KELDAI-KELDAI YANG MEMIKUL KITAB DI PUNDAKNYA (versi asal tulisan ulama parti jangan hanya pikul kitab yang tersiar di Malaysiakini.com, 11 mac 2011)

ISLAM adalah agama yang syumul; suatu cara hidup yang lengkap.
Pada akhir zaman umat Islam dikatakan akan berpecah kepada 73 jalan/firqah. Hanya satu jalan yang lurus dan diredhai. Di dalam islam ada politik. Tapi apakah politik dimaksudkan dalam islam? Inilah yang menjadi perbalahan yang mengelirukan sejak zaman-berzaman. Walhal Islam itu sendiri sudah sempurna, tiada cacat-cela.
Dunia pada lebih 1000 tahun dulu tak sama seperti hari ini. Apakah yang boleh dikiaskan dengan politik nabi untuk menangani dunia hari ini? Mudah untuk kita katakan di dalam al-Quran dan hadith-hadith nabi Muhammad saw terdapat pengajaran berkenaan politik ini. Tetapi apakah sebenarnya politik islam?
Jika nabi Muhammad saw  masih ada bersama kita lagi, apakah pilihan baginda?
 Di Malaysia ada Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Parti yang keanggotaannya untuk orang islam, tidak kira bangsa, diterajui oleh ulama-ulama seperti didakwa pengikut mereka.
Pada zaman jahiliyah juga wujud parti-parti politik seperti ada kini. Tetapi dalam bentuk yang lain, iaitu suku-suku kaum. Suku kaum yang tebal semangat perkaumannya, assabiyah. Nabi tidak menyertai  suku-suku itu walaupun ditawarkan jawatan  pemimpin.  Sebaliknyanya nabilah yang menyatukan kaum-kaum  ini dengan ikatan  Islam. Bagaimanakah nabi melakukannya? Jelas nabi tidak mementingkan kekuasaan. Walhal jika baginda menerima tawaran itu, baginda akan berkuasa. Tetapi apakah yang didahulukan baginda?
Apa yang kita ketahui, matlamat suci tidak akan menghalalkan cara yang kotor. Tujuan yang baik tidak boleh menggunakan kaedah yang sesat. Merompak untuk dibahagikan kepada rakyat miskin, haram hukumnya. Malah sebaliknya juga tidak boleh diterima agama. Politikus yang mendakwa dirinya ulama tidak mungkin menjadi seperti nabi. Tetapi meniru tindakan nabi adalah yang seharusnya. Kerana nabi adalah suri teladan terbesar.
Tidakkah ulama-ulama ini berfikir? Kuasa-kuasa besar dunia hari ini tidak lagi menggunakan kaedah pemaksaan atau kekerasan, misalnya perang, untuk menakluki dunia. Mereka berdakwah melalui filem, pakaian, hiburan, makanan, sukan dan lain-lain lagi yang berteraskan nafsu, yang kemudian menjadi budaya global. Mereka tidak perlu lagi menguasai sesebuah negara, cukuplah dengan menguasai minda rakyat sesebuah negara itu melalui propaganda dan perang saraf atau dakwah.
Adakah Islam itu terbina dengan kuasa? Pada mata kasar, kuasalah yang menguatkan Islam. Kekuasaan bagaimanakah yang menguatkan Islam? Adakah kekuasaan yang didapatkan dengan merasuah masyarakat melalui tawaran-tawaran keduniaan? Gaji yang lebih tinggi, misalnya. Atau cuti lebih panjang untuk golongan pekerja. Atau menghapuskan saman kesalahan trafik. Semua tawaran popular ini akan memusnahkan masyarakat pada akhirnya.
Dakwah,  tarbiah dan tablighlah yang menghidupkan Islam. Satu-satunya cara. Itulah politik sebenar dalam Islam. Itulah politik nabi. Kepada yang menakwil bahawa semua orang Islam sudah tahu berkenaan Islam dan tak perlu didakwah lagi, marilah kita renungkan seketika. Islam bukan sekadar kalimah syahadah, solat, puasa, haji dan zakat untuk diulangajar. Kita harus akui kita sekarang berada pada zaman jahiliah moden dengan segala maksiat berleluasa. Tidakkah di sini perlunya dakwah? Seperti digariskan dalam surah al-‘asr. Bukannya politik kepartian. Bukankah nabi Muhammad saw diutuskan untuk membaiki kerosakan akhlak masyarakat Arab pada masa itu?
