POLITIKUS: MELIHAT DARI SISI BERBEZA


DALAM negara demokrasi di seluruh dunia, sesebuah kerajaan akan berhadapan dengan politikus pembangkang. Pembangkang adalah perlu untuk memeriksa dan mengimbangi tindakan kerajaan. Itu tanggapan umum masyarakat.
            Mari kita melihat hal ini dari sudut yang berbeza.
            Bolehkah politikus pembangkang ini menyelamatkan dan memperbaiki negara? Sebagai politikus di pihak pembangkang, mereka membangkang. Seperti pasukan sepakbola yang underdog, mereka kurang tekanan. Mereka fokus. Mereka membangkang, apa yang didakwa tidak adil di mata mereka, yang dilakukan kerajaan kepada rakyat.
Sebaliknya, adakah masyarakat terfikir tentang keikhlasan atau kezaliman pembangkang.
            Jika benar kerajaan zalim, adakah bermakna politikus pembangkang adalah lebih baik dan tidak zalim?
Mereka mendakwa mereka berjuang untuk kepentingan rakyat. Adakah kita harus menelannya bulat-bulat? Marilah kita fikirkannya.
            Dari sisi manakah pembangkang juga boleh cenderung bertindak kejam dalam menundukkan kerajaan yang zalim?
Kita seharusnya rasional. Sesebuah kerajaan yang zalim tidak akan menyerah diri sebegitu mudah dalam menghadapi penentangan. Ini kenyataan. Lihatlah contoh dalam situasi yang lebih ekstrem. Saddam Hussein, dan sekarang Muammar Ghadafi di Libya. Apakah mereka menyerah begitu saja? Negara akan hancur bersama kehancuran mereka. Itulah kenyataannya yang telah dan sedang berlaku.
            Politikus pembangkang, secara sedar atau tidak, misalnya telah berlaku zalim kepada rakyat, dengan menekan dan mensabotaj kerajaan sehingga kerajaan kehabisan masa dan kekurangan dana untuk menangkis serangan politik mereka. Dan apabila kerajaan kekurangan dana, rakyatlah akan jadi mangsa.  
Mengapa? Kerajaan yang takut dijatuhkan akan memeras seluruh duit rakyat dengan pelbagai cara untuk mempertahankan kedudukan mereka. Politik demokrasi memerlukan sumber wang yang besar. Kerajaan terpaksa mendapatkan wang untuk kegiatan politik mereka, tidak kira dari cara yang salah atau betul. Harga barang-barang keperluan akan naik, misalnya. Dan hal ini akan dipolitikkan pembangkang, dan rakyat akan terhasut. Hasilnya pertentangan yang hanya akan memusnahkan rakyat dan negara. Tekan-menekan yang berterusan. Sehingga fokus kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab negara kepada masyarakat (walaupun untuk mengaburi mata masyarakat) seperti pada zaman kedudukan kerajaan kukuh, akan terabai.
Adakah politikus pembangkang, seperti juga kerajaan, hanya mengeksploitasi keadaan yang dialami masyarakat, untuk mendapatkan keuntungan peribadi yang pelbagai? Mungkin nama, kuasa, kekayaan dan sebagainya. Ini normal, untuk mendapatkan sokongan orang ramai, kita mesti memperjuangkan kepentingan mereka. Kita tak boleh memperjuangkan kepentingan peribadi kita, kerana tiada siapa yang akan menyokong kita.
            Tidak musykilkah kita? Adakah individu yang mewakili kerajaan dan pembangkang memiliki watak yang sama? Kecuali mereka berbeza tempat duduk sahaja. Satu pembangkang dan satu lagi kerajaan, tetapi watak mereka sama: mempergunakan isu popular di kalangan rakyat untuk memperjuangkan kepentingan diri.
