BELAJAR DARI PENGAJARAN KHIDIR KEPADA NABI MUSA as (Siasah edisi 01-07 April 2011)

APAKAH pengajaran yang boleh didapati dari pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara sekarang? Kerajaan Tunisia di bawah Ben Ali, dan Mesir  di bawah Hosni Mubarak, sudah dijatuhkan. Manakala Libya, Bahrain, Arab Saudi, Yemen, Jordan, dan Djibouti dalam fasa penentangan rakyat yang berterusan sehingga saat tulisan ini terhasil. Trend penentangan rakyat ke atas pemerintah ini diramal akan mendominasi negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara tersebut, sementara Iraq dan Afghanisan masih lagi dalam kacau-bilau politik yang tiada tanda-tanda ke arah yang lebih baik.
                Kita akui masyarakat negara-negara tersebut berdepan dengan premis pemerintahan yang korup dan menzalimi rakyat sejak sekian lama. Natijahnya mereka telah bangkit menentang pemerintahan tersebut dengan cara rusuhan dan demonstrasi setiap hari.
Tetapi, pada akhirnya apakah hasilnya setelah kerajaan yang didakwa rejim zalim itu digulingkan?
Tanpa menafikan sisi gelap pemerintah negara tersebut, soalan yang patut ditanyakan, apakah hasil sebenar setelah berkuburnya pemerintahan yang didakwa zalim tersebut? Masalah sebenar dan asal di negara-negara tersebut adakah selesai setelah kerajaan lama itu ditumbangkan? Malah huru-hara seperti yang berlaku di sana sekarang, adalah jawapannya. Ia lebih musibah dari keadaan asal. Ia akan memakan masa yang lama dan korban yang besar, untuk menjadi terkawal. Suasana anarki ini takkan pulih dalam kadar masa yang segera. Siapakah yang mendapat laba dan keuntungan dari krisis tersebut?  Dan ternyata rakyat yang mendapat kerugian.
                Sekali imbas pemberontakan rakyat negara tersebut kelihatan berhasil. Jika dihalusi, ia tiada hasil yang positif. Inilah dilemanya.
                Kita di Malaysia turut bersorak-sorai meraikan kejayaan rakyat negara-negara tersebut menjatuhkan  pemerintahan yang korup.  Sehingga ada segelintir rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi aman sebagai tanda sokongan. Tetapi adakah di antara mereka ini sekarang memikirkan apa yang sedang dialami rakyat negara tersebut pada hari ini dan pada hari-hari esoknya?
                Adakah dalam keadaan bersorak dan bergembira tersebut kita juga mengulangi kisah Pak Kaduk? Satu kisah klasik dalam alam sastera Melayu yang melambangkan ikon kebodohan manusia dalam bentuk jenaka.
                Tidakkah kita mahu renungi dan berfikir?
Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang kaya dengan kisah-kisah untuk dijadikan rujukan dan perbandingan.  Kisah-kisah di dalam al-Quran juga bukan sekadar cerita. Ia bukan sastera hasil akal dan khayalan manusia. Ia adalah wahyu Allah swt. Misalnya kisah nabi Musa as dan makhluk Allah bernama Khidir dalam surah al-Kahfi ayat 60-82. Kisah ini adalah sangat relevan direnungi dan diambil iktibar untuk melihat kebenaran yang berlaku di negara-negara tersebut sekarang. Kisah nabi Musa as yang berasa dirinya manusia paling bijak pada masanya dan ditegur kerana itu. Hakikat sebenarnya ada lagi manusia biasa yang lebih bijaksana darinya.
                Tulisan ini ingin menyorot kisah tersebut untuk direnungkan dan diambil pengajaran.  Dalam surah ini terselit cerita Musa as yang mahu berguru dengan Khidir. Dalam perjalanan mengutip ilmu tersebut ada tiga perbuatan Khidir yang menimbulkan kemarahan dan dipersoalkan nabi Musa as. Pertama, Khidir yang merosakkan perahu. Kedua perihal Khidir yang membunuh seorang kanak-kanak kecil.
