APA KHABAR, PAKCIK LUKA DAN MAKCIK BIDHAH?


MISI kami adalah untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saling berkait,” -  Mark Zuckerberg, pengasas Facebook.
Pada pagi 20 mei 2012 saya telah deaktif facebook. Dengan harapan tidak akan mengaktifkannya lagi setelah lebih setahun membuka akaun facebook.
            Kenapa?
            Kepada saya, facebook banyak mencuri masa dan melalaikan saya. Kepada orang lain, saya tidak tahu.
            Berapa banyak kebaikan dan berapa banyak keburukan? Saya tidak tahu. Tetapi ia amat membuang masa, lebih-lebih lagi jika line internet lembab seperti di tempat saya.
            Seperti biasa, kita akan berbahas apa hukumnya tentang sesuatu yang baru seperti televisyen, internet, dan sebagainya. Tidak terkecuali facebook. Seperti biasa juga, kita akan biasa mendengar pendapat ini: sesuatu itu bergantung kepada individu, jika ia digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Begitu sebaliknya.
            Saya teringat kepada pistol. Ada orang menyimpannya untuk mempertahankan diri, dan ada orang menggunakannya untuk merompak dan kerja-kerja jahat lain. Bayangkan jika setiap orang diberi hak memiliki pistol, dan dikatakan kepada mereka, ia bergantung kepada niat individu, jika digunakan untuk kebaikan, kebaikanlah yang akan datang. Tidakkah dunia selepas itu akan huru-hara?
            Tetapi adakah facebook boleh membunuh? Terlalu jauh bandingannya. Pistol hanya mampu membunuh tidak lebih 8 orang, bergantung kepada jumlah peluru, dalam satu masa, dan facebook pula tidak boleh membunuh secara fizikal. Tetapi si pembunuh secara fizikal adalah terdiri daripada orang-orang yang rosak jiwanya. Kita lebih takutkan penyakit-penyakit fizikal, dan melupakan penyakit-penyakit dalaman berkaitan jiwa, dan kita tidak melihat facebook sebagai satu bentuk ancaman kepada manusia kerana ia tidak merosakkan secara fizikal. Tetapi kesan kerosakan dalaman yang dicetuskan facebook ini adalah lebih bahaya daripada pistol.
            Saya teringat lagi kepada arak. Kebaikan yang sedikit di sebalik kemudaratan yang besar.
            Misalnya lagi hak kebebasan bersuara. Jika ia digunakan oleh golongan yang baik, kebaikanlah yang akan datang. Jika ia digunakan oleh golongan jahat untuk bersuara, kejahatanlah yang akan datang. Persoalannya, adakah kebebasan bersuara itu harus dibenarkan kepada semua? Jika anda menggunakan facebook, dan anda menentang hak asasi manusia, demokrasi atau kebebasan bersuara, sebenarnya anda melakukan sesuatu yang bertentangan, iaitu menentang apa yang sedang anda sendiri lakukan.
            Dan jika kedua golongan berlawanan ini bersuara, suara manakah yang lebih kuat? Saya terbayang nasi bercampur tahi. Yang suci bercampur kotor, mengotorkan kesemuanya.
            Saya teringat lagi kepada anjuran-anjuran barat kepada hak asasi manusia, antaranya, kebebasan bersuara. Mengapakah mereka memperjuangkannya, walhal di dalamnya ada juga suara-suara suci agama? Seperti yang menjadi misi Mark Zuckerberg, menjadikan dunia ini lebih terbuka.
            Sesungguhnya facebook adalah antara alat kuffar untuk menjayakan demokrasi, kebebasan bersuara dan hak-hak asasi manusia. Sesiapa pun berhak menulis apa-apa sahaja pendapatnya.
Kita tidak tahu ketika mana kita akan ketagihan facebook sehinggalah kita ketagihkannya seperti hari-hari yang lepas. Seperti arak yang memabukkan, ada yang mabuk hanya selepas meminumnya segelas. Ada pula yang tidak mabuk-mabuk walaupun sesudah menogok satu jag. Sebelum tidur facebook, bangun tidur facebook, apa lagi ketika aktif. Ia mudah diakses, lebih-lebih lagi jika ada fon yang sedikit canggih di tangan. Dan, kalau boleh diumpamakan, saya sendiri tidak pasti berapa gelas facebook sehari yang saya togok kerana akal saya mamai kerana facebook.
Sekali lagi, ada orang yang tidak lalai kerana facebok, dan sekali lagi ada orang yang tidak mabuk kerana mengambil arak walaupun dalam jumlah yang banyak.
            Bagi saya sendiri, status-status yang saya post dalam facebook banyak menimbulkan perdebatan dan perbalahan yang tidak selesai. Manakala sesetengahnya difahami, sesetengahnya dibantah hanya kerana perbezaan idea politik walaupun apa yang dipost itu tiada kaitan politik. Warga facebook terdiri daripada pelbagai lapisan sosial, umur, pendidikan dan status ekonomi. Adalah terlalu susah untuk menyampaikan sesuatu kepada semua ini. Ada yang membantah tanpa memahami apa yang saya tuliskan.
