SURAT KEPADA IBU MERTUAKU



SALAM SEJAHTERA...
                Makcik, apa khabar? Masihkah makcik ingat lagi pada diri saya ini?
               Saya belum mati seperti yang makcik anggap dan mahukan. “Roh” saya masih bebas merayau-rayau. Ia sedang dan akan terus merasuk-rasuk fikiran makcik yang berpenyakit aneh itu. Saya juga masih hidup dalam jiwa anak makcik itu, anak gadis yang makcik sayangi, tetapi jiwanya telah makcik derai selalu itu. Saya ini adalah penawar jiwanya.
           Masakan makcik dapat melupai saya! Bukankah dahulu makcik pernah menolak utusan peminangan saya, malah memfitnah saya?
                Sekarang tibalah masanya saya memuntahkan seluruh perasaan saya, dan apa yang sedang berlaku kini, sesudah “tragedi besar” itu.
                Ia sebesar, atau persis sekecil, kegawatan sarkastik bahasanya. Paras hikmah saya dengan makcik sudah sampai maksimum. Jika fikiran saya di dalam surat ini sudah tidak begitu siuman, saya akui. Dan saat-saat ini, dengan akal yang masih waras, saya memohon maaf. Surat ini sengaja ditulis dengan gambaran yang imaginatif seperti fikiran seorang insan yang dilamun marijuana. Sesungguhnya jiwa saya ini amat sakit selepas peristiwa itu. Separuh jiwa saya hampir lumpuh, makcik. Tahukah makcik?
                Pedulikanlah itu semua, makcik! Makcik takkan memahami jiwa anak-anak muda seperti kami.
                Saya akan segera langsungkan surat ini... saya sudah dapat memahami mengapa makcik menolak peminangan saya itu! Pastinya kerana saya ini golongan miskin macam si Kassim Selamat. Makcik pula golongan yang kaya-raya. Saya papa-kedana. Makcik sekeluarga dengan saya tidak setaraf. Seperti kata para pujangga, ibarat langit dengan bumi. Di pekan kita, makcik di antara saga keluarga yang kaya-raya. Makcik khuatir saya akan membawa masuk kaum keluarga saya yang kemacar mencerobohi perbendaharaan makcik. Dan tambahan lagi makcik telah dihasut oleh penasihat-penasihat makcik.
                Itu saja sebab sebenarnya! Makcik takut saya tidak dapat menjagai kepentingan anak-anak dan saudara kroni makcik di kemudian hari.
                Adakah makcik mengikuti perkembangan politik di seluruh dunia akhir-akhir ini? Begitu jijik dan kotor dunia politik, bukan? Yang sebenarnya, saya fikir makcikpun satu spesies dengan politikus juga, penuh muslihat dan kepentingan. Fikiran makcik diselubungi ketakutan yang gila dan tidak masuk akal seperti mereka juga. Mangakulah, makcik.
                Atau marilah kita memikirkan semua ini. Marilah kita merenungi segala-galanya ini dari satu posisi yang lain, makcik.
                Makcik menuduh bahwa saya ini manusia yang gila! Saya fikir dalam situasi ini, nasib saya macam Anwar Ibrahim yang dituduh sebagai pengamal homoseksual itu. Belum sempat saya menjawabnya, makcik terus menambah tuduhan lain... ini satu siri pemusnahan peribadi saya... kononnya saya ini menagih dadah, macamlah tuduhan rasuah ke atas mantan TPM kita itu kemudiannya. Dan makcik terus menambahkan lagi tuduhan-tuduhan lain. Semuanya makcik lakukan untuk menjatuhkan imej dan sahsiah diri saya, sekaligus menghalalkan penolakan peminangan saya di mata masyarakat.
                Kenapa tidak saja makcik katakan bahawa makcik tidak boleh menerima saya kerana saya ini miskin, maka tidak perlulah makcik menyebarkan fitnah-fitnah yang terkutuk itu?
