RAMAI orang menyalahkan Datuk Seri Najib
atas kekalahan UMNO-Barisan Nasional pada PRU14 lalu.
Bagi UMNO, bersalah atau tidak
Najib, beliau sepatutnya berundur kerana imej dan persepsi ke atas beliau adalah
terlalu buruk dan tidak dapat dibersihkan lagi.
Itu pun diperkatakan setelah
tumbangnya Barisan Nasional dalam PRU14.
Seperti yang diketahui, Barisan
Nasional telah tumbang seminggu lepas.
Adakah jika Najib berundur, Barisan
Nasional akan menang?
Mungkin Barisan Nasional akan
menang.
Tetapi, ia hanya seperti
menangguhkan kekalahan.
Mengimbas kembali sejarah, Tun
Mahathir juga pernah mengalami detik-detik seperti ini. Anda boleh menyemaknya
sendiri bagaimana teruknya Tun Mahathir diserang dengan pelbagai isu. Malah
isu-isu itu lebih besar lagi berbanding hari ini.
Barisan Nasional diselamatkan dengan pengunduran beliau pada
tahun 2003 yang menyebabkan Barisan Nasional menang besar dalam sejarahnya.
Akhirnya Pak Lah yang menggantikan
Tun Mahathir juga mengalami kemerosotan undi yang teruk pada 2008. Imej yang
dipalitkan kepada beliau juga teruk. Perkara yang sama terjadi kepada beliau.
Beliau digambarkan sebagai sangat buruk dan sedang merosakkan negara dengan
pentadbirannya.
Begitu juga Najib seperti yang kita
ketahui hari ini.
Adakah dengan berundur ia akan
menyelesaikan masalah?
Tidak. Ini telah dibuktikan dengan
pengunduran Tun Mahathir dan Paklah. Ia hanya menangguhkan kekalahan. Akhirnya
Barisan Nasional kalah juga seperti hari ini.
Najib berundur bukanlah penyelesaian
masalah. Masalah sebenar adalah budaya dan pemikiran dalam masyarakat. Mereka menjadi
begitu kritikal dan menentang apa sahaja yang bernama kerajaan setelah
terbukanya kebebasan bersuara dengan wujudnya media-media sosial.
Kisah Socrates sepatutnya dijadikan
renungan.
Apabila beliau dihukum mati dengan meminum racun hemlock,
rakan-rakannya menyarankan agar beliau melarikan diri. Beliau didakwa oleh
golongan sophis telah merosakkan pemikiran muda-mudi pada zaman itu.
Tetapi beliau adalah manusia
berprinsip. Katanya, jika beliau lari ke belahan dunia mana pun, kejahatan akan
menghampirinya juga di sana. Beliau tidak dapat melarikan diri dan perlu
menghadapi kenyataan.
Dalam konteks hari ini, begitulah
yang dialami oleh Najib. Jika beliau berundur, pengganti beliau juga akan
menerima nasib yang sama, iaitu ditentang, diberi imej buruk dan dianggap
penjahat.
Dalam masyarakat hari ini, sama
seperti ketika zaman Socrates di Athen, keadaan masyarakat adalah dalam keadaan
makmur dan mewah.
Masyarakat menjadi sebuah masyarakat
yang hedonisme, materialistic dan individulistik. Banyak masa lapang mereka
digunakan untuk berhibur, berdebat dan bersukan.
Jika kita lihat pada zaman ini,
kehidupan majoriti masyarakat adalah lebih baik. Kemiskinan memang wujud kerana
ia tidak dapat dihapuskan oleh mana-mana negara maju pun.
Apa yang berlaku dalam masyarakat sebegini
adalah perasaan tidak puas hati, lebih-lebih lagi apabila masyarakat dihasut
oleh puak-puak yang berkepentingan
Masyarakat menjadi memberontak.
Dalam bahasa yang mudah, masyarakat menjadi anti-establishment. Sesiapa sahaja
yang menjadi kerajaan akan ditentang.
Segala isu hanyalah alat untuk
menghalalkan tindakan mereka.
Kita telah melihat tuduhan-tuduhan
yang dikenakan ke atas Tun Mahathir dan Pak Lah hilang begitu sahaja selepas
mereka berundur. Maknanya, tuduhan-tuduhan itu hanyalah alat untuk menjatuhkan
mereka, dan ia bukan sebab-sebab sebenar
mereka perlu dijatuhkan.
Letaklah sesiapa sahaja sebagai
pemerintah, ia akan ditentang oleh masyarakat.
Penentangan bukanlah wujud kerana
isu-isu, tetapi isu-isu telah diwujudkan untuk dijadikan sebagai alasan
penentangan.
Sebagai contoh, benarkah GST
membebankan rakyat?
Malah jika GST dinaikkan menjadi 10%
pun rakyat sanggup terima asalkan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan.
Perkara ini disumbangkan pula oleh
kebebasan bersuara melalui media-media sosial. Kebencian dan kemarahan mudah
diapi-apikan melalui media-media sosial.
Apabila Najib terus mempertahankan
kerajaan dan sanggup tumbang kerananya, ia adalah tindakan yang sepatutnya.
Masyarakat perlu berterima kasih
kepadanya. Kekalahan tidak perlu ditangguhkan dan kita tidak perlu lari darinya
sebagaimana yang diujarkan Socrates.
Jika Najib berundur, lambat-laun
kekalahan akan menimpa kepada penggantinya.
Biarlah ia berlaku, kerana selagi ia
tidak berlaku, masyarakat tidak akan tahu apa yang sebenarnya mereka
perjuangkan sejak daripada dahulu. Masyarakat akan terus menentang tanpa
hujah-hujah yang kuat, melainkan kerana hilangnya adab dan moral dalam diri
mereka kerana telah terjebak ke dalam budaya hedonisme, materialistik dan individualistik.
Najib adalah korban untuk masyarakat
mendapat pelajaran.
Jika beliau benar-benar berjuang
untuk rakyat ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, kemenangan dan kebenaran
adalah milik beliau walaupun beliau tumbang di tangan rakyatnya sendiri.
Rakyat pasti akan mengenang beliau.
Oleh: AZMAN HUSSIN
Aku setuju bro...
ReplyDeleteMenegur kerajaan bagaikan menjolok sarang tebuan. Nahas. Bila sarangnya dibakar, baru terbongkar tembelangnya.
ReplyDelete