ANDA, BUKAN ORANG LAIN



MENGAPA sesuatu kempen kesedaran itu tidak berjaya mengubah dunia ini?
            Misalnya kempen memboikot produk-produk Israel (atau Zionis) setiap kali penduduk Palestin dizalimi dan dibunuh. Ia hanya sekejap dan tidak memberi kesan yang besar.
            Banyak lagi kempen seperti kempen kebersihan, mencintai sungai dan sebagainya yang memerlukan penglibatan semua orang.
            Ketepikan dahulu sama ada kempen itu benar ataupun tidak, tetapi mari kita fikirkan mengapa kempen itu semuanya gagal.
            Kita memiliki pemikiran yang salah dan keliru. Apabila kita melihat manusia lain tidak turut melakukannya, kita pun ikut sama. Manusia memang selalu membandingkan dirinya dengan orang lain. Kita selalu berfikir, jika hanya kita seorang sahaja yang melakukannya, ia tidak akan mengubah apa-apa. Itu benar. Tidak ada salahnya fakta itu. Yang salahnya jika kita turut sama tidak melakukan perkara yang kita yakini benar itu.
            Bandingkan dengan kewajiban dalam agama. Adakah jika orang lain tidak melakukan kewajibannya, anda juga tidak mahu melakukannya dan mahu mengikut mereka ke neraka? Tidak, bukan?
            Kalau orang lain tidak melakukannya, biarlah anda menjadi suatu contoh kepada satu permulaan perjuangan yang besar. Satu langkah pertama akan membawa kepada beribu-ribu batu perjalanan.
            Anda tidak akan ditanya sama ada orang lain melakukannya atau tidak. Anda tidak akan menanggung dosa orang lain. Anda akan dipersoalkan sama ada anda sendiri melakukannya ataupun tidak. Berkaitan orang lain, anda cuma akan ditanya, adakah anda telah menyampaikan kepada mereka perkara kebaikan yang anda tahu itu.
            Ambillah iktibar daripada keindahan makna kisah seekor burung kecil dalam sejarah Nabi Ibrahim as. Ketika Nabi Ibrahim as dibakar oleh Raja Namrud, burung pipit ini telah mengumpul air dalam paruhnya untuk dicurahkan ke dalam unggun api yang marak membakar. Dia berulang-alik melakukannya.
            Apabila dia ditanya mengapa dia melakukan usaha yang sia-sia itu, (iaitu dia tidak mungkin dapat memadamkan api itu dengan air yang sedikit), dia menjawab bahawa setidak-tidaknya dia telah berusaha untuk menolong nabi Ibrahim as setakat kudratnya, dan yang lebih penting lagi, dia telah melakukan kewajibannya.
            Ya, dia juga tidak akan ditanya dan dipersoalkan ke atas apa yang orang lain lakukan.
            Hiduplah dalam realiti. Fikirlah secara benar. Jika anda sendiri tidak melakukannya, adakah orang lain akan melakukannya?
            Dunia ini luas dan besar, dan dunia ini tidak mungkin berubah kerana anda seorang. Tetapi anda boleh mengubah diri anda.
            Jika semua orang berfikir benar begini, Bintang David pun boleh jatuh.

Comments

  1. Abu Maryam Janggood8 June 2012 at 15:22

    ♥ Seharusnya dirincikan apakah perjuangan tersebut didasari batas ilmu, emosi maupun pengaruh persekitaran? Kerana ini mempengaruhi jangka-hayat perbuatan tersebut.
    ♥ Juga perancangan yang tersusun & dilaksanakan mengikut turutan keutamaan membuahkan impak jangka-masa lebih panjang daripada sesuatu yang yang melulu dengan latahan isu-semasa.
    ♥ Niatnya setulusnya kerana siapa? Tak mustahil kita sebenarnya menonton ramai 'pelakon' cakap pandai daripada pelaksana yang sebenar. Profit semata-mata dalam dunia kapitalis ini

    ReplyDelete

Post a Comment