Politik kepartian hanya boleh hidup dan menang jika dasar-dasarnya memuaskan kehendak dan nafsu pengundi. Politikus kepartian tidak akan dapat membentuk masyarakat untuk menuruti ajaran  yang dimahukannya. Dan ternyata kehendak-kehendak masyarakat adalah  berbau keduniaan semata-mata. Parti yang mendakwa Islam itu akan terpaksa mengalah dengan kehendak masyarakat. Misalnya dulu PAS tegas dalam soal hiburan dan konsert. Tetapi untuk memenuhi kehendak dan nafsu masyarakat , mereka terpaksa menceburi diri dengan unsur-unsur yang suatu masa dulu dikecam mereka sebagai maksiat.
Di dalam mencemuh pihak lawan, ulama-ulama parti politik beginilah tidak menyedari sifat riak atau ujub itu seperti seekor semut hitam di atas batu hitam pada malam yang hitam. Mereka mendakwa Islam itu sempurna. Tetapi mengapa mereka mencemarkan Islam? Jika parti politik mereka {yang mereka dakwa islam} itu baik, mengapa mereka mencela parti lawan sebagai khianat. Ini tidak ubah seperti penjual buah anggur di pasar ukkaz pada zaman jahiliah yang mencela buah saingan mereka adalah masam. Jika buah mereka elok dan manis, kenapa perlu mencela buah penjual lain. Di sinilah kejahilan politik mereka.
Parti politik bukanlah cara nabi saw seperti yang difahami ulama-ulama yang menyertai parti politik. Jika parti politik itu cara Islam, terimalah jika pemimpin yang dipilih adalah perasuah, kerana suara teramai adalah pemenang. Masyarakat yang baik akan memilih pemimpin yang baik. Begitu sebaliknya. Dan hari ini tiada siapa yang ingin mengubah masyarakat ke arah kebaikan. Ulama-ulama ini hanya ingin mengubah negara, sedangkan mereka lupa negara itu terdiri dari individu-individu. Ulama-ulama parti ini hanya lebih berminat untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara untuk melaksanakan hukum hudud misalnya.  Menutup kedai arak nampak sangat islamik. Itu betul. Tapi yang sebenarnya Islam adalah kedai arak ditutup kerana tiada pelanggan. Bagaimana untuk meniadakan pelanggan? Mustahil. Nabi saw pun hanya dapat mengislamkan ¾ bahagian dunia. Setidak-tidaknya mengurangkan pelanggan, walaupun tujuan kita adalah menghapuskan arak di kalangan orang Islam. Bagaimanakah nabi saw melakukannya? Tiada yang lain, selain dakwah. Bukan dengan pemaksaan seperti menutup kedai arak.
Memang ulama-ulama parti ini ada menyebarkan ayat-ayat dakwah dalam ceramah mereka. Tetapi tujuan ayat-ayat itu untuk memenangi undi. Bukan bertujuan merebut hati masyarakat supaya menjadi berakhlak, misalnya. Banyak ayat-ayat dipetik untuk membenarkan puak mereka. Islam telah dipolitikkan. Parti ini hanya mengumpul penyokong, tapi tidak membina individu Islam yang sebenar. Mereka tiada pengikut tulen, tetapi terpengaruh dengan label Islam. Jika mereka mempunyai pengikut, mengikut dasar Islam yang dibawa mereka, tentulah ada beza antara rakyat di negeri bawah pemerintahan mereka dengan negeri yang lain.
