SYAIR ASY SYU'ARA


Adakah penyair-penyair telah mabuk segala?

Mereka memuja-muja ayat-ayat dusta, menyalin isi kitab-kitab syair jahiliyah zaman Firaun, lalu menukang syair-syair dusta dan palsu yang ternyata sia-sia dunia dan akhirat.

Sebahagiannya kerana kejahilan, sebahagiannya kerana keangkuhan.

Wahai penyair, bolehkah membancuh sudi dan noda dalam satu bejana?

Kalian ingin mewarnakan langit dengan warna hijau, bolehkah?

(Kononnya mereka adalah para intelektual, cendekiawan, ulama dan pejuang).

Mereka membina mahligai indah dan memakai kain yang jatuh menyeret ke bumi, hadir di majlis-majlis kotor dan maksiat, menerima kalungan anugerah dari para penguasa zalim.

Kata kalian, “ini syair agung; untaian kata-kata dusta dan sendiri tidak bisa memahaminya.”

Bukankah itu juga kata pujangga jahiliyah?

Ini syairnya:

Rupanya cantik – tak boleh dinikmati; lahirnya indah – tak boleh dihayati; bentuknya elok – tak boleh digenggam

Apa gunanya apa ertinya apa maksudnya?

Isinya mabuk lagi memabukkan, sesat lagi menyesatkan, juga sulit lagi tak bererti, sehingga mereka lalu mabuk dan sesat bergelandangan di lembah-lembah gelap dan tandus kering, memuja-muja roh jahiliyah, lalu jatuh tergeletak di tepi-tepi tong sampah pasar Ukkaz ibaratnya.

Sesungguhnya di bawah sana, lihatlah... kemiskinan, kejahilan, kepalsuan, penjajahan dan penindasan menjadi raja dan memperbudakkan seluruh umat manusia, tetapi mereka masih bisu , menulikan telinga dan membutakan mata.

Adakah mata hati mereka telah buta pada cahaya kebenaran?

Sesungguhnya syair yang paling indah inilah: “ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah bathil.”

Itulah ungkapan Lubaid.

Tidakkah mereka sedari bahawa mereka menipu dan menderita & tidakkah mereka mahu merenung diri dan berasa malu?


Petikan daripada buku kumpulan sajak CANDU, 2001.

Comments