BOIKOT: SEHANGAT TAHI AYAM

SENJATA paling kuat untuk melawan Zionis yang menghuru-harakan dunia, khususnya di Palestin, adalah dengan memboikot produk milik mereka atau yang bersama mereka. Ini pendapat yang pernah diperkatakan untuk melemahkan Zionis. Ya, mereka menjadi kuat kerana kita turut sama menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi mereka sejak zaman-berzaman.
            Malangnya usaha dan kempen kesedaran boikot ini hanya sehangat tahi ayam dan mudah dingin. Mengikut musim, misalnya ketika kekejaman regim zionis mengganas, kita pun bercakap dan berteriak tentang perlunya boikot ini, dan keluarlah senarai panjang produk syarikat yang bersekongkol dengan Yahudi Zionis.
            Gergasi-gergasi korporat yang telah diketahui jelas menyumbang dana kepada Zionis ini memang sewajarnya diboikot. Ini adalah kewajiban umat Islam untuk membantu saudara-saudaranya yang tertindas di mana-mana ceruk dunia angkara makar jahat Zionis.
            Kita, sebagai orang awam, melihat boikot adalah tindakbalas kecil dan tidak ada faedahnya. Sebenarnya inilah cara yang praktikal dan mampu dilakukan semua orang. Ia nampak kecil, tapi kesannya besar. Kita mungkin menilai tindakan, yang kononnya dilakukan Osama ben Laden, seperti meletupkan WTC adalah cara berkesan. Tetapi, tindakan ini hanyalah menghalalkan pemusnahan umat Islam di mana-mana negara dengan hujah memerangi pengganas oleh negara Uncle Sam dan sekutunya atas lobi Zionis antarabangsa.
            Mengapakah masih ada segelintir manusia yang sinis dengan usaha-usaha boikot ini?  Telah jelas yang benar dan batil, tetapi mengapa kita masih memakai hujah-hujah yang dangkal untuk menafikan pentingnya boikot?
            Kelemahan kita berfikir dalam isu boikot ini menyebabkan ia gagal dan dilupakan. Misalnya kita berfikir apa gunanya boikot, sedangkan orang lain tidak turut serta boikot. Ia tiada hasilnya.       
Sebenarnya boikot adalah tanggungjawab individu. Misalkan seperti solat, ia adalah tanggungjawab individu. Adakah kita perlu menunggu orang lain terlebih dahulu solat, barulah kita akan turut solat? Jika kita berfikiran begini sampai bila-bilapun tiang agama tidak akan tegak. Sepatutnya kita berfikir walaupun tiada seorang yang boikot, kita harus boikot, kerana ia adalah tanggungjawab individu.
            Hujah yang lain, misalnya restoran milik mereka, yang rata-riti pekerjanya adalah orang Islam dan Melayu. Di mana pekerja-pekerja ini akan bekerja jika premis itu ditutup selepas diboikot masyarakat? Ini ada logiknya. Tetapi cuba fikir, selama mana umat Islam harus bergantung kepada gergasi-gergasi ekonomi yang mengagihkan sebahagian keuntungannya untuk kerja-kerja membantai umat Islam di negara-negara lain? Jika kita terus bergantung begini, suatu masa nanti kita tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi, hatta dalam mempertahankan kesucian agama. Sekarang ini kita masih ada pilihan untuk boikot, dan tidak mustahil suatu masa nanti kita tidak ada pilihan lagi jika produk mereka sudah menjadi darah-daging ekonomi kita.
            Ingatkan juga kata-kata Nabi Muhammad saw selepas pulang dari sebuah perang. Katanya, selepas ini kita akan menghadapi peperangan yang lebih besar, iaitu peperangan menghadapi hawa nafsu.
            Mengapakah perang melawan hawa nafsu lebih hebat dari perang fizikal?
            Produk-produk sekutu Zionis ini memiliki tarikan nafsu duniawi yang kuat. Ia berjaya digambarkan melalui iklan-iklan mega mereka yang menguasai psikologi kita. Pakaian ciptaan mereka digambarkan glamor. Kenderaan diimejkan sebagai berprestij. Makanan yang bercitarasa tinggi. Filem-filem yang menghiburkan. Muzik-muzik yang ceria. Keperluan rumah yang memudahkan. Dan pelbagai lagi. Semuanya sukar untuk ditolak.
            Semua produk-produk mereka ini sudah menjadi budaya kepenggunaan kita seharian, walaupun kita mempunyai pilihan lain ataupun kita tidak memerlukannya sama sekali.
            Kita boleh berdemonstrasi mengutuk rejim Zionis setiap kali mereka mengganas, tetapi itu tidak ada maknanya jika kita tidak dapat menahan nafsu dari terus menyokong ekonomi mereka. Kita berteriak memaki-hamun Zionis, tetapi apabila tengkuk perit dan kering selepas menyumpah Zionis, kita teguk minuman mereka.
            Sebaliknya seruan boikot ini hanya akan dipandang sinis. Penyerunya akan dianggap menongkah arus, tidak berpijak di bumi nyata. Kenapa terjadi begini? Kita, umat Islam, walaupun telah diperingatkan Nabi Muhammad saw, telah menuruti budaya hidup Yahudi dan Nasara seinci demi seinci, hatta ke lubang biawak sekalipun. Jika kita cuba keluar dari budaya mereka, kita akan dilanda inferiority complex.
Produk-produk sekutu Zionis ini, selain untuk digunakan, telah menjadi simbol, lambang, dan ikon kemajuan. Kehendak-kehendak duniawi saranan mereka telah menjadi keperluan. Tanpa memiliki produk-produk mereka, kita akan rasa ketinggalan jika dibanding dengan individu yang memilikinya.
Jika kita memboikotnya, masyarakat akan memandang kita kolot dan antikemajuan. Kita akan menjadi asing seperti asingnya Nabi Ibrahim as di tengah-tengah budaya menyembah berhala di Babylon suatu masa dulu di bawah pemerintahan Raja Namrud. Telah jelas berhala Marduk yang besar itu tidak dapat berbuat apa-apa ke atas manusia, walaupun kapak berada di tangannya. Tetapi ini masih tidak dapat mengolah akal mereka berfikir kerana kuatnya budaya menyembah berhala dalam diri mereka sejak nenek-moyang mereka.
            Dan pada ketika Nabi Ibrahim mahu dibakar orang-orang Raja Namrud, untuk dijadikan iktibar, ada seekor burung kecil yang meludah ke dalam api yang sedang marak itu. Tindakan ini diperli haiwan yang lain. Burung kecil ini menempelak dengan berkata, “sekurang-kurangnya apabila Tuhanku bertanya apa ikhtiarku untuk menolong Nabi Ibrahim, aku boleh menjawabnya.”
            Air liur, itulah yang mampu dilakukan oleh burung yang kecil. Dan kita? Apa sumbangan kita? Dan janganlah kita menjadi haiwan yang mentertawakan burung kecil tadi.
            Ingatlah setiap kali ingin meneguk minuman ciptaan mereka, bayangkan darah rakyat Palestin yang mereka tumpahkan sejak tahun 1948. Sampai hatikah kita?

 SIASAH 20-26 MEI 2011

Comments

Post a Comment