Cuba kita renung sejenak. Bolehkah parti yang menentang rasuah ini, pada musim pilihanraya juga telah mengagihkan habuan kepada bakal pengundi? Misalnya gula, kain pelekat dan sebagainya. Ini adalah rahsia umum. Mereka mendakwa lawan mereka juga membahagikan wang untuk bakal pengundi. Sama ada sebutir gula, atau sejuta duit, semua itu terhisab sebagai rasuah. Bezanya mereka tiada dana yang besar untuk membahagikan wang yang banyak. Jika mereka telah berjaya memurnikan pegangan penyokong mereka, mengapa mereka perlu mengagihkan habuan tersebut? Sedangkan ulama-ulama ini telah mengajar penyokong mereka bahawa Islam adalah berjuang tanpa mengharapkan balasan dunia.
Ulama-ulama yang berhasrat mengambilalih negara ini tidak mengambil iktibar dari kitab-kitab yang dipelajari mereka. Saya tidak menuduh mereka ini berpura-pura. Mereka ini sebahagiannya mempunyai cita-cita murni membentuk sebuah masyarakat Islam seperti di Madinah. Tetapi mereka telah sesat jalan dalam  mencapai, tidak mengambil iktibar dari perjalanan sirah nabi. Untuk mengamalkan kewajipan agama, kita tidak perlukan negara Islam. Tetapi negara Islam perlukan umat Islam yang mengamalkan akhlak Islam yang tulen. Apalah gunanya sebuah rumah yang bersih, tetapi penghuninya pengotor? Akhirnya sampah-sarap akan memenuhi rumah tersebut. Ringkasnya penghuni itu sendiri perlu dibersihkan terlebih dahulu.
Soalnya, apakah sumbangan mereka dalam membentuk cara hidup dan akhlak Islam?
Ulama-ulama sebegini akan terbelit dengan hujah-hujah untuk membenarkan puak mereka semata-mata. Kita ambil contoh mudah. Isu seorang pembesar yang ditawarkan pakej umrah ke mekah. Kenapa dia ditawarkan pakej itu? Layakkah dia menerimanya? Apa tujuan dia ditawarkan? Atas dasar apa? Siapakah penawarnya? Tidakkah ia dikhuatiri ada unsur-unsur rasuah? Banyak soalan perlu ditanya dan dijawab. Tetapi kerana taksub dengan kebenaran yang diyakini berada di pihak mereka, tiada jawapan yang diberi. Maka bersuaralah puak-puak mereka menyatakan pembesar parti lawan juga menerima tawaran yang berbau rasuah. Dengan angkuh mereka menyatakan, lawan mereka lagi dahsyat kerana menerima pakej ke tempat-tempat maksiat, bukan ke tempat suci. Lagi hujah mereka, kafir Quraisy moden telah menghalang pembesar tadi ke mekah sepertimana terjadi kepada baginda nabi suatu masa dahulu.
Tidakkah di sini berbelit-belit, seperti pemikiran  dan cara berhujah puak sophist di Athen suatu masa dulu? Kenapa isu ini tidak dijawab dan dirujuk dengan sirah perjalanan nabi? Inilah politik ulama dalam parti. Jika lawan mereka berbuat salah, mereka merujuk al-Quran dan sunnah nabi untuk menjatuhkan hukum. Jika mereka melakukan kesalahan yang sama, mereka mengelak dari menjawab dengan menuduh pihak lawan juga melakukan kesalahan yang sama.
Tindak-tanduk mereka  ini melemparkan mereka ke lembah assabiyah. Sifat-sifat ini menjadikan parti politik yang mereka dakwa Islam itu juga assabiyah. Apakah assabiyah? Secara umumnya assabiyah adalah sifat perkauman yang hanya mengenal kaum dan puak sendiri.  Assabiyah tidak mengenal siapa betul siapa salah. Sama ada puak mereka betul atau tidak, puak mereka mesti dipertahankan. Puak lawan harus ditentang walaupun kebenaran berada di pihak lawan.
Lihatlah senario hari ini. Semua tindakan yang dibuat oleh lawan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Adalah tidak logik semua tindakan lawan mereka itu salah dan tidak ada yang betulnya. Semua ini terjadi kerana mereka hanya mengejar kemenangan dalam politik. Inilah assabiyah moden yang tanpa sedar telah menyembah masyarakat pengundi sebagai tuhan.