Apa yang ingin diulas dalam tulisan ini adalah kisah ketiga, iaitu kisah mereka di sebuah negeri yang menzalimi mereka berdua. Sebagai tetamu, mereka tidak diberi makanan. Tetapi pada malamnya Khidir telah membaiki dinding yang hampir runtuh di negeri tersebut, malahan tanpa upah. Perbuatan Khidir ini telah ditegur oleh Musa as sebagai tidak wajar kerana menolong penduduk negeri yang zalim.
                Apakah hujah Khidir? Kita semua telah tahu kisah selanjutnya, iaitu  tujuan Khidir membaiki dinding yang hampir roboh tersebut adalah untuk melindungi harta dua orang anak yatim yang ditinggalkan oleh bapanya yang soleh. Hal ini tidak nampak pada mata lahir Musa as.
                Pada mata kasar, tentulah tidak wajar perbuatan Khidir tersebut. Tetapi Khidir diberi mata hati atau akal yang tajam oleh Allah swt.
                Kita di Malaysia melihat apa yang berlaku di negara-negara kacau-bilau tadi dari kacamata Musa as. Mahukah kita cuba melihat dari kacamata Khidir?
                Apakah tanda-tanda atau simbol dalam kisah tersebut? Negeri yang penduduknya zalim, dinding yang hampir roboh, anak yatim dan harta pusaka oleh ayah yang soleh. Mari kita renungkan tanda-tanda ini.
Kita mungkin peka pada kezaliman. Tetapi kezaliman tidak boleh membutakan mata hati kita dari melihat hasil yang kita perolehi setelah runtuhnya kezaliman yang kita musuhi itu.
                Mungkinkah dinding dalam kisah ini boleh dikiaskan kepada sebuah kerajaan yang zalim? Kata hukama, berada di bawah pemerintahan yang zalim adalah lebih baik dari anarki. Ini ada benarnya jika kita melihat apa yang sedang dan akan berlaku di negara-negara tadi. Kerajaan yang menguatkuasakan undang-undang adalah benteng/dinding yang kukuh kepada rakyat. Tidak kira sama ada kerajaan tersebut zalim atau tidak, undang-undang adalah benteng yang mengikat masyarakat dari bertukar anarki. Jika undang-undang sudah tiada, hancurlah masyarakat. Semua orang akan menjadi musuh kepada orang yang lain dalam suasana anarki. Maknanya kerajaan zalim yang dijatuhkan dengan cara yang juga kejam akan menghasilkan suasana yang tidak stabil dan mendedahkan negara kepada musuh dan bahaya yang pelbagai. Contohnya terbentang di hadapan mata.
Keamanan adalah harta awam yang paling bernilai untuk dipertahankan, suatu warisan dari generasi terdahulu untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Di sini jelas simbol harta pusaka dalam kisah Khidir tadi ada relevannya.
Dalam konteks Malaysia hari ini, apakah dinding tersebut untuk dikaitkan dengan kisah ini?
 Kita akui Akta keselamatan dalam Negeri atau ISA adalah suatu akta yang zalim pada zahirnya. Alasannya ia menahan seseorang itu tanpa bicara. Tentulah ia zalim bagi manusia yang berakal dan bertamadun. Tetapi apakah yang dipertahankan oleh dinding ISA itu? Itulah yang perlu difikirkan sebelum menentang membabi-buta.  Seperti juga akta media cetak, akhbar dan sebagainya. Kebebasan adalah perkataan yang indah dan romantis, terutamanya bagi pejuang-pejuang muda yang tidak matang. Tetapi  kebebasan fikiran individu adalah musuh sebenar masyarakat awam. Kebebasan fikiran akan menyebabkan kebebasan fizikal yang tanpa kendali yang pada akhirnya akan membawa kepada suasana kacau-bilau.
 Jika semua dinding-dinding ini runtuh, apakah yang akan berlaku?