                Makcik terus ulangi tuduhan-tuduhan makcik itu sehingga saya sendiri mulai bertanya apakah tuduhan itu benar, sedangkan sebelum ini saya yakin bahawa saya tidak bersalah, dan saya tahu saya tidak melakukan perkara terkutuk itu. Oh, begitu liciknya serangan mental makcik. Alangkah besarnya kesannya sesuatu yang diulang-ulang selalu! Saya menanggung malu kepada masyarakat, makcik. Bayangkan jika ia tersebar seluruh negara!
                Saya tidak akan mengalah, makcik. Cinta suci saya terhadap anak makcik itu mengatasi segala-galanya. Ia telah membius jiwa saya agar terus melawan kezaliman dan kediktatoran makcik. Macam kata kawan saya, Zack PI, kalau dibius oleh daun qat, jual kura-kura pun tak malu. Inikan pula cinta yang luhur? Semuanya hanya kerana keagungan cinta, makcik. Saya percaya, cinta, sebagaiman keadilan di dalam sesebuah negara, akan mengubah dan membersihkan kekotoran isi dunia ini. Cinta suci kami akan terus tumbuh subur. Cinta suci bakal menyembuhkan segala-galanya. Semakin makcik menindas kami, semakin kuat jiwa dan tekad kami.
                Makcik, saya tidak tahu sama ada Anwar Ibrahim bersih atau tidak, saya tidak mahu peduli, ia urusan mahkamah. Yang pasti, tuduhan makcik terhadap saya sebenarnya satu fitnah jahat. Ia satu “konspirasi peringkat tertinggi”, saya ciplak ulasan Anwar, untuk menolak saya daripada memasuki saga keluarga makcik yang kaya-kaya itu. Saya kononnya akan mencerobohi perbendaharaan makcik melalui anak makcik itu.
                Tidakkah saya ini secara teknikalnya sama dengan Anwar Ibrahim yang didakwa akan meng-Abim-kan Umno?
                Makcik, saya masih dan tetap akan hidup di dalam jiwa anak makcik, meskipun seribu tuduhan lain makcik halakan kepada saya. Saya macam Anwar Ibrahim...lebih tepat saya adalah Anwar Ibrahim yang tetap hidup di jiwa rakyat, meskipun beliau telah dibuktikan bersalah di mahkamah, apatah lagi dengan diri saya yang tidak bersalah ini. Secara teknikalnya saya adalah Anwar Ibrahim. Saya ulangi lagi, saya adalah Anwar Ibrahim.
                Kemudian makcik terus menuduh saya bomohkan anak makcik. Makcik mendakwa saya telah meracuni fikiran anak makcik. Makcik tuduh saya mengajari anak makcik dengan unsur-unsur yang subversif. Macamlah Anwar Ibrahim yang dituduh seorang demagog yang menghasut rakyat memberontak di atas jalan-jalanraya.
                Sebaliknya saya, tidak seperti Anwar, tidak diberi peluang membela diri secara adil.
                Yang sebenarnya lagi, makcik dikelilingi penasihat-penasihat yang jahat, sakit mental, dan berhati dengki.
                Siapakah para penasihat makcik yang bijak-pandai itu?
                Anak saudara perempuan makcik yang menuntut di universiti itu. Makcik, saya fikir, dia mengalami suatu masalah kecacatan mental yang kronik. Adakah patut dia membenci diri saya tanpa sebab, makcik? Inilah agaknya yang dikatakan oleh Sigmund Freud, bahawa kadang-kadang kita boleh membenci seseorang.sewaktu kali pertama kita melihat wajahnya. Barangkali wajah saya ini seperti wajah orang yang selalu mengusiknya waktu kecil. Macam momoklah, makcik.
                Oh, sebenarnya fikirannya sendiri macam komputer yang penuh virus, saya fikir.
                Anak perempuan makcik sendiri, yang bersuamikan seorang tokoh korporat yang sudah duda dan tua pula. Saya tahulah dia seorang yang kaya-raya, dan makcik sendiri lemas dalam kelimpahan kekayaannya itu. Dia juga saya fikir mengalami krisis jiwa. Cuba makcik fikirkan, dia kahwin dahulu tatkala dia masih remaja, baru keluar IPT, fikiran pun belum matang tatkala disodorkan timbunan kemewahan.
