‘INI kisah Samsa... nama
sebenarnya George/Gregor Samsa. Samsa seorang jurujual. Kesihatan mentalnya
terganggu teruk. Dia tinggal bersama keluarganya yang bermasalah besar,
dilingkari hutang-piutang. Bapanya bengis dan telah memeras titik peluhnya.
Penyakit asma telah mengganggu hidup ibunya. Dia mempunyai seorang adik
perempuan yang cantik. Sementara hidupnya sendiri berontakan, penuh konflik dan
jiwanya rosak menanggung masalah-masalah keluarganya. Kota Berlin ketika itu,
sekitar tahun 1920-an, mulai dilanda arus kemajuan perindustrian. Dia mulai
terfikir bahawa dirinya menjadi hamba pada keluarganya sendiri.
Suatu pagi dia telah
dimetamorfosiskan menjadi giant cockroach. Sejak itu dia
telah dihina, dibaling dengan buah epal oleh bapanya, makan di atas kertas
suratkhabar lama dan selalu kelaparan dalam biliknya. Tidak ada sesiapapun
memahami dirinya.
Kasihan Samsa! Samsa, si
lipas gergasi, manusia daif dan kerdil di tengah-tengah masyarakat moden yang
tidak dapat saling berinteraksi, yang mulai menjadi masyarakat Jerman yang
materialistik. Akhirnya dia meninggal dunia (mampus) dalam keadaan daif dan
hina sebagai serangga perosak.
Samsa..., oh Samsa...
selepas mengigau, selepas meracau-racau...
2. KAWANKU
tersepak bangkai seekor kucing, lalu dia merungut-rungut seolah-olah aku yang
sengaja meletakkannya di situ agar dia terpijaknya.
Tatkala
itu kota ini kelihatan lengang dan hambar. Orang di sini kelihatan berjalan
kaku, lembab, sekata dan seperti pergerakan robot.
Sekarang
kami berdua menyelusuri sebuah kaki lima bangunan mewah berkaca lutsinar, dan
aku mengusik kawanku, bertanya, ‘berapakah agaknya harga sebenar bangunan ini!
Agaknya RM200 juta!’
Sebaliknya,
kawanku ketawa kecil.
Kami
berhenti di atas benteng batu sebatang longkang besar tersumbat. Kami termengah-mengah.
Aku duduk melunjurkan kaki. Dia pula duduk mencangkung seperti sedang berak.
Dia semacam orang gila, mulai merepek begitu-begini, hal-hal tetek-bengek
kehidupan, seolah-olah dia ingin meruntuh dan membangunkan semula struktur
masyarakat.
Bunyi
bising gonggongan anjing-anjing kurap melatari sekeliling, semacam irama latar
filem seram. Tiba-tiba salakan anjing-anjing itu makin membising, makin galak
dan makin rakus. Lebih kurang lima-enam ekor jumlah kesemuanya. Sekarang aku
memikirkan, apakah disalak anjing-anjing di tikungan jalan berlonggok-longgok
sampah-sarap itu.
Tiba-tiba
bauan wangi menusuk ke penciuman, dan aku bertanya kawanku, mengapa benda-benda
terbuang itu berbau begitu!
‘Aku
selesema sepanjang tahun. Aku tak dapat menghidu sebarang bau sama ada ia busuk
atau wangi. Dunia ini terlalu busuk, hidungku jadi kebas.’
Kemudian
dia ketawa terpingkel-pingkel, entah mengapa. Ketawanya berlebih-lebihan,
seolah-olah dibuat-buat, dan ini membuat diriku sangat muak. Memang mual
mendengar tawanya.
Aku
membiarkan dirinya ketawa, lalu aku mulai berfikir suatu perkara yang lebih
besar.
Mengapa
anjing-anjing itu lapar? Tiada makanankah dalam dunia makmur dan kaya-raya ini?
Apakah diingini anjing-anjing kurap itu? Hei anjing, berhentilah menyalak!
Dunia tuli ini takkan mendengar salakanmu! Menggigitlah!’
Kawanku
mulai membebel semula, akan tetapi aku cuma mendiamkan diri. Anjing-anjing
kurap itu terus menyalak-nyalak, makin membising, makin panjang, makin rakus
menyelongkar isi tong-tong sampah.
