Monday, 3 December 2012

LOGIK



INI kisah Samsa... nama sebenarnya George/Gregor Samsa. Samsa seorang jurujual. Kesihatan mentalnya terganggu teruk. Dia tinggal bersama keluarganya yang bermasalah besar, dilingkari hutang-piutang. Bapanya bengis dan telah memeras titik peluhnya. Penyakit asma telah mengganggu hidup ibunya. Dia mempunyai seorang adik perempuan yang cantik. Sementara hidupnya sendiri berontakan, penuh konflik dan jiwanya rosak menanggung masalah-masalah keluarganya. Kota Berlin ketika itu, sekitar tahun 1920-an, mulai dilanda arus kemajuan perindustrian. Dia mulai terfikir bahawa dirinya menjadi hamba pada keluarganya sendiri.
            Suatu pagi dia telah dimetamorfosiskan menjadi giant cockroach. Sejak itu dia telah dihina, dibaling dengan buah epal oleh bapanya, makan di atas kertas suratkhabar lama dan selalu kelaparan dalam biliknya. Tidak ada sesiapapun memahami dirinya.
            Kasihan Samsa! Samsa, si lipas gergasi, manusia daif dan kerdil di tengah-tengah masyarakat moden yang tidak dapat saling berinteraksi, yang mulai menjadi masyarakat Jerman yang materialistik. Akhirnya dia meninggal dunia (mampus) dalam keadaan daif dan hina sebagai serangga perosak.
            Samsa..., oh Samsa... selepas mengigau, selepas meracau-racau...

2. KAWANKU tersepak bangkai seekor kucing, lalu dia merungut-rungut seolah-olah aku yang sengaja meletakkannya di situ agar dia terpijaknya.
            Tatkala itu kota ini kelihatan lengang dan hambar. Orang di sini kelihatan berjalan kaku, lembab, sekata dan seperti pergerakan robot.
            Sekarang kami berdua menyelusuri sebuah kaki lima bangunan mewah berkaca lutsinar, dan aku mengusik kawanku, bertanya, ‘berapakah agaknya harga sebenar bangunan ini! Agaknya RM200 juta!’
            Sebaliknya, kawanku ketawa kecil.
            Kami berhenti di atas benteng batu sebatang longkang besar tersumbat. Kami termengah-mengah. Aku duduk melunjurkan kaki. Dia pula duduk mencangkung seperti sedang berak. Dia semacam orang gila, mulai merepek begitu-begini, hal-hal tetek-bengek kehidupan, seolah-olah dia ingin meruntuh dan membangunkan semula struktur masyarakat.
            Bunyi bising gonggongan anjing-anjing kurap melatari sekeliling, semacam irama latar filem seram. Tiba-tiba salakan anjing-anjing itu makin membising, makin galak dan makin rakus. Lebih kurang lima-enam ekor jumlah kesemuanya. Sekarang aku memikirkan, apakah disalak anjing-anjing di tikungan jalan berlonggok-longgok sampah-sarap itu.
            Tiba-tiba bauan wangi menusuk ke penciuman, dan aku bertanya kawanku, mengapa benda-benda terbuang itu berbau begitu!
            ‘Aku selesema sepanjang tahun. Aku tak dapat menghidu sebarang bau sama ada ia busuk atau wangi. Dunia ini terlalu busuk, hidungku jadi kebas.’
            Kemudian dia ketawa terpingkel-pingkel, entah mengapa. Ketawanya berlebih-lebihan, seolah-olah dibuat-buat, dan ini membuat diriku sangat muak. Memang mual mendengar tawanya.
            Aku membiarkan dirinya ketawa, lalu aku mulai berfikir suatu perkara yang lebih besar.
            Mengapa anjing-anjing itu lapar? Tiada makanankah dalam dunia makmur dan kaya-raya ini? Apakah diingini anjing-anjing kurap itu? Hei anjing, berhentilah menyalak! Dunia tuli ini takkan mendengar salakanmu! Menggigitlah!’
            Kawanku mulai membebel semula, akan tetapi aku cuma mendiamkan diri. Anjing-anjing kurap itu terus menyalak-nyalak, makin membising, makin panjang, makin rakus menyelongkar isi tong-tong sampah.
