POLITIKUS & KAPITALIS




INGAT lagi kata-kata Amschel Mayer Rothschild?
Ia berbunyi, “berikan aku kuasa mengurus ekonomi sesebuah negara, aku akan mengendalikan politik negara tersebut.”
Hari ini keluarga Rothschild inilah yang sedang mencatur dunia dengan pengaruh wang mereka.
Politikus memerlukan wang yang dimiliki kapitalis untuk menggerakkan aktiviti politik mereka, manakala kapitalis memerlukan ahli politik untuk mencatur ekonomi negara.
Tanpa dana wang, politikus hanya mampu melantunkan kata-kata pidato. Mereka tidak dapat bergerak ke mana-mana.
Kekayaan dapat membeli media dan sebarannya untuk melaksanakan propaganda politikus.
Dan tanpa kuasa politik, kapitalis tidak dapat memerah kekayaan negara secara maksima kerana segala sesuatu di dalam negara diputuskan oleh politikus.
Wang dilaburkan untuk mendapatkan banyak lagi wang. Ia adalah taruhan terbesar dunia. Nilainya mungkin berbilion-bilion.
Ia adalah hubungan yang erat, saling bergantung dan memperkuat sesama sendiri.
Duit adalah raja. Cash is king.
Kita mungkin boleh menjadi jutawan dengan cara biasa, tetapi untuk menjadi bilionair kita mungkin perlu ada hubungan rapat dengan politikus yang berkuasa.
            Apabila sesebuah kerajaan tidak lagi menurut kehendak kapitalis, mereka akan cuba menumbangkan kerajaan tersebut dengan mendanai pihak lawan, iaitu parti pembangkang dan puak-puak antikerajaan yang lain, yang memiliki agenda tersendiri.
            Konflik ini selalunya akan berlaku apabila pertukaran pemimpin dalam kerajaan atau pun pertukaran parti pemerintah.
Pemimpin yang baru mungkin mempunyai kroni-kroni mereka sendiri atau berpihak kepada rkayat. Mereka tentu tidak mahu lagi meneruskan hubungan dengan kroni-kroni politikus lama.
            Maka, permusuhan politikus selama bertahun-tahun pun boleh dilupakan dengan campur tangan kapitalis ini. Mereka datang dari punca yang sama, iaitu kapitalis yang membiayai mereka. Janganlah pelik kerana ia adalah perkara biasa dalam politik.
            Jadi, bagaimana politikus itu bertindak sendiri dengan melawan pemodal mereka?
            Tidak mungkin.
            Segala isu yang ditayangkan kepada umum hanyalah untuk mengelabui mata rakyat, sedangkan tujuan sebenar mereka adalah berlainan.
            Jadi, janganlah pelik dengan sebarang situasi politik yang berlaku di dalam mana-mana negara moden. Ia semuanya berkaitan wang dan penguasaannya.
            Rakyat biasa sebenarnya hanya dijadikan bala tentera untuk berperang oleh politikus dan kapitalis tanpa menyedari mereka hanyalah alat kepada perjuangan orang lain.
            Jika anda memahami hubungan ini, anda akan dapat merumuskan apa yang sebenarnya terjadi dalam negara anda, bagaimana plot-plot politik ini tercipta dan dipersembahkan kepada anda.
            Anda fikir anda berjuang untuk agama, bangsa dan negara anda, tetapi sebenarnya anda hanya dijadikan kuda tunggangan kapitalis dan politikus.
            Politikus sebenarnya hanya berkhidmat kepada pemodal mereka, bukannya rakyat dan negara. Mereka hanya mengimbanginya dengan memenuhi sebahagian kehendak agar rakyat tidak bangkit memberontak.
            Apabila berbalik kepada politik Malaysia, anda akan dapat mencantumkan segala misteri selama ini dengan memahami hubungan kapitalis dan politik ini.
           
Oleh: AZMAN HUSSIN



Comments