‘Apakah
yang disalak anjing-anjing itu? Mungkin tikus agaknya.’
‘Bukan!
Establishment pastinya.’
Dia
ketawa besar, berdekah-dekah.
Kawanku
menyatakan bahawa dia mengasihani tikus-tikus yang selalu kami lihat
berkeliaran menyelongkar sisa-sisa buangan bercampur-aduk dalam longkang
sepanjang kaki-kaki lima bangunan ini. Tikus-tikus itu bertubuh tambun, kotor,
dan jebatnya berbau busuk. Aku berfikir-fikir... apalah agaknya dimakan
tikus-tikus itu setiap hari, di mana ia tidur, bagaimana ia hidup, dan
sebagainya!
Aku
katakan perasaanku juga begitu, tapi aku lebih berasa jijik apabila melihat
bentuk fizikalnya. Ia semacam kujur tubuh kaum bangsawan Arab yang lembab dan
kecanduan hasyis yang kronik.
Dia
mencebik riak wajahnya, lalu aku menengking, ‘kau tak lagi berminat fikirkan
kehidupan realiti. Bukankah kau membenci kekenyangan? Fikirlah tentang
kehidupan, kenyataan..., kita semua ini perlu terus melangsungkan kehidupan.’
Sesuatu
kekecohan terjadi kemudian di sini. Kami menyaksikan pertarungan dua ekor
anjing jalang tadi. Entah apalah agaknya direbutkan anjing-anjing kurap itu!
Bunyinya bising, hiba rengekannya, dan membosankan sekali. Kawanku asyik
menontoninya. Agak lama anjing-anjing itu bergelut. Salah seekornya digigit dan
dicakar di tengkuk, rebah menggelupur, lalu bangun dan berambus pergi. Kasihan
anjing itu... Anjing yang tinggal itu terus galak menyalak dan menggonggong
bangkai, atau sisa-sisa makanan, aku tidak begitu pasti.
‘Lihatlah...,
begitulah kehidupan... yang terkuat akan menang, yang menang akan terus
melangsungkan hidup. Suatu seleksi alam, semacam kesimpulan Nietzsche gila
itu,’ komen kawanku.
Kemudian
aku mulai bernyanyi-nyanyi kerana aku lihat dia hanya mendiamkan diri,
membelek-belek halaman suratkhabar lama berbahasa Inggeris, yang dijumpainya di
tepi jalan. Aku menyanyikan sebuah lagu P. Ramlee, entah lagu apa, aku tak
pasti.
‘Kita
melihat kehidupan ini seolah-olah membaca akhbar dalam bahasa yang tak kita
fahami. Kita hanya boleh melihat gambar-gambar bisu.’
Aku
tak berminat langsung memikirkan persoalan itu.
‘Jangan
timbulkan banyak persoalan! Apa komenmu pasal dunia utopia?’
Kawanku
pula tak mahu mempedulikanku. Dia bertelut lutut, memandang nun jauh ke sana,
entah hanyut ke alam khayali mana.
Aku
menyergahnya.
Dia
menjerkahku balik, ‘pedulikanlah dongeng-dongeng gila itu! Itu hanya khayalan
neurosis si idealis. Aku takkan mahu mempercayainya! Atau kehidupan ini
semuanya mimpi! Argh, adakah tikus-tikus itu gembira hidup dalam longgokan
sampah dan bertubuh tambun? Aku suka fikirkan perkara itu...’
Seorang
pengemis atau penagih dadah kelihatan terkedang di atas lantai simen kaki lima
bangunan.
Kemudian
dia menyatakan lagi ideanya, ‘apakah yang akan terjadi pada manusia menjelang
abad ke-21 nanti? Manusia akan kebingungan. Mereka tidak dapat berkomunikasi
sesama sendiri lagi. Dunia ini akan makin rosak, punah-jahanam, terus hancur.
Dunia ini akan makin kompleks... kita bakal menghadapi pelbagai problem yang kronik, yang tak terfikir
akal. Kita macam... macam...’
Aku
melongo, dan berasa putus asa kini, terlalu jemu.
Dia
lalu bangun berdiri, seluar jean lusuhnya koyak di kedua-dua belah lutut,
menepuk-nepuk bahagian punggungnya.