            ‘Apakah yang disalak anjing-anjing itu? Mungkin tikus agaknya.’
            ‘Bukan! Establishment pastinya.’
            Dia ketawa besar, berdekah-dekah.
            Kawanku menyatakan bahawa dia mengasihani tikus-tikus yang selalu kami lihat berkeliaran menyelongkar sisa-sisa buangan bercampur-aduk dalam longkang sepanjang kaki-kaki lima bangunan ini. Tikus-tikus itu bertubuh tambun, kotor, dan jebatnya berbau busuk. Aku berfikir-fikir... apalah agaknya dimakan tikus-tikus itu setiap hari, di mana ia tidur, bagaimana ia hidup, dan sebagainya!
            Aku katakan perasaanku juga begitu, tapi aku lebih berasa jijik apabila melihat bentuk fizikalnya. Ia semacam kujur tubuh kaum bangsawan Arab yang lembab dan kecanduan hasyis yang kronik.
            Dia mencebik riak wajahnya, lalu aku menengking, ‘kau tak lagi berminat fikirkan kehidupan realiti. Bukankah kau membenci kekenyangan? Fikirlah tentang kehidupan, kenyataan..., kita semua ini perlu terus melangsungkan kehidupan.’
            Sesuatu kekecohan terjadi kemudian di sini. Kami menyaksikan pertarungan dua ekor anjing jalang tadi. Entah apalah agaknya direbutkan anjing-anjing kurap itu! Bunyinya bising, hiba rengekannya, dan membosankan sekali. Kawanku asyik menontoninya. Agak lama anjing-anjing itu bergelut. Salah seekornya digigit dan dicakar di tengkuk, rebah menggelupur, lalu bangun dan berambus pergi. Kasihan anjing itu... Anjing yang tinggal itu terus galak menyalak dan menggonggong bangkai, atau sisa-sisa makanan, aku tidak begitu pasti.
            ‘Lihatlah..., begitulah kehidupan... yang terkuat akan menang, yang menang akan terus melangsungkan hidup. Suatu seleksi alam, semacam kesimpulan Nietzsche gila itu,’ komen kawanku.
            Kemudian aku mulai bernyanyi-nyanyi kerana aku lihat dia hanya mendiamkan diri, membelek-belek halaman suratkhabar lama berbahasa Inggeris, yang dijumpainya di tepi jalan. Aku menyanyikan sebuah lagu P. Ramlee, entah lagu apa, aku tak pasti.
            ‘Kita melihat kehidupan ini seolah-olah membaca akhbar dalam bahasa yang tak kita fahami. Kita hanya boleh melihat gambar-gambar bisu.’
            Aku tak berminat langsung memikirkan persoalan itu.
            ‘Jangan timbulkan banyak persoalan! Apa komenmu pasal dunia utopia?’
            Kawanku pula tak mahu mempedulikanku. Dia bertelut lutut, memandang nun jauh ke sana, entah hanyut ke alam khayali mana.
            Aku menyergahnya.
            Dia menjerkahku balik, ‘pedulikanlah dongeng-dongeng gila itu! Itu hanya khayalan neurosis si idealis. Aku takkan mahu mempercayainya! Atau kehidupan ini semuanya mimpi! Argh, adakah tikus-tikus itu gembira hidup dalam longgokan sampah dan bertubuh tambun? Aku suka fikirkan perkara itu...’
            Seorang pengemis atau penagih dadah kelihatan terkedang di atas lantai simen kaki lima bangunan.
            Kemudian dia menyatakan lagi ideanya, ‘apakah yang akan terjadi pada manusia menjelang abad ke-21 nanti? Manusia akan kebingungan. Mereka tidak dapat berkomunikasi sesama sendiri lagi. Dunia ini akan makin rosak, punah-jahanam, terus hancur. Dunia ini akan makin kompleks... kita bakal menghadapi pelbagai problem yang kronik, yang tak terfikir akal. Kita macam... macam...’
            Aku melongo, dan berasa putus asa kini, terlalu jemu.
            Dia lalu bangun berdiri, seluar jean lusuhnya koyak di kedua-dua belah lutut, menepuk-nepuk bahagian punggungnya.
            ‘Macam Samsa... Kamu tahu Samsa?’
            ‘Siapa Samsa?’