                Saya mendapat maklumat daripada sumber perisikan saya, yang boleh dipercayai, bahawa dia kini sedang menderita kecewa.
                Oh, buat apa dengan duit yang banyak?
                Dulu suaminya mungkin 44, dia 24, sekarang dia baru 34, suaminya 54...tidakkah ini sakit jiwa makcik?
                “Inilah padahnya jika tidak mahu mendengar cakap orang tua,” inilah yang sedang difikirnya.
                Bukankah makcik telah menghalang keinginannya itu dahulu? Saya fikir, dia tidak mahu nasib adiknya seperti dirinya itu. Biarlah dia seorang menanggung akibat tidak mahu mendengar nasihat orang tua.
                Oh, apa pula kaitan saya dengan nasibnya yang malang itu?
                Menantu perempuan makcik...dia juga penasihat makcik. Dia ini kaki adu-domba. Dia gembira apabila melihat orang lain ditimpa kesusahan. Di dalam ilmu psikologi, entah apa gejala penyakit ini dipanggil, saya akan rujuk buku psikologi, dan beritahu makcik kemudian. Dia berkahwin dahulu atas pilihan orang tua. Barangkali dia ingin menunjukkan gejala superioritinya, makcik.
                Menantu lelaki makcik pula. Dia pun, saya fikir mengalami satu gejala mental juga. Yang sebenarnya dia sendiri ghairah pada anak makcik itu, dan anak makcik sendiri mengakuinya pada saya. Ini menimbulkan konflik dalam dirinya. Dia khuatir saya akan membocorkan rahsia ini jika kami bersama. Jika di Barat tidak mustahil dia akan meracuni isterinya dan dia kemudian akan merancang mengambil adik isterinya sebagai ganti.
                Nampaknya makcik sedang dikelilingi satu team penasihat yang sakit mental dan berkepentingan peribadi. Macam juga di dalam kerajaan Qarun, penasihatnya si Haman yang jahat itu. Macam juga Si Kitul di dalam cabinet Raja Mandeliar. Sebagaimana juga anggota-anggota kabinet yang wujud dalam mana-mana kerajaan di seluruh dunia. Jika para penasihat makcik seperti ini menganggotai kabinet sesebuah negara, tunggulah masa kehancurannya. Ia akan terjadi sebagaimana yang terjadi kepada kerajaan-kerajaan agung terdahulu.
                Kasihan anak makcik...dia sedang menderita sakit kini. Saya mengetahui semua ini, makcik. Seperti gunung berapi, ia hanya menunggu masa untuk meletup. Jiwa anak makcik itu hanya menunggu masa untuk meledak. Ia akan meledak untuk kali yang kedua. Ia akan lebih kuat letupannya.
                Makcik sembunyikan anak makcik. Makcik sembunyikannya di kota. Makcik pujuk anak makcik itu dengan segala kemewahan dunia. Malah, dengan segala apa yang mungkin diimpikannya selama ini.
                Ini persis sesebuah kerajaan yang memujuk, selain dengan method mengugut, rakyatnya dengan pelbagai tawaran dan habuan yang khayal. Inilah candu sebenar.
                Tidak makcik, semua itu tidak akan mempengaruhi fikiran anak makcik. Semua kemewahan dunia ini tidak akan mempengaruhi fikiran anak makcik. Macam juga rakyat yang tertindas di sesebuah negara,mereka tidak akan terpedaya.
                Makcik mainkan fikiran anak makcik dengan sentimen kekeluargaan. Kononnya anak makcik itu hanya kenal saya mungkin satu atau dua tahun, sedangkan selama ini dia tinggal dengan makcik lebih 20 tahun. Dan saya ini pula berniat jahat memusnahkan hidupnya itu. Tidakkah ini menakutkan?