            Kerana seseorang yang betul-betul ingin menegakkan agama atau membaiki masyarakat dan negara, tidak sepatutnya menceburkan diri ke dalam politik parti. Kenyataannya: politikus hanya dapat membina masjid yang besar dan cantik, tetapi belum tentu boleh memakmurkan masjid tersebut. Politikus hanya boleh menguatkuasakan undang-undang, tetapi tidak dapat menahan ia dari dilanggar. Ketaatan kepada agamalah yang menghalang manusia dari  berbuat kejahatan.        
Bahkan, masalah dunia hari ini bukanlah berkaitan soal-soal material semata-mata seperti diperjuangkan politikus pembangkang. Tetapi berkaitan akhlak masyarakat. Bukan hanya pembesar-pembesar negara yang terlibat dengan penipuan. Orang-orang kecil juga terlibat dengan penipuan. Jika orang kecil ini menjadi orang besar, mereka juga akan melakukan perkara sama. Bezanya jenayah orang kecil nilainya kecil, kerana setakat itu saja kemampuan dan kuasa mereka. Jika orang kecil sanggup menipu rm10, dia juga akan menipu rm1 juta seandainya dia menjadi orang besar dan ada kuasa.
Kezaliman telah merata, dari rakyat biasa hingga pemimpin atasan, kerana akhlak pemimpin di atas (kerajaan) adalah cerminan akhlak rakyat biasa di bawah.
Sebaliknya pembangkang hanya mengikut arus, menjanjikan sesuatu yang jika mereka berjaya memerintah, mereka juga belum pasti dapat menunaikan janji tersebut. Janji-janji duniawi, seperti candu, yang mengkhayalkan rakyat. Sedangkan masalah dunia hari ini bukan semata-mata berkaitan material, tetapi berkaitan pegangan agama dan akhlak masyarakat yang hanya boleh diubati secara rohaniah dan agama.
Apakah sumbangan politikus pembangkang dalam soal agama? Pembangkang hanya lebih banyak memperjuangkan isu material seperti kos hidup yang tinggi, harga petroleum, saman ekor dan sebagainya. Ini penting, tetapi apa yang lebih penting adalah mengubah moral dan akhlak masyarakat. Mereka tidak perlu terlibat dengan perkara yang sama dilakukan kerajaan – menjanjikan bulan berwarna jingga. Sesuatu yang hampir mustahil, kerana kita bukan hidup dalam dunia terpencil. Kita hidup dalam dunia globalisasi. Apa yang berlaku di luar negara, akan mempengaruhi naik-turun harga barangan di dalam negara.
Pembangkang boleh membangkang selepas usaha menasihati kerajaan gagal, tetapi janganlah hingga bangkangan itu menjadikan kerajaan lebih zalim dan mengkhianati rakyat dalam mempertahankan diri mereka.
Ironinya, apabila kerajaan meniru atau mempraktikkan janji-janji pembangkang, mereka akan ditempelak meniru.
Rakyatlah yang bodoh dan menerima padah dalam soal ini, dipergunakan pembangkang juga dizalimi kerajaan; menjadi mangsa kepada politikus.
Apa yang dibahaskan di sini kelihatan remeh-temeh dan kurang masak, tetapi fikirkanlah sejenak. Mungkin ada kebenarannya.
Politikus, sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan, watak mereka adalah sama. Kita tidak boleh menafikan mereka adalah politikus; bukan pendakwah agama atau penyeru kebenaran.

*SIASAH 03-10 JUN

Comments

  1. Assalmualaikum ,benar apa yang dibahaskan saudara, cuma kedangkalan saya berakal begini... adalah menjadi kewajipan pemerintah yang berkuasa MENEGAKKAN,MENYEBARKAN, dalam masa yang sama MENGAMALKAN tuntutan dan ajaran Islam secara keseluruhannya sebelum membina dan meneraju sesebuah negara. Persoalannya, adakah kita telah menilai dan memilih siapa yang selayaknya? - F.Y.

    ReplyDelete

Post a Comment