            Dia lalu menceritakan kisah si Samsa yang sinis dan tragis itu. Aku kira itu cuma khayalan atau imaginasi fikirannya yang nanar saja.
            ‘Kau tak percaya? Ini hasil fiksyen Franz Kafka, sasterawan Jerman yang tersohor seluruh dunia itu, The Metamorphosis.’
            ‘Siapa Kafka?’
            Kawanku mula meriwayatkan serba-sedikit biografi Franz Kafka. Dia dilahirkan di Prague, 3 Julai 1883. Dia berbangsa Yahudi Czechoslovakia, saki-baki pelarian tragedi Holocaust, barangkali. Kehidupannya sendiri digeluti cerita-cerita tragis. Kononnya juga dia mengalami gejala neurosis yang kronik. Dia pernah tiga kali cuba mendirikan perkahwinan. Dia akhirnya meninggal dunia tatkala berusia 40 tahun, barangkali bahana serangan kuman tubercolusis.
            Aku berasa sangat kasihan dan simpati mendengar cerita Kafka ini.
            ‘Tapi, aku percaya Kafka telah merakamkan kisah benar..., kisah manusia dimetamorfosiskan menjadi seekor lipas gergasi...’
            Riak wajahnya kembali serius.
            Sebaliknya, aku cuma menggeleng-geleng kepala, tersenyum sumbing.
            ‘Adakah kau sakit? Kenapa kau berfikir bukan-bukan malam ini? Apa yang tidak kena? Adakah kau belum makan apa-apa?’
            ‘Adakah tidak logik manusia menjadi lipas? Lihatlah! Segala-galanya tidak logik, tak masuk akal. Manusia menderita di sana-sini. Hipokrasi! Bukankah kau yang menjumpai bayi dalam longkang? Homoseks, peperangan, pembunuhan. Manusia menjadi kaya sekelip mata. Bunuh diri! Perkosa anak sendiri! Manusia telanjang dalam media awam! Kenapa semua ini, juga banyak lagi, terjadi? Logikkah? Kenapa manusia membiarkan semua ini terjadi? Manusia dan dunia ini sudah tidak rasional lagi. Apa itu logik, L-O-G-I-K? Logik sudah pupus, tenggelam dalam timbunan fosil prasejarah, seperti spesies dinosaur. Atau ia memang tak pernah wujud! Berapa satu tambah satu? Bukan dua lagi, mungkin sejuta, tak terhitung. Tapi, ini semua terjadi sejak zaman nabi dan aulia. Realiti kehidupan dunia ini seperti cerita novel karangan seorang penulis yang gila. Umat manusia kini seolah-olah sedang menjalani suatu proses membunuh diri secara perlahan-lahan, natijah segala tekanan, ketakutan, kesasauan, dan kebingungan. Ia amat menyakitkan. Siapa lagi boleh kita percayai? Cubalah berfikir seperti aku sebentar.’
            Aku masih terlongo... gilakah kawan aku ini, atau aku yang sudah sasau?
            Gila! Gila! Gila! rungutku.
            ‘Jika Charles Darwin menakwilkan umat manusia berasal dari suku-sakat nenek-moyang monyet, monkey atau apes lewat evolusi, aku pula menggazetkan ideaku sendiri... manusia pascamoden ini akan menjadi monyet, atau haiwan, lewat... lewat revolusi, bukan lagi evolusi.’
            Aku terlongo semula!
            Kami berjalan-jalan lagi sekitar kaki lima bangunan-bangunan pejabat mewah yang tinggi mencakar langit. Dia menyarankan agar kami berpisah, dan berjumpa lagi lewat malam nanti di sini, atau terpulanglah pada aku bagaimana semuanya. Ini terjadi semasa kami berada di sebatang lorong gelap dan berbau hapak seperti baju kawanku itu.
            Aku lihat dia berjalan terhuyung-hayang di sepanjang kaki lima. Lalu aku berpaling, menghayunkan langkah dan ligat berfikir-fikir bermacam-macam perkara lain. Apa akan kubuat malam buta begini? Aku terdengar dia masih lagi bercakap-cakap pada dirinya sendiri. Adakah kawanku itu sudah mereng kerana gemar mengkaji dan berfikir tentang manusia moden yang didakwanya mengalami krisis psyche yang kronik? Atau dirinya sendiri menderita sakit jiwa, mengalami future shock yang teruk, ditekan kesempitan hidup dan environmental yang tak dapat difahaminya?