                Oh, macam juga sesebuah kerajaan yang menyeru rakyatnya bersatu atas asas patriotism demi membentengi serangan penjajahan atau pemikiran jahat negara luar kononnya. Ia sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan dan melupakan masalah sebenar. Perpaduan memang dianjurkan, tetapi untuk mereka terus bermaharaja sesuka hati. Apa gunanya, makcik?
                Dahulu makcik juga menuduh saya gunakan bomoh untuk menyihir anak makcik itu. Oh, macam juga sesebuah kerajaan yang menuduh si spekulator matawang yang menghancurkan ekonomi negaranya! Nampaknya saya seperti penyangak matawang itu pula. Kami telah dijadikan “kambing hitam”. Saya hanyalah hantu yang wujud di dalam fikiran makcik sekeluarga sahaja.
           Makcik seolah-olah tidak pernah mengalami zaman muda. Cinta...ia biasa, ia perkara normal...anak-anak muda zaman ini...jatuh cinta, hendak kahwin. Makcik juga begitu dulu, melawan dan mendakwa orang tua makcik bersifat diktator. Tetapi, inilah yang makcik lakukan pada kami kini. Ingatkah makcik? Makcik juga pernah disingkiri keluarga makcik. Sejarah tidak dapat dipadamkan, makcik.
                Kami yang masih berjiwa muda ini tidak bersalah, makcik, lebih-lebih lagi jika orang-orang tua tidak begitu memahami aspirasi dan tuntutan generasi baru. Kami akan memberontak dengan mencari alternatif di luar rumah. Lebih-lebih lagi makcik telah bertindak seperti seorang diktator.
                Ia juga seperti rakyat sesebuah negara yang ditindas, mereka akan bangun melawan, dan memuntahkan segala perasaan protes di atas jalan-jalanraya sebagaimana di Indonesia.
               Ia, kata orang, kononnya juga menyebabkan Barisan Alternatif ditubuhkan di Malaysia.
               Semuanya tidak perlukan kuasa ghaib. Saya tidak perlukan bomoh untuk memenangi hati anak makcik. Macam sistem tubuh yang sihat, ia tidak mudah dijangkiti kuman penyakit. Tapi, tidak ada gunanya juga jika kita berada di zon/kawasan yang kotor, ia akan membuat kita cenderung menghidap penyakit. Macam fundamental ekonomi sesebuah negara yang teguh, seribu macam manusia penyangak, misalnya George Soros, pun tidak akan dapat meruntuhkannya. Mesti ada yang tidak kena dengan sistem itu.
            Sedarlah makcik, makcik sudah terlalu tua, sehingga saya sendiri tidak tergamak untuk menyatakan makcik sudah nyanyuk. Makcik tidak dapat lagi memahami aspirasi anak-anak muda zaman ini. Zaman Pembaharuan @ Reformation ini tidak lagi mengkehendaki idea-idea makcik itu! Sekarang bukan zaman feudal yang makcik sendiri musuhi secara teorinya itu.
         Idea makcik hebat, seluruh pelosok kampung mengetahuinya, tetapi zaman glory makcik sudahpun lama berlalu. Malangnya, mereka semua sudah muak dengan makcik, kecuali puak-puak berkepentingan sahaja. Sedarlah makcik, makcik hanya diampu sanak-saudara yang terdekat sahaja. Tidak ada gunanya lagi makcik, jika semua orang sudah tidak suka, meskipun sentuhan tangan makcik macam belaian tangan Raja Midas.
                Sedarkah makcik, bahawa makcik menuduh saya menggunakan ilmu hitam, tetapi makcik sendiri yang mempercayai khurafat? Makcik sendiri yang menggunakan bomoh untuk menghapuskan saya dari ingatan anak makcik. Pada hakikatnya, makcik mencari sesuatu untuk dijadikan alasan, untuk memuaskan khayalan makcik itu, dan akhirnya makcik sendiri telah mempercayainya? Oh, oh, bagaimana dengan manusia-manusia lain?
                Sebagaimana juga dengan sesebuah kerajaan yang menuduh para penentangnya menyebarkan fitnah sedangkan mereka sendiri yang melakukannya.