Tidakkah mereka merenungi kisah-kisah di dalam al-Quran untuk pengajaran? Misalnya kisah perjalanan nabi Musa as dengan Khidir. Mengapakah Khidir menegakkan dinding rumah yang hampir roboh di sebuah negeri yang menzalimi tetamunya?
Seperti yang kita maklumi, nabi mengajar dan menghidupkan agama. Nabi tidak mengutamakan negara. Nabi mengutamakan individu-individu yang membentuk masyarakat itu. Lupakah mereka pada janji allah swt bahawa Allah swt akan membantu urusan dunia kita jika kita membantu menegakkan agama Allah swt?
Diulangi lagi, politik dalam Islam bukanlah politik seperti yang ditafsirkan oleh ulama-ulama parti hari ini. Politik nabi adalah dakwah, tabligh, tarbiah dalam memenangi hati manusia demi mencapai keredhaan Allah swt. Politik yang diamalkan ulama-ulama parti hari ini adalah mengikut tafsiran barat, iaitu parti politik untuk memenangi negara. Sedangkan kuasa-kuasa besar dunia hari ini telah mengambil cara Islam, iaitu dakwah, untuk memenangi umat manusia di seluruh dunia. Mereka melakukannya melalui pelbagai cara hidup seperti pakaian, hiburan, ekonomi, makanan, sukan dan sebagainya. Mereka tidak lagi perlu menakluk sesebuah negara seperti yang sedang diusahakan manusia-manusia yang digelar ulama ini. Dengan cara dakwah, tujuan mereka telah tercapai untuk memesongkan manusia.
Seeloknya ulama-ulama ini mengambil iktibar surah al-‘asr yang bermaksud; demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran. Jelas di sini, selepas beriman dan beramal soleh, dakwah mengambil peranan, iaitu menyebarkan kebenaran. Dan usaha ini mesti dilakukan dengan penuh kesabaran.
Bagi saya, warganegara biasa ini, jika perubahan politik di Malaysia berlaku pada pilihanraya akan datang, tiada apa yang berubah ke arah yang lebih baik. Yang berubah hanya siapa pula yang akan dituduh perasuah, penipu, dan sebagainya. Begitu sebaliknya. Kerana pemimpin yang akan naik adalah kalangan masyarakat yang sama. Pemimpin yang zalim adalah bayangan masyarakat yang zalim di bawahnya. Dan keadaan ini akan dipersalahkan kepada pemerintah yang terdahulu. Untuk kembali kepada keadaan asal, adalah sulit. Kerana dalam perang politik ini, oasis dan wadi-wadi subur yang tumbuh pokok tamar telah terbakar dan diracuni airnya.
Memilih kekuasaan negara terlebih dahulu tanpa mengubah akhlak masyarakat, adalah seperti membina bangunan dengan bata-bata yang rapuh.
Kepada semua, marilah kita menguatkan agama. Dengan menghayati dan menghidupkan amalan-amalan agama, semua yang kita dakwa rasuah, kezaliman dan semua kebatilan akan menyingkir. Siang dan malam tidak mungkin bersatu. Tulisan ini diharap tidak selesai di sini. Seperti anjuran nabi, “pendapat saya mungkin salah, dan pendapat kamu mungkin juga betul.” Marilah kita berbincang. Bukan mengajak berdebat di hadapan awam untuk mendapatkan kemenangan dan sokongan undi.
Akhirnya, musuh sebenar orang Islam bukanlah orang Islam. Dalam konteks Malaysia, musuh sebenar PAS bukanlah UMNO. Musuh sebenar manusia adalah kejahilan, seperti kata syaidina Ali kw, khalifah keempat. Di sinilah peranan ulama yang sebenarnya seperti yang diwariskan nabi.
Janganlah kita menjadi keldai  yang membawa kitab-kitab di atas pundaknya. Keldai-keldai yang mudah ditunggangi.

Comments

  1. Salam. nanti aku baca. sibuk sikit buat masa ni bro..............apa pun aku percaya mu...

    ReplyDelete

Post a Comment