‘Macam
Samsa... Kamu tahu Samsa?’
‘Siapa
Samsa?’
Dia
lalu menceritakan kisah si Samsa yang sinis dan tragis itu. Aku kira itu cuma
khayalan atau imaginasi fikirannya yang nanar saja.
‘Kau
tak percaya? Ini hasil fiksyen Franz Kafka, sasterawan Jerman yang tersohor
seluruh dunia itu, The Metamorphosis.’
‘Siapa
Kafka?’
Kawanku
mula meriwayatkan serba-sedikit biografi Franz Kafka. Dia dilahirkan di Prague,
3 Julai 1883. Dia berbangsa Yahudi Czechoslovakia, saki-baki pelarian tragedi
Holocaust, barangkali. Kehidupannya sendiri digeluti cerita-cerita tragis.
Kononnya juga dia mengalami gejala neurosis yang kronik. Dia pernah tiga kali
cuba mendirikan perkahwinan. Dia akhirnya meninggal dunia tatkala berusia 40
tahun, barangkali bahana serangan kuman tubercolusis.
Aku berasa sangat kasihan dan simpati
mendengar cerita Kafka ini.
‘Tapi,
aku percaya Kafka telah merakamkan kisah benar..., kisah manusia
dimetamorfosiskan menjadi seekor lipas gergasi...’
Riak
wajahnya kembali serius.
Sebaliknya,
aku cuma menggeleng-geleng kepala, tersenyum sumbing.
‘Adakah
kau sakit? Kenapa kau berfikir bukan-bukan malam ini? Apa yang tidak kena?
Adakah kau belum makan apa-apa?’
‘Adakah
tidak logik manusia menjadi lipas? Lihatlah! Segala-galanya tidak logik, tak
masuk akal. Manusia menderita di sana-sini. Hipokrasi! Bukankah kau yang
menjumpai bayi dalam longkang? Homoseks, peperangan, pembunuhan. Manusia
menjadi kaya sekelip mata. Bunuh diri! Perkosa anak sendiri! Manusia telanjang
dalam media awam! Kenapa semua ini, juga banyak lagi, terjadi? Logikkah? Kenapa
manusia membiarkan semua ini terjadi? Manusia dan dunia ini sudah tidak
rasional lagi. Apa itu logik, L-O-G-I-K? Logik sudah pupus, tenggelam dalam
timbunan fosil prasejarah, seperti spesies dinosaur. Atau ia memang tak pernah
wujud! Berapa satu tambah satu? Bukan dua lagi, mungkin sejuta, tak terhitung.
Tapi, ini semua terjadi sejak zaman nabi dan aulia. Realiti kehidupan dunia ini
seperti cerita novel karangan seorang penulis yang gila. Umat manusia kini
seolah-olah sedang menjalani suatu proses membunuh diri secara perlahan-lahan,
natijah segala tekanan, ketakutan, kesasauan, dan kebingungan. Ia amat
menyakitkan. Siapa lagi boleh kita percayai? Cubalah berfikir seperti aku
sebentar.’
Aku
masih terlongo... gilakah kawan aku ini, atau aku yang sudah sasau?
Gila! Gila! Gila! rungutku.
‘Jika Charles Darwin menakwilkan umat
manusia berasal dari suku-sakat nenek-moyang monyet, monkey atau apes lewat
evolusi, aku pula menggazetkan ideaku sendiri... manusia pascamoden ini akan
menjadi monyet, atau haiwan, lewat... lewat revolusi, bukan lagi evolusi.’
Aku
terlongo semula!
Kami
berjalan-jalan lagi sekitar kaki lima bangunan-bangunan pejabat mewah yang
tinggi mencakar langit. Dia menyarankan agar kami berpisah, dan berjumpa lagi
lewat malam nanti di sini, atau terpulanglah pada aku bagaimana semuanya. Ini
terjadi semasa kami berada di sebatang lorong gelap dan berbau hapak seperti
baju kawanku itu.