                Saya tidak akan menjadi bodoh seperti rakyat sesebuah negara itu,makcik.
                Makcik sebenarnya sedang dikelilingi fobia, hantu-hantu. Ia malangnya telah makcik cipta sendiri. Saya memahami psyche makcik, makcik khuatir saya ini penagih dadah. Lagi pula makcik sendiri sudah serik dengan najis dadah...anak lelaki kesayangan makcik sendiri kini penagih dadah.
                Persis juga ketakutan seorang Julius Caeser baru yang bimbangkan pembelotan si Brutus, anak muridnya. Ia juga ketakutan yang tidak berasas. Di dalam otak makcik penuh dengan hantu-hantu yang makcik khayalkan sendiri.
                Dan makcik memang memiliki para penasihat yang mahir psyche manusia. Makcik telah membuang anak lelaki makcik itu, makcik mengirimnya ke penjara seolah-olah untuk menunjukkan bahawa saga keluarga makcik masih bernilai dan relevan.
                Oh, macam juga sesebuah parti pemerintah yang memecat keanggotaan ahli-ahlinya yang didakwa menentang parti untuk menzahirkan bahawa organisasinya masih kuat dan mempunyai ahli yang ramai!
                Hebat, kan?
                Makcik telah menekan seluruh fikiran anak makcik. Makcik tidak memberi peluang untuk dirinya membela kebenaran dan keluhuran cinta kami. Makcik menekan fikirannya sehinggadia bertekad lari daripada rumah. Makcik menuduh pula saya yang menghasutnya agar lari. Sebenarnya, seperti yang makcik ketahui kemudian, dia lari seorang diri. Dia sudah bosan berada di rumah macam tunggul kayu mati, di bawah pentadbiran seorang diktator tua. Dan makcik tidak pula mahu mengakui kesilapan dan kelemahan makcik.
                Anak makcik itu senasib dengan rakyat sesebuah kerajaan yang bobrok, yang menekan fikiran rakyatnya, sehingga jiwa rakyatnya menjadi sakit, dan keluar memberontak di jalanan. Memberontak di jalanan bukan cara yang halal, tetapi kerajaan perlu bertanggungjawab. Keadaannya sama dengan makcik. Makcik juga perlu bertanggungjawab. Saya tidak pernah menghalalkan pelariannya itu, makcik, malah untuk merancangnya!
                Makcik merungut anak makcik itu dengan hadith nabi, “syurga di bawah tapak kaki ibu,” atau, “menderhaka kepada ibubapa tidak akan berbau syurga.” Makcik gunakan menantu makcik yang ustazah itu. (Oh, pandai pula makcik mengungkit soal agama, soal syurga-neraka!)
                Dan macam-macam lagi siri perang saraf yang makcik lancarkan k eats jiwa anak makcik. Saya tidak tahu apa lagi selepas ini. Makcik meracuni fikirannya. Makcik brainwash jiwanya. Ini telah membuat jiwanya sangat tertekan dan tidak dapat berfikir secara rasional. Apa semua ini, makcik?
                Ia hanya sementara, percayalah.
                Tidakkah ini juga macam helah sesebuah kerajaan yang zalim, yang mengugut rakyatnya secara psikologi bahawa rakyat telah tidak mengenang budi, dan sepatutnya rakyat tidak menderhaka kepada kerajaan dengan propaganda...”menderhaka kepada negara, seperti menderhaka kepada ibu.”
                Betullah kata makcik, syurga ibaratnya berada di bawah telapak kaki ibu. Soalannya, adakah berdosa seseorang anak yang mahu membuat pilihannya sendiri? Bukankah anak-anak diberi pilihan bebas untuk menentukan siapa bakal suaminya? Anak makcik tidak silap memilih diri saya, kerana semua tuduhan makcik itu semuanya satu siri fitnah. Dan makcik sendiri tidak begitu pasti, apakah semua tuduhan itu benar atau tidak.
