BAHAYA MAKLUMAT DI HUJUNG JARI

DUNIA hari ini bergerak terlalu pantas. Apa yang berlaku di Amerika akan diketahui dalam masa yang relatif singkat di Asia. Tidak perlu menunggu hari esok untuk keluar membeli surat khabar. Berita semalam sudah tidak relevan hari ini. Maklumat cepat disebar dan diketahui, secepat dajjal bergerak, sekelip mata. Dunia sudah menjadi sebuah perkampungan kecil di bawah tapak kaki gajah. Sekali hayya alash sholah hayya alal falah dilaungkan, seluruh kampung mendapat gemanya.
            Ada sebuah kisah sinis yang diceritakan oleh Idris Shah (1924-1996), seorang penulis darwish keturunan Afghanistan yang lahir di India. Kisah-kisahnya yang lain juga sehebat kisah Guha dan Abu Nuwas. Dan kisah yang ingin dibahaskan di sini, berkenaan bahaya maklumat yang cenderung mudah disalahtafsir. Kisah ini adalah elok untuk kita fikirkan.
            Ceritanya lebih kurang begini apabila dikisahkan semula: ada dua buah kota yang berdekatan, yang dipisahkan oleh sebatang jalan besar. Pada suatu hari kelihatan seorang lelaki berairmata dan mengesat matanya dengan saputangan di kakilima jalan itu. Peristiwa ini dilihat oleh seorang kanak-kanak, yang kemudiannya berteriak memberitahu hal itu kepada orang ramai di kota bersebelahan.
Entah bagaimana, dari mulut ke mulut, maklumat dari kanak-kanak tadi, ditafsirkan sebagai ada malapetaka besar berlaku di kota pertama. Setelah penduduk kota bermesyuarat, mereka mengambil keputusan untuk segera lari dari musibah tersebut.
            Sesudah penduduk kota kedua lari, penduduk kota pertama juga berfikir sebaliknya, iaitu ada musibah di kota kedua. Mereka mengambil keputusan yang sama. Maka kosonglah kedua-dua buah kota tersebut.
            Mereka membina penghidupan baru di sebuah tempat lain.
            Berabad-abad kemudian mereka masih tidak dapat mengetahui sebab-musabab sebenar yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran tersebut. Mengapakah datuk nenek moyang mereka meninggalkan kota tersebut? Mereka saling berteka-teki mengenai hal itu, yang tiada siapapun tahu apa sebenarnya telah berlaku.
            Kisah ini kelihatan tidak logik , tetapi renunglah mesej tajam yang boleh dicerna dari kisah ini. Sebuah maklumat atau berita boleh membawa implikasi yang sangat buruk dan besar.
            Dalam ledakan teknologi komunikasi hari ini, maklumat atau berita mudah disebar, disalahfaham, ditokoktambah, dicipta, dan dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan. Fitnah, khabar angin, berita palsu ini mudah hidup dan mudah dipercayai benar.
Dengan memiliki gajet seperti fon yang berintergrasi dengan internet dan televisyen, yang harganya semurah RM500, maklumat boleh dicapai sebegitu mudah. Satu dunia kini berada di bawah satu jari telunjuk.
            Sesebuah kerajaan tidak lagi dapat menahan atau menapis sesebuah maklumat dari disebarkan dalam zaman ledakan teknologi ini. Tidak kira sama ada berita itu baik atau tidak kepada masyarakat. Internet, ia tidak seperti media konvensional, iaitu televisyen, surat khabar dan majalah yang lebih mudah dihadapi dan lebih bertanggungjawab. Ditambah lagi dengan kewujudan rangkaian-rangkaian sosial yang popular dan telah menjadi budaya masyarakat seluruh dunia, maka maklumat mudah tersebar dengan sekali klik.
            Pada masa-masa yang akan datang, semua maklumat ini tidak dapat dikawal sepenuhnya lagi. Ia akan merobohkan tembok-tembok sempadan negara seperti Yakjuj-makjuj melubangi tembok yang dibina Iskandar Zulkarnain. Kerajaan-kerajaan di dunia ini akan mengenakan akta-akta untuk menyekat maklumat-maklumat ini, tetapi globalisasi akan meratakannya melalui media eletronik. Setiap rumah akan memiliki capaian internet, seperti setiap rumah pada akhir zaman akan dimasuki dajjal.
            Apakah bahaya maklumat tanpa kawalan dalam konteks hari ini?
            Misalnya, disebarkan dalam media elektronik bahawa seorang Melayu telah dibunuh oleh seorang India atas dasar perkauman. Berita yang ditulis dengan tujuan menghasut ini akan segera tersebar, walaupun kesahihannya belum jelas. Sebelum sempat pihak berkuasa menyiasat kebenaran berita ini, suasana sudah menjadi panik. Timbullah kekacauan seperti yang diharapkan pencetus berita ini. Melayu akan membalas perbuatan tersebut, dan ini akan saling berbalas. Apabila diketahui berita tadi adalah palsu atau fitnah, ia tiada gunanya lagi setelah api perkauman telah merebak dan membakar negara.
            Ini satu andaian yang logik untuk difikirkan.
            Dalam keadaan dunia yang sibuk ini, manusia tiada masa untuk menyiasat sesuatu perkara itu dengan teliti. Maklumat demi maklumat terus disumbat dalam minda.
            Itu boleh berlaku di dalam sesebuah negara. Bagaimana dengan perkembangan di seluruh dunia?
Media-media elektronik hari ini dikuasai Yahudi aliran Zionis. Mengapa mereka ingin menguasai media-media elektronik ini? Mereka ingin menakluki dunia ini. Dengan menguasai teknologi maklumat, mereka boleh membentuk persepi yang mereka inginkan ke atas sesuatu peristiwa, tokoh, negara dan sebagainya. Mereka mengeksploitasi sepenuhnya berita untuk kepentingan mereka.
Seperti yang terjadi hari ini, bagaimana media-media kuffar menggambarkan Islam melalui Osama Ben Laden dan al-Qaeda. Dikatakan di Afghanistan, nama al-Qaeda tidak begitu dikenali seolah-olah al-Qaeda hanya ciptaan CIA. Sesetengah orang berpendapat Osama itu hanya watak ciptaan berlebihan Zionis dan US untuk memburukkan Islam. Maklumat yang kita perolehi tentang Osama semuanya melalui media kuffar. Bagaimana media kuffar melogikkan Osama dengan serangan ke atas WTC pada 11 September, semuanya menimbulkan pertanyaan. Apa yang kita fahami mengenai Osama adalah dari kacamata kuffar.
Cuma apa yang pasti, kita telah diperingatkan mengenai hal ini dalam ayat ini; “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah Hujarat ayat 6).
Akhirnya, apakah yang membuat lelaki dalam kisah sinis Idris Shah tadi berair mata?
            Dia bukan menangis. Matanya pedih dan berair kerana memotong bawang.

 SIASAH 12-19 MEI 2001


Comments

  1. "Setiap rumah akan memiliki capaian internet, seperti setiap rumah pada akhir zaman akan dimasuki dajjal".

    Keras analoginya. Tetapi begitulah hakikat...

    ReplyDelete

Post a Comment