Selagi anda tidak dikenalpasti sebagai pengikut aliran agama atau politik tertetu, anda akan disukai jika apa yang anda post itu menarik. Dan jika anda sudah dicop berada dalam kelompok tertentu, anda tidak akan disukai lagi oleh kelompok berbeza walaupun post-post anda menarik. Itulah assabiyyah dalam facebook, sumber perpecahan umat manusia dalam dunia maya yang akan meleret ke dunia realiti.
            Tidak ada yang berubah dengan facebook, selain pengikut-pengikut buta parti makin mengcengkam kukuh pegangannya pada parti mereka setelah merah padam muka berbahas.
            Facebook akan menjauhkan yang dekat, mendekatkan yang jauh. Kawan semeja terasa jauh, dan kawan di Singapura terasa dekat melalui facebook. Dekat atau jauh ditentukan oleh capaian di dunia maya.
            Rumah-rumah telah menjadi terlalu privacy untuk tetamu dan saudara mara, tetapi hal-hal dalam kain telah dilondehkan dalam facebook.
            Facebook yang mendedahkan warna seluar dalam seorang anak dara pingitan kepada lelaki yang tidak dikenalinya.
            Hal-hal agama telah diperdebatkan secara terbuka di hadapan masyarakat awam yang jahil hingga menimbulkan fitnah.
            Ulama-ulama telah dimaki hanya kerana perbezaan pendapat, dalam keadaan kita diseru mempertahankan penguasa yang zalim dari ditentang.
            Saya teringat kepada Luka Bin Luka, Rhuwaibhidah, anak-anak muda yang membacakan ayat-ayat quran tetapi tidak sampai ke hati, hanya di kerongkong. Jika dalam facebook, post-post ayat suci dan hadith-hadith. Mereka menyebutkan ayat-ayat suci al-Quran atau hadith-hadith yang boleh dikutip dari mana-mana buku, tetapi mereka juga amat menyukai (like) status gurau senda, kutuk-mengutuk, gossip-gosip, kereta-kereta sport, makanan-makanan enak yang tidak sepadan dengan kezuhudan mulut mereka menuturkan ayat-ayat suci.
            Bagaimanakah orang-orang kecil ini boleh bersuara dan dikenali jika tidak kerana facebook, misalnya?
            Seperti kepingan-kepingan fitnah, di atasnya gambar perempuan seksi, di bawahnya petikan ayat-ayat suci. Bercampur-baur. Seperti roti yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas penuh tahi, bukan lagi seperti tahi cicak jatuh ke atas roti.
            Mungkinkah facebook ini telah melahirkan orang-orang kecil yang tidak diketahui entah dari bukit atau lembah mana datang, dan sibuk mencampuri urusan orang ramai? Orang-orang muda awal 20-an, yang jika tidak diketahuinya umurnya, akan disangka sekelompok ulama yang sedang bermuzakarah, kemudian selesai muzakarah mereka mentekedarah seekor kambing panggang ala-ala Arab, yang kemudian diupload fotonya dalam status facebook, lalu meriahlah komen teman-teman sealiran.
            Dengan ulama-ulama tua facebook yang berfatwa dapat pahala jika like status-status yang bersifat keagamaan, sehingga saya tertanya-tanya, mendapat dosakah jika kita tidak like status-status yang bersifat keagamaan itu.
            Pistol itu neutral sifatnya. Jika diguna untuk mempertahankan diri, itu sebaiknya. Tetapi jika diguna untuk merompak, itu satu kesalahan. Tetapi, adakah kita akan membenarkan pistol kepada semua orang dengan menyerahkan pertimbangannya kepada niat individu seperti tadi?
            Ada kebaikannya facebook ini, seperti juga arak ada kebaikannya. Saya tidak nafikan, tetapi kemudaratannya lebih besar jika kebaikan dan keburukan itu bercampur.
            Saya terfikir jika setitis arak itu haram walaupun ada orang minum arak berjag-jag tetapi tidak mabuk...
            Oh, mungkin facebook inilah yang bersesuaian dengan kiasan kepada sedikit kebaikan arak, untuk menerangkan kemudaratannya yang besar.
            Maka benarlah, orang-orang yang berjalan di atas jalan agama itu benar-benar terasing dalam dunia akhir zaman ini.
            Anda cantumlah sendiri tulisan yang berterabur susunan ayat dan perenggannya ini. Saya tulis ini hanyalah sepintas lalu untuk menghilangkan ketagihan facebook sambil minum kopi.

Comments

  1. blogspot juga sama

    ReplyDelete
  2. Seolah kita duduk berdua,seorang bercakap dan seorang menulis sambil berbalas soal-jawab. Mungkin seperti berrmain badminton, bertukar servis.

    ReplyDelete
  3. http://www.youtube.com/watch?v=KpY1xt3O5J0

    ReplyDelete
  4. http://www.youtube.com/watch?v=Kepma2ksX18

    yaaa ahki...inddinuminni latetani yaa ahki..

    ReplyDelete
  5. mmg terasing..
    still nice work..

    ReplyDelete
  6. biarlah terasing..msh dibumi yg sama...kesedaran...alhamdulillah..

    ReplyDelete
  7. jangan berhenti jadi pemikir ...

    ReplyDelete

Post a Comment