                Saya ulangi di sini, saya bukan penagih dadah. Saya bukan pelamun marijuana. Saya tidak pernah tidak waras. Saya ulangi lagi, wallahi, semua tuduhan-tuduhan itu hanya fitnah jahat semata-mata.
                Macam juga sesebuah negara , kerajaan yang adil disembah, kerajaan yang zalim perlu disanggah. Setiap rakyat perlu diberi hak bebas untuk menentukan siapa yang bakal menjadi khalifahnya. Ini negara demokrasi makcik, apatah lagi jika dalam hukum-hakam agama. Setiap anak harus diberi hak memilih sendiri. Kerajaan sesebuah negara yang didakwa zalim itu juga mengadakan pilihanraya.
                Saya fikir, jika terdesak, makcik juga akan tergamak humbankan diri saya ke dalam lubang gelap penjara. Saya akan dapat merasai peri bagaimana kehidupan Anwar Ibrahim yang terperosok di dalam penjara Sungai Buloh setelah dibuktikan bersalah.
                Sekali lagi, saya tidak tahu sama ada Anwar Ibrahim bersalah atau tidak. Yang pasti, saya ini tidak bersalah. Saya ulang-ulangkan ini untuk makcik dan saya sendiri.
                Makcik pasti akan bertindak seperti seorang politikus despot yang desperado, kata orang.
                Makcik akan sanggup lakukan apa-apa saja. Semua cara akan digunakan untuk mencapai matlamat makcik, iaitu menghalang saya daripada bersama anak makcik itu. Makcik telah gunakan adik ipar makcik yang berkuasa itu untuk mengintip pergerakan kami dulu.
                Tidak pernahkah makcik renungi semula apa yang telah makcik lakukan? Makcik berlagak seolah-olah makcik Tuhan. Kenapa saya katakan begitu? Yalah, makcik fikir duit adalah segala-galanya. Macamlah sesebuah kerajaan juga, mereka fikir ekonomi adalah simbol keagungan sesebuah tamadun. Tidakkah mereka lupa kepada kaum Aad, Tasamud, Qarun, Firaun atau Abu Lahab? Mereka fikir hanya golongan mereka yang boleh membangun dan memulihkan ekonomi negara. Tidakkah ini membuktikan mereka juga bertindak ingin menjadi Tuhan macam makcik?
                Sekarang kami berdua sedang aktif melancarkan gerakan underground, gerakan bawah tanah, untuk kami bersama di dunia ini. Sekarang kami menunggu masa yang sesuai. Mungkin juga gerakan kami jika dilihat dalam skop yang besar, ia semacam gerakan massa rakyat Iran pimpinan Ayatollah Khomeini untuk menggulingkan kerajaan tirani Shah Iran. Mungkin juga seperti di negara kita, yang rakyatnya terus berusaha menumbangkan pemerintahan kerajaannya yang kononnya dikatakan zalim. Dan saya tidak mahu peduli,ia benar atau tidak. Yang benar, makcik telah menganiayai saya dan anak makcik sendiri.
                Di sini, kami juga akan berjuang habis-habisan melawan, melawan dan terus melawan. Melawan kediktatoran makcik sehingga kami dapat hidup bersama, atau kami akan mati bersama.
                Jika kelak kami terpaksa berkahwin di Sempadan Siam, janganlah pula makcik menjadi seperti politikus sasau yang mendakwa negara luar masuk campur, atau cuba mengganggu peri ehwal negara jiran.
                Kami kini saling berutus khabar dan maklumat lewat e-mel, sebagaimana juga rakyat yang disekat kebebasan bersuara, akan menggunakan segala medium termasuk internet untuk menyebar maklumat perjuangan. Makcik pernah membakar surat-surat perutusan yang saya kirimkan kepadanya. Oh, makcik juga macam Napoleon Bonaparte yang lebih takutkan penulis daripada satu bala tentera yang kuat itu!
                Kerana makcik telah mengharamkan perhubungan kami, kami telah terpaksa menyeleweng. Kerana cara yang halal telah diharamkan, kami mungkin terdesak memilih keadaan yang salah.