            Aku pun mulai berfikir seperti kawanku itu... oh, tentu sekarang musim memetik buah-buahan di ladang orang tuaku. Buah-buah epal segar... epal magenta, epal indigo, epal ungu, juga anggur dan kurma. Tahun-tahun sudah tuaiannya sangat baik, sehingga dapat dieksport ke Perancis dan Jerman, kata orang. Aku mahu pulang, tetapi aku tidak dapat pulang membantu orang tuaku. Aku sakit. Aku sesat. Aku menderita. Aku nanar. Aku merempat. Aku sedih di sini.
            Pada saat-saat begini, entah mengapa, aku terbayangkan si Kafka itu, tahun 1923, Kota Berlin, yang diceritakan kawanku tadi. Sekarang 22 November 1998, Kuala Lumpur. Apakah yang terjadi di sana waktu itu? Apakah kemerosotan ekonomi yang kritikal seperti di sini?
            Aku lihat dia terjaga di sepanjang malam nan dingin, terbatuk-batuk keras, dan mengeluarkan lendir kahak bercampur ketulan darah pekat. Dia menanggung kuman tuberculosis yang serius. Bagaimanalah dia meneruskan kehidupan sehariannya waktu itu! Adakah dia keluar menyangak di kaki-kaki lima jalan? Menyeluk saku dan memeras ugut. Adakah seperti si lipas gergasi khayalannya dalam novel The Metamorphosis karangannya? Makan di atas kertas suratkhabar lama, selalu kelaparan dan bersembunyi dalam sebuah bilik gelap. Aku terfikir, bagaimanakah fizikalnya! Adakah raut wajahnya kurus cengkung!
            Apakah yang difikirnya tatkala dia ingin membunuh dirinya? Tentunya kehidupan ini sudah tak bererti apa-apa lagi!
            Benarkah?
            Apakah yang barangkali dinamakannya ‘hidup yang tidak bererti lagi’? Barangkali sejenis perasaan yang kosong, lalu kita tidak tahu berbuat apa-apa, dunia dilihat gelap, jiwa penuh kehampaan, semua yang bakal dikerjakan seolah-olah tidak bermakna apa-apa lagi, sama ada kita bertindak atau tidak, semuanya sama... Kita jadi panik dan mengalami trauma ketakutan teramat sangat, tak terperikan.
            Inilah yang bakal mengancam seluruh umat manusia kelak, kata kawanku itu agaknya.
            Bagaimanalah rupa paras wajah saudara perempuan Samsa, yang kononnya cantik itu! Adakah pipinya penuh jerawat, tubuhnya gemuk, bermata juling, berkulit hitam berkarat, berbulu kening nipis, atau suaranya garau? Adakah dia menjadi salesgirl kemudiannya, dan dikahwini seorang lelaki budiman seperti hasrat keluarganya itu, sesudah berpindah ke tempat baru?
            Aku tenggelam dalam lamunanku, asyik melayani monolog imaginasiku yang panjang berleret-leretan.
            Tiba-tiba aku mendengar bunyi bising serangga menggerit-ngerit karung plastik. Aku terkejut dan panik! Aku nampak sesuatu di sana... Seekor lipas gergasi? Aku ingin lari, tetapi aku tidak boleh berbuat apa-apa, aku tergamam di sini, semacam kaku. Aku kaget.
            Aku terdengar bunyi sayap-sayap lipas itu mengepak.
            Oh, Tuhan!
            Apakah yang patut kulakukan?
            Lihatlah! Lipas itu sedang terbang menerkam ke arahku.
            Adakah kawanku itu sudah menjadi seekor lipas gergasi?
            Oh, Tuhan! Bagaimanalah hendak kuyakinkan semua ini pada anda! Tentu Kafka akan tersenyum! Tentu anda sangat tidak percaya.

2 comments:

  1. nice day :)
    hargailah hari kemaren,
    mimpikanlah hari esok,
    tetapi hiduplah untuk hari ini.
    bagi-bagi motivasinya yaah...

    ReplyDelete