ini bukanlah bermaksud menetapkan hukum. Ini hanyalah suatu sudut pandangan dari kacamata seorang penulis sastera (yang semestinya banyak memikirkan simbol, kias, misal, tamsil, ibarat, perbandingan, perumpamaan dan sebagainya), untuk difikirkan oleh akal yang mahu berfikir, bukan untuk diterima membuta tuli. Wallahualam.

Comments