                Seperti sebuah ketidakadilan, ia tidak pernah kekal, makcik. Qarun hancur ditelan bumi. Firaun lemas di dasar lautan. Raja Namrud mampus kerana seekor nyamuk. Semua kebatilan tidak akan pernah kekal, makcik! Makcik, maaf, saya gunakan bahasa kasar di sini, kejatuhan makcik akan sehina itu tanpa diduga-duga.
                Dunia ini adalah sebuah roda yang berpusing-pusing. Kami akan terus-terusan melakukan gerakan yang akan dilabelkan oleh makcik sebagai bawah tanah, juga perang saraf untuk menjayakan impian suci kami membangunkan sebuah saga keluarga.
                Untuk berlaku adil kepada makcik dan seluruh masyarakat kampung kita, saya mengakui yang saya juga berdosa. Saya ingin mengakui dosa saya terhadap makcik dalam satu ayat yang pendek dan padat sahaja, lalu saya minta makcik tafsirnya sendiri, dan mohon maafkanlah diri saya ini...makcik, seluruh tubuh anak makcik itu telah saya sentuhi inci demi inci.
                Makcik, sekali lagi saya memohon maaf. Setiap manusia ada alasan tersendiri terhadap kelakuan dosanya.
                Berada sejak bayi di bawah jagaan kediktatoran makcik, yang sememangnya keras dan biadap itu, anak makcik mahu juga dibelai–belai mesra, dan saya telah memenuhi naluri normalnya. Jika bukan saya, pasti lelaki lain, yang mungkin lebih buas, akan memuasi nalurinya. Tidak ada bezanya di sini.
                Dan, bagi saya sendri, berada dalam kancah dunia yang kotor ini, serta berdarah muda pula, terpalit juga debu serta noda-noda.
                Tetapi, ini bukanlah alasan sebenar makcik menolak peminangan saya. Alasan makcik lain. Makcik sendiri tidak mempedulikan soal moral dalam memilih menantu. Inilah yang saya berontakkan selama ini.
                Maka untuk menebus segala dosa dan kesalahan kami itu, kalaulah dapat ditebus kembali, sepatutnya makcik berikan kami peluang hidup bersama secara sah. Sebagai orang tua dan terlalu berpengalaman, meskipun selama ini hal ini menjadi rahsia, makcik seharusnya dapat menduga apa yang telah kami lakukan tatkala kami bercinta. Ini jika makcik jujur menolak saya atas dasar kerendahan moral saya.
            Cukuplah di sini saja, makcik! Tidak elok jika kita saling membuka pekung di tubuh masing-masing. Kata ahli psikologi, apabila perkara-perkara buruk didedah-dedahkan, ia akan diterima sebagai budaya secara tidak langusng. Ia akan menyerap ke dasar pemikiran manusia, tambah-tambah lagi jika masyarakat sudah sedia bobrok seperti kini. Kesannya manusia tidak akan malu-malu melakukan kejahatan yang sudah popular itu.
               Lihatlah, dengan tuduhan makcik bahawa saya ini penagih dadah, percayalah makcik, ramai anak-anak muda kampung kita yang sudah mencuba menghisap dadah. Berhentilah, makcik. Jangan tambahkan lagi dosa-dosa kita yang sudah terlalu banyak itu.
                Akhirul-kalam, seperti yang saya katakan tadi, saya positif bahawa makcik akan tetap menjadi ibu mentua saya juga akhirnya. Kerajaan demi kerajaan telah bertukar penguasanya. Satu tamadun telah digantikan dengan satu tamadun baru. Yunani, Rom, China, Athen, Sparta... Di Negara seribu pulau, si diktatornya telah pun tumbang. Ini di dalam sebuah saga keluarga yang kecil, terpencil dan lokasinya tidak tercatat dalam peta negara pula.
                Masa untuk makcik sudah agak terlambat.
                Akan tiba masanya untuk kami pula.
                Saya sangat optimis!
                Tunggulah perisytiharan kami!

Comments