LUQMANUL HAKIM VS PANDANGAN UMUM


PANDANGAN atau pendapat umum (masyarakat awam) dari satu sudut, banyak yang buruk dari baiknya. Banyak yang salah dari yang benar. Masyarakat kadangkala menjadi penghalang kepada tumbuhnya kebenaran, lebih-lebih lagi pada zaman edan dan penuh fitnah ini. Kebenaran, secara tidak sedar, telah diletakkan pada jumlah atau kuantiti orang yang mempercayainya. Jika ramai orang yang menyatakannya betul, maka itulah yang akan dianggap kebenaran. Dan kita yang menyalahi pendapat tersebut akan lemah untuk menzahirkan apa yang kita yakini benar itu.
            Pendapat masyarakat awam juga sebenarnya hanya mengikut kepentingan diri atau nafsu mereka. Pandangaan-pandangan ini bergantung kepada siapa mereka, status ekonomi, usia, jantina, ras, pendidikan, dan pelbagai unsur lagi. Ternyata pandangan masyarakat bukanlah kayu ukur kebenaran. Ini adalah kenyataan.
            Pandangan umum telah menjadi seperti agama dalam kehidupan hari ini. Sesuatu yang dilakukan seolah-olah mesti mendapat restu atau persetujuan pendapat umum. Orang lebih takut kepada pandangan umum, berbanding dari mentaati suruhan agama. Begitu besarnya pendapat umum dalam mempengaruhi manusia dalam tindakan. Ia menjadi budaya, labuk, kebiasaan dan cara hidup tidak bertulis, yang harus dipatuhi. Jika tidak, kita akan dipandang negatif.
            Ada suatu kisah yang mungkin boleh dijadikan iktibar untuk menilai pandangan umum atau pendapat awam ini. Kisah hamba Allah yang bijaksana bernama Luqmanul Hakim. Nama sebenarnya adalah Luqman bin ‘Unqa bin Sidran. Luqman adalah dikatakan orang Nubiyan dari penduduk Ailah. Beliau adalah seorang hamba Allah yang soleh, abid, memiliki ilmu dan hikmah yang luas. Ada pendapat mengatakan bahawa dia adalah seorang hakim pada masa Daud as. Terdapat juga andaian menyatakan Luqman adalah seorang budak Habsyah yang juga bekerja sebagai tukang kayu. Sama ada beliau seorang nabi atau hanya seorang hamba Allah yang soleh, itu tidak penting dan tidak perlu timbul pertikaian berlebihan mengenainya, sehingga menenggelamkan mesej yang dibawanya, dan membuang masa kita.
Yang penting adalah pengajaran yang dibawa olehnya. Apakah pengajaran daripada ceritanya?
            Kisah berkenaan Luqmanul Hakim ini sudah klise dan berhabuk, marilah kita menggilapnya. Ia sebenarnya sudah banyak kali dibicarakan orang sejak zaman-berzaman. Ceritanya telah dimaklumi ramai: pada suatu hari Luqmanul Hakim keluar ke pasar dengan anaknya bersama seekor keldai. Pada mulanya Luqmanul Hakim menunggang keldai tersebut, sementara anaknya dibiarkan berjalan kaki dengan memegang tali kendali keldai.
            Orang ramai di pasar melihat gelagat mereka, lantas menegur perbuatan Luqmanul Hakim. Kata orang ramai, Luqmanul Hakim zalim kerana membiarkan anaknya keletihan berjalan kaki.
            Untuk memuaskan dan mengelakkan pandangan orang ramai, si anak pula dibiarkan menunggang keldai.
            Seperti yang diketahui, tindakan mereka ini masih lagi dipersoalkan. Orang ramai kali ini mencerca dengan berkata, zalimnya si anak membiarkan si ayah yang tua berjalan kaki.
            Kemudian kedua-duanya menunggang keldai tersebut. Selesaikah masalah? Mereka masih dicemuh dengan tuduhan kejam kerana membebani keldai tersebut keterlaluan.
            Mereka lalu turun dan berjalan kaki sambil menarik tali hidung keldai.
            Sekali lagi mereka dicemuh bodoh kerana tidak menunggang keldai.
            Semua tindakan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Apakah yang silap? Tiada apa-apa yang silap sebenarnya. Yang silap adalah sikap Luqmanul Hakim kerana mempedulikan pandangan orang yang tidak memahami dan duduk pada situasi mereka. Sekiranya keldai itu disembelih dan dagingnya dibahagi-bahagikan sekalipun, mungkinkah orang ramai tidak akan mencemuh mereka berdua lagi? Ya, orang yang mendapat bahagian daging itu mungkin tidak akan mengejek mereka lagi.
            Tetapi kepada orang yang tidak mendapat bahagian daging itu, mungkin akan menyatakan: bodohnya dua beranak itu menyembelih keldai untuk diberikan kepada orang ramai. Hahahaha.
            (Cerita itu hanya berhenti setakat mereka hanya berjalan kaki sambil mengheret tali kendali keldai sahaja).
            Mesejnya: jika kita ingin menuruti dan memuaskan pendapat ramai orang, ia tidak akan selesai sampai bila-bila. Kita tidak akan dapat memuaskan pandangan semua orang. Apa yang harus kita patuhi adalah kebenaran yang kita yakini, tidak kira sama ada ia selaras atau tidak dengan pendapat umum.
            Dalam dunia moden hari ini, nilai-nilai agama sudah dianggap asing dan kolot. Misalnya memakai tudung bagi perempuan, jujur, dan sebagainya telah dianggap mundur dan primitif sehingga ramai yang malu untuk mengamalkannya dalam kehidupan.
Bukanlah bermaksud mengajak kita berlaku bodoh sombong, tidak mendengar dan butakan pendapat orang. Tidak semua pendapat umum itu salah. Tetapi dalam masyarakat jahiliah moden seperti sekarang ini, kebanyakan pendapat umum adalah berciri jahiliah dan tidak benar. Maka pandangan agamalah yang harus ditaati dan didengar. Letaklah kebenaran pada tempatnya, iaitu al-Quran dan sunnah. Apa yang benar, walaupun asing dalam masyarakat hari ini, harus ditegakkan dengan istiqamah. Renungkanlah hadith dibawah ini;
“Islam itu bermula dalam keadaan asing (aneh), kelak ia akan kembali asing (aneh)sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing (aneh).”
Sebagaimana juga kata-kata pesanan Luqmanul hakim kepada anaknya sewaktu pulang dari pasar sebagai peringatan, (“Sesungguhnya tiada siapa yang terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah swt saja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu),” maka belajarlah kita, teguhkanlah pendirian kita dalam kebenaran yang kita yakini.

Comments