                Jika dihalusi dan disemak rekod, undang-undang ISA ini jarang sekali digunakan. Tetapi mengapakah puak anti-ISA ini berusaha untuk menghapuskannya, seolah-olah sebahagian rakyat Malaysia telah dikurung dalam penjara kerana akta ini? Cuba fikir sejenak, adakah mereka menentangnya atas perkara yang akan mereka lakukan jika ISA dihapuskan. Mereka menentangnya bukan atas dasar apa yang telah mereka lakukan. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, atas tujuan untuk melakukan sesuatu yang selama ini dibentengi oleh ISA. Apakah tujuan-tujuan tersebut? Bagi yang mahu berfikir mereka akan mendapat jawapannya.
                Rakyat Malaysia seharusnya sedar yang mereka masih lemah, seperti anak yatim dalam kisah tadi. Dalam keadaan dunia yang penuh krisis hari ini, dengan musuh luar dan dalam ingin mengambil kesempatan, kita tidak ubah seperti anak yatim. Kestabilan dan keamanan harus dikekalkan untuk melindungi mereka yang lemah. Ini adalah keutamaan. Apakah yang akan mengekalkan kestabilan dan keamanan itu? Seperti daging khinzir, dalam keadaan darurat, tidak haram bagi orang Islam memakannya dengan syarat-syarat tertentu.
                Tulisan ini bukanlah mengajak manusia membunuh bayi atau merosakkan perahu. Kita adalah manusia biasa yang tidak tajam mata hatinya untuk melihat yang tersirat seperti Khidir. Kita bukanlah Khidir manusia istimewa yang dianugerahkan penglihatan yang tajam. Kita sebagai manusia biasa, ambillah al-Quran dan sunnah-sunnah nabi sebagai pedoman dan iktibar.
                Berbalik kepada Timur Tengah dan Afrika Utara tadi, kita harus akui ia bukanlah kebangkitan seperti dituntut ajaran agama. Contoh mudah, nabi Muhammad saw menegah tentera-tenteranya dalam setiap peperangan agar jangan memusnahkan pokok-pokok buahan seperti tamar, jangan racuni air telaga dan jangan rosakkan harta awam. Tetapi di sana banyak bangunan, kenderaan dan sebagainya telah musnah. Boleh disimpulkan pemberontakan tersebut hanya tindakbalas hukum rimba. Kesusahan hidup, tekanan ekonomi, pengangguran, kelaparan dan sebagainya menjadikan rakyat mereka seperti harimau yang dilukai. Penentangan ini hasil naluri haiwan, bukan penentangan akal budi yang berpandu kepada agama. Ini juga harus diambil pengajaran.
                Asbabun nuzul, atau sebab-musabab, ayat ini diturunkan adalah untuk mematahkan hujah orang Yahudi bahawa bangsa mereka lebih bijak, mempunyai lebih ramai nabi, banyak kitab dan lebih mengetahui. Musa as yang berbangsa Yahudi telah ditunjukkan oleh manusia biasa yang bukan Yahudi. Sekiranya hal ini direnungkan, banyak hal saling berkait yang boleh dipersoalkan. Apakah kebangkitan-kebangkitan rakyat di negara-negara tersebut didalangi Yahudi dan Zionis untuk menghuru-harakan dunia atau lebih tepatnya menghancurkan negara Islam?
                Tulisan ini bukan untuk menghalalkan sesuatu yang zalim. Zalim tetaplah zalim. Tulisan ini untuk menguak fikiran kita melihat dari sisi yang lain.
                Akhirnya, saya percaya dan berharap, rakyat Malaysia yang bijaksana ini, tidak akan terbakar oleh hasutan dari individu-individu yang hanya ingin mencapai kepentingan-kepentingan peribadi mereka, yang boleh menghancurkan masa depan negara tercinta ini, atas nama kebebasan, suara rakyat atau apa-apa  perkataan yang berbunyi indah. Rakyat yang beremosi akan mudah terhasut dengan kata-kata berapi, tetapi rakyat yang berakal akan menilai dengan cermat dan tidak akan mudah dipergunakan.
Wallahhua’lam bisawab.

Comments