Aku
lihat dia berjalan terhuyung-hayang di sepanjang kaki lima. Lalu aku berpaling,
menghayunkan langkah dan ligat berfikir-fikir bermacam-macam perkara lain. Apa
akan kubuat malam buta begini? Aku terdengar dia masih lagi bercakap-cakap pada
dirinya sendiri. Adakah kawanku itu sudah mereng kerana gemar mengkaji dan
berfikir tentang manusia moden yang didakwanya mengalami krisis psyche yang kronik? Atau dirinya sendiri
menderita sakit jiwa, mengalami future
shock yang teruk, ditekan kesempitan hidup dan environmental yang tak dapat difahaminya?
Aku
pun mulai berfikir seperti kawanku itu... oh, tentu sekarang musim memetik
buah-buahan di ladang orang tuaku. Buah-buah epal segar... epal magenta, epal
indigo, epal ungu, juga anggur dan kurma. Tahun-tahun sudah tuaiannya sangat
baik, sehingga dapat dieksport ke Perancis dan Jerman, kata orang. Aku mahu
pulang, tetapi aku tidak dapat pulang membantu orang tuaku. Aku sakit. Aku
sesat. Aku menderita. Aku nanar. Aku merempat. Aku sedih di sini.
Pada
saat-saat begini, entah mengapa, aku terbayangkan si Kafka itu, tahun 1923,
Kota Berlin, yang diceritakan kawanku tadi. Sekarang 22 November 1998, Kuala
Lumpur. Apakah yang terjadi di sana waktu itu? Apakah kemerosotan ekonomi yang
kritikal seperti di sini?
Aku
lihat dia terjaga di sepanjang malam nan dingin, terbatuk-batuk keras, dan
mengeluarkan lendir kahak bercampur ketulan darah pekat. Dia menanggung kuman tuberculosis yang serius. Bagaimanalah
dia meneruskan kehidupan sehariannya waktu itu! Adakah dia keluar menyangak di
kaki-kaki lima jalan? Menyeluk saku dan memeras ugut. Adakah seperti si lipas
gergasi khayalannya dalam novel The
Metamorphosis karangannya? Makan di atas kertas suratkhabar lama, selalu
kelaparan dan bersembunyi dalam sebuah bilik gelap. Aku terfikir, bagaimanakah
fizikalnya! Adakah raut wajahnya kurus cengkung!
Apakah
yang difikirnya tatkala dia ingin membunuh dirinya? Tentunya kehidupan ini
sudah tak bererti apa-apa lagi!
Benarkah?
Apakah
yang barangkali dinamakannya ‘hidup yang tidak bererti lagi’? Barangkali
sejenis perasaan yang kosong, lalu kita tidak tahu berbuat apa-apa, dunia
dilihat gelap, jiwa penuh kehampaan, semua yang bakal dikerjakan seolah-olah
tidak bermakna apa-apa lagi, sama ada kita bertindak atau tidak, semuanya
sama... Kita jadi panik dan mengalami trauma ketakutan teramat sangat, tak
terperikan.
Inilah
yang bakal mengancam seluruh umat manusia kelak, kata kawanku itu agaknya.
Bagaimanalah
rupa paras wajah saudara perempuan Samsa, yang kononnya cantik itu! Adakah
pipinya penuh jerawat, tubuhnya gemuk, bermata juling, berkulit hitam berkarat,
berbulu kening nipis, atau suaranya garau? Adakah dia menjadi salesgirl kemudiannya, dan dikahwini
seorang lelaki budiman seperti hasrat keluarganya itu, sesudah berpindah ke
tempat baru?
Aku
tenggelam dalam lamunanku, asyik melayani monolog imaginasiku yang panjang
berleret-leretan.
Tiba-tiba
aku mendengar bunyi bising serangga menggerit-ngerit karung plastik. Aku
terkejut dan panik! Aku nampak sesuatu di sana... Seekor lipas gergasi? Aku
ingin lari, tetapi aku tidak boleh berbuat apa-apa, aku tergamam di sini,
semacam kaku. Aku kaget.
Aku
terdengar bunyi sayap-sayap lipas itu mengepak.
Oh,
Tuhan!
Apakah
yang patut kulakukan?
Lihatlah!
Lipas itu sedang terbang menerkam ke arahku.
Adakah
kawanku itu sudah menjadi seekor lipas gergasi?
Oh,
Tuhan! Bagaimanalah hendak kuyakinkan semua ini pada anda! Tentu Kafka akan
tersenyum! Tentu anda sangat tidak percaya.